22 Ogo 2009

PRA PERMATANG PASIR : UMNO BN Edar Risalah Hasutan Terang-Terangan

Umno-BN menerima tamparan hebat selepas mengemukakan calon yang disenarai hitam Majlis Peguam kerana menyeleweng wang Koperasi Pekebun Kecil Getah Pulau Pinang.

Sehingga ke hari ini, calon Umno-BN Rohaizat Othman belum menjawab pendedahan bekas rakan kongsinya, Yusri Isahak, yang membuat pendedahan terbuka mengenai penyelewengan yang dilakukan calon berkenaan.

Disaat genting seperti ini, jentera Parti Keadilan Rakyat di Dun N11 Permatang Pasir mengesan cubaan pihak-pihak tertentu menggunakan taktik 'false flag' bagi menarik sokongan pengundi.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Umno-BN menggunakan nama Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang dalam risalah-risalah yang diedarkan kepada pengundi menggesa supaya orang-ramai tidak menyokong calon Pas Salleh Man Mat Aji.

“Ia jelas bertentangan dalam adab dan pendekatan dalam pilihanraya, saya ingin mencabar Khairy Jamaluddin jangan gunakan taktik politik ini dan jangan ajak PKR atau Pas untuk terlibat dalam politik fitnah, adu domba seperti mana yang ditinjukkan melalui risalah,” katanya.

Lebih-lebih lagi di bulan mulia Ramadhan, Shamsul menyeru pihak terbabit supaya bertaubat dan kembali kepada corak kempen yang sihat.

AMK turut menyatakan kekesalan dengan tindakan terdesak Umno-BN, dan mengatakan bahawa AMK bersedia untuk mengheret individu-individu bertanggungjawab ke mahkamah.

“Fitnah seperti ini diedar kepada rakyat dan diedar secara terbuka dan berani oleh mereka yang memakai baju BN. Saya cabar mereka nafikan,” katanya.

Siastan mendapati risalah yang diedarkan itu berbaur perkauman dan menghasut kepada kebencian. Shamsul berkata mesej seperti ini tidak selari dan tidak diterima sama-sekali oleh PKR.

Menyentuh isu yang sama, Ketua AMK Pulau Pinang Yusmadi Yusoff tidak menolak risalah-risalah ini adalah antara komplot Umno-BN memporak-perandakan keutuhan saf Pakatan Rakyat.

Beliau tidak menolak pengedaran risalah-risalah ini mungkin cubaan untuk 'mindsetting' minda rakyat, sebelum disusuli dengan rancangan yang lebih besar.

“Saya mencabar pemuda Umno sekiranya betul 10 perkara yang ditulis ini hendak diracuni kepada masyarakat Pulau Pinang, mari kita berhujah mengenai isu 10 perkara ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Strategi PKR Tian Chua mencabar Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dan Kementerian Dalam Negeri berhubung isu pengundi hantu.

Tian Chua berkata siasatan jentera PKR turut mendapati adanya pengundi ragu bukan sahaja dalam pilihanraya Permatang Pasir, bahkan dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini.

Demikian itu, Khairy diminta untuk tidak berlengah-lengah sehinggalah hari pengundian nanti, sebaliknya memfailkan aduan segera.

Tian Chua menggesa Pengarah SPR dipecat dalam usaha mewujudkan suasana pilihanraya yang bersih.

“Mereka sebahagian daripada kerajaan, bukan sahaja mempunyai bukti namun ada kuasa untuk selesaikan masalah. Kalau betul ada pengundi hantu, SPR seperti yang dicadang oleh Pakatan Rakyat, Pengerusi SPR harus dipecat.

“Ini bermakna pengerusi SPR tidak cekap dan tidak bertanggungjawab dan membenarkan ini berlaku,” katanya.

Mengulas mengenai kehadiran polis yang ramai di Dun N11 terutamanya dalam ceramah anjuran Pakatan Rakyat, Bendahari Agung PKR William Leong berkata ia merupakan satu tindakan cuba menakut-nakutkan orang ramai.

“Di ceramah jika kita tengok ramai polis beruniform untuk menakutkan rakyat mendengar walaupun Perlembagaan memberikan hak kepada rakyat untuk berhimpun terutamanya dalam kempen politik,” katanya.


Tiada ulasan: