Rumahnya masih rumah lama, sekadar diperbaiki (renovate) di sana sini; begitu juga keretanya bukan kereta baru, hanya sebuah kereta yang dibaikpulih (recon car). Kalau semudah itu definisi satu Malaysia yang dihebohkan itu, maka malanglah rakyat yang terus menjadi golongan yang dipersalahkan, padahal mereka hanya berbuat sesuatu dalam keterbatasan struktur yang diwujudkan untuk mereka.
Diskriminasi berasaskan faham politik dan etnik sudah lama dilaksanakan dengan jayanya oleh UMNO/BN. Yang paling teruk menderita ialah orang Melayu sendiri yang tidak memilih UMNO. Kerajaan Kelantan di bawah PAS ditekan habis-habisan untuk mengajar rakyat Kelantan yang memilih PAS. Grant yang menjadi milik kerajaan negeri dibayar lewat, dilengah-lengahkan untuk menyusahkan kerajaan PAS di Kelantan. Apabila rakyat Terengganu memilih PAS, royalti minyak dihentikan dan diberikan wang ihsan kepada penyokong UMNO.
Penyokong PAS bukan rakyat Terengganu, oleh itu tidak berhak mendapat royalti tadi. Apabila UMNO merebut semula Terengganu, royalti itu diberikan balik. Sewaktu gagasan satu Malaysia itu sedang rancak dibincangkan, UMNO merampas kuasa di Perak sehingga menimbulkan krisis perlembagaan yang teruk. Dr. Nik Ibrahim Nik Mahmud, seorang pegawai PTD, telah membuktikan dalam tesis Ph.D. beliau bagaimana Kerajaan Persekutuan di bawah Tun Razak melaksanakan diskriminasi yang teruk ke atas kerajaan PAS Kelantan.
Melihat semua kenyataan di depan mata kita, bolehkah kita bercakap tentang Satu Malaysia, One People, seperti yang diucapkan oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak? Jika beliau ikhlas hendak mengembalikan keadilan (bukan membuat perubahan seperti cakapnya) dalam politik dan masyarakat Malaysia, maka rancangan itu merupakan pengakuan terang-terangan terhadap kegagalan UMNO/BN selama 50 tahun ini memberikan keadilan kepada rakyat Malaysia.
Politik Memihak
Jika itulah maksud satu Malaysia, tentulah bagus, tetapi bolehkah kita percaya tidak akan ada diskriminasi lagi? Tidak mungkin, kerana politik sekular yang dipegang UMNO/BN tidak membenarkan sikap tidak memihak berasaskan keadilan. Politik mesti memihak kepada kelompok sendiri dengan menghukum golongan yang tidak menyebelahi mereka. Ini terbukti daripada kelakuan seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mengeluarkan surat arahan kepada para pegawai persekutuan di Perak supaya memboikot semua mesyuarat, aktiviti dan majlis yang dianjurkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (sebelum dirampas).
Menteri ini dengan sedar memecahbelahkan masyarakat dengan dimulai oleh pegawai kerajaan. Sikap tidak bertanggungjawab dan biadab seperti yang ditunjukkan oleh menteri ini masih kukuh terhunjam di dalam hati sanubari ketua-ketua UMNO. Merekalah yang menjadi punca perpecahan dalam masyarakat dengan sikap dan perbuatan tidak bertanggungjawab tadi. Walaupun sangat pahit, UMNO harus menerima hakikat bahawa parti Melayu itu menjadi punca masalah yang dihadapi sekarang kerana sikapnya yang sangat memihak kepada penyokong sendiri sahaja.
Semua contoh ini memperihalkan hakikat politik yang dilalui oleh orang Melayu sendiri di bawah UMNO/BN. Sekarang kita lihat contoh-contoh “kecil” yang menyakitkan hati. Untuk memudahkan persoalan ini difahami, perhatikan mengapa dan bagaimana tabiat melepak terjadi. Apabila banyak sekali dibangunkan pasar-pasar besar (super market), lahirlah nilai-nilai baru di kalangan remaja terutamanya. Tempat-tempat itu cukup selesa untuk melepak, dengan itu mereka menjadikan pasar-pasar raya tempat melepak.
Taman-taman perumahan pula menyediakan kesusahan kepada penghuninya kerana jalan raya yang sempit, dengan kereta yang dipandu laju, tiadanya tempat penghuni berkumpul seperti kawasan lapang, tiadanya kemudahan untuk bertemu seperti dewan-dewan permainan dan sebagainya, maka dengan secara tabi’i masyarakat jadi terpisah, dan ini menggalakkan jenayah yang berbagai-bagai jenis. Anak-anak muda pula menjadi lebih bebas dan boleh tinggal bercampur gaul tanpa diperhatikan oleh sesiapa.
Dengan itu maksiat, menurut fahaman agama Islam, menjadi budaya. Demikian juga media massa menggalakkan remaja terutamanya menjadi liar apabila setiap hari mereka didedahkan dengan filem-filem liar yang penuh dengan kejahatan, sehingga mereka tidak dapat membezakan kebaikan dengan kejahatan. Akhbar pula menjadikan gosip sebagai budaya mengumpat yang paling digemari, yang menguntungkan akhbar. Oleh itu budaya fitnah tidak lagi dibenci, malah dikeji jika tidak disiarkan segala jenis gosip dan fitnah jahat.
Nilai dan Sikap Baru
Jelaslah struktur membina nilai-nilai dan sikap baru yang kebanyakannya merugikan, menjadikan manusia lebih jahat dan tidak bertanggungjawab. Ini pun terjadi dalam politik dan pendidikan, seperti yang disedari oleh masyarakat. Dari segi pendidikan, sistem yang dipakai di Malaysia memisahkan pelajar mengikut etnik, mengikut bahasa, malah mengikut metodologi mengajar. Di sekolah kebangsaan pula, agama Islam yang diajar kepada murid-murid Islam ditekankan aspek ritualnya, bukan aspek akhlaknya; oleh itu murid Islam membuang sampah, dikutip oleh murid bukan Islam yang diajar moral yang baik.
Banyak sungguh masalah yang kita cipta sendiri, dengan penuh kesedaran tetapi tidak difahami kerana jahil. Jadi struktur menjadi penentu kepada nilai dan sikap manusia. Dalam Islam, terdapat hadis sahih yang menegaskan seorang yang sebelum Islam minum tujuh gelas susu, cukup hanya satu gelas apabila beriman. Ahli-ahli politik harus tahu hadis ini dan faham maksudnya. Oleh itu, jika kita mahu bercakap tentang gagasan satu Malaysia dengan bermakna, maka kita harus melihatnya daripada perspektif struktur politik yang kita pakai.
Sekiranya YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia, serius dengan gagasan satu Malaysia yang masih penuh dengan kesamaran wajah sebenar lembaga yang bernama satu Malaysia itu, maka jalan paling tepat dan paling mudah untuk menyerlahkan wajah jelita wanita yang bernama satu Malaysia itu ialah dengan membubarkan UMNO dan Barisan Nasional. Jika kita dapat ibaratkan BN itu satu ikatan kerongsang yang dibuat daripada emas tempawan diikat dengan batu-batu permata beraneka warna, maka kita sudah dapat lihat kerongsang itu sudah pudar bukan kerana tidak digilap, tetapi kerana sudah menjadi terlalu biasa dipamerkan sehingga tidak menarik lagi untuk dilihat, apatah lagi dikagumi.
Oleh itu, yang harus dibuat ialah menggantikan kerongsang yang muram pudar itu dengan meleburkannya untuk dibentuk satu perhiasan baru berupa pending besar bertatah intan berlian yang gemerlapan. Walaupun dari segi kedudukannya pending diikat di pinggang, namun darjatnya tidak turun lebih rendah daripada kerongsang yang dipakai di dada. Itulah perubahan yang diidamkan melalui gagasan satu Malaysia itu: berubah dari imej angkuh kerana berada di atas menjadi imej lebih sederhana dan sopan kerana berada di tengah-tengah.
Agaknya itulah makna rendah diri, rendah hati dan sebagainya yang dikehendaki oleh YAB Perdana Menteri yang kita kasihi yang mencetuskan idea para menteri turun ke padang dengan sikap tawaduk dan rendah hati menemui rakyat tanpa sebarang prasangka perkauman. Seperti yang diketahui oleh YAB Dato’ Seri dan para ahli kabinet, apabila James Callaghan menjadi Perdana Menteri (Parti Buruh) dalam tahun 1976, maka yang pertama dilakukan oleh beliau dan semua jemaah menteri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan ialah mengisytiharkan harta mereka, disiarkan sepenuhnya oleh The Times of London bulan April 1976.
Rakyat Malaysia amat berharap YAB Dato’ Seri Perdana Menteri akan berbuat seperti itu bersama-sama ahli jemaah menteri, untuk memulai era baru dalam pembentukan satu Malaysia yang dicita-citakan oleh YAB Dato’ Seri. Di Kanada pula ketua pembangkang diberi taraf yang sama dengan Perdana Menteri, dan mendapat semua yang diberikan kepada Perdana Menteri: kereta, rumah khas untuk ketua pembangkang, kemudahan lain-lain, dan penghormatan yang sewajarnya sebagai ketua golongan yang tidak memihak kepada kerajaan.
Sampai Kucing Bertanduk
Bagaimana di Malaysia? Sampai kucing bertanduk pun ketua pembangkang Malaysia tidak akan diberi kedudukan seperti yang diberikan kepada ketua pembangkang di Kanada. Itu hanya satu contoh. Banyak contoh-contoh lain yang boleh dicari sendiri untuk memuaskan sifat ingin tahu anda. Penjelasan yang bersifat falsafah dan contoh untuk diikuti ini diharap dapat difahami oleh ahli-ahli UMNO dan ahli-ahli parti-parti komponen BN untuk meyakinkan mereka bahawa mereka sudah ketinggalan zaman dan kelihatan sangat primitif jika masih mendewakan etnik masing-masing dan masih mahu bersembunyi-sembunyi tentang harta benda mereka dan keluarga mereka dan sikap diskriminasi mereka yang teruk.
Kesedaran itu akan mempercepatkan penerimaan mereka terhadap pembubaran (bukan pembuburan) parti-parti perkauman mereka dan menjadikan mereka betul-betul jujur dan telus, bukan bermain sandiwara membaca skrip yang dibuat sendiri. Itulah pilihan terbaik untuk melantunkan kejujuran dan keberanian baru dalam menghadapi kemelut politik yang diasaskan kepada sentimen perkauman dan keangkuhan puak yang mendakwa merekalah saja yang berhak menjadi pemerintah Malaysia kerana merekalah yang merundingkan (bukan memperjuangkan) kemerdekaan sehingga tercapai persetujuan yang kemudiannya menjadi asas pembentukan negara Malaysia.
Jika perasaan “Malaysia aku atau kami punya” yang menjadi pegangan UMNO/BN selama ini, sehingga membuat mereka tidak dapat menerima kekalahan dalam pilihan raya dan mendorong mereka merebut kuasa dengan cara yang tidak beradab, betul-betul bertukar kepada “satu Malaysia kepunyaan semua” yang diisytiharkan oleh YAB Perdana Menteri yang kita kasihi dan diterima pula oleh semua jemaah menteri dan ahli-ahli parti, maka pembubaran UMNO/BN tidak mempunyai masalah langsung.
Pembubaran itu dibuat dengan berani, tanpa kepentingan peribadi sedikit pun, dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas untuk benar-benar menobatkan gagasan satu Malaysia yang comel itu, yang “mendahulukan rakyat” dan “mengutamakan pencapaian” dalam apa juga tindakan politik yang diambil.
Andainya YAB Dato’ Seri Perdana Menteri yang dikasihi melaksanakan kedua-dua janji politik yang hebat itu dengan membubarkan UMNO/BN, maka rakyat jelata yang sentiasa menghormati para pemimpin yang amanah dan menunaikan janji tanpa sebarang alasan tidak munasabah untuk tidak menunaikan janji dan tidak berlaku amanah, maka mereka akan meletakkan YAB Dato’ Seri Perdana Menteri menjadi negarawan pertama dalam negara satu Malaysia yang Dato’ Seri sendiri impikan, seorang negarawan ulung yang akan dikasihi rakyat sepanjang zaman sehingga sanggup melupakan apa pun juga kesalahan atau kesilapan yang dituduh oleh orang-orang yang tahu ke atas YAB Dato’ Seri.
Sebaliknya jika semua ucapan itu hanya retorik manis beracun, maka sia-sialah kepercayaan, walaupun sedikit, yang mungkin berada dalam kalbu nurani rakyat yang sentiasa mengharapkan kebaikan dan kejujuran daripada para pemimpin mereka. Semua kebaikan dan kepercayaan yang sedikit itu akan dihumban oleh rakyat ke dalam lubuk puaka Segi Tiga Bermuda, atau dilontar ke Gunung Ledang tempat pari-pari mengejek raja-raja Melayu yang zalim seperti Sultan Mahmud Shah, atau dihancurkan di Bukit Cerakah yang berhantu seperti yang terjadi kepada Altantuya yang malang itu. Janganlah dikhianati kepercayaan rakyat kepada YAB Dato’ Seri, walaupun mereka tidak berhak untuk mendapat kepercayaan itu. [16/4/2009]
Mohd Affandi Hassan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan