15 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Pemimpin UMNO BN Belum Sedar

Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad juga berpendapat bahawa masih ada parti politik dan pemimpin yang belum sedar untuk menerima hakikat sebenar walaupun mengalami prestasi buruk dalam pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

Tanpa menamakan parti dan pemimpin yang dimaksudkan, Dr. Mahathir berkata, parti dan pemimpin terbabit belum menyedari kekecewaan yang diperlihatkan oleh pengundi pada 8 Mac 2008.

"Apakah kekecewaan rakyat disedari oleh pemimpin dan parti-parti politik. Hingga kini tidak ternampak yang parti dan pemimpin sudah betul-betul sedar," kata beliau dalam blognya.

Dr. Mahathir berkata, ada ahli politik yang berpendapat jika dapat memegang jawatan Presiden parti, maka kemenangan mereka dalam pilihan raya sudah terjamin.

"Justeru, mereka ini berusaha untuk menentukan kemenangan mereka melalui penyingkiran ahli yang tidak menyokong mereka, mengguna wang untuk membeli sokongan atau mengguna apa-apa kuasa yang ada pada mereka untuk menyogok, menjanji sesuatu kepada yang akan menyokong atau mengugut.

"Hasilnya mereka menang dalam parti. Tetapi rakyat memerhati segala tindak-tanduk pemimpin dan ahli seperti ini.

"Apabila rakyat lihat perjuangan parti bukan lagi untuk rakyat; apabila mereka lihat rasuah dan ugutan yang menentukan kepimpinan, maka kepercayaan kepada parti dan pemimpinnya akan terhakis dan mungkin hilang lenyap," kata bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan bekas Presiden Umno ini.

"Rakyat tidak dapat membuat apa-apa, terutama apabila mulut rakyat tertutup. Demikian juga ahli parti. Tetapi apabila Pilihan raya umum diadakan maka rakyat sebagai pengundi akan nyatakan kekecewaan mereka," kata Dr. Mahathir yang bersara Oktober 2003.

BN mengalami prestasi buruk pada 8 Mac 2008.

Mesej yang sama telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-63, Sabtu lalu.

Najib mengingatkan semua pemimpin parti komponen Bn bahawa tidak guna menjadi popular di kalangan anggota-anggota parti sahaja tetapi tidak popular di kalangan rakyat, sehingga menyebabkan kehilangan sokongan rakyat.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, dalam sistem demokrasi berparlimen suara keramat ialah suara rakyat dan kuasa mutlak adalah di tangan rakyat dan mereka yang akan menentukan nasib BN dalam setiap pilahan raya umum.

Jumaat lalu, Dr. Mahathir berkata, MIC akan kehilangan sokongan daripada masyarakat India jika Datuk Seri S. Samy Vellu terus menerajui parti itu.

Tegasnya, MIC kini dilihat semakin lemah dan kekuatan parti itu tidak boleh dipulihkan semula jika Samy Vellu terus kekal sebagai Presiden.

Dalam tulisan terbaru blognya, Dr. Mahathir juga memberitahu, pemimpin-pemimpin parti terbabit masih merebut jawatan masing-masing dengan penggunaan cara-cara lama.

"Pembersihan parti tidak juga dilakukan. Pengamal politik wang masih diterima dan diberi tempat," katanya sambil menambah, ahli-ahli biasa parti tidak memprotes sikap lama diteruskan.

"Bahkan ramai juga ahli yang berpendapat apa salahnya menabur wang. Mereka juga akan dapat sedikit habuan.

"Apabila ramai rakyat sebagai pengundi sudah benci kepada parti kerana amalan rasuah dan bodoh sombong, janji pembangunan dan menabur wang tidak akan berkesan lagi.

"Ingatlah apabila kelebihan undi sedikit sahaja, kehilangan sokongan daripada sebilangan yang kecil rakyat pun boleh sebabkan kekalahan," katanya.


Makan Suap

1. Ada orang politik yang berpendapat jika dapat jadi Presiden parti maka kemenangan mereka dalam pilihanraya terjamin.

2. Justeru itu mereka ini berusaha untuk menentukan kemenangan mereka melalui penyingkiran ahli yang tidak menyokong mereka, mengguna wang untuk membeli sokongan atau mengguna apa-apa kuasa yang ada pada mereka untuk menyogok, menjanji sesuatu kepada yang akan menyokong atau mengugut.

3. Hasilnya mereka menang dalam parti. Tetapi rakyat memerhati segala tindak-tanduk pemimpin dan ahli seperti ini. Apabila rakyat lihat perjuangan parti bukan lagi untuk rakyat; apabila mereka lihat rasuah dan ugutan yang menentukan kepimpinan, maka kepercayaan kepada parti dan pemimpinnya akan terhakis dan mungkin hilang lenyap.

4. Rakyat tidak dapat membuat apa-apa, terutama apabila mulut rakyat tertutup. Demikian juga ahli parti. Tetapi apabila Pilihanraya Umum diadakan maka rakyat sebagai pengundi akan nyatakan kekecewaan mereka.

5. Inilah yang telah berlaku pada Pilihanraya Umum ke 12, 2008.

6. Apakah kekecewaan rakyat disedari oleh pemimpin dan parti-parti politik. Hingga kini tidak ternampak yang parti dan pemimpin sudah betul-betul sedar.

7. Yang merebut jawatan masih merebut dengan penggunaan cara-cara lama. Pembersihan parti tidak juga dilakukan. Pengamal politik wang masih diterima dan diberi tempat.

8. Ahli-ahli biasa parti tidak memprotes sikap lama diteruskan. Bahkan ramai juga ahli yang berpendapat apa salahnya menabur wang. Mereka juga akan dapat sedikit habuan.

9. Apabila ramai rakyat sebagai pengundi sudah benci kepada parti kerana amalan rasuah dan bodoh-sombong, janji pembangunan dan menabur wang tidak akan berkesan lagi. Ingatlah apabila kelebihan undi sedikit sahaja, kehilangan sokongan daripada sebilangan yang kecil rakyat pun boleh sebabkan kekalahan.


-Tun Dr Mahathir


Tiada ulasan: