19 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Konflik MCA Meruncing, Ong Bagi Katadua

Kenyataan Datuk Seri Ong Tee Keat yang berpendirian bahawa beliau akan melepaskan jawatan Presiden MCA jika Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dikembalikan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden telah menghangatkan semual krisis politik MCA.

Ong berkata, keputusan membawa kembali Dr. Chua meskipun dengan majoriti kecil, adalah satu bentuk undi tidak percaya terhadap kepimpinan beliau dan keseluruhan Majlis Presiden parti itu.

Kenyataan tersebut dilihat oleh ahli-ahli MCA sebagai satu ugutan dari Ong supaya ahli-ahli MCA memberikan kepercayaan kepadanya dan sekaligus membuktikan bahawa tindakan disiplin yang memecat Chua Soi Lek adalah sebenarnya keputusan yang telah ditetapkan oleh Ong sendiri yang terancam dengan kehadiran Chua sebagai orang nombor 2 dalam parti.

"Keputusannya adalah jelas. Jika ia berlaku, maka prinsip demokrasi saya ialah kesemua daripada kami perlu pergi, keseluruhan anggota Majlis Presiden," kata Ong semalam.

Ong yang juga Menteri Pengangkutan ditanya pandangan sekiranya perwakilan mahu beliau kekal sebagai Presiden tetapi Dr. Chua dikembalikan jawatan Timbalan Presiden.

Jelas beliau: "Mereka perlu membuat pilihan."

"Jika majoriti kecil diperoleh, saya tiada pilihan melainkan saya meletakkan jawatan.

"Ada pihak yang akan berhujah bahawa saya tidak perlu bertindak sedemikian atau undi dua pertiga diperlukan untuk membuang saya... itu adalah penipuan besar," katanya.

Ong berhadapan dengan lima resolusi pada EGM yang dijadual berlangsung 10 Oktober, yang diadakan ekoran keputusan Majlis Presiden memutuskan untuk memecat Dr. Chua pada 26 Ogos.

Majlis Presiden bertindak sedemikian selepas mempertimbangkan syor Lembaga Disiplin parti yang mendapati pembabitan Dr. Chua dalam DVD seks telah menjejaskan parti.

Lima resolusi yang akan dipertimbangkan ialah:

- Undi tidak percaya terhadap Ong;

- Membatalkan keputusan Majlis Presiden yang memecat Dr. Chua;

- Mengembalikan kedudukan Dr. Chua sebagai Timbalan Presiden parti;

- Membatalkan sebarang pelantikan termasuk Timbalan Presiden yang diputuskan sebelum EGM; dan

- Tiada tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka yang menuntut diadakan EGM

Ong juga berkata, perwakilan akan kelihatan melahirkan pendirian tidak yakin dengan keseluruhan Majlis Presiden jika mereka memberikan undi memihak kepada resolusi kedua iaitu membatalkan keputusan majlis itu yang memecat Dr. Chua bulan lalu.

"Jika ini berlaku, keseluruhan Majlis Presiden, yang saya ketuai, perlu pergi kerana ini adalah keputusan kolektif dan bukannya diputuskan oleh seorang sahaja.

"Saya tidak memaksa sesiapa untuk bertindak demikian," kata beliau sambil menambah, dilihat dari sudut lebih luas atas nama demokrasi, "ini adalah keputusan yang tidak boleh dielakkan."

Majlis Presiden terdiri daripada 22 anggota termasuk menteri dan timbalan-timbalan menteri.

Antara mereka ialah Naib-naib Presiden, Datuk Seri Kong Cho Ha, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pemuda, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Sambil merujuk kepada dua resolusi pertama, Ong menganggap kedua-duanya "terlalu menonjol" dan menambah, sesetengah perwakilan ada memaklumkan beliau bahawa resolusi undi tidak percaya terhadapnya tidak dimaklumkan langsung apabila mereka menandatangani petisyen agar diadakan EGM.

"Usaha untuk mengembalikan Dr. Chua sebagai Timbalan Presiden, ia hanya relevan, dan hanya jika beliau dikembalikan statusnya sebagai ahli (parti) terlebih dahulu," katanya. Berhubung resolusi keempat dan kelima, Ong berkata, kedua-duanya merupakan andaian-andaian yang tidak adil.

"Tidak pernah dalam mana-mana EGM anda dibenarkan mengetengahkan resolusi-resolusi memandai-mandai.

"Saya tidak bertindak keras terhadap sesiapa. Saya menganggap ia adalah urusan penting apabila saya membolehkan diadakan EGM," katanya.

Berhubung keputusan Dr. Chua yang tidak mengemukakan rayuan berhubung keputusan Majlis Presiden yang memecatnya, Ong berkata: "Apabila anda tidak merayu kepada Jawatankuasa Pusat berhubung apa-apa hal yang berkaitan dengan masalah disiplin, kes ini dianggap sudah ditutup."

"Dalam hal ini, kami masih menerima resolusi-resolusi yang disyorkan daripada mereka yang menuntut agar diadakan EGM.

"Kini adalah jelas bahawa tindakan ini bukannya bertujuan mengembalikan kedudukan beliau (Dr. Chua) tetapi untuk menyingkirkan saya."

Tiada ulasan: