21 Mac 2009

SEKITAR PENGUMUMAN CALON BUKIT SELAMBAU - VIDEO

PEMILIHAN S.Manikumar sebagai calon KeADILan di Bukit Selambau menunjukkan komitmen parti PKR untuk menonjolkan bakat muda untuk memimpin rakyat.

Menurut Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mohd Akin, pemilihan Manikumar adalah satu pilihan terbaik dari parti dan ini adalah kepercayaan parti terhadap orang muda.

“Calon yang dipilih oleh pimpinan adalah calon yang layak, muda serta berpendidikan, kami percaya beliau mampu membawa pembaharuan kepada rakyat Bukit Selambau dan seluruh negeri Kedah,”katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Semalam Ketua Umum KeADILan, Anwar Ibrahim mengumumkan Manikumar - usahawan tempatan yang berusia 35 tahun sebagai calon KeADILan, bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Selambau.

Manikumar yang menyertai KeADIlan semenjak dua tahun lalu merupakan graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang Pengurusan Pelancongan sebelum mendapat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada universiti yang sama.

Beliau yang juga pensyarah sambilan UUM itu berasal dari Taman Ria Jaya di sini, turut menjadi pensyarah sambilan di UUM serta fasih berbahasa Sepanyol selain bahasa Melayu, Inggeris dan Tamil.

Shamsul menambah, sebagai pemimpin Angkatan Muda, sayap pemuda bagi KeADILan, beliau menyokong penuh dan akan memastikan seluruh jentera membantu kemenangan Manikumar.

Sementara itu, Ketua AMK Kedah Saiful Izham Ramli berkata pemilihan Manikumar tidak akan mendapat tentangan dari pihaknya dan seluruh Angkatan Muda negeri.

“Kami menerima keputusan parti untuk memilih Manikumar sebagai calon serta akan memastikan jentera bekerja untuk kemenangan KeADILan di Bukit Selambau,” katanya kepada Suara Keadilan pagi ini.

suarakeadilan


Tiada ulasan: