Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata beliau sudah mengarahkan PTG serta Jabatan Mineral dan Geosains menjalankan kajian ke atas logam berkilau yang ditemui dan didakwa emas oleh penduduk sejak Rabu lalu.
"Bahagian teknikal di jabatan itu akan menentukan terlebih dulu sama ada logam berkenaan adalah emas atau bahan lain yang menyerupai emas.
"Hasil kajian itu mereka juga akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri mengenai langkah yang perlu diambil selepas itu.
"Jika ia mengandungi emas, PTG akan mengawal kawasan berkenaan supaya logam berkenaan tidak boleh dilombong sesuka hati kerana ia adalah hasil kerajaan negeri berdasarkan Enakmen Mineral.
"Kerajaan juga tidak mahu kegiatan mencari emas itu berleluasa sehingga tidak terkawal seperti apa yang terjadi di Lubuk Mandi, Terengganu kerana ia akan mengancam keselamatan orang ramai," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau mengiringi Yang Dipertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin menyampaikan tauliah Pegawai Kadet Siswa Diploma 2009 di Kolej Tentera Udara (KTU) di Kepala Batas, di sini.
Azizan berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini mengenai Kampung Jelutung, Pendang yang gempar apabila beratus-ratus penduduk sekitar menyerbu sebuah tapak kuari seluas satu hektar di kampung itu berikutan penemuan sejenis logam dipercayai emas sejak Rabu lalu.
Seorang penduduk, Yaakub Yunus, 68, dilaporkan berkata selepas mendapatkan pengesahan di sebuah kedai emas di Tanah Merah, di sini bahawa logam yang ditemui pada batu di situ adalah emas, dia terus ke tapak kuari itu untuk mendapatkan batu terbabit.
Berikutan itu, penduduk menggunakan pelbagai peralatan, termasuk cangkul dan penukul untuk memecahkan batu yang mengandungi emas di situ.
Azizan berkata, setakat ini kerajaan masih belum dapat memastikan sama ada kawasan sekitar tapak kuari itu mengandungi deposit emas yang boleh dikomersialkan.
Katanya, jika logam itu disahkan emas dan ia mempunyai deposit yang tinggi serta boleh dilombong secara komersial, kerajaan negeri bersedia memanfaatkan sumber galian itu supaya memberi hasil kepada negeri ini. -BH
1 ulasan:
betapa hebatnya dugaan yg ditempuhi oleh ustaz azizan sejak hari pertama bergelar mb..pada hari pertama beliau sudah mula merasa kesibukan mengurus negeri..'dah xdak masa nak sembang ngan kwn2 kat kedai kopi setiap pg'kata beliau..stlh 6 bulan keperitan makin terasa dek penangan kerajaan pusat bengong yg menyekat segala dana bantuan..hatta beliau membuat kenyataan akan menebang balak yg dikatakan dikawasan tadahan air utk mndptkn sumber kewangan.kemudian isu exco bkt selambau..x habis2 dikacau..tup2 timbul plk isu dap ni..namun, demi perjuangan hakiki, bks pensyarah ini dilihat mampu menepis segala dugaan..SAMA2 KITA DOAKAN AGAR MB USTAZ AZIZAN SENTIASA TABAH DAN BERJAYA MENYELESAIKAN PERMASALAHAN BERPAKSIKAN AJARAN ISLAM..AMIN..
Catat Ulasan