8 Jun 2013

Zaman Umno-BN Perdaya Rakyat Sudah Berakhir


.Zaman Umno-Barisan Nasional (BN) memperdaya rakyat, khususnya masyarakat Cina dan India, dengan menabur fitnah bagi memburuk-burukkan PAS sudah berakhir, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata, kalau dahulu rakyat sering diperdaya dengan fitnah Umno-BN bahawa PAS adalah sebuah parti yang ekstremis, tidak bertolak ansur tetapi hari ini tidak lagi.

“Rakyat hari ini terutama di bandar dan pinggir bandar sudah dapat menerima kehadiran dan perjuangan PAS,” kata beliau yang juga Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Selangor.

Pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) katanya, hampir keseluruhan anggota masyarakat Cina, sebahagian kaum India dan Melayu telah memberi sokongan kepada calon-calon Pakatan Rakyat di negeri Selangor.

“Sebagai contoh, di Paya Jaras ini anggota masyarakat Cina telah memberi sokongan padu kepada saya sebagai wakil rakyat mereka,” katanya dengan disambut sorakan meriah ketika beliau berucap di Majlis Penghargaan Wakil Rakyat malam tadi.

Majlis ini dianjurkan oleh Unit Peti Undi (UPU) Aman Puri dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di KIP Industrial Park, dekat sini dengan dihadiri lebih 5,000 ahli dan penyokong, kebanyakannya anggota masyarakat Cina.

Khairuddin dalam ucapannya merakamkan terima kasih dan penghargaan di atas sokongan yang tidak berbelah bagi dari masyarakat Cina sambil berjanji untuk mengekalkan sistem pendidikan Cina dan kebudayaan Cina.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa jika trend sokongan sebegini berterusan maka tidak mustahil Pakatan dapat memerintah Putrajaya selepas PRU-14 nanti.

Pada PRU-13, Khairuddin menewaskan Mohammad Bushro Mat Johor dari BN dengan mendapat majoriti 5,522 undi. Pada PRU-12, Khairuddin tewas kepada Mohammad Bushro di kawasan Dewan Undangan Negeri yang sama.


Hantu Altantuya Terus Buru Najib: Delegasi Mongolia Tuntut Jawapan Kematiannya


Delegasi Mongolia mahu jawapan kematian Altantuya

Delegasi Mongolia di Sidang Kemuncak Global Wanita di Kuala Lumpur menggesa kerajaan Malaysia memberi jawapan atas kematian misteri wanita warganegara itu, Altantuya Shaariibuu di Malaysia.

Bercakap kepada media di luar persidangan itu, Presiden Persekutuan Wanita Mongolia (MWF), J Erdenechimeg berkata, perbicaraan baru harus bermula untuk mengetahui siapa yang bertanggungjawab atas kematian Altantuya.

"Kami membuat permintaan khusus kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia untuk bertindak atas ini dan supaya perbicaraan segera diadakan," tegasnya.

Diapit oleh kira-kira 70 anggota delegasi, beliau berkata ia demi untuk dua anak lelaki Altantuya yang kini membesar tanpa ibu mereka.

"Kami juga berharap diberi bantuan kewangan kepada kedua-dua anak-anak tersebut," katanya.

Menurut pengarah eksekutif MWF, Ariunna Shagdarsuren (kanan), MWF telah memutuskan untuk membawa mesej itu bagi pihak keluarga si mati selepas bertemu dengan bapa Altantuya.

"Bapanya telah meminta kami supaya membangkitkan perkara ini kerana beliau perlu memberitahu cucunya mengapa ibu mereka mati di Malaysia," katanya.

"Sudah bertahun-tahun berlalu, berapa lama lagi mereka perlu menunggu?" ~mk

Ulasan GB

Hukum kebenaran dan keadilan mengambil tempatnya. Sesuatu kesalahan yang walau macamana sekalipun cuba diselindungi dan ditutup, kebenaran tetap akan muncul.

Akan tetap ada mereka yang menuntut supaya keebenaran dan keadilan ditegakkan dan akan tetap ada mereka yang berani bersuara mendedahkan kebenaran itu.

Ingat, sebesar dan sehebat mana pun kuasa yang anda ada, ia samasekali tidak akan mampu melenyapkan kebenaran dan keadilan.

[KISAH MASYARAKAT] Kerana Dadah, Dua Wanita Sanggup Melacurkan Diri


Chukai – Kegiatan dua wanita yang menawarkan khidmat seks bagi mendapatkan bekalan dadah terbongkar apabila rumah sewa mereka diserbu polis, dengan salah seorang daripadanya yang berstatus janda dicekup bersama pelanggannya dalam keadaan berbogel.

Ketika serbuan di Flat Kampung Fikri, dekat sini, kira-kira jam 11 pagi kelmarin, janda terbabit yang berusia 28 tahun bersama seorang lelaki berusia 37 tahun dan seorang lagi wanita berusia 20 tahun sedang dalam keadaan khayal.

Dalam serbuan yang dilakukan 10 anggota diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Asisten Superintendan Hamzah Awang Dollah dan seorang kakitangan Pejabat Agama Daerah Kemaman itu, polis turut merampas satu tiub dadah daripada janda berkenaan yang mempunyai seorang anak.

Berdasarkan rekod, polis mendapati suspek berusia 20 tahun itu baru sahaja keluar dari pusat pemulihan akhlak wanita di Negeri Sembilan.

Apabila masuk ke sebuah lagi bilik tidur, didapati janda terbabit dan pelanggannya sedang melakukan hubungan terlarang dan dalam kedua-dua bilik tidur itu turut berselerakan alat-alat yang digunakan untuk menghisap dadah.

Dipercayai kedua-dua wanita itu menetapkan syarat mana-mana lelaki yang mahu meniduri mereka perlu memberi dadah sebagai upah.

Ketua Polis Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, selepas ujian air kencing dilakukan didapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine selain kesemuanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Suspek berusia 28 tahun dan lelaki yang berusia 37 tahun juga dipercayai pengedar dadah serta masing-masing mempunyai dua dan enam rekod kesalahan berkaitan dadah, manakala wanita yang berusia 20 tahun mempunyai tiga rekod lampu termasuk turut memiliki satu waran tangkap kerana tidak hadir perbicaraan kes terdahulu,” katanya.

Sehubungan itu, semua mereka disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan janda terbabit turut disiasat di bawah Seksyen 12(2) akta sama kerana memiliki dadah. Kesemua mereka dituduh di mahkamah semalam.

Pasangan itu juga turut diserahkan kepada Pejabat Agama Daerah Kemaman dan akan didakwa mengikut undang-undang syariah kerana bersekedudukan. -SH

[VIDEO] Himpunan 15 Jun Diteruskan Sekalipun Polis, DBKL Berdolak- Dalik


Perhimpunan Aman Black505 pada 15 Jun ini akan diteruskan seperti yang dirancang walaupun berdepan sikap double standard pihak berkuasa yang disifatkan cuba untuk melengah-lengahkannya.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mendakwa, polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) cuba melengah-lengahkan himpunan tersebut apabila mula berdolak-dalik berhubung kebenaran penggunaan Padang Merbok.

Beliau berkata, tindakan polis dan DBKL itu bercanggah dengan Akta Perhimpunan Aman.

“Kita berpendapat kita memenuhi keperluan memberi notis 10 hari kepada polis dan mengemukakan permohonan penggunaan padang kepada DBKL.

“Sebelum ini polis juga mengambil pendirian serupa, kena dapatkan kebenaran pemilik tempat dahulu, tetapi pada masa sama bila kita cuba dapatkan kebenaran daripada pemilik tempat.

“Pemilik tempat pula memberi alasan perlu mendapatkan kebenaran polis dahulu dan ini jadi permainan oleh badan-badan kerajaan ini yang menjaga harta awam untuk melengah-lengahkan dan menyukarkan perhimpunan,” kata Rafizi kepada TV Selangor.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad ketika mengesahkan penerimaan notis tersebut memberitahu TV Selangor, penganjur Perhimpunan Aman Black505 gagal mematuhi syarat di bawah Seksyen 10C Akta Perhimpunan Aman kerana tidak mendapat kebenaran DBKL bagi menggunakan Padang Merbok.

Justeru, perhimpunan tersebut dianggap sebagai perhimpunan haram sekiranya diteruskan.


Kerajaan Minoriti BN Terus Tekan Pemimpin Pakatan Rakyat, 5 Lagi Disiasat


Demo pro-Adam Adli: 5 pemimpin Pakatan disiasat

Lima pemimpin pembangkang yang hadir dalam acara nyalaan lilin pada 22 Mei lalu untuk menuntut pembebasan aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim disiasat polis hari ini.

Mereka yang disiasat Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan empat wakil rakyat: Gobind Singh (Puchong), Tan Seng Giaw (Kepong), Ng Suee Lim (Sekinchan) dan Ronnie Liu (Pandamaran).

Ng memberitahu Malaysiakini hari ini, polis semalam menyamannya ke balai polis Kepong untuk memberikan kenyataan pada Rabu - hari yang sudah pun lepas.

"Gobind sudah menghubungi polis untuk menyusun tarikh lain untuk Gobind, Liu dan saya sendiri untuk memberikan kenyataan.

"Tan sudah memberikan kenyataannya dan Salahuddin dijadual hari ini, menurut laporan media," kata Ng.

Mereka disiasat bawah seksyen 143 Kanun Keseksaan berkaitan perhimpunan haram.

Sebelum ini pemimpin Pakatan sudah ditahan dan dituduh di mahkamah selepas menganjurkan perhimpunan mempertikaikan keputusan pilihan raya 'Black 505'.

[GAMBAR BERBICARA] Al-Kisah Projek Jambatan Kedua P.Pinang!


Keratan akhbar yang pernah menjulang Najib sebagai pemimpin pertama menggunakan jambatan kedua Pulau Pinang.





Dengan penuh riak, angkuh dan bangga, mereka menyatakan ini adalah "Projek Untuk Rakyat Pulau Pinang Daripada Barisan Nasional."



Sekarang ini jawapannya!!! Bukankah ini juga projek Barisan Nasional atau dah tak nak mengaku dan hendak persalahkan kerajaan Pulau Pinang??




7 Jun 2013

SPR Perlu Letak Jawatan Jika Tidak Mahu Demonstrasi Seluruh Negara


Gabungan Suara Rakyat 505 hari ini memberi amaran kepada kerajaan bahawa pihaknya akan terus mengadakan demonstrasi jalanan secara aman selagi Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak meletakkan jawatan.

Gabungan itu turut mengkritik keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk meletakkan SPR di bawah kuasa parlimen yang disifatkan tidak menyeluruh malah diibaratkan seperti melepaskan batuk di tangga.

Ia berikutan SPR masih gagal melaksanakan sepenuhnya tuntutan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu, kata Pengerusi Asal Bukan Umno (ABU), Haris Ibrahim.

Katanya, SPR juga dilihat seperti memuji diri sendiri setelah melaksanakan sebahagian daripada cadangan yang dikemukakan PSC, sedangkan proses PRU-13 terbukti tidak profesional dan penuh muslihat.

“Selagi tuntutan itu tidak dilakukan, gabungan lebih 50 badan bukan kerajaan (NGO) akan terus melakukan demonstrasi jalanan secara aman sebagai bantahan terhadap kegagalan mewujudkan sebuah badan pilihan raya yang bebas.

“Rakyat beri peluang kepada SPR untuk jelaskan perkara ini tetapi kepimpinan SPR sangat mengecewakan kerana mereka tolak mentah-mentah segala dakwaan penipuan PRU yang dimaksudkan walaupun perkara itu belum diputuskan di mahkamah.

“Keyakinan orang ramai terhadap SPR kini berada di tahap paling rendah. Kita semua mesti mengecam sebarang langkah penyusunan semula SPR yang tidak menyeluruh mengikut cara sepatutnya,” katanya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, pagi tadi.

Hadir sama, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan dan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin (CheguBard).

Dalam pada itu, beliau bersama pimpinan NGO lain berjanji akan memberi sokongan penuh terhadap Perhimpunan 505 pada 15 Jun ini di Padang Merbok dengan menggerakkan seluruh jentera semasa himpunan itu nanti.

“Kami akan bersama-sama menunjukkan semangat solidariti rakyat untuk terus menuntut perletakan jawatan SPR.

“Kami tidak akan mengingkari janji yang telah dibuat dan beralih menyalahkan pihak lain pula. Kami tidak akan lupa, tidak akan berputus asa dan menyerah kalah,” katanya lagi.

Mengapa Siasatan Kematian 14 Gajah Pigmi Tidak Diumumkan?


Sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan isu-isu alam sekitar – Sahabat Alam Malaysia – menggesa Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Jabatan Hidupan Liar Sabah mengumumkan hasil siasatan kematian 14 ekor gajah pigmi kira-kira enam bulan lalu.

Presiden SAM, S M Mohamed Idris berkata, kementerian dan jabatan tidak boleh menutup mata dan memekakkan telinga terhadap sebarang pelanggaran undang-undang sama ada oleh syarikat pembalakan, petani atau industri kelapa sawit.

“(Mereka) perlu memastikan bahawa mereka yang bertanggungjawab itu mestilah didakwa dengan segera,” kata beliau dalam sepucuk surat kepada FMT hari ini.

Beberapa bulan telah berlalu dan SAM masih tertanya-tanya siapa atau apakah yang bertanggungjawab terhadap kematian 14 ekor gajah pigmi itu.

Kata S M Mohamed, amat sukar untuk memahami kenapa ia mengambil masa yang begitu lama untuk analisis itu didedahkan.

Menurutnya, analisis dari negara maju seperti Australia seharusnya mampu untuk mengeluarkan hasil tanpa kelewatan yang berpanjangan.

“Hanya selepas beberapa surat kepada pengarang dari pembaca, baharulah pendedahan dibuat oleh Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah bahawa analisis histopatologi mengesan kehadiran keracunan kaustik,” kata beliau lagi.

`Apa yang boleh didakwa

Menurut S M Mohamed, walaupun polis Sabah telah mengambil inisiatif untuk menyiasat, adalah lebih baik jika mereka boleh memuktamadkannya.

“Mereka perlu mendedahkan apakah kes yang boleh didakwa dan apa yang tidak boleh didakwa.

“Pihak polis masih belum mengumumkan sebarang kes yang akan didakwa atau sebarang kesimpulan ke atas kertas siasatan mereka.

“Tidak terdapat bukti muktamad dari polis Sabah selain daripada petunjuk kepada kematian gajah itu,” tambahnya lagi.

Kekurangan usaha penyiasatan untuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan gajah-gajah itu satu petanda yang tidak baik bagi Jabatan Hidupan Liar.

Ia juga hanya menunjukkan kelemahan urus tadbir dan sikap ini tidak meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang.

Kerajaan mestilah telus

Menurut S M Mohamed, jika Jabatan Hidupan Liar Sabah prihatin dan benar-benar serius mengenai pemuliharaan dan perlindungan spesies hidupan liar mereka perlu bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada orang ramai hasil penyiasatan dan langkah pencegahan yang diambil untuk mencegah berlakunya kematian misteri pada masa akan datang./

Kerajaan mestilah bersikap telus dan tidak mengambil mudah akan sikap kepintaran dan ingin tahu orang ramai.

Jika alasan kukuh tidak diberikan, akan tiba masanya sebelum orang ramai menyedari bahawa mereka tidak dipedulikan.

Lebih penting orang ramai mestilah diyakinkan bahawa kertas penyias atan itu perlu diumumkan kepada orang ramai, kata S M Mohamed lagi.

SAM berharap perkara ini tidak akan berhenti begitu sahaja, kata S M Mohamed lagi. -FMT


Laporan sebelum ini
klik untuk baca

Libasan Cantik TG Nik Aziz: Tak Bayar Royalti Boleh Dikira Hina Sultan


Barangkali nafi royalti minyak juga hina raja'

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat optimis pihak berkuasa akan menjalan siasatan sebaik-baiknya terhadap seorang wanita yang ditahan atas tuduhan menghina Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, bekas menteri besar Kelantan itu berkata, membelakangkan titah sultan untuk mengembalikan royalti minyak juga barangkali boleh dimasukkan dalam kategori sama.

"Di sebuah negeri, pernah sultan negeri berkenaan bertitah di dalam dewan agar dikembalikan royalti minyak dan didaratkan gas yang ditemui di lautan negeri ke pantai yang terdekat.

"Namun malangnya pembangkang di negeri berkenaan membelakangi titah sultan.

"Barangkali ini juga boleh dimasukkan di dalam kategori menghina raja,"
tulisnya dalam Facebook hari ini.

Seorang wanita yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dalam laman sosial Facebook miliknya, kelmarin ditahan pihak berkuasa.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyebut pihaknya dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengesan dan menahan suspek hasil siasatan serta maklumat orang ramai.

Kenyataan itu menyebut siasatan terhadap wanita itu dijalankan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan juga boleh didakwa bawah Akta Hasutan 1948. -mk

Selepas Tak Mengaku Dirinya "Papagomo", Beliau Kini Tak Mahu Berblog Lagi


Blogger terkenal, Papa Gomo yang 'memeriahkan' alam maya dengan entri-entri kontroversi mengumumkan mahu bersara daripada dunia blogging.

Menulis dalam laman mikro Twitter menggunakan nama @PapaGomo, blogger berkenaan memaklumkan perjuangannya dalam dunia blogging sudah berakhir.

"I'm done (saya selesai). Itu yang Gomo boleh katakan dalam perjuangan dengan nama blog Papa Gomo. Bagi peluang blogger baru gegar alam maya ini," tulisnya pada Isnin lalu.

Papa Gomo merupakan blogger yang tidak asing lagi dengan hasil tulisan dan pendedahan mengaitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pelbagai skandal.

Terbaru, blogger berkenaan berhadapan dengan kes saman oleh ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang akan didengar awal tahun depan.

Saman fitnah RM100 juta itu difailkan Anwar 21 Mac lalu dengan menamakan Wan Muhammad Azri Wan Deris sebagai pemilik blog berkenaan.

Ia ekoran penayangan video lucah yang didakwa sebagai pemimpin pembangkang itu.

Wan Muhammad Azri bagaimanapun menafikan bahawa beliau adalah pemilik blog berkenaan.

Papa Gomo yang identitinya masih menjadi teka-teki dalam laman mikro Twitternya turut menulis, beliau yakin ramai lagi blogger berbakat dapat diketengahkan untuk memeriahkan PRU14 kelak.

Blog Papa Gomo juga kini tidak boleh diakses lagi.

"Gomo nak fokus pada perniagaan pakaian tu. Lagipun bulan puasa dah nak tiba dan ni masanya nak cari duit lebih," tulisnya.

"Gomo yakin PRU14 akan ada ramai blogger pro BN yang hebat.

"Semoga perjuangan rakan rakan blogger lain akan terus hebat dan menguasai arus blogger yang ada pada PRU14. Pakatan mesti dihancurkan," tambahnya lagi dalam posting berlainan.

Ulasan GB

Mula-mula "Muhammad Azri", bekas polis dan juga si penjenayah yang pernah menjadi banduan kerana rasuah itu tidak mengaku bahawa blog papagomo yang sarat dengan fitnah dan video lucah itu sebagai bukan miliknya. Kini mahu bersara dari menjadi seorang blogge.

' Dan yang pelik sempat pula menyatakan bahawa "Pakatan mesti dihancurkan".

Sekarang siapa yang hancur dulu? Pakatankah atau blog papagomokah?

GB sudah ulas dulu. Petikan:

Keengganan beliau untuk mengakui blog itu kepunyaannya bukti awal kebinasaan papagomo! Beliau TAKUT untuk mengakui blog fitnah itu miliknya kerana tahu blog itu menyajikan berita palsu dan dusta.

Sepatutnya apabila beliau sudah tidak mengakui blog itu miliknya, pihak berkuasa sudah boleh menyiasat siapa pula yang mengemaskini blog tersebut selama ini kalau bukan papagomo sendiri, dan papagomo boleh pula didakwa kerana menipu jika sebenarnya beliau yang mengemaskinikan blog tersebut. Dusta di atas dusta!

Namun, kebal macamana pun papagomo yang dilindungi oleh polis, dengan hukum kebenaran dan hukum Tuhan, kita akan menyaksikan papagomo pasti hancur binasa!

Bukan saja papagomo, sekalian blogger pencacai UMNO yang menyebarkan dan menyemarakkan budaya fitnah, lucah dan porno. Termasuklah polis yang selama ini bersikap double standard!


Sekarang sudah hampir menjadi kenyataan. Papagomo sedang menuju kebinasaan dan kehancuran.....

[GAMBAR & VIDEO] Sebahagian Jambatan Kedua Pulau Pinang Runtuh -updated


Batu Maung: Sebahagian dari struktur jambatan kedua Pulau Pinang yang masih dalam pembinaan telah runtuh kira-kira jam 7 malam tadi.

Kejadian berlaku di kawasan darat di sekitar Batu Maung.

Menurut Penolong Pesuruhjaya Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohamad Shoki Hamzah, sebatang konkrit seberat lebih 1,000 tan serta berukuran 30 meter telah jatuh terhempap ke tanah.

Akibat runtuhan, sekurang-kurangnya sebuah kereta iaitu Perodua Kelisa telah disahkan tertimbus, namun masih tidak diketahui samada terdapat mangsa yang terperangkap atau tidak.

Sebuah kren juga digunakan bagi mengangkat batang konkrit tersebut. Menurut Shoki, pihak bomba juga dikejarkan ke lokasi sebaik sahaja kejadian itu berlaku.

Difahamkan juga, kerja-kerja pembinaan juga dihentikan buat sementara namun pembinaan pada bahagian lainnya tidak terjejas.

Sehingga setakat ini, punca sebenar kejadian masih tidak dapat diketahui.

Sementara itu, ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin yang berada di lokasi juga mengesahkan melalui laman Twitternya bahawa struktur sepanjang 30 meter itu telah runtuh.

Menurutnya Jabatan Bomba dan Penyelamat juga telah memberitahu lebih kurang satu atau dua kereta telah remuk akibat runtuhan.

Katanya lagi, pihak bomba juga sedang memulakan operasi menyelamat. -astro

3 cedera dalam runtuhan penyambung jambatan ke-2 PP

Tiga orang disahkan cedera akibat runtuhan tanjakan konkrit dan besi penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di kawasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di George Town malam ini.

Dua daripada mereka adalah pekerja asing iaitu warga Indonesia yang dikenali sebagai Slamat, 36, dan warga Myanmar Tin Maung Iwin, 39. Mereka menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan stabil.

Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Jaafar memaklumkan pemberita kedua-dua mangsa dikatakan sedang bekerja di tapak binaan ketika kejadian pada kira-kira 7.15 malam.

Seorang lagi yang dilaporkan cedera ialah wanita tempatan, Thilasheni Rajendran, 24, akibat terkena serpihan runtuhan di bahagian tangan.

Ketika kejadian, Thilasheni sedang memandu dan beliau sempat memberhentikan kenderaannya pada jarak kira-kira dua meter dari lokasi kejadian.

Rakannya, Gajashaantini Gajanujan, 24, yang turut berada dalam kereta sama bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Abdul Rahim berkata lebih 300 anggota bomba dan polis sedang mengesan mangsa dalam sebuah lagi kenderaan yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan itu.

Beliau berkata polis juga kesal dengan laporan berita portal yang mendakwa kononnya empat disahkan maut.

"Setakat ini, cuma tiga yang cedera, media diminta membuat laporan yang betul dan sah.

"Pasukan penyelamat sedang berusaha mengesan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipercayai terperangkap dalam runtuhan itu, dan keadaan mangsa masih belum diketahui," katanya.

Beliau berkata pasukan penyelamat juga terpaksa menggunakan perkhidmatan kren yang lebih berat apabila kren syarikat pembinaan itu gagal mengangkat tanjakan konkrit yang runtuh.

Abdul Rahim berkata kerja-kerja pembinaan akan dihentikan buat sementara bagi membolehkan siasatan punca kejadian manakala jalan masuk-keluar ke kawasan itu juga ditutup untuk semua kenderaan.

Sementara itu, jurucakap Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) berkata runtuhan berlaku di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Batu Maung dan puncanya masih disiasat.

Projek pembinaan jalan susur keluar jambatan itu diurus kontraktor Cergas Murni Sdn Bhd dan JKSB akan mengeluarkan kenyataan rasminya esok. - Bernama











6 Jun 2013

Selesai Di Luar Mahkamah, Satu Kemenangan Untuk TG Nik Aziz


Tindakan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor dan enam yang lain termasuk akhbar NST untuk menyelesaikan kes saman di luar mahkamah merupakan satu kemenangan kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan, Hisham Fauzi yang dihubungi Harakahdaily memberitahu, keputusan tersebut diperolehi ketika perbincangan antara peguam dilakukan dalam kamar di mahkamah semalam.

"Saya menyifatkan ini satu kemenangan kepada Tok Guru Nik Aziz dalam saman yang beliau kemukakan kepada Abdul Rahim dan enam yang lain apabila mereka mahu menyelesaikannya di luar mahkamah.

"Walaupun saya tidak boleh menyatakan jumlahnya yang perlu mereka bayar tetapi ia sebenarnya menunjukkan satu pengakuan dari mereka semua berhubung tindakan yang telah dilakukan," jelasnya.

Dalam pada itu beliau juga berharap keputusan ini akan menjadi iktibar kepada mana-mana pihak yang cuba melemparkan fitnah ataupun kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

Selain Hisham (gambar kiri) turut mewakili bekas Menteri Besar Kelantan itu ialah peguam Mohamed Hanipa Maidin yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Sebelum itu, Nik Abdul Aziz pada 31 Mei tahun lepas telah memfailkan saman fitnah RM10 juta itu terhadap Abdul Rahim di samping tiga pemberita akhbar New Straits Times (NST)-- Rahmah Ghazali, Lim Poh Lean dan Nik Imran Abdullah, Pengarang Urusan Kumpulan News Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Datuk Abdul Jalil Hamid, Pengarang Kumpulan NST Datuk Syed Nadzri Syed Harun dan NSTP sebagai defendan.

Saman itu dikemukakan berikutan satu kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Ketua Polis Negara pada 8 Mei dalam NST yang menggelar Nik Abdul Aziz sebagai bapa kafir (father of kafir) yang didakwanya cuba memesong orang Islam bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 adalah tanggungjawab agama.

Akhbar NST memetik Rahim sebagai berkata perkara itu bukan kali pertama Nik Aziz mengeluarkan kenyataan seperti itu yang didakwanya "mengelirukan" rakyat.

Mengapa Zahid Hamidi Tidak Dikenakan Tindakan Jenayah?


Denasihat DAP Lim Kit Siang hari ini membangkitkan persoalan mengapa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak dikenakan tindakan mahkamah ekoran tindakannya memukul seorang ahli perniagaan pada 2006.

Lim mendakwa Ahmad Zahid pernah disaman oleh Amir Abdullah Bazli kerana didakwa menumbuknya di muka pada 16 Januari 2006 di Kelab Rekreasi Country Heights, Kajang sehingga menyebabkan beliau mengalami kecederaan tulang hidung dan bengkak di mata.

“Najib perlu menjelaskan sama ada beliau mengetahui perkara itu, yang mana Zahid ketika itu adalah timbalan menteri penerangan, dan sama ada perdana menteri telah menyiasat mengapa polis tidak mendakwa Zahid kerana tindakannya itu,” tegas Lim merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut mendakwa Ahmad Zahid telah menafikan perkara itu dan memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya menolak kes berkenaan yang mana telah dilakukan pada 21 April 2010.

Ahmad Zahid kemudiannya dakwa Lim telah mengemukakan saman balas atas alasan mengalami rasa malu dan trauma emosi disebabkan tuduhan tersebut.

Namun tahun lalu jelas Lim, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak cubaan Ahmad Zahid dan mengarahkan beliau membayar RM5,000 kos, dan menggesa beliau memberikan maklum balas terhadap tindakan berkenaan.

“Kes ini dibangkitkan bagi menjawab persoalan mengapa Ahmad Zahid tidak didakwa di mahkmah oleh polis kerana perlakuan jenayah.

“Ia menimbulkan persoalan adakah Malaysia mempunyai penjenayah sebagai Menteri Dalam Negeri?” kata Lim.

Beliau turut menambah “adakah Najib atau Ahmad Zahid bersedia menjelaskan berhubung isu ini dan kesesuaian beliau memegang jawatan Menteri Dalam Negeri dengan kes berkenaan.”

Veteran DAP itu turut menuntut penjelasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low sama ada beliau bersetuju Ahmad Zahid harus meletak jawatan sebagai usaha “integriti” dan “tatakelola kerajaan yang baik” sehingga beliau membersihkan dirinya daripada dakwaan kes berkenaan. -TMI

PETRON Dah Nak Bankrap Sehingga BERNAMA Terpaksa Nafikan Saham Mirzan?


Mirzan Mahathir tidak miliki saham Petron Malaysia

Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (Petron Malaysia) hari ini memaklumkan kepada Bursa Malaysia yang Mirzan Mahathir tidak memiliki sebarang saham ataupun beliau mempunyai peranan dalam syarikat.

Petron Malaysia membuat kenyataan itu sebagai maklum balas kepada pertanyaan daripada seorang pemegang saham di mesyuarat agung tahunan berhubung pegangan saham Mirzan dalam Petron Malaysia dan syarikat induk, Petron Corporation, dan syarikat pegangan, San Miguel Corporation.

Syarikat itu mengesahkan yang Mirzan ialah ahli lembaga syarikat induknya, Petron Corporation Filipina.

Beliau telah dipilih sebagai pengarah Petron Corporation pada 13 Ogos 2010 dan memegang 1,000 saham,

Di bawah undang-undang kecil syarikat, seseorang itu harus menjadi pemegang saham untuk layak sebagai Pengarah.

Petron Corporation mempunyai 9.4 bilion saham yang disenaraikan di Bursa Saham Filipina.

Sebelum memegang jawatan pengarah dalam Petron Corporation, syarikat berkata yang Mirzan ialah pengarah San Miguel Corporation untuk tempoh singkat dari 1 September 2009 sehingga 15 April 2010.

Beliau masa ini menguasai 5,000 saham San Miguel. San Miguel Corporation mempunyai sejumlah 3.3 bilion saham yang disenaraikan di Bursa Saham Filipina.

"Kami berharap yang fakta ini akan mengakhiri segala spekulasi yang berkaitan Mirzan, yang sememangnya tidak adil untuk keluarga Dr Mahathir.

"Saham yang dipegang Mirzan dalam San Miguel Corporation dan Petron Corporation sememangnya saham yang melayakkan untuk jawatan pengarah," kata pengerusi dan ketua pegawai eksekutif, Ramon S Ang dalam satu kenyataan.

"San Miguel, Petron Corporation dan Petron Malaysia ialah syarikat penyenaraian awam, yang patuh kepada standard ketat tadbir urus," tambah Ang. - Bernama

BERNAMA PECAHKAN TEMBELANG ANAK MAHATHIR BEB... KAH KAH KAH !

Gua ni beb bukan lah PANDAI sangat berkenaan SAHAM dan PEMILIKAN nya... tapi rasa-rasa gua yang BODOH pasal SAHAM ni lah... langsung tak boleh di TERIMA DIAKAL kalau hanya memiliki 1000 SAHAM dari 9.4 Bilion SAHAM dan 5000 SAHAM dari 3.3 Bilion SAHAM untuk DILANTIK menjadi AHLI LEMBAGA PENGARAH...

sedangkan NILAI HARGA bagi SAHAM tersebut hanya dibawah RM5 sesaham beb... tak kan BODOH sangat Orang yang ada kat dalam Petron Corporation masa itu dengan MELANTIK pemegang SAHAM yang NILAI nya SATU PERATUS pun TAK SAMPAI beb... agak-agak lah kalau ya pun NAK MENIPU... kah kah kah !.

Dilantik sebagai PENGARAH Petron Corporation pada 13 Ogos 2010 dengan hanya MEMILIKI 1,000 SAHAM... kalau dikalikan RM5 sesaham dengan 1000 SAHAM baru bernilai RM5 Ribu... sedangkan pada masa itu SAHAM yang dipunyai oleh Petron Corporation di Bursa Saham Filipina adalah berjumlah 9.4 Bilion SAHAM... yang kalau berdasarkan HARGA sesaham RM5 ianya berjumkah RM47 Bilion beb... tapi yang jadi Ahli Lembaga Pengarah hanya memang NILAIAN RM5 Ribu sahaja... gua ingat lah kan yang LANTIK Mirzan Mahathir menjadi Pengarah sudah MABUK SAN MIGUEL FREE semasa Masyuarat sedang dijalankan... kah kah kah !.

Manakala bagi San Miguel Corporation pula Mirzan Mahathir hanya mempunyai 5000 SAHAM dari 3.3 Bilion SAHAM yang dipunyai oleh San Miguel Corporation... yang mana ianya lebih kurang BERNILAI hanya sebanyak RM25 Ribu sahaja DIMILIKI oleh Mirzan dari keseluruhan jumlah SAHAM San Migiel iaitu RM16.5 Bilion... lu sendiri NILAI lah beb ada BETUL ke atau TEMBERANG apa yang dilaporkan oleh Bernama tersebut... sebab itu gua cakap kalau ya pun NAK MENIPU biar lah AGAK-AGAK sikit beb... kalau dengan Penyokong Umno mungkin gak dia orang akan PERCAYA sebab jenis dia orang MATEMATIK GAGAL beb... kah kah kah !.

Kerana itu jugak dia orang PERCAYA bila Pemimpin Umno kata Parti DAP yang bertanding sekitar 50 Kerusi Parlimen dari 222 Kerusi Parlimen yang ada boleh memerintah... kah kah kah...apa jenis OTAK UDANG lah yang lu orang ISI PERUT UMNO dah MELANTAK beb... punyalah jauh 50 Kerusi Parlimen dari 222 Kerusi Parlimen tapi lu orang BOLEH PERCAYA dengan cakap Pemimpin Umno ya beb... yang LAWAK nya boleh dikatakan sebahagian BESAR berita yang dibawa oleh Pemimpin Umno tu seperti BERITA DARI ORANG MABUK SAN MIGUEL... lu sendiri FAHAM sudah lah bagaimana kalau ORANG MABUK membuat cerita beb... kah kah kah !.

Yang PELIK BIN AJAIB nya ialah ANGIN tak ada... RIBUT tak ada tiba-tiba PUTING BELIUNG MUNCUL dari Bernama... berita yang konon nya adalah TIDAK ADIL kepada KELUARGA MAHATHIR dengan TUDUHAN terhadap Mirzan Mahathir... kah kah kah... sebaliknya BERITA tersebut telah MENGESAHKAN yang memang BENAR bahawa Mirzan Mahathir pernah menjadi PENGARAH Petron Corporation dan PENGARAH San Miguel Corpration... jadi selama ini Berita yang telah keluar berkenaan Mirzan dan Syarikat Arak San Miguel tersebut adalah BETUL dan BUKAN FITNAH...

cuma PELIK kenapa cerita ini TIMBUL KEMBALI dimasa ianya sudah SEJUK... kah kah kah !
-demolanie

PAS Kemuka Petisyen Minggu Depan, BN Paling Banyak Fail Petisyen


PAS akan memfailkan petisyen Pilihan raya Umum ke-13 bermula minggu depan di enam buah negeri.

Setiausaha Jawatankuasa Khas Petisyen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) PAS, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus berkata setakat ini, terdapat lapan petisyen yang disahkan akan difailkan, tidak termasuk enam dari Terengganu.

"Setakat ini, jumlah petisyen yang disahkan lapan, tidak termasuk enam dari Terengganu. Jika Terengganu memutuskan enam petisyen, maka 14 petisyen akan difailkan. Mungkin juga akan berlaku perubahan sama ada hanya lima yang difailkan Terengganu, bergantung kepada keputusan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu dan Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN) esok," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Kerdee berkata pada asalnya sebanyak 20 petisyen akan difailkan, bagaimanapun selepas enam kali bermesyuarat dan beberapa saringan dilakukan, jawatankuasa bersetuju untuk memfailkan lapan petisyen.

Petisyen tersebut akan difailkan di Wilayah Persekutuan, Perak, Johor, Negeri Sembilan, Selangor, dan Terengganu.

Menurut Abang Kerdee, semua petisyen yang bakal difailkan mempunyai asas dan bukti yang kukuh.

Sementara itu, PKR dikatakan akan memfailkan 27 petisyen di mahkamah, manakala DAP akan memfailkan tiga petisyen.

Dalam pada itu, Barisan Nasional (BN) juga dilaporkan akan memfailkan lebih 50 petisyen membabitkan sekurang-kurangnya 37 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Petisyen itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi sebelum tarikh akhir 11 Jun ini, iaitu 21 hari selepas keputusan PRU13 diwartakan. -HD