13 Apr 2009

UMNO Gelisah dan Cemburu Artis Sokong PAS dan PR

UMNO tidak dapat menyembunyikan kegelisahan dan kekalutan mereka dengan berita-berita kebelakangan ini para artis menyokong perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat.

Media massa dengan cepat mengeluarkan headline menafikan penyertaan artis-artis negara ini menjadi ahli PAS sekalipun artis-artis berkenaan tidak pernah mendakwa berbuat demikian.

Baru-baru ini artis terkenal negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin bersama suaminya Datuk Khalid Mohd Jiwa telah mengadakan pertemuan dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Malah, pada masa yang sama, penyanyi rock negara, Amy Search sejak kebelakangan ini juga dilihat kerap kali hadir di majlis bersama Menteri Besar Kelantan itu.

Bagi UMNO, pertemuan artis-artis dengan Mursyidul Am PAS itu sudah cukup untuk menjadikan mereka resah gelisah yang berpanjangan.

Sekalipun tidak juga dinafikan memang ada artis-artis secara terus-terang memproklamirkan diri mereka sebagai penyokong PAS atau Pakatan Rakyat seperti yang berlaku di pilihanraya Bukit Gantang baru-baru ini.

Penerimaan artis tempatan kepada perjuangan Pas sejak kebelakangan ini membuktikan bahawa parti itu tidak mengamalkan dasar yang jumud dalam memperjuangkan agendanya.

Naib Ketua Pemuda Pas Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani berkata, bukti telah menunjukkan bahawa golongan artis yang sebelum ini banyak menjauhkan diri dengan politik sudah mula selesa dengan pendekatan yang dibawa oleh Pas.

“Sebenarnya perkara ini sudah lama berlaku, tetapi ia tidak dihebahkan kepada media, kita sentiasa mengiktiraf artis ataupun golongan-golongan lain asalkan ia TIDAK bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai senario yang berlaku sejak kebelakangan ini yang menunjukkan terdapat segelintir artis yang mula mendekatkan diri dengan perjuangan yang dibawa oleh parti itu.

Vokalis kumpulan Arrow, Renggo atau Mohd Zain Ramli mengambil keputusan menyerahkan borang keahlian Pas kepada Nik Abdul Aziz, kelmarin.

Mengulas lanjut, Azman yang juga ketua pemuda Pas Terengganu mengakui bahawa personaliti dan pendekatan yang dibawa oleh Nik Aziz telah menarik ramai pihak untuk mengenali secara lebih dekat perjuangan yang dibawa oleh Pas.

“Tok guru mempunyai kebijaksanaan dan aura tersendiri sehingga berjaya menawan golongan artis dan pihak-pihak lain, beliau tidak pernah menolak hiburan, asalkan tidak bercanggah dengan agama, cara ini disenangi oleh masyarakat.

“Saya percaya perkembangan ini membawa satu kesan yang baik kepada Pas, dengan cara ini kita boleh mendekati golongan pemuda yang diketahui mempunyai naluri kepada hiburan,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa akan ada lagi artis-artis popular lain yang menurut jejak kedua-dua artis terkenal negara itu dalam usaha mereka untuk berdamping dengan perjuangan Pas.



3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

renggo yang kukenal ialah belia yang dipanggil 'mat jeng' oleh kwn2 ketika bergelar penjual ayam/daging dlm pasar..beliau dikutuk dan dijadikan bahan gurauan setelah beliau bergelar artis dan menukar nama kpd 'renggo'..aku pun kdg2 turut serta..MAAFKAN AKU MAT JENG.. setelah kutahu mat jeng jadi ahli PAS,aku menyimpan hasrat utk berjumpa dgn beliau stlh lbh krg 10-12 tahun x bersua..ada sesiapa boleh tolong??

Tanpa Nama berkata...

pasar tanah merah la tu
balik la tanah merah.
kawe pun lama dah tak balik tanah merah.
now kat al dauhah qatar

D berkata...

"kita sentiasa mengiktiraf artis ataupun golongan-golongan lain asalkan ia bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya kepada Sinar Harian semalam."

salam GB..harap betulkan pernyataan di atas dalam post kali ni...betulkan segera utk elak misunderstanding walaupun saya faham ianya satu kesilapan..

harap maklum...