28 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : SPRM Tidak Kompeten, Tidak Mempunyai Bukti Kukuh Hingga Tertuduh Terlepas Di Mahkamah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta mengkaji semula kaedah siasatan dengan tidak sewenang-wenangnya membawa sebarang kes rasuah ke mahkamah sekiranya belum mempunyai bukti yang kukuh.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Loke Siew Fook (Gambar) berkata, tindakan itu perlu untuk mengelakkan kredibiliti SPRM terjejas berikutan terdapatnya kes yang disiasat suruhanjaya itu tetapi akhirnya didapati tidak bersalah di mahkamah.

Berikutan itu, katanya, ia menggambarkan SPRM umpama ‘harimau tanpa gigi’ yang hanya gah ketika membuat siasatan, tetapi individu yang didakwa di mahkamah dibebaskan selepas tidak ada bukti yang kukuh.

“Ini menunjukkan ada kelemahan daripada segi penyiasatan dan pendakwaan. Apabila mereka bawa ke mahkamah, bukankah sepatutnya mereka telah punyai bukti yang cukup kuat untuk dibawa ke mahkamah.

“Bagi saya, ini merupakan kelemahan amat ketara pada SPRM. Mereka mendakwa kes tetapi dengan bukti yang lemah, akhirnya kes dibuang di mahkamah. Jadi, bagi saya, siri kes yang dibebaskan ini tidak menunjukkan kekuatan SPRM sendiri,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Siew Fook yang juga Pengerusi DAP negeri dan ketua pembangkang di Negeri Sembilan berkata demikian merujuk kepada beberapa kes membabitkan siasatan SPRM tetapi akhirnya tidak disabitkan kesalahan apabila dibawa ke muka pengadilan.

Ini termasuk kes membabitkan bekas Naib Ketua UMNO bahagian Seremban, Mohd Nor Awang yang dibebaskan mahkamah atas dua tuduhan rasuah, kelmarin selepas terdapatnya keraguan yang munasabah membabitkan kesemua tuduhan tersebut.

Sementara itu, Siew Fook berkata, situasi itu juga akan menyebabkan timbulnya prasangka buruk orang ramai terhadap SPRM lebih-lebih lagi mereka yang didakwa adalah di kalangan berprofil tinggi termasuk ahli politik.

“SPRM nak tunjukkan persepsi gah bahawa mereka serius untuk mendakwa sesiapa saja di kalangan ahli politik termasuk orang Barisan Nasional (BN). Tetapi, bagi saya kes yang dibawakan SPRM ke mahkamah seolah-olah sandiwara.


“Sebab itu, saya menggesa SPRM supaya mengkaji semula kaedah siasatan serta pendakwaan mereka,” katanya.

Tiada ulasan: