Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim berkata demikian di sidang akhbar yang berlangsung di Ibupejabat KeADILan, Petaling Jaya hari ini dengan penuh semangat bahawa tiga pilihanraya kecil ini menunjukkan rakyat menolak kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak.
“Syabas saya ucapkan kepada pengundi di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai kerana sokongan yang anda berikan menjadi bukti kekuatan rakyat untuk berani berhadapan dengan kekuasaan. Undi yang telah anda berikan untuk Pakatan Rakyat menjadi saksi akan kemahuan yang kuat menuntut Perubahan,” kata Anwar.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada para calon dan petugas Pakatan Rakyat kerana bekerja keras untuk memastikan kejayaan hari ini dengan kemantapan kerjasama di antara Parti Keadilan Rakyat, Pas dan Dap semakin hari semakin utuh.
Kemenangan di Bukit Selambau dan Bukit Gantang serta sokongan pengundi Batang Ai membuktikan rakyat masih yakin terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat untuk terus menerajui perjuangan menuntut perubahan bagi mencipta Malaysia Baru yang adil dan saksama.
Sementara itu, kemenangan Nizar Jamalauddin di Bukit Gantang merupakan satu referendum agar dikembalikan Kerajaan Perak yang sah. Rakyat menuntut agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan pilihanraya diadakan di seluruh Negeri Perak.
Kepada pendukung Pakatan Rakyat di Batang Ai pula, kita berhasil mengungkapkan isu tanah adat dan peminggiran rakyat yang terjadi di Sarawak.
“KeADILan dan Pakatan Rakyat akan terus berjuang membawa perubahan kepada rakyat Negeri Sarawak,” Tegas Anwar.
Sekali lagi kewibawaan proses pilihanraya menjadi pertikaian. Pengiraan awal yang tidak dilakukan di tempat pembuangan undi serta penggunaan helikopter untuk mengangkut membuka ruang kepada penipuan.
“Ini seharusnya menjadi pembakar semangat untuk terus bekerja keras membawa perubahan bukan sahaja di Batang Ai, tetapi juga di segenap pelusuk tanah air,” tambah beliau.
Pakatan Rakyat akan terus mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan berusaha melaksanakan agenda serta dasar untuk membantu sesiapa sahaja yang terpinggir tanpa berasaskan kaum.
“Mereka berkata, Umno telah membuat kesilapan pada masa lalu dan ia kini harus diberi peluang di bawah kepimpinan Najib, mereka membawa balik Dr Mahathir itulah masalahnya,” kata Anwar di sidang akhbar pagi ini.
“Mereka mengutarakan konsep perpaduan Najib - Satu Malaysia - di samping isu Ketuanan Melayu, namun semua kempen tersebut tidak berhasil,” tempelak Anwar.
Beliau menegaskan supaya Najib mesti bersedia menerima hakikat bahawa gesaannya untuk perubahan dan pembaharuan telah gagal.
“Walaupun berulang kali berhadapan dengan kekerasan, fitnah dan ugutan penguasa, ianya tidak akan menghambat Pakatan Rakyat dari menunaikan janji yang telah diberikan serta tidak akan sesekali mengkhianati amanah yang telah diberikan rakyat,” jelas Anwar dalam kenyataan beliau.
“Saya menyeru rakyat Malaysia untuk tetap bersama-sama dengan agenda Perubahan dan Pakatan Rakyat. Sudah tiba masanya kita meniup nafas segar kepada demokrasi dan memperkukuhkan kembali kedaulatan undang-undang di negara ini,” kata anwar mengakhiri sidang akhbar beliau hari ini.
- suarakeadilan
2 ulasan:
Kepada Anwar Ibrahim, tunggulah masa rakyat menghukum kamu dengan dakyah kamu untuk berkuasa. Hari ini kamu berjaya kerana pandai bermain kata. Tunggu masa kamu dihumban oleh rakyat akibat gerakan memecah belahkan bangsa sendiri. Mungkin .... yang lebih awal sedang menanti. siapa tahu.
Keputusan beberapa PilihanRaya kecil yang lalu menunjukkan beberapa perubahan yang ketara telah berlaku dalam pemikiran dan minda rakyat Malaysia masa kini terhadap arus politik yang semakin panas antara kita semua. Kenapa ini berlaku? Sudah ramai rakyat Malaysia yang mampu berfikir secara rasional akan cara Malaysia ditadbirkan sekarang ini hanyalah untuk memberi kekayaan dan kelebihan kepada golongan-golongan yang tertentu sahaja. Banyak perkara yang buruk yang telah dilakukan oleh peminpin yang berkuasa yang cuba dilindungi dari sebarang tindakan mahupun dihadapkan ke muka pengadilan. Ini melahirkan rasa tidak puas hati rakyat dan menzahirkannya di dalam peti undi. Ia tidak berkaitan dengan parti politik secara langsung. Parti politik hanya menawarkan khidmat kepada masyarakat dengan manifesto yang dicanagkan sama ada melalui media ataupun ceramah-ceramah politik yang diadakan.
Pada saya kepada sesiapa sahaja yang memegang tampuk kekuasaan harus ingat dan insaf bahawa sebenarnya mereka bukan memegang kuasa tetapi menjalankan amanat rakyat untuk memerintah negar ini dengan sebaik-baiknya bukan dengan sesuka hati mereka demi kepentingan peribadi.
Catat Ulasan