28 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Inkues : Mahkamah Tolak "Blanket Order" Halang Inkues Dipolitikkan

Koroner bagi inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini menolak permohonan peguam pemerhati SPRM, Datuk Abdul Razak Musa yang meminta supaya koroner mengeluarkan arahan tidak membenarkan ahli-ahli politik mensensasikan kes itu dengan membuat sidang media di luar mahkamah..

Razak merujuk kepada sidang media yang dibuat oleh Exco Selangor Ean Yong Hian Wah.

Abdul Razak berkata pada Rabu lepas, Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah menghadiri mahkamah untuk mengikuti prosiding itu dan selepas itu, mengadakan sidang media di pejabatnya.

"Saya rasa kes ini telah dipolitikkan. Dua hari lepas, Ean masuk mahkamah dan selepas itu beliau membuat sidang media. Saya pohon apa yang tidak berlaku di dalam mahkamah supaya tidak dicakap di luar.

"Dalam sidang media itu diceritakan seolah-olah apa yang dibuat SPRM adalah tidak betul. Sebab itu saya tidak mahu ahli politik masuk. Saya cakap ini sebab saya nampak Lim Kit Siang pulak masuk. Saya harap beliau tidak membuat komen di luar," katanya sambil menunjuk ke arah Lim yang berada di galeri awam

Menurut Koroner Azmil Muntapha Abas, berkata apa yang berlaku di luar mahkamah bukan bidang kuasanya dan beliau tidak boleh menyekat sesiapa termasuk media daripada membuat ulasan namun berharapa ulasan itu dibuat berdasarkan apa yang didengar di dalam mahkamah sahaja.

Koroner menasihati semua pihak agar membuat ulasan di luar mahkamah berdasarkan kebenaran dan fakta.

Hari ini, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Mohd Ashraf Mohd Yunus menolak teori peguam Gobind Singh Deo bahawa dua pegawai suruhanjaya diarah melakukan serangan psikologi dan penderaan terhadap Teoh Beng Hock untuk membuat setiausaha politik exco Selangor itu mengalah dan memberikan pengakuan seperti yang dikehendaki SPRM.

Mohd Ashraf, saksi ke-19 pada prosiding inkues di Mahkamah Koroner di sini Jumaat, turut menafikan dakwaan Gobind bahawa serangan fizikal dan mental terhadap Teoh berlarutan sehingga lewat pagi di pejabat SPRM di Tingkat 14 Plaza Masalam di sini, sebelum beliau ditemui mati tertiarap di Tingkat 5 bangunan itu pada 16 Julai lepas.

Dalam keterangannya, Mohd Ashraf berkata beliau diarahkan oleh Ketua Unit Siasatan SPRM Hairul Ilham Hamzah untuk membantu penolong penguasa Arman Alias menemu bual Teoh berhubung tuntutan oleh Anggota Dewan undangan Negeri Ean Yong Hian Wah.

"Saya hanya menyemak dan menyusun dokumen yang dicetak dari komputer riba Teoh dan bertanyakan dokumen mana yang ditandatangani olehnya," katanya.

Mohd Ashraf berkata beliau dan Arman menemu bual Teoh di pejabat SPRM selama dua jam mulai 10.40 malam pada 15 Julai lepas.

Beliau berkata walaupun Teoh gagal memberikan penjelasan berhubung empat invois yang dicetak dari komputer ribanya, Teoh masih memberikan kerjasama sepanjang tempoh temu bual itu.

Sambil menegaskan beliau tidak pernah menggunakan sebarang unsur kekerasan ke atas Teoh, beliau berkata "Saya hanya buat semakan dokumen sahaja, buat apa hendak guna kekerasan."

Gobind kemudian membalas: "Saya katakan kepada kamu, peranan kamu sebenarnya ialah untuk melakukan serangan psikologi dan mendera Teoh sehingga kamu dapat jawapan yang kamu hendak.

"Kemudian kamu akan melaporkan kepada Hairul bahawa kamu berjaya mendapatkan pengakuannya dan bolehlah merekodkan kenyataan Teoh selepas itu," cadang Gobind kepada Mohd Ashraf.

"Kamu adalah penipu kerana apa yang berlaku sebenarnya kamu berada dalam pejabat sehingga pukul 5 pagi dan mendera Teoh Beng Hock," kata Gobind dan Mohd Ashraf menjawab: "Tidak bersetuju."

Mohd Ashraf juga berkata beliau tidak mendengar sebarang bunyi jeritan atau bunyi pertengkaran kerana berada di dalam biliknya yang tertutup.

"Awak langsung tidak boleh mendengar apa-apa? Semalam dikatakan Bulkini Baharuddin (anggota SPRM) mendengar Teoh bertengkar dengan Tan Boon Hwa. Sekarang kamu kata kamu tidak dengar apa-apa. Siapa yang menipu di sini, kamu atau Bulkini? Saya katakan semua ini penipuan," kata Gobind.

Pada peringkat ini, peguam pemerhati SPRM, Datuk Abdul Razak Musa bangun membantah soalan itu dan berkata: "Jangan buat begini. Bulkini pun belum berikan keterangan."

"Keterangan sebelum ini menunjukkan pertengkaran dalam tandas, bukan di depan bilik saksi ini, sebab itu dia tidak dengar apa-apa," kata Abdul Razak.

Gobind: "Kenapa kamu pula jawab untuk dia? Kalau kamu hendak jawab, masuk dalam kandang, saya boleh tanya kamu."

Abdul Razak: "Kamu pun buat banyak tohmahan, saya pun boleh minta kamu masuk dalam (kandang saksi) dan tanya kamu. You crossed him like hell!"

Gobind: "Hari itu mahkamah kanggaru, sekarang "hell" pula!"

Abdul Razak: "Awaklah sebenarnya kanggaru!"

Koroner Azmil Muntapha Abas kemudian segera meminta kedua-dua peguam itu menghentikan pertikaman lidah antara mereka.

Gobind, yang akur dengan perintah koroner, meneruskan sesi soal balas dengan mencadangkan kepada Mohd Ashraf bahawa pegawai SPRM sengaja memasang televisyen di ruang tamu pejabat itu dengan kuat bagi mengelak suara jeritan Teoh yang didera daripada didengari.

Saksi itu sekali lagi tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Peguam Gobind memberitahu Inkues, beliau mempunyai saksi dan bukti pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendera saksinya sehingga pengsan.

Beliau juga mempunyai gambar kecederaan mangsa bagi menyokong laporan polis itu yang dibuat terhadap pegawai SPRM di Tingkat 14 Plaza Masalam.

Gobind berkata demikian dalam inkues di hadapan koroner Azmil Muntapha Abas.

Menurut Gobind, beliau memohon untuk menyoalbalas saksi ke-19, inkues itu, Penolong Penguasa SPRM Selangor Mohd Ashraf Mohd Yunus, yang memberi keterangan dalam prosiding hari ini. Ini kerana beliau didakwa salah seorang dari pegawai yang terlibat mendera itu.

Kata Gobind, antara deraan yang diterima pengadu itu adalah dengan ditampar beberapa kali, dibogelkan dan dipukul dengan batang besi.

Ekoran itu, Koroner Azmil menangguhkan inkues ke 8 September untuk membolehkan pegawai SPRM itu menyediakan peguamnya bagi menghadapi soalan-soalan mengenainya.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada di Tingkat Lima, Plaza Masalam di sini pada 16 Julai selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Tiada ulasan: