Demikian kata Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak ketika mengulas cadangan kepemimpinan Umno Bahagian Kuala Selangor yang mahu menggunakan slogan “Ops Pekan” dalam usaha menawan dua dun dan satu kerusi parlimen yang kini dikuasai oleh Pakatan Rakyat.
Semasa berucap di dalam mesyuarat Umno bahagian, Ketua Umno Datuk Amiruddin Setro memberitahu kepemimpinan Umno bahagian akan menggunakan slogan “Ops Pekan” sebagai mengambil contoh kekalahan kerusi DUN dan majoriti kecil yang diperolehi Najib dalam pilihan raya umum 1999 lalu yang kemudiannya di menangi semula dalam pilihan raya umum 2004 oleh semua calon BN dengan majoriti yang lebih besar.
Dalam pilihan raya umum 1999 itu, Najib menang dengan 241 undi di Parlimen Pekan sementara DUN Chini tewas kepada calon PKR dan DUN Bebar pula dimenangi calon BN dengan majoriti kecil 827 undi.
Bagaimanapun dalam pilihan raya umum 2004, Najib menang besar dengan majoriti 22,922 undi, DUN Chini dimenangi calon BN majoriti 4,005, DUN Bebar juga calon BN dengan majoriti 3,247 sementara DUN baru iaitu Pulau Manis dan Peramu Jaya turut dimenangi calon BN dengan majoriti 4,491 undi dan 4,163 undi.
“Ops Pekan” yang bakal digunakan oleh kepemimpinan Umno bahagian dan direstui oleh Pengerusi Perhubungan Umno Negeri disifatkan sebagai cabaran kepada kepimpinan kerajaan Negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat.
Dalam pilihan raya umum 2008 lalu, calon BN hanya menguasai satu kerusi daripada tiga kerusi yang dipertandingkan di Kuala Selangor. BN hanya menguasai kerusi DUN Jeram sementara Parlimen Kuala Selangor, DUN Melawati dan DUN Ijok dikuasai oleh calon dari Pakatan Rakyat.
Apa yang menarik adalah DUN Ijok boleh disifatkan sebagai “ibu” kepada titik tolak kemenangan Pakatan Rakyat dan kekalahan BN di peringkat negeri mahupun parlimen. DUN Ijok kini dikuasai oleh Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga sebagai Menteri Besar Selangor dari Pakatan Rakyat.
Persaingan sengit menguasai DUN Ijok bermula dalam pilihan raya kecil pada Mac 2007 antara calon Pakatan Rakyat, Khalid dan calon BN K. Parthiban. DUN Ijok disifatkan sebagai tumpuan kepada sejauhmana kekuatan PKR dan BN dalam mencatatkan sokongan pengundi di peringkat negeri mahupun negara.
Bagaimanapun dalam pilihan raya kecil ini, DUN Ijok berjaya dikekalkan oleh calon BN dengan majoriti yang besar berbanding pilihan raya umum 2004 lalu. Menyedari hakikat ini, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat pengistiharan “Semangat Ijok” yang dilancarkan di Markaz Tarbiyah PAS, Taman Malewar pada 3 Mei 2007.
“Semangat Ijok” disifatkan sebagai titik tolak kepada kejayaan Pakatan Rakyat telah menimpa kegemilangan dalam sejarah pilihan raya umum ke-12 lalu. DUN Ijok mencatatkan sejarah apabila Khalid dari PKR berjaya menewaskan calon BN, Datuk Sayuti Said dengan majoriti 1,920 undi. Selain itu, beberapa buah negeri telah dikuasai oleh Pakatan Rakyat sementara di peringkat Parlimen pula Pakatan Rakyat berjaya mengurangkan kuasai 2/3.
Dalam ucapan perasmian ini, Najib memberitahu beliau telah bermukim dua minggu semasa mengetuai jentera BN dalam pilihanraya kecil DUN ini. "Saya berada di sini selama dua minggu pada Mac 2007 dengan kita menang majoriti yang besar tetapi tidak sampai setahun pada pilihan raya umum 2008, Ijok telah jatuh ke tangan PKR”.
Perdana Menteri berkata, bagi merealisasikan matlamat kemenangan bagi kerajaan Negeri Selangor, para pemimpin dan ahli Umno mesti sanggup melakukan proses perubahan seperti muhasabah diri, insaf, merendah diri dan berkhidmat untuk semua kaum termasuk dari para penyokong pembangkang.
“Saya juga meminta para pemimpin dan ahli Umno perlu turun padang, mendengar masalah rakyat dan setiap janji mesti ditunaikan serta berlaku adil kepada semua pihak,” katanya.
Katanya lagi, tiada gunanya menjadi ketua bahagian jika tidak menang pilihan raya.
“Apabila orang Pekan kata 'datuk OK' rupa-rupanya 'KO' semasa dalam pilihanraya umum 1999 lalu,” ketika mengimbau kembali sejarah pilihan raya umum 1999 lalu.
"Jadi adalah amat penting jika hitam kata hitam, jangan kata kelabu dan kelabu pula jangan kata putih kerana ia akan menjadi lain semasa pilihan raya,” ujarnya.
Akhirnya, sejauhmana “Ops Pekan” boleh dijadikan strategi BN dan Umno Bahagian bagi mencabar “Semangat Ijok” akan dibuktikan oleh rakyat dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang. -shamsuri roslan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan