10 Mac 2009

ALTANTUYA, PONTIANAK & POLITIK PERAK

Orang Melayu yang masih percayakan hantu, meskipun sudah menjadi ketua parti yang kaya raya dan memegang jawatan politik yang menguntungkan, tidak teragak-agak untuk membuat kesimpulan bahawa apa yang berlaku di Perak sekarang adalah angkara Altantuya, yang kini sudah menjadi pontianak. Menurut kepercayaan orang Melayu, pontianak dapat dihidupkan kembali untuk menjadi perempuan cantik dengan mencabut paku di tengkuknya. Masalahnya sekarang, orang yang akan mencabut paku itu belum tentu menjadi pilihan Altantuya, kerana sudah serek ditipu semasa hidupnya.

Maka kata bomoh-bomoh Melayu yang memang pandai menjampi walaupun dia tahu jampi itu tidak menghasilkan apa-apa, negeri Perak yang kini sudah menjadi pontianak dalam politik Malaysia boleh diselamatkan jika paku yang ditanam di tengkuknya dicabut oleh orang yang berbuat angkara. Kata ahli politik pula, tak perlu cabut apa-apa paku pun, cukup dengan membubarkan DUN Perak dan biarkan hantu-hantu yang berkeliaran di Perak membuat pilihan sendiri siapa yang mereka mahu jadikan ketua mereka. Kata ahli politik lagi, masalah ini terjadi kerana para pengundi hantu di Perak diikat kaki tangannya dalam PRU 12, Mac 2008, oleh itu tidak boleh mengundi untuk tuan-tuan mereka yang memang memelihara mereka dengan baik selama ini.

Dalam peristiwa pelik yang menimpa Altantuya, rakyat Malaysia diminta dengan rayuan yang amat sedih oleh pontianak Altantuya supaya beliau diberitahu apakah sebabnya dia dibunuh dan diletupkan. Mengapa berahsia sangat tentang dirinya yang malang itu, padahal dia orang luar yang datang ke Malaysia mencari tuah, tidak patut dibunuh dan diletupkan? Dia hanya menjadi kekasih orang yang disayanginya. Sekarang baru dia tahu orang yang disayanginya itu sebenarnya tidak sayangkan dia, maka dibunuh tapi ceritanya terus jadi semakin panjang.

Maka kata Altantuya, aku sumpah negeri Perak menjadi pontianak seperti aku kerana orang yang merampasnya tidak pun mencintai negeri itu, tapi dibuat kerja jahat itu kerana tamakkan kuasa semata-mata. Maka berkawan baiklah dua jenis pontianak ini dan kedua-duanya membingungkan orang Melayu, sudah tak tahu apa nak buat lagi apabila jampi bomoh tidak berkesan langsung. Hanya satu cara saja boleh diselesaikan, cabut paku di tengkuk pontianak Perak supaya Siti Perak yang cantik, secantik Altantuya itu, dibenarkan memilih sendiri kekasihnya, bukan lagi ditentukan oleh peraturan perlembagaan hantu-hantu politik.

Tetapi khalifah kepada segala hantu tidak setuju, kerana menurutnya dia punya kuasa mutlak untuk menjadikan seseorang itu pontianak atau tidak. Akibatnya Siti Perak yang tersiksa terus mengilai dengan suara nyaring, siang malam, tak kira waktu lagi, boleh didengar dari barat ke timur, dari utara ke selatan di seluruh dunia. Bukan saja mengilai-ngilai seperti perempuan gila, tetapi kini sudah mendedahkan dirinya tidur di bawah pokok rendang untuk ditonton kecantikannya di seluruh dunia. Telanjang bulat, tak mahu pakai apa-apa lagi. Sudah marah betul nampaknya. Makin gila bomoh-bomoh politik menjampi, sampai dibawa ke teratak Hakim Bistari di pinggir Sungai Perak untuk disiumankan kembali. Tidak berjaya juga. Tidak ada undang-undang atau apa-apa peraturan sekalipun yang boleh mententeramkan pontianak Siti Perak yang sedang menangis terisak-isak di riba pontianak Altantuya.

Celaru betul dibuatnya bila hantu-hantu buat pasal. Kata penganalisis politik yang bijak bistari, kini hantu-hantu pun mempunyai daulat, tidak boleh diderhakai, mesti diberi salut cara hantu berdaulat, “Minta lalu Datuk Hantu, cucu datuk nak lalu pergi cari emas dalam hutan Perak. Bolehkah Datuk?” Walaupun hantu tidak pernah menjawab apa juga permintaan, orang Melayu yang cerdik terus saja meredah hutan mencuri emas dan lain-lain galian berharga. Pontianak Altantuya dan pontianak Siti Perak yang melihat kerakusan anak cucu hantu itu, berasa serabut perut nak muntah melihat kelakuan rakus mereka berkelahi sesama sendiri berebut tanah hutan yang belum tentu ada bijih emas.

Maka merayulah pontianak Altantuya sambil menangis tersedu-sedu, “Ampunkan hamba Puteri Siti Perak. Sembah hamba sembah derhaka. Hamba tak mahu lagi duduk di Malaysia. Tolonglah cabutkan paku di tengkuk hamba kerana hamba nak jadi manusia yang sempurna balik. Sekurang-kurangnya hamba boleh mencari kekasih baru di tempat lain pula …” Pontianak Siti Perak pun menangis terisak-isak sambil bertitah dengan suara lemak merdu penuh daulat yang syahdu, “Aku tak boleh buat apa-apa. Mana aku tahu kamu cakap benar nak tinggalkan Malaysia?

Sekiranya kamu terus gilakan kendak kamu, aku hendak diletak di mana? Walaupun aku pontianak, aku ada maruah macam kamu juga. Tapi kendak kita tak ada maruah. Bukan saja kamu diletupkan, rekod kamu datang ke mari pun dihapuskan. Sebenarnya kamu tidak ada di sini. Kamu tak wujud pun. Tak ada rekod langsung. Pontianak pun ada rekod, tapi tidak kamu sebagai Altantuya. Baiklah kamu tak usah jadi manusia lagi. Sia-sia dan menyusahkan. Tapi kalau kamu berkeras juga masih ingin jadi manusia yang akan terus dirogol, duduklah di Pahang, negerinya besar tebal pula hutannya.

Orang-orang kaya dan bangsawannya sukakan perempuan cantik seperti kamu, jadi kamu tak perlu takut tak dapat pelanggan. Tapi aku mau kasi ingat, ada di antara orang kaya-kaya mereka yang badannya berbau busuk, memang busuk sungguh-sungguh. Tanyalah pontianak Noritta dari Perlis siapa di antara orang kaya yang berbau busuk itu. … Sekarang mari kita usik kendak kita yang jahat perangai itu …” Kata nenek tua yang sukakan cerita-cerita hantu, cerita dua orang pontianak itu benar-benar memberi keinsafan dan peringatan kepada manusia. Orang baik-baik tidak semestinya tidak boleh jadi pembunuh atau perogol.

Kalau boleh hantu yang cantik-cantik pun hendak mereka rogol juga supaya puas nafsu jahat mereka. Hatta kata nenek tersebutlah asal usul kerajaan hantu di Palembang zaman dulu kala. Maka datanglah perlente Keling ke Palembang, mencari negeri untuk dibuat negara. Maka bertemu dengan penghulu Melayu yang bernama Demang Lebar Daun yang sangat lebar daun telinganya, menandakan kecerdikannya. Maka disembah oleh Melayu akan perlente Keling itu, seperti kisahnya dalam Hikayat Sejarah Melayu. Maka dia sudah naik berahi melihat anak-anak dara Melayu yang berkemban, tak tahan lagi nafsu Kelingnya, seperti Tun Ali gilakan Tun Kudu adik Tun Perak walaupun ketika itu jadi bini raja, hingga diceraikan sultan supaya puak Keling berdamai dengan puak Melayu zaman Melaka.

Lalu dirogolnya semua sekali 39 orang anak-anak dara pertuanan Melayu melalui perkahwinan segera (instant marriage). Esok hari dia cerai, membuat Melayu jadi takut kepada daulat perlente Keling itu. Maka setelah habis 39 anak dara, dia pun tak sabar lagi hendakkan yang satu itu, anak dara Demang Lebar Daun sendiri. Maka dapatlah perlente Keling itu gadis Melayu yang cantik. Bukan itu saja, kini perlente Keling itu dinobatkan menjadi Yang di Pertuan bagi semua orang Melayu, disembah diminta ampun walaupun tidak berdosa. Kata nenek, itulah asal mula sejarah pontianak di negeri Melayu.

Maka dibangunkan sebuah kota besar bernama Pontianak di negeri hutan belantara. Siapa-siapa yang tidak percaya adalah derhaka. Maka nenek pun menyembah dengan tertibnya kepada hantu-hantu itu. Kami anak-anak muda cucu-cicit nenek bertepuk, lucu melihat lakonan nenek itu. “Sembah!,” herdik nenek. Kami yang muda-muda itu lari bertempiaran sambil tertawa sampai tersembur air liur. Ketika itulah kami dengar hilai tertawa pontianak Altantuya dan Siti Perak lucu melihat kelakuan biadab kami tidak mahu menyembah mereka. Gila betul dunia politik ini. He he he, tertawa Pak Dharma. Tak pasti siapa yang kata “Gila betul dunia politik ini”. Pak Dharma atau pontianak? He he he. (6/3/2009)

Mohd Affandi Hassan
Suara Prima
(* Mohd Affandi Hassan sasterawan dan pengkritik sastera Melayu tersohor. Beliau juga pesara PTD yang pernah berkhidmat sebagai pegawai tinggi dalam beberapa kementerian)

Tiada ulasan: