22 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Pinggan Tak Retak...

Pinggan tak retak, nasi tak dingin - orang tak hendak, kami pun tak ingin.

Kira-kira demikianlah maksud Pakatan Rakyat Selangor terhadap kenyataan dua orang ADUN UMNO yang menganggotai SELCAT yang mengumumkan pendirian mereka kemungkinan akan menarik diri dari menggotai badan tersebut.

Teng Chang Kim, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor yang juga Pengerusi Selcat memberitahu, pihaknya tidak akan menghalang jika mereka hendak berbuat demikian.

"Itu hak mereka. Kita sudah beri mereka peluang... peluang yang lebih besar untuk mereka (untuk menganggotai) Selcat," katanya.

Teng memberitahu, DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan BN masing-masing mempunyai dua wakil dalam Selcat berbanding hanya seorang wakil PAS.

Kata beliau, Selcat masih boleh berfungsi walaupun kedua-dua BN memutuskan untuk keluar kelak.

"Mereka dilantik menganggotai Selcat berdasarkan perwakilan (BN) dalam DUN... terserah kepada mereka (anggota BN)," katanya lagi.

Keputusan rasmi mereka dijangka diketahui bulan depan.

"Selcat hanya memerlukan kuorum tiga anggota (untuk menjalankan urusannya). Jadi, jika anggota BN keluar, Selcat masih boleh berfungsi, ia tidak akan membawa apa-apa kesan," jelas Teng.

Semalam, salah seorang wakil BN dalam Selcat, Ismail Sani memberitahu bahawa beliau sedang mempertimbangkan kemungkinan tersebut.

Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua memberitahu, rakannya, Sulaiman Abdul Razak iaitu wakil rakyat BN kawasan Permatang juga mempunyai pendirian yang sama.

Dr. Khir yang dihubungi hari ini merestui pendirian mereka.

Selcat ditubuhkan oleh DUN Selangor selepas pilihan raya umum Mac 2008 untuk memantau selia dan memeriksa keupayaan, kebertanggungjawab dan ketelusan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Selain kedua-dua ADUN BN itu, anggota Selcat terdiri daripada Teng (DAP-Sungai Pinang) selaku Pengerusi, Haniza Mohd. Talha (PKR-Taman Medan), Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Shaari Sungib (PAS-Hulu Klang) dan Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing).

Teng memberitahu, BN telah diberikan peluang menganggotai kesemua jawatankuasa DUN Selangor termasuk Selcat dan Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan.

Perjalanan Selcat kini dikritik dengan pegawai-pegawai daerah yang dipanggil memberi keterangan mendakwa mereka dilayan seperti penjenayah dan perlu menjawab soalan mengikut kehendak jawatankuasa itu.

Kelmarin, Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin) menyifatkan Selcat tidak mencerminkan proses siasatan sebenar kerana lebih menjurus kepada serangan peribadi selain menjejaskan imej serta kredibiliti diri beliau sebagai penjawat awam.

Beliau adalah antara sembilan Pegawai Daerah di Selangor yang dipanggil memberi keterangan pada 9 September lalu.

Bakhtiar mendakwa siasatan yang diketuai oleh Teng dilakukan dalam suasana tegang dan tidak berhemah.

LUCUT AUTOMATIK?

Ketika ditanya sama ada kedua-dua wakil BN boleh dilucutkan secara automatik kerana tidak menghadiri sesi pertemuan Selcat secara berturut-turut, Teng memberitahu, "tiada peraturan sedemikian."

"Tidak... tiada peruntukan menggugurkan mereka secara automatik atas kegagalan menghadiri sidang Selcat. Jika mereka hendak keluar daripada Selcat, itu hak mereka," katanya.

Ismail semalam memberitahu mStar Online bahawa beliau hanya hadir satu sesi pertemuan Selcat iaitu yang pertama pada Mac lalu.

Sehubungan itu, kata Teng, rekod kehadiran wakil BN dalam mana-mana jawatankuasa semasa kerajaan negeri Selangor ditadbir BN menunjukkan peratusan kedatangan yang buruk.

"Dulu pun rekod kehadiran mereka adalah buruk, bukanya sekarang," kata beliau.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kepada wakil bn/umno dalam selcat kenapa hendak melepaskan peluang untok berjasa pada rakyat yang ingin pentadbiran bersih dari korupsi dan pelbagai penyalahan guna kuasa?inilah masanya bagi kamu membersihkan diri kamu jugak.tindakan kamu ini tidak menafikan seolah olah kamu takut pada bayang bayang kamu sendiri.tak perlu gentar kalau tak ada pekong didada.