16 Jul 2009

Anwar Menang Pusingan Pertama, Pendakwaraya Diarah Serah Bukti

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata beliau puas hati dengan keputusan mahkamah yang mengarah pendakwaraya menyerahkan bukti yang disembunyikan kepada pasukan peguambela.

Membacakan keputusan kes pada jam 2.30 petang tadi, Hakim Zabidin Md Diah menyanggah hujah pendakwaraya yang mendakwa mahkamah tidak boleh memaksa pihak pendakwaraya menyerahkan bukti-bukti bukan dokumen.

Hakim Zabidin berkata tiada sebarang peruntukan dalam undang-undang yang menghalang pihak pendakwaraya atau menyekat mahkamah dari mengemukakan bukti-bukti yang relevan kepada pasukan pembelaan.

Mahkamah dengan ini mengarahkan pihak pendakwaraya harus menyerahkan akuan dari tujuh saksi yang akan ditampilkan oleh pendakwaraya, ujian rawatan perubatan dan nota pakar kimia dalam masa satu minggu.

Peguambela Anwar juga diberi keizinan untuk menonton sedutan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) Saiful di kondo kejadian pula, sekiranya salinan pendakwaraya tidak jelas.

Manakala sampel dan spesimen DNA gagal diperoleh atas "sebab-sebab keselamatan", begitu juga rakaman video testimoni penuduh, Saiful Bukhari Azlan, kepada polis pada 30 Jun 2008.

Anwar berkata walaupun kes tuntut bukti memihak kepada beliau, namun mengingatkan pasukan pembelaannya berwaspada ekoran pengalaman lalu berhubung manipulasi bukti oleh pihak pendakwaraya.

Pendakwaraya berkata pihaknya akan merayu kepada keputusan mahkamah ini, seraya membantutkan lagi persediaan Anwar menghadapi kes Liwat II.


Tiada ulasan: