28 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Surat Untuk Pemimpin PAS

Datuk Seri,

Apabila angin ribut kuat di tengah laut, Datuk Seri tak terasa sejukkah ketika Datuk Seri sedang memancing jerung. Ketika badai melanda, Datuk Seri tak kecewakah apabila kail hanya lekat anak gelama tengkerong?

Arus politik di daratan barangkali lebih dari angin ribut di lautan. Datuk Seri baliklah cepat dan lihat di sebuah negeri ehsan mengehsan, yang kaya dengan pucuk batubata.

Memurut khabar, seperti yang saya pernah tulis berkali-kali, anak buah Datuk Seri ini gila dan ketagih sangat nak bercakap atau membuat kenyataan akhbar. Kononnya ‘press confren’. Hasilnya selalu jadi bola tanggung. Orang ‘kelepup’ kepala kita balik.

Apa yang terjadi di negeri ehsan mengehsan itu? Dalam sidang akhbar dan TV (kedua-duanya media tak sebulu dengan PAS) kononnya seorang yang bertaraf Pesuruhjaya tidak akan tunduk kepada ugutan rakan sepemerintahnya yang menggesa pucuk pemimpin kerajaan mengambil tindakan disiplin ke atas dirinya berhubung isu arak.

Tuan Guru Datuk Seri,

Betulkah status atau pangkat PESURUHJAYA setiap negeri itu adalah status atau pangkat MENTERI BESAR kalau Pas memerintah? Maaf Datuk Seri, terlupa pula saya. Datuk Seri juga Pesuruhjaya kemudian jadi MB dulu. Di Kedah, Datuk Seri Azizan, Pesuruhjaya, kini MB juga.

Begitulah bla...bla...bla...

Maka terah sekian lama hengar bingar, kecuh hebuh tentang Ronnie Liu dari DAP dengan seorang pesuruhjaya di negeri ehsan mengehsan ini belum reda lagi. Semua orang tahu. Isunya bukan pasal arak sangat. Isunya isu yang ada main acilut di belakang tabir.

Tapi yang jelas kita nampak sekarang, ianya seperti satu perjuangan MAHA SUCI, MAHA JUJUR dan maha-maha demi prinsip, dasar dan kewajipan konon. Saya tak berapa faham tentang ini Datuk Seri tapi saya fikir sia-sia jika kita nak minta berdamai atas nama pakatan, perkongsian dan lain-lain, kerana ada sebahagian mereka bukan ini perjuangan mereka, walaupun dikatakan sebagai ahli Pas yang tidak gila pangkat dan darjat.

Apa yang dihebuh sebenarnya bukan isu itu. Datuk Seri pasti faham. Inilah satu penyakit yang saya sangat-sangat takut Datuk Seri, apabila melanda ke atas pemimpin dan perjuangan Pas. Siang malam menjeri mengatakan kerana Allah, jihad, demi Islam tetapi sebenarnya tingkah laku, gerak dan feel, malah kelip mata pun orang tahu, yang dikejar bukan itu. Kata ulama, inilah ‘hubbun dunya.’
Betulkah?

Datuk Seri, maafkan saya.

Bagaimana kalau kita buat bacaan begini dalam situasi sekarang:
PKR sekarang ada 15 kerusi
DAP sekarang ada 13 kerusi
Umno sekarang ada 20 kerusi
PAS sekarang ada 8 kerusi

Yang peliknya, 8 kerusi ini, parti yang Datuk Seri terajui, hingar bising, kelupur melenting lebih dari 15 kerusi atau lebih dari 20 kerusi. Mereka menaruh impian yang sangat tinggi, melaram yang tak menasabah. Bercita-cita tak kesampaian. Bagi mereka walaupun 8 kerusi, mereka boleh perintah.

Kalau yang 20 kerusi melenting dan kacau, tidak menghairankan. Kan itu pembangkang. Tapi yang 8 ini, apa jadahnya?

Kalau hanya 8 kerusi berimpian boleh memerintah, formulanya apa?

Saya nak peringatkan Datuk Seri, Nasaruddin, Salehuddin Ayub, Datuk Mahfuz dan Setiausaha dan lain-lain diperingkat pusat ini, hubaya-hubayalah dengan melenting dan menggelupur mereka yang bertaraf pesuruhjaya ini kerana pesuruhjaya memungkinkan terus melompat menjadi Menteri Besar.

Formulanya sangat senang:

Bersusik-suksik, berbisik, mengenyit mata dan keremot hidung dengan hidung mancung berkilat merlit, maka akan terjadi 8 kerusi menduduki bersama dengan 20 kerusi. Akan jadi 28 kerusi.

28 kerusi akan sama dengan PKR dan DAP: 15+ 13= 28.

Apabila seimbang begini, berlakulah beli membeli untuk melebihi hanya satu jari kelingking, maka pihak itulah yang akan jadi kerajaan. Atas muslihat busuk dan khianat yang dirancang sekian lama, maka apakah tidak mustahil seorang dari yang 8 ini menjadi MB dan ia tentulah dipilih dari kalangan Pesuruhjaya kerana itulah tarafnya pun.

Bukan mustahil Datuk Seri. Ketika itu Datuk Seri akan melihat terpelantingnya prinsip Islam, perjuangan Islam, Lillahita`ala, jihad demi hanya gilakan sedikit kuasa. Katika itu Datuk Seri akan menangis kerana begitu jadinya setelah berpuluh tahun tarbiah dan usrah Tuan Guru tidak menjadi.

Jadi Datuk Seri, maafkan saya kerana saya tak percaya apa yang bergolak sekarang hanya kononnya nak mempertahankan prinsip, demi Islam dan demi maruah. Yang sebenarnya formula seperti di ataslah yang menjadi kegilaan. Kemungkinan akan berlaku. Jangan tidak percaya dan jangan terkejut kalau ada ‘press confren’: kami 8 orang mengisytiharkan keluar dari pakatan dan menyertai Umno.

Bukankah politik itu seribu kemungkinan Datuk Seri.
Wallahu aklam. Maaf. - Azizi Abdullah

Ulasan GB

Nota : Surat di atas ditulis sebelum berlaku pergolakan SELCAT yang ditimbulkan oleh Dr Hassan Ali.

Era Najib Altantuya : Umno/BN 'berperang' Sesama Sendiri Di Bagan Pinang

Setiap kali ada pilihan raya, umum atau kecil, Umno BN menerusi media yang dikawalnya kerap menyiarkan laporan kononya Pakatan Rakyat tidak sepakat berhubung pemilihan calon.

Hakikatnya apa yang berlaku ialah sebaliknya. Contoh atau bukti terbaru ialah soal calon Umno BN yang bakal dipilih untuk bertanding pilihanraya kecil Bagan Pinang.

Jelas Umno BN terus bergolak berhubung isu calon yang bakal diletakkan pada pilihnaraya kecil Bagan Pinang. Realiltinya ialah ada pelbagai puak dalam Umno yang mahu ‘bos ’masing-masing dipilih.

Dan walau siapa pun dipilih pucuk pimpinan , rasa tidak puas hati pasti ada dan dendam mendendam akan terjadi..

“Soal calon di Bagan Pinang ini sekarang ini pada pendapat saya calon ini menimbulkan masalah besar. Sebab itu ada kenyataan-kenyataan yang hebat daripada pemimpin-pemimpin Umno antaranya yang mempertahankan supaya Isa Samad menjadi calon dan ada juga yang mengkritik.

“Yang terbaru ialah kenyataan Tun Dr. Mahathir sendiri bekas Perdana Menteri yang menawarkan diri untuk beliau bertanding di kerusi Bagan Pinang sekiranya Isa Samad masih dikekalkan sebagai calon Barisan Nasional,”.

Kata beliau tentangan terhadap Isa oleh Umno sendiri memang dijangkakan dan kes politik wang beliau dulu akan dijadikan alasan menyerang beliau.

“Pada saya Umno kini sedang mengalami krisis keyakinan yang cukup besar apakan lagi dalam konteks politik Negeri Sembilan sudah menjadi rahsia umum yang Isa Samad adalah suatu pemimpin politik yang digeruni oleh Menteri Besar Negeri Sembilan sekarang ini.

“Saya melihat Isa Samad juga akan menggunakan rahsia-rahsia sulit yang beliau ada terhadap Datuk Najib sendiri kerana kita sendiri tahu banyak rahsia-rahsia Datuk Najib sendiri termasuk skandal beliau yang ditutup oleh Isa Samad. Pada kita, ini merupakan perkara-perkara yang tidak memberikan pendidikan politik yang baik kepada rakyat.

Bagi Pakatan Rakyat pemilihan calonnya akan dilakukan berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

“Dan oleh kerana itu kita meletakkan syarat yang ketat untuk menjadi calon. Dia perlu menjadi seorang yang amanah, bertanggungjawab mempunyai intergriti dan tentunya mempunyai tanggungjawab yang besar dalam pilihan raya.

“Budaya seperti ini tidak berlaku dalam Umno kerana Isa Samad ini terpalit dengan pelbagai masalah intergriti dan penyelewengan rasuah politik wang yang ingin dijadikan calon. Ini pada pendapat kita, itu adalah satu kelebihan kepada pakatan terutamanya Pas yang akan bertanding kerana saya yakin rakyat sekarang ini, rakyat sudah pandai membuat pilihan dan penilaian rakyat ini boleh mengukur mana-mana parti yang mengabaikan kepentingan rakyat,” katanya. -TVA



Era Najib Altantuya : Hassan Ali Berbohong?

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Teng Chang Kim menuduhkan exco negeri yang juga pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hassan Ali berbohong.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Shah Alam hari ini, Teng berkata, Hasan telah dilaporkan mendakwa beliau telah menuduh pegawai daerah Klang, Bakhtiar Hussin sebagai "tidak cekap" dan "tidak layak".

Teng mendakwa, Hasan kini berbohong lagi untuk menutup pembohongan pertamanya.


Sebelum ini, Hasan meminta supaya dirombak Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) yang dipengerusikan oleh Teng.

Teng yang juga ADUN Sungai Pinang berkata beliau bimbang tindak tanduk Hasan itu boleh menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum akan datang.

Hasan dikritik rakan-rakannya dalam Pakatan selepas beliau mengkritik siasatan awam Selcat yang didakwanya telah 'memalukan' pegawai kerajaan.

Selcat mengadakan siasatan tersebut untuk menyiasat bagaimana wakil rakyat BN membelanjakan peruntukan tahunan RM500,000 dalam masa dua bulan sebelum pilihanraya umum pada Mac tahun lalu. - Malaysiakini

Ulasan GB

Memalukan jika benar Hassan Ali, seorang pemimpin Pesuruhjaya PAS berdusta semata-mata untuk memenuhi nafsunya menyerang Selcat.

Jika demikian sudah pasti saat kehancuran PAS Selangor akan tiba.



Era Najib Altantuya : OSA Untuk Lindung Skandal PKFZ?

Pas Pahang mendesak pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) supaya tidak menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi menyembunyikan salah laku dan penyelewengan wang kerajaan membabitkan pemimpin politik seperti yang berlaku dalam isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Yusof Embong berkata, terdapat unsur penyelewengan dan salah laku membabitkan pemimpin politik pemerintah, sebagaimana didedahkan dalam dokumen kerajaan yang membabitkan wang negara dalam jumlah besar sehingga isu ini didedahkan media.

Menurutnya, jika tiada pihak berani mendedahkannya, hanya kerana takutkan OSA, maka berbilion wang rakyat dan negara diseleweng sesuka hati tanpa diketahui sesiapapun.

“Sebab itu Pas mendesak kerajaan tidak menjadikan OSA sebagai perisai untuk melindungi pemimpin politik untuk melakukan penyelewengan sesuka hati,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Jamuan Rumah Terbuka Pas, di Pejabat Badan Perhubungan Pas Negeri Pahang, di sini semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengarahkan polis menyiasat sebuah laman web yang menyiarkan dokumen didakwa Kertas Kabinet mengenai isu PKFZ.

Beliau dilaporkan berkata, jika benar dokumen yang disiarkan itu Kertas Kabinet, mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah OSA.

Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula berkata, polis akan memanggil beberapa individu termasuk tokoh tertentu bagi membantu siasatan kes pendedahan Kertas Kabinet itu dalam Internet.

Baru-baru ini, sebuah laman blog mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan satu Kertas Kabinet yang ‘diklasifikasi’ mengenai skandal PKFZ.

Blog itu memuatkan dokumen 18 muka surat dengan rujukan KK/BPKA/D5(Y)/540/1/1 sebagai Memorandum Daripada Menteri Kewangan berhubung PKFZ bertarikh 22 Jun 2007 dan menggunakan nama penulis Raja Petra Kamarudin.

Yusof berkata, Najib perlu memperlihatkan sikap yang jelas terhadap penyelewengan yang telah berlaku dalam PKFZ.

Beliau berkata, projek PKFZ mencetuskan kontroversi apabila timbul isu kos pembangunan melambung daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

Era Najib Altantuya : PAS Yakin Tawan Bagan Pinang

Pas tetap berkeyakinan gelombang kemenangan parti itu bersama rakan pakatan lain akan terus ‘melekat’ di Bagan Pinang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, bulan depan.

Naib Yang Dipertua Pas Kuala Nerus, Dr Alias Razak berkata, melihat kepada situasi dan keadaan politik masa kini, tidak mustahil kemenangan tujuh kali pakatan pembangkang akan meningkat kepada lapan berbalas kosong, di sana.

Menurutnya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sekarang memang ditolak rakyat.

“Selepas sekian lama memerintah, saya tidak menolak kemungkinan parti itu akan menerima nasib sama seperti parti LDP di Jepun.

“Selain penolakan rakyat, masalah calon juga penting kerana sehingga sekarang pemimpin BN masih bertelingkah individu mana layak menjadi calon dan ia boleh beri kesan negatif kepada jentera parti,” katanya.

Menurutnya, BN sudah lebih 50 tahun mentadbir negara ini dan berpegang kepada kata-kata bahawa setiap perkara itu mempunyai jangka hayat atau tempoh masanya, begitu juga dengan BN apabila tiba masanya mereka akan jatuh.

Era Najib Altantuya : Mahkamah Tolak Rayuan SPRM Untuk Tangguhkan Inkues

Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan inkues kematian Teoh Beng Hock diteruskan seperti dijadualkan dengan memanggil saksi lain memberi keterangan.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Low Hop Bing memutuskan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menangguhkan inkues itu akan didengar bersama dengan kes rayuan.

Dua lagi hakim yang mendengar kes itu ialah Datuk KN Segara dan Datuk Ramly Ali.

Pada 10 September lalu, Mahkamah Tinggi Petaling Jaya menolak permohonan SPRM untuk menyemak keputusan koroner inkues kematian Teoh berhubung kebenaran memanggil saksi, T Sivanesan bagi mendedahkan dakwaan penderaan pegawai suruhanjaya itu.

Sivanesan pada 9 September lalu mendakwa beliau pernah didera oleh pegawai SPRM semasa disoal siasat.

Mahkamah juga menolak permohonan peguam SPRM yang ingin mendapatkan perintah menangguhkan inkues sementara menunggu rayuan terhadap semakan itu di Mahkamah Rayuan. -BH

Era Najib Altantuya : UMNO Pun Sokong Hassan Ali

Sambil memperoleh mandat daripada Badan Perhubungan Negeri petang semalam, Pesuruhjaya PAS Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali menegaskan, kritikannya terhadap tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat) adalah satu tindakan wajar.

"Adakah salah bagi seorang Exco untuk mencadangkan kepada Selcat agar mempertingkatkan kecekapan, keberkesanan imejnya dan penerimaan oleh publik," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat khas Badan Perhubungan PAS Selangor di sini.

Ia merupakan pertemuan kedua dalam tempoh 24 oleh pemimpin PAS negeri Selangor. Ia diadakan sehari sebelum Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim mempengerusikan mesyuarat khas tiga penjuru.

Mesyuarat tiga penjuru itu akan berlangsung di sini malam ini.

Hasan berkata, Badan Perhubungan PAS negeri telah meluluskan enam resolusi termasuk yang berkaitan dengan kritikan terhadap cara beliau mempertikaikan tatacara Selcat dua minggu lalu.

Resolusi pertama diluluskan untuk memperakui dan menyokong beliau sebagai Pesuruhjaya PAS negeri dan Exco Kerajaan Negeri.

"Kedudukan sebagai Pesurujhaya negeri dibuat oleh Presiden parti manakala jawatan Exco dilantik oleh Menteri Besar," kata beliau sambil menambah, tiada pihak yang harus mempersoalkan kedua-dua jawatan itu.

Kata Hasan, PAS Selangor juga menerima cadangan beliau untuk memperbaiki prosedur-prosedur Selcat.

PAS Selangor juga bersetuju bahawa jika Selcat menerima pandangan Hasan, ia boleh berfungsi dengan lebih baik.

Hasan berkata, PAS Selangor akan meminta kerajaan negeri agar mengkaji jentera operasi Selcat untuk menerima penghormatan di kalangan rakyat.

Katanya, PAS negeri juga meluluskan resolusi bahawa ia akan tetap kekal bersama Pakatan Rakyat Selangor.

"Kami tidak akan meninggalkan Pakatan," katanya.

Satu lagi resolusi yang diluluskan berkaitan dengan saraan hubungan baik antara kerajaan negeri dan kakitangan awam.

"Hubungan antara kerajaan negeri dan pegawai-pegawainya mestilah harmoni sepanjang masa bagi menjamin kelancaran jentera kerajaan negeri," katanya.

Ulasan GB

Jika Dr Hassan Ali bertanya, "Adakah salah bagi seorang Exco untuk mencadangkan kepada Selcat agar mempertingkatkan kecekapan, keberkesanan imejnya dan penerimaan oleh publik" maka kita ingin bertanya,

"Adakah salah orang lain menegur seorang exco yang mengkritik secara terbuka untuk mengaibkan kerajaan negeri dan Pakatan Rakyat. Mengapa tidak boleh mengkritik mengikut saluran?"

Dr. Hassan boleh mendapat sokongan PAS Selangor, tetapi belum tentu disokong oleh semua pengundi-pengundi Gombak Setia.

Yang nyata, pendirian PAS Selangor itu sokongan yang membawa rebah, apatah lagi, UMNO BN juga kini gembira dengan kritikan Hassan Ali itu.

TETAPI UMNO hanya sokong Dr. Hassan bila ia mengkritik PR, tak da sorang pun ahli UMNO nak undi Hassn Ali di Gombak Setia. Mereka tetap undi calon UMNO jugak.

So, gigitlah jari sendiri nanti.




Era Najib Altantuya : Edi Jatuh Bangunan, Cedera Teruk Di kepala Dan Badan

Tindakan berani anak ketiga pelakon Norlia Ghani ketika cuba menangkap pencuri yang menceroboh sebuah unit di tingkat tujuh Pangsapuri Murni Titiwangsa, Keramat di sini meragut nyawanya sendiri apabila dia terjatuh dari bangunan itu Ahad.

Kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu menyebabkan Edi Rizal Ramli, 33, yang juga adik kepada pelakon Rusdi Ramli maut akibat tergelincir ketika mahu memanjat ke balkoni unit berkenaan.

Abang mangsa, Romiza, 36, berkata seorang lelaki dikatakan memasuki unit di tingkat tujuh dengan memanjat saluran paip dan Edi Rizal yang mahu menangkap lelaki itu turut berbuat demikian tetapi tergelincir akibat tidak dapat mencapai palang besi di anjung unit itu.

Romiza berkata terdahulu adiknya bergegas ke tingkat tujuh sebaik diberitahu seorang pencuri sedang bersembunyi di situ selepas lelaki berkenaan dikatakan memecah masuk unit kediaman di tingkat lapan.

"Dia (Edi) kemudian panjat balkoni melalui saluran paip selepas gagal masuk melalui pintu hadapan unit di tingkat tujuh itu tetapi dia tergelincir dan terjatuh," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur(HKL).

Edi Rizal yang masih bujang cedera teruk di kepala dan badan dan dihantar jiran ke HKL, tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian.

Abang sulung mangsa, Rusdi, 39, pula ketika ditemui berkata jenazah adiknya akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat selepas bedah siasat. -Bernama

Ulasan GB

Sudah beberapa kejadian yang ditunjukkan Allah mereka yang jatuh bangunan pasca Teoh Beng Hock menunjukkan semua mangsa yang jatuh dari bangunan akan cedera teruk.

Tetapi hal yang sama tidak berlaku kepada Teoh Beng Hock sendiri, justeru itu keterangan pakar forensik sebenarnya sangat jelas satu penipuan.


27 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Pemuda PR Sedia Gempur Bagan Pinang

Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang semakin terasa bahangnya.

Barisan Pemuda Pakatan Rakyat mengumumkan kesediaan menghadapi UMNO-Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang.

Pimpinan kanan Pakatan Rakyat melancarkan jentera bersepadu sayap pemuda gagasan kerajaan alternatif itu di Bagan Pinang semalam dalam usaha merampas kerusi yang dikatakan kubu kuat Umno-BN.

Perasmian jentera Pemuda Pakatan ini dihadiri oleh ramai barisan pemuda dan penduduk Kampung Bagan Pinang.

Hadir pada majlis itu adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi dan Ketua DAPSY, Loke Siew Foke.

Bagi tetamu istimewa, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dr. Syed Hussien Ali yang merasmikan pelancaran tersebut berkata, apa pun jua permasalahan di Bagan Pinang ianya perlu ditangani dengan bijak.

Beliau berkata demikian mengulas tentang undi pos yang difahamkan akan terus digunakan pada pilihanraya kecil Bagan Pinang.

" Sebaik-baiknya pengundian dilakukan macam biasa. Ada kotak misalnya ada tong di pintu pejabat atau di luar kem dan mereka keluar untuk mengundi. Mengapa tak boleh? Sama macam proses yang lain. Mereka tidak di Monggolia atau di perbatasan. Mereka sentiasa ada di kem itu, Mereka tidak ke mana-mana pun" ujarnya.

Sementara itu bagi Ustaz Nasaruddin pula, meski apa pun halangan yang bakal dihadapi oleh Pakatan di Bagan Pinang, jentera pemuda sudah bersedia.

Beliau tidak lupa memberikan nasihat kepada Pemuda supaya sentiasa bersedia mendengar arahan dan jangan sesekali melakukan perkara negatif yang memungkinkan harapan parti itu terkubur.

" Biarpun kita diganggu dan diancam dengan undi pos di Bagan Pinang ini. Saya yakin kita masih mempunyai peluang yang cerah di DUN Bagan Pinang ini asal sahaja kita mempunyai komitmen yang tinggi, bekerja keras untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kita".

Bagi Siew Foke pula, UMNO-BN katanya semakin hilang sengat. Bagi DAP, gagasan parti-parti perkauman itu dalam keadaan tertekan dan terdesak memenangi Bagan Pinang.
" Kita nampak UMNO sudah ketandusan isu. Sudah bankrap idea. Tidak ada idea baru.

Tidak ada cara baru untuk mendekati hati rakyat. Tidak ada cara untuk menangkan pilihanraya. Todak ada cara untuk berkempen. Balik-balik cara yang lama" ujarnya kepada sidang hadirin.

Malah Siew Foke yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, taktik UMNO-BN yang sering menyogok rakyat dengan pembangunan tidak akan berhasil di Negeri Sembilan.

Pembangunan apa lagi yang diharapkan oleh rakyat Negeri Sembilan sekiranya insfrastruktur yang sudah sedia ada juga telah lama terbengkalai.

" Kita sudah nampak masa kita masuk Kampung Bagan Pinang tadi. Sudah mula lah. Hari Sabtu pun sudah ada kerja sekarang. Kontraktor kelas F semua gembiralah. Musim perayaan untuk mereka sekarang ini. Banyak projek dapat" tambahnya lagi.

Manakala bagi Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar, Bagan Pinang bukan hanya satu laluan yang sukar kepada kepimpinan Umno malah mereka turut menghadapi krisis untuk memulakan pertarungan sengit ini.

Beliau berkata demikian kerana parti itu ujarnya dalam dilema untuk menentukan siapa calon mereka nanti.
" UMNO sekarang ini mengalami satu sindrom takut nak jadi calon. Berapa banyak calon-calon UMNO hilang pekerjaan. Formula Manek Urai, terbarai. Dulu pengarah sekarang penganggur. Problem. Kawan saya di Permatang Pasir, tak apalah dia lawyer tapi susah juga nak jawab bini nombor dua. Kalau tak jadi calon tak apa. Sudah jadi calon keluar semua. Kalah pula tu".

Sebelum ini heboh diperkatakan UMNO akan meletakkan mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad sebagai calon mereka di Bagan Pinang.

Malah menurut Shamsul lagi, mungkin ada benarnya meletakkan Isa Samad kerana beliau sememangnya sudah kaya dan tidak risau sekiranya kehilangan pekerjaan.

Namun begitu katanya, UMNO-Barisan Nasional meletakkan diri mereka dalam zon merbahaya kerana Isa Samad cukup sinonim dengan kes rasuah. -TVA



Era Najib Altantuya : Apabila Noh Omar Bela Hassan Ali

Para pemimpin dan penyokong parti pembangkang yang sering melaung-laungkan kebebasan bersuara sepatutnya bersikap terbuka apabila Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menegur Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar berkata beliau hairan apabila ada yang mahukan tindakan diambil terhadap Dr Hasan sedangkan sebagai wakil rakyat dan bekas pegawai tinggi kerajaan, pandangan yang diberikannya adalah betul.

Tindakan sehingga menyuruh Dr Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri itu dipecat adalah membelakangi prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara yang diperjuangkan oleh parti pembangkang selama ini, katanya kepada pemberita ri Rumah Terbuka Umno Bahagian Tanjung Karang yang diterajuinya di sini pada hari Ahad.

Sebelum ini, Dr Hasan telah menegur kaedah para pegawai daerah yang disiasat bagi mengetahui kemanakah wang peruntukan Anggota Dewan Undangan Negeri sebelum Pilihan Raya Umum 2008 dibelanjakan yang didakwa menghina dan memperkotak-katikkan maruah pegawai-pegawai kerajaan.

"Jadi kalau pegawai daerah ini disoal siasat secara terbuka, ini bagi saya menghina dan mempersoalkan kerja-kerja yang dibuat oleh pegawai dalam negeri Selangor kerana bagi kita semasa Barisan Nasional memerintah, pegawai-pegawai kerajaan negeri telah terbukti membantu kerajaan Barisan Nasional membangunkan negeri Selangor," katanya. -Bernama


Ulasan GB

Apabila pemimpin UMNO BN mengambil sikap membela Dr Hassan Ali, kita sedia maklum untuk memahaminya. Nanti akan bertambah jelas duduk perkara sebenar apatah lagi Timbalan Presiden PAS sendiri menyatakan tiada tindakan ke atas Dr Hassan Ali.

Tetapi Khalid Samad dan Saari Sungip mereka telah digugurkan dari Dewan Harian PAS Selangor kerana perbezaan pendapat.

Tulisan Dzulkifli Ahmad di Harakah ditarik-semula setelah mengeluarkan hujjah penentangannya terhadap Kerajaan Perpaduan.

Semua yang menentang gagasan Kerajaan Perpaduan akan disisihkan di dalam PAS. Ini era PAS yang dah suka melakukan sesuatu di dalam kelambu (sama macam UMNO) kononnya untuk elak kononnya jangan aibkan sesiapa. Tetapi jika mereka singkirkan orang yang berbeza pendapat atau aibkan orang, itu tak apa dan tak ada apa-apa.

Tonton nanti 3 Abdul, undang-undang berat sebelah.



Era Najib Altantuya : UMNO Jangan Cuba Ekspoitasi Undi Pos

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengingatkan Umno Barisan Nasional (BN) tidak mengeksploitasi pengundi pos di pilihan raya kecil Bagan Pinang yang akan berlangsung pada 11 Oktober ini.

Beliau berkata dengan jumlah undi pos yang berjumlah 4,604 orang bagi mempertahankan kerusi berkenaan dilihat boleh menjadi penentu kepada kemenangan parti pada pilihan raya kecil itu.

Pilihan raya kecil tersebut akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2008 yang digabungkan dengan daftar pemilih tambahan suku tahun pertama 2009 dan daftar pemilih tambahan suku tahun kedua 2009 yang telah dikemas kini sehingga 4 September lalu.

Daftar pemilih ini mengandungi 13,664 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos.

“Nampak gayanya di mana-mana negeri termasuk Kelantan, undi pos jadi penentu. Jadi sama ada askar dipaksa, tak munasabah, jadi demokrasi macam mana kalau dipaksa atau pun ada seseorang yang khusus pangkah undi untuk orang lain yang tidak tahu hujung pangkalnya.

“Saya harap telus sebab kita demokrasi, jadi kita belajar demokrasi dari Eropah, tapi betulkah orang Eropah ajar askar macam itu, Eropah tak paksa askar dan polis turut mengikut arahan ketua,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengingatkan penceramah parti itu supaya tidak menyerang secara peribadi lawan sepanjang kempen pilihan raya kecil Bagan Pinang nanti.

Nik Aziz berkata, secara umum penceramah Pas boleh meyentuh perkara berkaitan dasar tanpa menyentuh peribadi lawan di pentas ceramahnya sepanjang hari berkempen.

Jelasnya walaupun hari berkempen adalah saat yang perlu digunakan sepenuhnya oleh semua pemimpin parti tetapi tidak bermakna peluang yang ada itu disalahgunakan dengan menyerang secara peribadi.

“Saya tak suka sentuh peribadi, hal peribadi kenapa nak beritahu orang lain, kalau sentuh perangai secara umum itu tak pa.

“Kita sebut rasuah politik, sebut rasuah itu haram dalam agama dan demokrasi, nak sebut secara umum taka pa, jangan tuju sesiapa dan kalau hendak sebut juga, jumpa orang itu sendiri,” katanya. -TVA

Era Najib Altantuya : Nik Aziz Gesa Ibrahim Ali Letak Jawatan

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi pendirian Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini bahawa Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali perlu meletakkan jawatannya susulan dengan tindakan yang dilihat tidak sehaluan dengan parti tersebut.

“Saya minta dia keluar... yang melantik dia (bertanding di Pasir Mas) saya dengan bendera Pas. Bila (Pas) kawasan Pasir Mas minta dia undur, dia kena berundur. Duit yang dia makan tu tidak betul, sembahyang Tuhan tak terima,” katanya.

Sebelum ini, menjawab cabaran Nik Aziz, Ibrahim yang juga bekas Ketua UMNO Pasir Mas menyatakan beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Mas kecuali jika diminta berbuat demikian oleh pengundi di kawasannya.

Ibrahim, 57, digugurkan dari jawatan Ketua UMNO Pasir Mas pada 22 November 2003 dan kemudian digantung keanggotaannya dalam UMNO seumur hidup kerana bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum ke-11, Mei 2004.

Ibrahim turut hilang wang pertaruhan selepas mendapat 415 undi semasa pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkalan Pasir pada 2005 yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional, Hanafi Mamat

Ketika ditemui di kediamannya semalam, Menteri Besar Kelantan itu berkata, dalam keadaan kini, tiada guna Ibrahim mengekalkan jawatan itu jika masyarakat memandang lekeh kepada beliau.

“Lebih baik dia letak jawatan... perut kenyang tapi masyarakat pandang lekeh. Orang Pas yang undi dia dan memenangkan dia, hanya sedikit orang UMNO mengundi dia,” katanya.

Selain itu katanya, beliau tidak peduli sekiranya Ibrahim kembali bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 sebagai calon bebas dan Pas akan tetap meletakkan calon dalam pilihan raya tersebut.

Terdahulu, Nik Aziz berkata, beliau tidak bimbang jika Ibrahim meletakkan jawatan, malah mencabarnya menguji kekuatan pengaruh politik dengan bertanding atas tiket Bebas dalam pilihan raya kecil.

Era Najib Altantuya : Kalau Saya Isa, Saya Tarik Diri - Mahathir

Kalau saya jadi Isa Samad, saya tarik diri dan sokong calon lain yang dipilih,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad ketika diminta mengulas UMNO Bahagian Teluk Kemang yang mahukan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menjadi calon.

Mantan Perdana Menteri itu berkata, adalah baik jika Isa memberikan kerjasama berkempen untuk calon yang dipilih dan cara tersebut dapat meningkatkan reputasinya.

“Kita bukan semata-mata nak menang, jika menang pun calon tak bersih buat apa,” katanya.

UMNO Bahagian Teluk Kemang tidak berganjak dengan pendiriannya yang mahukan Tan Sri Isa Samad sebagai calon dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan (DUN) Bagan Pinang, 10 Oktober nanti.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Teluk Kemang, Rohani Yaakob pula berkata, mereka sebulat suara memutuskan kata sepakat ini namun, ia terpulang kepada Presiden untuk membuat keputusan.

Beliau berkata, tindakan UMNO Bahagian Teluk Kemang itu dilihat berpandangan singkat dan hanya melihat kepentingan bahagian saja tanpa mengambil kira kepentingan parti.

“Jika diletak calon tidak bersih, maka keseluruhan parti akan dikutuk. Saya minta jangan letak Isa sebagai calon,” katanya kepada media di kediamannya sempena rumah terbuka Aidilfitri, semalam.

Kira-kira 10,000 rakyat mengunjungi rumah terbuka bekas Perdana Menteri itu yang dibuka seawal 10 pagi sehingga 5 petang, semalam. Mereka adalah rakyat jelata yang mengagumi ketokohan beliau hingga kini.

Antara pemimpin yang hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim dan isteri; Menteri Pelancongan Dr Ng Yen Yen dan kenamaan lain. -SH

Era Najib Altantuya : SELCAT, Isu Jadian Yang Memualkan

Baru-baru ini kita terpaksa menangani “krisis jadian” sekali lagi di Selangor. Krisis kali ini berhubung persoalan kaedah sesi soal siasat terbuka yang berlangsung melalui Selcat, khususnya terhadap pegawai-pegawai kerajaan. Mereka dikatakan telah “dibuli”, “diperbudak-budakkan” dan “dihina” semasa perjalanan sesi tersebut. Di atas alasan ini maka dikeluarkan kenyataan mengkritik perjalanan sesi soal siasat tersebut di dalam media.

Seperti yang boleh dijangkakan, kritikan terbuka sebegini oleh Datuk Dr. Hasan Ali, sebagai seorang Ahli Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pesuruhjaya PAS Selangor memang dimanfaatkan sepenuhnya oleh media arus perdana. Kritikan-kritikannya digunakan untuk menyatakan kononnya wujud perbalahan dan berbagai masalah dalam PR Selangor.

Sebenarnya, kita semua menyedari bahawa Selcat merupakan perkara yang baru. Sesi soal siasat terbuka seperti ini sememangnya merupakan satu amalan yang tidak biasa dilakukan di negara kita ini. Oleh itu sudah pasti akan ada reaksi yang kurang baik dan mungkin akan ada juga kelemahan-kelemahan yang perlu diatasi. Saya difahamkan bahawa sudah pun dibuat teguran-teguran kepada pihak yang berwajib bagi memperbaiki beberapa kelemahan yang telah pun dikenalpasti. Teguran-teguran itu telahpun diterima dengan baik di atas semangat kebersamaan dan kerjasama.

Yang menjadi masalah ialah apabila Datuk Dr Hasan membuat pendedahan dan kritikan berhubung persoalan ini kepada pihak media arus perdana. Diambil olehnya posisi sebagai pengkritik dan pembangkang, mengkritik kerajaan PR, sedangkan beliau sepatutnya memainkan peranan sebagai ahli exco yang sedang bersama berusaha untuk mengasaskan budaya ketelusan, pertanggungjawaban dan keamanahan yang hampir tidak wujud semasa zaman BN dahulu. Diluah pula apa yang tidak dipersetujuinya kepada akhbar arus perdana yang dikenali semua sebagai alat pihak lawan.

Semestinya apabila diserang sebegitu, oleh orang yang dianggap rakan, ramai dari Adun PR yang terperanjat. Lebih-lebih lagi apabila teguran-teguran yang sama telah pun dibincang bersama secara tertutup dan telah juga diambil kira. Tindakan beliau dilihat sebagai usaha untuk menonjolkan diri sebagai pembela pegawai-pegawai ini, sambil dalam masa yang sama Selcat pula digambarkan sebagai pihak yang menzalimi mereka!

Bagi saya, yang “membuli”, “memperbudak-budakkan” dan “menghina” pegawai-pegawai kerajaan gred atasan ini ialah pentadbiran BN dahulu. Ini mereka lakukan apabila mereka mengarah pegawai-pegawai atasan ini supaya membenarkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi setiap DUN dihabiskan dalam tempoh 2 bulan sedangkan ianya peruntukan untuk setahun! Mereka dipaksa mengenepikan peraturan-peraturan tetap dan dalam pada itu diugut dengan tindakan tata-tertib sekiranya tidak akur. Ini “buli” dan ini “memperbudakkan”. Sebaliknya, tindakan kerajaan PR ingin mendidik dan memartabatkan jawatan pegawai-pegawai kanan ini dengan menjelaskan kepada mereka amanah dan tanggungjawab yang datang bersama jawatan yang penting sebegitu.

Hasil tindakan mengkritik Selcat secara terbuka oleh Datuk Dr Hasan, dan ini bukan merupakan kali pertama tindakan sebegini dilakukannya, telah pun menjejaskan imej PR dan PAS.

PR kelihatan sebagai sebuah kerjasama dan gabungan yang rapuh, lemah dan tidak kukuh. Ia dilihat sentiasa bertelagah satu sama lain walaupun telah bersama selama lebih dari setahun. Imej lemah sebegini memang diusahakan oleh BN dan dengan tindakannya itu, beliau telah pun secara tidak langsung membantu BN dalam usaha mereka untuk memperlekehkan PR. Segala usaha PR untuk menzahirkan imej bersatu, kukuh dan padu digagalkannya dengan tindakan sebegini.

PAS pula dilihat sebagai parti yang bersifat “talam dua muka”atau “gunting dalam lipatan”. Duduk bersama Exco membincang segala pendekatan tetapi menempelak kerajaan PR pada setiap peluang yang diperolehinya. Dalam bahasa Inggeris ada istilah “one-up manship” yang bermakna usaha untuk menaikkan nama sendiri dengan menjatuhkan nama “kawan”. Orang yang sebegini tidak ada yang ingin jadikan sebagai kawan. Dia sentiasa mengambil kesempatan untuk menjatuhkan imej kawan demi menaikkan imej sendiri. Golongan ini dijadikan kawan hanya apabila tiada pilihan lain atau terpaksa.

Sepatutnya sebagai Parti Islam, PAS adalah parti yang ingin disepakati oleh semua kerana jujurnya, amanahnya, setianya, lurusnya dan telusnya. Parti Islam tidak akan khianat kerana sentiasa boleh diharapkan dan dipercayai. Berpegang kepada janjinya dan bukan jenis cakap lain, buat lain. Malangnya buat masa ini di Selangor, PAS tidak mempunyai imej yang sebegitu. Apabila disebut sahaja “lompat” di Selangor, semua melihat pada PAS. Ini adalah hasil dari tindakan-tindakan “one-up manship” yang telah berlaku selama ini.

PAS dilihat mempunyai agenda tersendiri yang dirahsiakan dan tidak dikongsi bersama dengan rakan Pakatan. Ini menimbulkan syak wasangka dan boleh menggagalkan PR. Kenyataan-kenyataan yang saling bercanggah yang dikeluarkan selepas ditegur hanya menimbulkan kesangsiaan. Sekejap dikatakan hakim pencen, sekejap tidak. Sekejap dikatakan ingin mengkaji semula kedudukan dengan PR, sekejap tidak! Keliru lagi mengelirukan!

Saya tidak faham, apakah sukar sangat untuk kita berpakat dan berkerjasama secara jujur dan ikhlas? Bukankah kejujuran dan keikhlasan itu dituntut oleh Islam? Adakah kerana kita merasakan kita Parti Islam dan yang lain tidak, maka kita tidak perlu berlaku jujur dalam kerjasama kita bersama mereka? Adakah kita sudah begitu sesat dengan fahaman Yahudi Zionis sehingga menganggap setia kepada janji dengan bukan Islam adalah satu kesalahan? Akan hilang atau tidak wala” lagi pada kepimpinan Islam kerana menjadi wala” kepada pemimpin lain? (Bagi yang tidak tahu, wala” maksudnya kesetiaan).

Sekiranya itulah fahaman yang hendak dibawa, maka akan hancurlah PAS. Bukan kerana kekuatan lawan tetapi kesesatan diri sendiri. PAS sebagai parti Islam mestilah jujur dengan kerjasamanya dengan pihak lain dan atas kejujuran itu akan terbina satu kekuatan yang jitu. Kekuatan kejujuran dan keikhlasan perjuangan Islam inilah yang akan menyebab semua datang berteduh di bawah naungannya. Inilah kaedah yang sebenarnya, bukan melalui pengkhianatan, kelicikan dan kepura-puraan. — khalidsamad.com

26 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Jawab Dulu Bagaimana Peruntukan Habis Dalamasa 3 Bulan

Bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo tidak perlu terlalu ghairah memecah-belahkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, sebaliknya perlu terlebih dahulu memberi penjelasan berkenaan salah guna peruntukan DUN yang dihabiskan dalam masa kurang daripada tiga bulan semasa Selangor di bawah pemerintahan Barisan Nasional, kata ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San.

Katanya, Mantan Menteri Besar itu turut menuduh DAP memanipulasikan SELCAT bagi menunjukkan mereka lebih berkuasa berbanding parti-parti lain di Pakatan Rakyat.

Menurutnya, Khir Toyo dalam satu kenyataan yang diterbitkan akhbar tempatan Rabu lalu membidas DAP sebagai 'menggunakan SELCAT sebagai platform untuk menunjukkan kekuasaan mereka di negeri Selangor'.

"Sebenarnya, apa yang dituduhkan oleh Khir adalah bersifat spekulasi semata-mata dengan tujuan menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor,"demikian kata Lau dalam kenyataannya semalam.

Katanya, Selcat yang ditubuhkan oleh Dewan Negeri Selangor pada tahun 2008 untuk menegakkan prinsip-prinsip keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan di Selangor.
Katanya, selama 50 tahun BN dan UMNO mentadbir Selangor, prinsip-prinsip yang penting ini semakin terhakis, khususnya semasa Selangor ditadbir di bawah Khir Toyo.

"Bagi memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap kewibawaan kerajaan Selangor, Dewan Negeri Selangor telah menubuhkan SELCAT yang ditugaskan khas untuk menegakkan prinsip-prinsip ini dalam pentadbiran kerajaan negeri melalui satu proses pemantauan yang belum pernah dilaksana di Selangor dan Malaysia tetapi sudah menjadi satu kebiasaan bagi sistem pentadbiran Demokrasi Berparlimen di negara-negara maju yang lain, khususnya negara-negara Komanwel, iaitu melalui pendengaran terbuka," katanya.

Lau yang juga Setiausaha DAP Selangor berkata, daripada terus mengaut di dalam air keruh, adalah lebih baik untuk Khir menjelaskan bagaimana beliau sebagai Menteri Besar pada masa itu membenarkan perkara itu terus berlaku.

"Kalaulah beliau yang benar-benar ikhlas dalam mempertahankan pegawai-pegawai kerajaan, maka saya menyeru kepada beliau agar tampil ke hadapan dan menjawab segala persoalan yang timbul", katanya. -TVS