17 Mei 2009

Nizar Zambry : Pengkhianat Akan Tetap Dihukum Rakyat Perak

Pendapat umum banyak menyatakan bahawa krisis politik yang berlaku di Perak hanya boleh diselesaikan oleh rakyat Perak sendiri. Biarpun beribu kali Mahkamah atau Istana digunakan untuk mengatasi kemelut ini, namun sudah pasti krisis ini akan tetap berpanjangan. Krisis bermula dengan wujudnya kumpulan yang `tamak' serta khianat kepada amanah rakyat. Bukan masalah `lompat parti' yang dipertikaikan sangat oleh rakyat, tetapi kaedah yang digunakan oleh mereka terlalu jijik dan kotor bagi menggambarkan semangat demokrasi yangmereka dukungi selama ini.

Jika saya menjadi salah seorang dari mereka yang terlalu ghairah untuk `melompat' parti tersebut atas alasan memperjuangkan nasib rakyat yang kononnya tidak terbela di bawah kerajaan PR di Perak, saya sama sekali tidak akan melakukan perbuatan yang `sebodoh dan sehina' seperti itu. Apa yang akan saya lakukan, pertamanya saya tidak umumkan pendirian untuk keluar parti dan menyokong Umno/Bn di Perak sehinggalah apabila diadakan sidang Dun dan undi tidak percaya kepada YAB Ir Nizar dilakukan. Ketika usul tersebut dibawa ke Dun Perak, saya yakin ketika itu Speaker sudah pasti membenarkan usul untuk dibuat pengiraan samada YAB Ir Nizar masih mendapat kepercayaan Ahli Dewan. Ketika itu barulah saya akan menyokong usul tersebut seterusnya mengumumkan keluar dari PR.

Jika cara ini digunakan oleh Adun-Adun yang melompat tersebut, saya pasti krisis Perak tidak akan berlaku dan YAB Ir Nizar pasti akur kerana kepala dan mata beliau sendiri telah melihat bahawa beliau telah kehilangan majoriti di dalam Dun Perak. Proses seterusnya baru lah perkara tersebut di bawa ke Istana untuk makluman DYMM Sultan.

Kaedah kedua yang saya akan lakukan jika saya dari jenis spesis yang melompat itu, saya akan membuat pengumuman awal secara terbuka kepada media bahawa saya telah keluar dari parti saya dan menyokong Umno/Bn. Apabila sidang Dun dijalankan, pengakuan lisan tersebut akan saya zahirkan sewaktu usul undi tidak percaya kepada YAB Ir Nizar dilakukan. Bukankah kedua-dua cara ini agak terhormat. Kaedah ini juga mungkin dirancang oleh DS Anwar untuk mengambil alih Putrajaya. Bukankah DS Anwar secara terbuka mengajak seluruh MP dari Umno/Bn berhijrah kepada PR tanpa syarat?

Mengapa mereka yang melompat ini memilih jalan yang begitu sukar sekali untuk memperjuangkan nasib rakyat seperti yang mereka dakwa itu? Mengapa perlu `menyorokkan 'diri untuk beberapa lama sehinggakan tidak diketahui oleh keluarga mereka sendiri? Jika mereka rasakan mereka benar, mereka perlu jujur untuk membuat pengakuan terbuka. Setelah `hilang' untuk beberapa hari, tiba-tiba muncul bersama PM untuk mengistiharkan bahawa mereka menyokong Umno/Bn di Perak. Manusia yang berakal sudah pasti memikirkan bahawa tindakan mereka ini merupakan satu tindakan `bacul' dan `penakut'.

Lebih malang lagi, sokongan mereka yang melompat ini kepada Umno/Bn dizahirkan di dalam istana dan bukan di dewan. Oleh sebab itulah Hakim Mahkamah Tinggi baru-baru ini mengesahkan bahawa tiada usul undi tidak percaya dilakukan terhadap YAB Ir Nizar selaku MB Perak di dewan. Oleh kerana tiada usul tersebut dan YAB Ir Nizar serta Adun-Adun PR yang lain tidak melihat dengan mata dan kepalanya sendiri serta tidak direkodkan di dalam sidang Dun, maka YAB Ir Nizar merasakan beliau adalah MB Perak yang sah. Sebab itu ramai yang bersetuju dengan pendapat Tun Mahathir yang kurang senang dengan tindakan gopoh Umno/Bn di Perak itu. Tindakan gopoh dan kurang cerdik itu akhirnya memakan diri dan rakyat terpaksa dikorbankan.

Apabila YAB Ir Nizar mempertahankan undang-undang tubuh kerajaan Negeri Perak, beliau dianggap `derhaka' kepada Sultan Perak. Apabila rakyat menentang tindakan Umno/Bn yang secara tidak demokratik mengambil kuasa di Perak, rakyat turut dianggap derhaka kepada Sultan. Kesemuanya Umno/Bn ingin lepaskan terhadap DYMM Sultan agar dapat dilihat seolah-olah rakyat Perak menderhaka kepada Sultan.

Sebaliknya, Umno/Bn lah yang `menjual' nama Sultan demi survival politik mereka. Sehinggakan apabila didesak untuk bubarkan Dun Perak, Najib masih meletakkan tekanan itu kepada Sultan. Benar, DYMM Sultan punyai kuasa dan hak untuk bubarkan Dun tetapi alangkah baik dan beradabnya jika Najib atau pun Zambry berunding dengan YAB Ir Nizar berjumpa Sultan memohon agar Dun Perak dibubarkan demi mengatasi kemelut yang berlaku. Adakah Najib atau Zambry berani? Jika tidak berani berbuat demikian, janganlah lagi menggunakan nama DYMM Sultan.

Apabila peraturan telah dilanggar oleh mereka yang berkepentingan, maka rakyat terpaksa menjadi mangsa. Di Perak, mana lagi peraturan yang tidak dilanggar di dalam sistem demokrasi di negeri tersebut? Siapa punca permasalahan ini? Jika semua pihak tidak berani mengaku menjadi punca kepada kemelut yang dihadapi sekarang, maka tiada jalan lain melainkan rakyat sendiri yang bakal memulihkan negeri tercinta ini.

Semua pihak harus berani memberi peluang kepada rakyat Perak untuk menentukan nasib mereka. Jika ada yang tidak berani menghadapi pilihanraya sekali lagi di Perak, sememangnya sahih mereka takut rakyat tidak lagi akan memilih mereka sebagai Wakil Rakyat. Apa yang pasti pengkhianat tetap akan menerima hukuman dari rakyat. -wfauzdin


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Setuju atas apa yang diperjelasan...

TETAPI kita perlu kajiselidik dulu apakah PUNCA atas kemelut Di Perak ini..

Dengan adanya agenda tersembunyi...itu sebabnya tiada serah menyerah tugas resmi MB Tajol ke MB Nizar dari awal lagi sebaik BN tewas

BN/UMNO menangguk di air yang keroh dengan....

YB YB yang bermasaalah di rampok...jdkan mereka PEMBELOT...ini sangat bahaya bg PR ..kerna mereka mementingkan kepentingan peribadi dalam menangani kes kes mereka di mahkamah

PR perlu berhati hati dengan mereka ini kerana sanggup berpaling padah bila mereka tersepit

Di sebabkan merekalah insiden kemelut DUN Perak berlaku..di tambah pula keGOPOHAN BN menjanakan agenda tersembunyi mengakibatkan ramai orang termasuk Pihak Istana...terlibat secara langsung

Disyorkan BUKA BUKU BARU...BUBARKAN DUN
dan BUKTIKAN..yang rakyat tetap memberi sokongan padu

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui

Wallah Hualam