23 Jun 2009

PAS UMNO : Ramai Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Ponteng?

Di dalam satu pengundian belah bahagi atas permintaan 15 anggota Dewan Rakyat, kebanyakannya dari Pakatan Rakyat ke atas Rang Undang-undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) diadakan di dapati 48 anggota Dewan Rakyat menyokong manakala 47 membantah

Difahamkan ini kali pertama Dewan Rakyat menyaksikan kelulusan satu rang undang-undang atau mana-mana seksyen diluluskan dengan kelebihan satu undi.

"Sejak saya menjadi anggota Dewan Rakyat, bermula tahun 1990, ini adalah kali pertama satu rang undang-undang diluluskan dengan kelebihan undi sangat tipis," kata Timbalan Speaker, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika ditemui di lobi Parlimen.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, R. Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang menggambarkan rang undang-undang yang kompleks itu "hampir gagal."

Rang undang-undang itu mempunyai 27 seksyen.

Hari ini Dewan Rakyat mula membahaskan lima seksyen yang dipinda selepas ia ditolak pada sesi Mac lalu.

Seksyen Dua itu membabitkan aspek intepretasi dan definisi pengendalian ujian DNA.

Ramai yang tertanya-tanya ke manakah perginya ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat yang lain yang kesemuanya berjumlah 82 orang.

Sikap sambil lewa serta tidak bertanggungjawab ahli parlimen Pakatan Rakyat amat diksalkan apatah lagi apabila terdapatnya kes-kes yang memerlukan penglibatan mereka seperti undian belah bagi seperti di atas.


Akta DNA tersebut mampu ditolak oleh Parlimen seandainya pihak ahli parlimen Pakatan Rakyat hadir kesemuanya sewaktu pengundian dijalankan tetapi hampir separuh dari mereka mengabaikan peranan dan tanggungjawab mereka kepada rakyat dan negara.

Kita kesal dan kita meminta agar wakil rakyat yang tidak hadir tanpa sebab yang menasabah itu didedahkan supaya mereka meletakkan jawatan lantaran pengkhianatan mereka kepada pengundi Pakatan Rakyat, atau setidak-tidaknya mereka tidak perlu lagi di pilih di dalam pilihanraya akan datang.

PAS UMNO : Kerajaan Perpaduan - Ada Bengkak Yang Belum Sembuh?

Dari Catatan IBN HASYIM

Sebentar tadi, saya ditemukan dengan seorang sahabat lama PAS yang sama-sama berada di majlis ukhuwah pemimpin-pemimpin PAS petang dan malam semalam berbincang mengenai Kerajaan Perpaduan.

"Okey. Semuanya beres, yang seolah-olah luka itu sudah nampak sembuh sekarang??" Saya tanya.

"Ya! Luka luar sudah nampak sembuh, tapi yang bengkak masih belum surut, seolah-olah ada duri yang masih belum boleh dicabut!" Jawabnya. "Memang duri-duri kecil sudah dicabut, tetapi bengkak tak nampak surut lagi, mungkin masih ada bapak duri mencengkam di dalamnya.."

"Ah.. berkias-kias pula.." Saya nak terus terang. "Apa duri-duri itu?"

"Terus terang aku kata.. Sebelum dijalankan undi dalam muktamar 55 lepas, melihat kepada perlantikan pengira undi, dari segi jumlah, masa dan ketidak telusan pemerhati, pemerahati tidak dibenarkan masuk dan segala macam, kami sudah tahu idola kami akan kalah. Tapi bukan kerana kalah kurang dari undi perwakilan.. kalah kerana SPR muktamar!!"

Kami yang dengar, terkejut.

"Dalam pertandingan Timbalan Presiden, undi penentang penyandang, keputusannya tiba-tiba terpecah dua. AJK yang menangpun tidak imbang, ditinjau dengan selidik perwakilan. Bila perlantikan AJK pula, orang yang sudah tidak dilantik muktamar beberapa penggal, tiba-tiba dipilih memegang jawatan penting! Seolah-olah dia yang menentukan dasar, apalagi bila dilihat rekod-rekod lalunya berhubung Kerajaan Campuran/Perpaduan dalam ertikata hubungan PAS/UMNO saja...."

Mata yang mendengar kritiknya mulai terbeliak.

Seorang dari kawan kami mencelah, "Aku terima SMS sebelum ini dari penyokong PAS yang bukan Islam, katanya, Lu sokong Tok Guru mana? Tok Guru sokong UG (Kerajaan Perpaduan) ke, tok Guru lawan UG? Kalau jadi UG UMNO-PAS, kami mahu pergi mana?, katanya. Aku tak boleh jawab apa-apa.. Nasib baik ada kumpulan 10 Ahli Parlimen yang mula cetuskan anti K/Perpaduan, bertolak dari situlah berlaku seperti sekarang."

Sahabat lama PAS itu menyambung lagi, "Mengapa tiada ketelusan dalam menjelaskan mengenai biaya pengurusan muktamar yang dilaporkan dibiayai syarikat UMNO?? Benarkah?" Katanya menikam, walaupun nampak tenang. "Aku bimbang.. bengkak dari kesan luka itu lambat laun akan bernanah, dan merosakkan tubuh PAS. Na'auzubillah.."

Tanpa disedari, air sudah tergenang di kelopak matanya. Dengan sebak katanya, "Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah SWT selamatkan jamaah dan perjuangan kita...."

Dia membacakan doa, dan kami aminkan beramai-ramai... -IbnHasyim


Anwar Rancakkan Kempen PRK Manek Urai

Kehangatan pilihan raya kecil Dun Manek Urai kini semakin terasa apabila kempen kedua-dua parti semakin agresif.

PAS sudah memulakan gerak kerja kempen sejak akhir Mei lalu di Kampung Manek Urai Baru yang disempurnakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Begitu juga Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato’ Mustafa Mohamed sudah beberapa kali datang ke Manek Urai.

Kelmarin Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan penduduk di Sekolah Kebangsaan Sungai Sok.

Dun Manek Urai akan tambah sendat malam ini dengan kehadiran tokoh-tokoh pemimpin Pakatan Rakyat pada program ceramah perdana di Padang Majlis Daerah Laloh.

Kehadiran Menteri Besar bersama Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tentunya menarik perhatian penduduk tempatan.

Anwar juga dijangka menziarahi keluarga Adun Manek Urai, Allahyarham Ismail Yaacob di Kampung Manek Urai Lama sebelum menyampaikan tazkirah di sebuah masjid.

Anwar dikatakan akan mengadakan pertemuan dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebaik sahaja tiba di Kota Bharu petang ini.

Beberapa penduduk di Laloh ketika ditemui petang semalam menjangka kampung tersebut akan sendat dengan limpahan manusia malam ini.

Beberapa peniaga termasuk dari Pulau Pinang sudah tiba sejak semalam.

Manakala petugas bahagian keselamatan PAS sudah memulakan gerak kerja sejak beberapa hari lalu bagi memastikan program tersebut berjalan lancar.

Pasukan polis juga sudah memasang khemah besar di simpang tiga Laloh yang difahamkan akan dijadikan markaz taktikal. - M.Faqih

PAS UMNO : Pihak Cuba Bangkitkan Isu 10 MP Sokong TGNA Dalam Mesyuarat Gagal

PAS nampaknya benar-benar mahu melupakan krisis dalaman mereka. Ini dibayangkan oleh tindakan presiden parti itu, Datuk Abdul Hadi Awang yang menolak usaha pihak-pihak tertentu yang mahu menyalahkan 10 anggota Parlimennya yang membuat kenyataan bersama menolak kerajaan perpaduan.

The Malaysian Insider difahamkan, dalam mesyuarat khasnya malam tadi, ada AJK PAS Pusat yang mempertikaikan tindakan 10 anggota Parlimen itu yang disifatkan memberikan imej yang buruk kepada PAS.

Kesepuluh mereka adalah Khalid Abd Samad (Shah Alam), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Dr Dzulkifli Ahmad (Kuala Selangor), Kamaruddin Jaafar (Tumpat), Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Lo’ Lo’ Ghazali (Titiwangsa), Dr Mohd Hayati Othman (Pendang), Taib Azamudden Mohd Taib (Baling) dan Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar).

Namun, sebaik sahaja isu itu dibangkitkan, Abdul Hadi menolaknya dengan berkata, perkara itu tidak perlu dipertikaikan lagi.

"Ini adalah kuasa pengerusi," Abdul Hadi dilaporkan sebagai berkata dalam mesyuarat itu apabila seorang AJK membangkitkannya.

Ketegasan Abdul Hadi menolak perkara sebegini dijangka akan meredakan segera pertembungan dalam PAS sebelum ini. Abdul Hadi pula mengambil tindakan ini dalam keadaan kenyataan itu seolah-olah menyerang beliau sendiri selaku pihak yang mencetuskan idea kerajaan perpaduan ini.

Sebelum ini sudah ada cakap-cakap yang mendesak 10 anggota Parlimen ini dikenakan tindakan kerana melanggar keputusan yang telah dicapai oleh PAS untuk tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan sehinggalah kata sepakat dicapai.

Kesepuluh anggota Parlimen ini membuat sidang media di lobi Parlimen 18 Jun lalu dan menegaskan agar PAS bersama dengan Pakatan Rakyat dan menolak kerjasama dengan Umno.

Kenyataan ini dikeluarkan selepas Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat kenyataan meminta timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa meletakkan jawatan sebagai anggota Parlimen Bachok dan menyertai Umno jika terus hendak kepada kerajaan perpaduan.

Petang semalam, Nik Aziz dan Nasharudin bertemu dan menyelesaikan perbezaan pendapat antara mereka dan kemudiannya bertemu dengan media penuh dengan wajah ceria.

"Jikalah Abdul Hadi membuka ruang untuk membahaskan tindakan 10 anggota Parlimen itu dalam mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat semalam, nescaya tidak pernah habislah isu ini," kata seorang AJK PAS Pusat kepada The Malaysian Insider.

Mesyuarat semalam dimulakan dengan Presiden PAS yang mempengerusikan mesyuarat itu membacakan dua kenyataan iaitu kenyataan bersama tiga pemimpin Pakatan Rakyat yang menolak kerajaan perpaduan dan kenyataan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz yang menarik balik kenyataannya terhadap Nasharudin sebelum ini.

Dengan permulaan baik itu, mesyuarat khas malam tadi telah berjalan lancar dan penuh dengan semangat ukhuwah Islamiah (persaudaraan Islam) yang kukuh di kalangan pemimpin PAS.

Turut serta dalam mesyuarat itu adalah Nik Aziz sendiri di samping dua AJK Pusat yang dilantik Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Mereka akan bertemu lagi 18 dan 19 Julai depan dalam retreat khas sebaik sahaja selesai pilihan raya kecil Manek Urai 14 Julai yang bakal menyaksikan pasukan PAS akan pergi dalam bentuk yang satu tanpa pecah-pecah lagi. -malaysianinsider


Beri Salah Tak Beri Kalah UMNO Manek Urai Serba Salah

Akibat perbuatan dua tiga kerat pemimpin PAS yang bermain dalam ‘gelap’ maka ramai ler yang teraba-raba…. kompius…. marah….. jerit sana, jerit sini….. ’side’ belah sana, ’side’ belah sini dan mak oi….. riuh rendah Satu Malaysia.

Aaaik… dalam keadaan kelam kelibut, tup-tup terpancar cahaya yang terang. Semua jadi jelas. Yang tadi…. teraba-raba dan kompius, kini dapat melihat semula arah tuju mereka dan yang hingar bingar….. telah ‘cool down’…. telah ‘chill down’….. yang terbelah ber’side-side’ udah bercantum kembali….. dan yang kena hamput pun, udah dimaafkan. Badai udah berlalu…. dan kini keadaan kembali tenang. Alhamdulillah…..

UG, TUTUP BAB!!!!

Ater, kalau keranda UG udah di’sealed’, dikambuih dalam lubang dan udah ditalkinkan…. apa kita nak buat sekarang?? Isy…. bertanya pulak…..!! Macam tak reti nak buat kerja. Macam tak paham pulak… Bukan ke kerja kita masih banyak. Perjuangan belum selesai…. Top priority kita sekarang ialah… membuat persediaan pulak untuk mengkebumi dan mentalkinkan UMNO di Manek Urai. Banyak kerja tu….

Mula-mula kita kena kenal pasti sasaran kita. Cari isu dan kelemahan-kelemahan UMNO dan calon nyer di situ. Lepas tu….. kita kenal pasti pulak senjata yang akan kita gunakan untuk menyerang demer. Kalau isu dah ada… senjata dah dikenal pasti, maka… atur strategi pulak. Strategi mesti kena pada tempat nyer. Kita tak mahu serangan kita tersasar dari sasaran. Target betoi-betoi supaya sasaran mengena!!!

Kalau kita nak tumporkan UMNO, kita kena guna strategi serang….. serang….. serang…. dan ambik…. ambik…. ambik…. Jangan lepas peluang. Depa bagi gula-gula, ambik….. Depa jamu ‘mee segara’, terima….. Tapi, at the same time…. jangan mudah kesian-kesian kat depa. Jangan terlembut hati dan mula terpedaya. Kuatkan semangat, serang…… dan serang….. dan serang jer….!!! Pedulikan demer…..

Oleh sebab, UMNO sekarang dalam keadaan defensif, demer akan guna pelbagai helah untuk memenangi hati para pengundi di Manek Urai dengan melancarkan serangan ‘psiko’ mereka. Demer akan cuba ‘portray’kan yang demer ler baik…. prihatin…. caring…. peka akan keperitan dan kesengsaraan hidup rakyat… mereka ler bersikap mendahulukan kebajikan dan keperluan rakyat…

Sebagai permulaan…. bagi mengaburi mata para pengundi Manek Urai, projek-projek ‘mee segera’ akan dilaksanakan. Jalan akan berturap baru…. longkang dibina di sana sini…. pelbagai projek lagi akan dijanjikan….. habis tanah kena ‘pecah’ di sana sini untuk perasmian projek itu dan ini…. Ini tak termasuk buah tangan serta sumbangan itu dan ini…… si sana dan di sini…. untuk para penduduk Manek Urai. Masa ini ler muka-muka menteri yang hitu dan yang hini akan terpacul di Manek Urai. Entah-entah sebelum ini Manek Urai pun demer tak tau, wujud ke tak wujud nyer….

Manek Urai…. ingat ler pesan Tok Guru dalam seloka nyer. Jadikan itu ‘tangkal’ untuk menguatkan semangat komer bagi menolak tipu daya ’syaitan’ bernama UMNO. Just play along dengan permainan mereka….. berpura-pura ler menari ikut rentak mereka tapi jangan sekali-kali terpedaya….. Jika komer istiqamah…. isyaAllah, mereka yang akan terpedaya. Komer kenyang UMNO ternganga……Takbir!!!

Oleh itu….. be smart!!! Jadi pengundi yang bijak dengan…..

TOLAK UMNO!!! PANGKAH PAS!!!

dan….

MANEK URAI KITA PUNYA!!!! - M3M

Kedatangan Khairy Bawa Bencana Untuk UMNO Manek Urai

Ahli UMNO Manek Urai merasa tidak selesa dengan kehadiran Ketua pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin di kawasan mereka.

Kahiry dilaporkan akan mengetuai jentera Pemuda Umno bagi program Pemuda Masuk Kampung di Manik Urai selama tiga hari bermula Khamis ini.

Setiausaha Kerja Pemuda Umno Kelantan Mohamad Zaidan Abdul Rahim berkata program yang akan turut dihadiri semua Exco Pemuda Umno Pusat termasuk Ketua dan Naib Pemuda setiap negeri itu bertujuan mendekatkan golongan muda di Manik Urai dengan Umno.

Di setiap kali pilihanraya kecil, Khairy dilihat sebagai "pengacau" oleh ahli-ahli UMNO malah ada yang menyifatkan ia membawa bencana kepada UMNO setiap kali Khairy turun padang.

"Ini kerana bayangan Sang Menantu dan Samseng Pemuda akan diketengahkan bukan oleh parti lawan tetapi oleh beberpa fraksi di dalam UMNO sendiri," kata seorang pemerhati politik.

"Apatah lagi di dalam pemilihan UMNO yang lalu, beliau telah disahkan sebagai calon yang terlibat di dalam gejala politik wang yang tidak dikenakan tindakan," tambahnya lagi.

Malah kekalahan teruk UMNO Kelantan pada pilihanraya umum ke 13 pada tahun lalu adalah disebabkan dengan campurtangan Khairy di dalam mencaturkan politik di negeri tersebut yang rata-rata telah ditolak oleh rakyat Kelantan.

Penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manik Urai itu akan diadakan pada 6 Julai dan jika ada pertandingan hari pengundian pada 14 Julai.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lepas



PAS UMNO : Husam Dan Mat Sabu Terima Perlantikan AJK Pusat

Husah Musa dan Mohammad Sabu, dua orang bekas Naib presiden yang ggal merebut jawatan Timbalan Presiden PAS di dalam pemilihan parti di Muktamar yang lalu bersetuju untuk menerima pelantikan sebagai anggota jawatankuasa PAS pusat.

Jawatankuasa tersebut yang bermesyuarat pada 11 Jun lalu bersetuju melantik Husam dan Mohamad sebagai anggota AJK dengan tugas-tugas khas perancangan dan strategi parti.

Malaysiakini melaporkan ketika ditemui malam ini, Mohamad mengesahkan bahawa beliau menerima pelantikan tersebut.

"Sebab itulah saya hadir mesyuarat jawatankuasa pusat malam ini," katanya.

Manakala pegawai di pejabat agung PAS di ibunegara pula mengesahkan bahawa Husam turut menghadiri mesyuarat malam ini.

Husam dan Mohamad tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden PAS dalam muktamar parti itu baru-baru ini.

Dalam pertandingan tersebut, Nasharuddin Mat Isa berjaya mengekalkan jawatan berkenaan.

Sebelum ini, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dikatakan telah menasihat kedua-duanya agar menerima tawaran tersebut.

PAS UMNO : ISU KERAJAAN PERPADUAN KINI MENJADI SEJARAH


Seperti yang diharapkan oleh blog Kelab GB sebelum ini di bawah tajuk Talkinkan Isu Kerajaan Perpaduan Segera ia benar-benar menjadi kenyataan akhirnya selepas dua hari permintaan itu disuarakan.

Dalam satu kenyataan yang membawa mudarat bagi Perdana Menteri Najib Abdul Razak, seluruh pimpinan Pas sepakat menguburkan sama-sekali isu Kerajaan Perpaduan dan membulat tekad melawan Umno-Barisan Nasional.

Selesai mesyuarat khas di Pejabat Agung Pas Kuala Lumpur jam 6.55 petang tadi, Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa dalam satu kenyataan berkata Pas tidak lagi mahu terjerumus dalam politik murahan Umno.

“Dalam semangat kekeluargaan menangani permasalahan isu politik semasa yang dibesar-besarkan media perdana, kami akhirnya bersetuju sebulat-suara melupakan perihal salah anggapan yang berlaku antara pimpinan atasan akibat daripada permainan politik murahan Umno,” kata Nik Aziz membacakan kenyataan tersebut.

Pas dilihat menjadi mangsa permainan media perdana yang cuba melaga-lagakan Nik Aziz dan Nasharuddin Isa dalam isu Kerajaan Perpaduan.

Media Umno-Barisan Nasional juga cuba memecah-belahkan Pakatan Rakyat dengan mengadu domba pemimpin gagasan itu juga dalam isu yang sama.

Namun Pakatan Rakyat hari ini mencapai satu keputusan menolak sama-sekali isu Kerajaan Perpaduan.

Nik Aziz berkata dugaan ini tidak melemahkan setiakawan parti aliran Islam itu, sebaliknya menguatkan lagi tekad Pas melawan angkara politik Barisan Nasional.

“Kami bersama-sama dalam satu saf yang padu untuk terus bersama-sama memperjuang keazaman Pas, lagi mendaulatkan Islam di persada tanahair,” tegas Nik Aziz.

“Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa polemik kerajaan perpaduan di hentikan serta-merta,” katanya lagi.

Menyentuh kata-dua kepada Nasharuddin tempoh hari, Nik Aziz berkata isu antara beliau dan Nasharuddin telah diselesaikan dalam suasana kekeluargaan.

“Saya selaku Mursyidul Am Pas, menarik balik segala kenyataan saya terhadap Ustaz Nasharuddin Mat Isa, dan dengan itu ianya tidak berbangkit lagi,” kata Nik Aziz.





PAS UMNO : TG Nik Aziz - Tokoh Yang Patut Dicontohi

K>ebijaksanaan Tok Guru Nik Aziz terserlah apabila beliau membelasah pemikiran kuno para pemimpin PAS yang bermuka-muka dengan UMNO untuk membentuk kerajaan perpaduan. Ketika Pakatan Rakyat sudah mula kuat dan semakin mendapat sokongan rakyat, tiba-tiba timbul cadangan menubuhkan kerajaan perpaduan. Alasan yang diberikan terlalu naif dan sengaja dicari-cari untuk maksud yang tidak jelas.

Seperti kata peribahasa: tiada beban dicari beban, pergi ke pulau batu digalas. Rakyat patut berterima kasih kepada Tok Guru Nik Aziz kerana dapat melihat betapa sia-sianya cadangan itu, yang akhirnya akan menguntungkan UMNO/BN kerana kini PAS bersedia mengambil alih masalah UMNO/BN untuk dijadikan projek politik yang merugikan PAS sendiri dan berkemungkinan memecahbelahkan Pakatan Rakyat yang baru mulai kuat.

Bagaimana Presiden PAS boleh mengemukakan cadangan itu akan tinggal sebagai misteri politik yang berterusan. Cadangan itu tidak masuk akal dan terlalu naif untuk dilontarkan oleh seorang ketua parti yang terkenal dengan kritikan pedas tajam terhadap UMNO dan para pemimpinnya.

Jika ini satu kesilapan, maka cacatlah kewibawaan seorang pemimpin Islam yang dilihat oleh masyarakat cuba mencari kesempatan bersifat peribadi dengan melemparkan kail tidak berumpan untuk menangkap ikan yang sudah terkulai di dalam air keruh.


Mengapa tidak dibiarkan saja ikan itu mati di dalam lumpur? Itulah yang menjadi misteri, yang hanya dapat difahami jika perbuatan itu dilihat sebagai tindakan naif yang membuang masa dan tenaga. Jika perbuatan itu bertujuan untuk menghidupkan ikan yang hampir mati, maka perbuatan itu tidak mendatangkan faedah sedikit pun. Jadi apakah tujuannya? Mujurlah Tok Guru Nik Aziz segera menegur dengan keras perbuatan sia-sia itu supaya dihentikan serta-merta.

Langkah bijak dan berani Tok Guru Nik Aziz menyelamatkan rakyat daripada terjerumus ke dalam lumpur politik yang akan merugikan banyak pihak itu telah mengangkat beliau ke taraf seorang negarawan yang pintar. Tentu saja UMNO berkata dengan marah Tok Guru itu anti-perpaduan; padahal perpaduan tidak bermakna apa-apa jika hanya untuk meneruskan kezaliman yang telah berlanjutan selama lebih dari 50 tahun. Mengapa tindakan cepat Tok Guru Nik Aziz sangat penting?


Terdapat tiga perkara utama yang perlukan tindakan segera dalam politik Malaysia. Pertama, mewujudkan keadilan dalam pembahagian kekayaan negara kepada semua rakyat, tanpa sekatan polisi yang disalahgunakan seperti Dasar Ekonomi Baru dan lain-lain dasar yang menguntungkan ketua-ketua UMNO dan rakan-rakannya dalam BN. Kedua, mewujudkan Baitulmal Zakat untuk mengurus dengan cekap kutipan zakat. Ketiga, merobah sama sekali dasar pembangunan negara yang diasaskan kepada perbuatan fasad.

Keadilan ekonomi dan sosial akan menjamin pembahagian kekayaan negara kepada yang memerlukan, boleh menghapuskan rasuah dan menyekat para pemimpin daripada salah laku dan salah guna kuasa untuk mendapat faedah peribadi. Pendeknya, tidak ada lagi diskriminasi dalam bentuk apa pun juga, di samping menjamin lahirnya para pemimpin yang amanah. Pada waktu ini para pemimpin sangat galak bercakap tentang amanah, tetapi mereka sendiri tidak amanah.

Jika mereka amanah, kemiskinan tentu sudah dapat dihapuskan dalam masa 50 tahun mereka memerintah. Kerana tidak amanah, kemiskinan dijadikan alat politik sebagai umpan pilihan raya. Sebaik saja diadakan pilihan raya, muncullah orang miskin untuk dibantu, kerana para pemimpin yang tidak amanah itu ingin dilihat sebagai pembela rakyat. Tidakkah itu perbuatan yang sangat jahat, satu penipuan politik yang tidak boleh dimaafkan? Keadilan Islam yang dimaksudkan di sini boleh diwujudkan dengan menghidupkan kembali prinsip taklif dalam kepemimpinan politik, pentadbiran, perundangan dan sebagainya.

Wujudnya taklif boleh dilihat dalam perilaku para pemimpin politik, pentadbiran, perundangan dan sebagainya yang menjadikan kesederhanaan sebagai nilai utama dalam kehidupan dan dalam cara bertindak. Orang yang mengutamakan kesederhanaan tidak tamak harta, tidak tamak kuasa, tidak tamak publisiti, tidak tamak pengikut. Keadilan Islam yang seperti itu telah ditunjukkan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz, yang harus dijadikan contoh pemimpin politik yang unggul. Dalam konteks Malaysia, Tok Guru Nik Aziz mencerminkan watak Umar Abdul Aziz yang dimaksudkan.

Baitulmal Zakat perlu diwujudkan sekarang untuk membendung penyelewengan ekonomi Islam yang berlaku di Malaysia sekarang. Dalam ekonomi Islam, kini bank Islam dijadikan alat oleh bank riba untuk menarik orang Islam menyimpan di bank-bank riba yang kini berlumba-lumba memperkenalkan yang disebut mereka “produk bank Islam”. Apa yang disebut “produk” itu bertujuan untuk merebut keuntungan berlipat ganda atas nama Islam. Antara nama “produk” yang digunakan ialah “Al-Amin”, mengambil sempena gelaran Nabi SAW.

Tidakkah ini sejenis penyelewengan yang nyata? Tidak saja dalam politik Islam digunakan untuk mendapat undi, di dalam ekonomi juga Islam digunakan untuk mendapat keuntungan besar. Tetapi siapakah yang mendapat faedahnya? Bukan rakyat biasa, bukan golongan miskin. Dalam keadaan inilah maka Baitulmal Zakat diperlukan, supaya orang miskin dan lain-lain yang berhak diberi hak itu melalui wang zakat. Pembahagian zakat yang dilakukan pada waktu ini tidak menepati dengan kehendak dan tujuan zakat itu dijadikan hukum Islam.

Kita tidak boleh membiarkan apa juga jenis penyelewengan dalam pengurusan zakat, maka Baitulmal Zakat diperlukan untuk mengurus wang zakat dengan sempurna. Sebagai sebuah negara yang pesat membangun, Malaysia selalu ditonjolkan sebagai model pembangunan yang selaras dengan nilai-nilai Islam. Adakah membina gelanggang lumba kereta selaras dengan Islam, yang kosnya berbilion ringgit? Adakah pusat-pusat perjudian yang hebat-hebat yang dibangunkan di Malaysia selaras dengan Islam?

Bagaimana kita boleh berkata dengan pasti taman-taman perumahan kita bukan menjadi punca kejatuhan moral dalam negara ini? Bagaimana kita boleh pertahankan kehidupan hedonisme yang mengutamakan hiburan dalam TV dan akhbar menggalakkan maksiat itu selaras dengan Islam? Banyak lagi perkara yang boleh kita tangani dengan berkesan dalam konteks Islam, tetapi tidak kita lakukan kerana kita meletakkan kebebasan hawa nafsu sebagai hak asasi manusia yang tidak boleh diganggu.

Jika kita teliti pembangunan yang kita laksanakan, sikap kita terhadap nilai-nilai Islam yang dikira kuno dan bertentangan dengan kemajuan moden, maka kita sebenarnya membangun negara ini berasaskan prinsip-prinsip fasad, bukan al-falah. Oleh hal yang demikian, kita harus merobah konsep dan pelaksanaan pembangunan kita secara total dengan mengasaskannya kepada konsep ilmu yang benar, yang meletakkan manusia dalam hakikat taklif yang menjadi matlamat manusia sejagat.

Taklif bagi bukan Islam terkandung di dalam ajaran moral yang dikaitkan dengan hakikat ketuhanan semua makhluk yang tidak boleh lari dari tuntutan makruf dan penolakan mungkar. Tidak ada manusia siuman yang menggalakkan yang mungkar dan menentang yang makruf. Itulah hakikat taklif dalam diri semua manusia yang tidak boleh ditolak dengan apa falsafah sekali pun, tetap terhunjam menjadi asas kehidupan bertamadun semua manusia dari dulu hingga kini. Tiga perkara yang dihuraikan dengan ringkas di sini adalah tuntutan politik yang tidak dapat tidak mesti dilaksanakan.

Bukan perpaduan dalam kemungkaran yang kita ingini, bukan itu yang diingini oleh semua manusia. Yang kita impikan ialah perpaduan berasaskan yang makruf, yakni yang berkait rapat dengan hakikat taklif semua manusia. Jika ketiga-tiga perkara yang dihuraikan di sini dilaksanakan dengan amanah, perpaduan akan terjadi dengan sendirinya, tidak perlu lagi segala usaha palsu kononnya untuk menubuhkan kerajaan perpaduan, padahal yang dilaksanakan ialah perkara-peraka mungkar yang menyusahkan manusia.

Apakah gunanya perpaduan dalam kemungkaran? Dalam konteks inilah Tok Guru Nik Aziz menjadi seorang tokoh yang patut dicontohi. Orang Melayu tidak rugi mempunyai seorang tokoh sehebat Tok Guru Nik Aziz. - [22/6/2009] Mohd. Affandi Hassan

22 Jun 2009

Najib Altantuya Si Serigala Yang Kata Anggur Itu Masam

Selepas gagal melamar Pakatan Rakyat menyertai Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri Najib Abdul Razak berkata BN tidak perlukan Pakatan Rakyat untuk memerintah negara ini.

Najib berkata dakwaan bahawa kerajaannya lemah sehingga memerlukan sokongan mandat dari Pakatan Rakyat adalah tidak benar, katanya lapor Bernama.

Apabila melihat gelagat Najib ini teringat kita tentang cerita zaman kanak-kanak dahulu tentang serigala dan anggur masam. Sang serigala yang sangat kepingin memakan buah anggur telah terkial-kial melompat untuk mendapatkan buah anggur yang terlekat di atas pokok anggur tersebut. Meskipun beberapa kali serigala malang itu cuba mendapatkan buah anggur tersebut tetapi usahanya gagal kerana lompatannya tidak cukup tinggi untuk mencapai anggur tersebut. Akhirnya serigala malang tersebut dengan perasaan hampa berlalu pergi daripada pohon anggur tersebut sambil mengeluh saya bukan nak sangat makan anggur tersebut sebab anggur itu masam rasanya.

Barisan Nasional menghadapi krisis keyakinan yang serius selepas mengalami kekalahan teruk dalam Pilihanraya Umum ke-12. Pentadbiran Najib terus dipersoalkan apabila Umno-BN kalah di semua pilihanraya kecil di Semenanjung Malaysia.

Pakatan Rakyat di Parlimen hari ini menutup semua saluran membincangkan isu kerajaan perpaduan bersama Umno-Barisan Nasional. Keputusan ini disusuli dengan kenyataan dari Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa Pas telah menyelesaikan perselisihan faham berhubung isu yang diperbesar-besarkan media perdana dan membulat tekad melawan Umno-BN.

Najib bagaimanapun berkata Umno akan terus membuka pintu untuk membincangkan isu kerajaan perpaduan.



PAS UMNO : Tarik Balik Kenyataan Terhadap Nasya Papar Kemuliaan Mursyidul Am

Banyak pihak di dalam PAS hari ini menarik nafas lega dengan pengumuman Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Nik Mat petang ini yang menarik balik kenyataannya menggesa Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa meninggalkan PAS dan meletakkan jawatan ahli parlimen Bachok jika menyokong cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno.

"Tindakan TG Nik Aziz tersebut adalah sikap yang mulia yang tidak bererti dia tersilap di dalam langkahnya yang lalu, tetapi demi menjaga ukhwah dan tida mahu isu tersebut diperpanjangkan lagi," tegas seorang pemimpin PAS.

TG Nik Abdul Aziz dan kepimpinan tertinggi parti itu telah bertemu di sini petang ini bagi menyelesaikan "kemelut" yang tercetus ekoran lontaran idea kerajaan perpaduan dengan Umno-BN.

Pertemuan bersifat "ukhuwah" itu berlangsung pada pukul 5 petang di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut.

"Ia perbincangan berbentuk ukhuwah atau persaudaran libatkan Tok Guru Nik Aziz dan beberapa pemimpin tertinggi parti," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika dihubungi.

Pertemuan Khas itu turut dihadiri oleh Nasharuddin, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din; Naib Presiden - Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar - Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, bekas naib presiden, Ahmad Awang, Ketua Dewan Pemuda, Nasruddin Hassan dan Ketua Muslimat Nurida Salleh.

Nik Abdul Aziz yang juga menteri besar Kelantan dalam satu kenyataan yang dibaca selepas satu perjumpaan khas hampir dua jam, mulai 5 petang tadi di pejabat agung PAS di ibunegara.

Berikut adalah kenyataan penuh Nik Aziz:


"Setelah berbincang dari awal hingga akhir dalam perjumpaan khas yang diadakan di pejabat agung (PAS) dalam semangat kekeluargaan bagi menangani permasalahan dalam beberapa isu politik semasa, yang dibesar-besarkan oleh media perdana, kami akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan prihal salah tanggapan antara pimpinan atasan parti akibat daripada permainan politik parti Umno.

"Kami bersama-sama dalam satu saf yang padu, untuk terus bersama-sama memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulat Islam di persada tanahair.

"Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa kerajaan perpaduan diberhentikan serta merta seperti yang telah diputuskan oleh Presiden PAS bersama Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di bangunan Parlimen jam 2.30 tadi yang menolak sepenuhnya idea kerajaan perpaduan.

"Oleh yang demikian, selaras dengan itu, saya selaku Mursyidul Am PAS menarik balik segala kenyataan saya terhadap YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan dengan itu, ianya tidak berbangkit lagi."





PAS UMNO : Usah layan Lagi Karenah Penyokong UG

Penyokong-penyokong tegar UNITY GOVERNMENT hari ini sepatutnya memberhentikan terus penyebaran dan pembelaan mereka terhadap idea Kerajaan Perpaduan selepas ini.

Ia telah pun ditolak secara kolektif oleh pimpinan Pakatan Rakyat yang disertai bersama oleh Presiden PAS TG Haji Abdul Hadi Awang.

Semenjak idea dan gagasan ini menghangatkan senario politik tanahair terutama selepas Muktamar PS kali ke 55 yang lalu, keadaan PAS menjadi haru-biru diakibatkan oleh mereka yang menyokong idea tersebut secara membabi-buta sekalipun telah dijelaskan berkali-kali ianya belum lagi dibincangkan di mana-mana peringkat samada dalam PAS sendiri mahupun Pakatan Rakyat.

Mursyidul Am PAS telah berkali-kali membuat penegasan tentang penolakan idea tersebut diikuti dngan 10 orang YB PAS serta Dewan Muslimat PAS Pusat membuat kenyataan terbuka berdiri teguh di belakang pendirian Mursyidul Am PAS berkenaan.

Malangnya kumpulan yang menyokong UG ini yang merupakan kumpulan suara minoriti dalam PAS masih berdegil malah melemparkan tuduhan kepada 10 orang YB berkenaan, malah ada yang pergi jauh dari itu menempelak Mursyidul Am PAS dengan gelaran-gelaran yang keterlaluan.

Setiap artikel dan tulisan di mana-mana blog yang menentang dan menghalang idea ini diperkembangkan untuk mengelakkan perpecahan parti diberikan ulasan-ulasan dan komen-komen yang menjelekkan dari tangan-tangan penyokong UG ini sehinggakan tampak sifat mereka yang tidak lansung berakhlak sekalipun mereka kononnya pendokong kepimpinan ulamak.

Ini diperburukkan oleh admin dan webmaster seuatu portal hanya menyiar artikel-artikel yang pro kepada UG tetapi membakul-sampahkan yang tidak menyokong idea itu untuk memenuhi cita-cita dan hasrat peribadinya.

Ini tidak termasuk tulisan-tulisan yang mereka paparkan di dalam portal-portal, blog-blog serta lamanweb yang penuh arat dengan hujjah superficial yang tidak bernilai dari sudut menjaga keharmonian dn keutuhan jemaah disamping melakukan serangan-serangan melalui ruangan chatbox para pemilik blog anti UG ini.

Kita berharap isu ini dikuburkan selama-lamanya dan kepada mereka yang masih tidak berpuashati dengan tindakan pimpinan yang telah membuat keputusan muktamad agar menerimanya dengan lapang dada dan rendah hati demi memelihara perpaduan dan keutuhan jemaah PAS serta Pakatan Rakyat yang PAS anggotai.


Pendirian Pakatan Rakyat Berkenaan Isu Kerajaan Perpaduan

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah mengadakan pertemuan di Pejabat Ketua Pembangkang hari ini Isnin 22 Jun dan mengambil keputusan berikut:

1. Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang akan datang.

2. Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO / Barisan Nasional yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak UMNO untuk menggugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat.

3. Pada masa yang sama Pakatan Rakyat mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan pimpinan Barisan Nasional bagi membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat seperti usaha pemulihan ekonomi, meningkatkan kualiti pendidikan, mengembalikan semula integriti institusi kehakiman, memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, skandal RM 12.5 bilion projek PKFZ, salahguna kuasa kepimpinan polis sementara kes jenayah semakin meningkat, membanteras rasuah dan menjana urustadbir yang baik, menjalankan pilihanraya yang bebas dan adil, membubarkan DUN Perak serta menjalankan pilihanraya dengan segera bagi menyelesaikan krisis rampasan kuasa negeri Perak.

Kenyataan ditandatangan
DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM,
DATO’ SERI ABDUL HADI AWANG DAN
LIM KIT SIANG.



PAS UMNO : NIK AZIZ SELAMATKAN MANEK URAI

Jika sebelum ini ada pihak berkata PAS mungkin tewas dalam pilihanraya kecil di Manek Urai, Kelantan. Ini adalah akibat dari agenda kerajaan perpaduan yang dibawa oleh beberapa orang pemimpin PAS sehinggakan ramai penyokong-penyokong PAS sudah hampir hilang kepercayaan kepada PAS. Namun yang nyatanya sekarang, keadaan sudah berubah.

Penyelamat besar bagi kerusi PAS DUN Manek Urai tidak lain tidak bukan adalah Mursyidul Am PAS sendiri yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz b. Nik Mat.

Sebelum ini ramai yang kurang yakin akan kemampuan PAS untuk mengekalkan kerusi DUN tersebut akan tetapi dengan kenyataan tegas Mursyidul Am tersebut yang menolak agenda kerajaan Perpaduan diyakini telah berjaya mengembalikan sokongan rakyat terhadap PAS atau pun Pakatan Rakyat.

Malah Pengerusi DAP YB Karpal Singh sendiri yang selama ini selalu tidak sebulu dengan Tuan Guru Nik Aziz dikatakan memuji ketegasan Mursyidul Am PAS tersebut dan amat malang sekali bagi pemimpin-pemimpin PAS yang membawa agenda kerajaan perpaduan kerana mereka dikatakan tidak akan di terima kehadiran mereka di Manek Urai. -penjualubat

UMNO Bakal Diaibkan Sekali Lagi Dalam PRK

Impian Umno untuk bertapak semula di Manek Urai nampaknya semakin samar, apabila lautan manusia memenuhi padang Majlis Daerah Dabong di Laloh malam tadi bagi mengikuti ceramah tokoh utama Pakatan Rakyat.

Ternyata kehadiran Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan ahli parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw menarik perhatian pengundi di Manek Urai.

Ceramah perdana malam tadi dianggap rapat umum pertama Pakatan Rakyat dalam skala lebih besar bagi mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil 14 Julai ini.

Kehadiran orang ramai itu juga memperlihatkan gelombang Mac 2008 belum surut lagi biar pun Umno cuba melontar isu kerajaan perpaduan dengan PAS, semata-mata memecah belah ikatan Pakatan Rakyat.

Namun malam tadi rakyat di Manek Urai mendengar sendiri komitmen memperkukuhkan Pakatan Rakyat yang diilafazkan pemimpin utama PAS, KeADIlan dan DAP.

Anggota parlimen Kepong berharap pengundi di kawasan tersebut memperbetulkan banyak kesilapan yang dilakukan pemimpin kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) melalui kertas undi pada 14 Julai ini.

"Kali ini rakyat di Manek Urai diberi tanggungjawab bagi memperbetulkan semula kepincangan kerajaan BN sekarang melalui kertas undi.

"Cuba adik kakak bayangkan duit rakyat sehingga RM12 bilion digunakan bagi membangunkan Zon Bebas Pelabuhan Kelang yang menjadi skandal besar negara sekarang.

"Duit sebanyak itu kalau dibawa ke sini sudah tentu dapat membantu penduduk dan mereka tidak perlu lagi keluar menoreh getah bagi mencari rezeki," katanya mencuit hati orang ramai yang hadir.

Anwar menempelak pemimpin Umno yang cuba menyembunyikan sikap rakus pemimpin mereka 'mengadaikan' tanah kerajaan kepada beberapa tauke Cina termasuk di Genting Highlands, Bukit Tinggi, Pulau Tioman dan Pulau Redang.

Sebaliknya kata beliau langkah yang dilakukan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak sebelum ini memberi tanah kepada penduduk Cina yang miskin dipertikaikan pemimpin Umno.

Menurutnya tanah-tanah yang diberi kerajaan Pakatan di negeri terbabit kepada rakyat yang miskin bagi mengubah taraf kehidupan mereka.

"Mengapa pemimpin Umno membantah tindakan dilakukan kerajaan Pakatan memberi tanah kepada penduduk miskin, sedangkan mereka berdiam diri apabila kerajaan BN memberi tanah kepada tauket yang kaya raya.

"Orang Cina yang tanam sayur yang miskin diberi lot tanah oleh kerajaan Pakatan, pemimpin Umno tidak boleh terima, sedangkan tanah seluas bukit diberi kepada seorang tauke judi disenyapkan begitu sahaja," katanya.

Oleh itu kata beliau tiada sebab Pakatan Rakyat berunding dengan Umno bagi membentuk kerajaan perpaduan.

"Umno kena dihumbangkan terlebih dahulu sebelum keadilan Islam dapat ditegakkan di negara ini. Selagi ada Umno usaha ke arah itu sukar dilakukan," ujarnya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, pemimpin Umno seperti bukan anak jantan apabila kelihatan susah hati apabila cadangan kerajaan perpaduan ditolaknya.

"Janganlah kita tunjuk lagak sudah seperti kebuluran apabila cadangan kerajaan tidak diterima PAS. Mengapa nampak susah hati sangat.

"Pemimpin Umno nampak macam kebuluran sekarang sehingga orang beri nasi dingin pun mereka sanggup makan. Sayur yang diberi tak sedap pun mereka sanggup makan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pemimpin PAS tidak mudah lupa sejarah lampau ditolak keluar dari Perikatan ketika Umno nampak berminat sangat membincangkan isu kerajaan perpaduan sekarang.

Malah katanya, Umno secara jelas seperti mengajar ajaran sesat apabila cuba mengasingkan agama dan politik. -Lanjusoh


PAS UMNO : USRAH PAS BAGAN DATOH TURUT DIHADIRI ORANG BUKAN ISLAM

Penyokong-penyokong PAS dari kalangan bukan Islam turut serta dalam program Usrah Mingguan PAS Kawasan Bagan Datoh yang diadakan di markaz PAS Kawasan Selekoh baru-baru ini. Jarang-jarang sekali, dalam program dalaman PAS yang bebentuk pengisian dalaman dihadiri oleh orang-orang bukan Islam. Tetapi di Bagan Datoh, markaz PAS yang dijadikan pusat kegiatan parti termasuk Usrah Mingguan turut juga dihadiri oleh penyokong-penyokong PAS dari kalangan Cina dan India.

Biasanya program usrah bermula dengan solat berjamaah, bacaan ma'athurat, pembentangan teks usrah menggunakan buku-buku tertentu atau kertas-kertas kerja tertentu, dibentang oleh naqib dan diperbincangkan, mengulas isu-isu semasa dan membincangkan program-program semasa. Ia dihadiri oleh pimpinan dan ahli-ahli PAS.

Kali ini, penyokong PAS dari masyarakat Cina dan India turut hadir, mereka duduk bersila, mendengar kupasan-kupasan ayat-ayat al Quran dan Hadis oleh YDP Kawasan Bagan Datoh yang memimpin usrah pada malam itu. YDP menggubah sedikit pendekatan agar ia lebih kepada bentuk dakwah. Mereka mendengar dengan penuh minat.

Dalam usrah tersebut, persoalan Kerajaan Perpaduan turut disentuh kerana ramai yang ingin mengetahuinya. Alhamdulillah penjelasan yang diberikan oleh YDP melegakan semua yang hadir termasuk penyokong-penyokong PAS dari masyarakat Cina dan India. Mereka berpuas hati dengan penjelasan tersebut.

Program Usrah Mingguan PAS yang dihadiri oleh bukan Islam turut dilaporkan oleh wartawan Sinar Harian dalam keluaran hari Jumaat semalam. Kebetulan beliau yang juga penyokong PAS hadir dalam program Usrah tersebut. Mereka cukup tertarik dengan program usrah dan pengisiannya malam itu, dan mereka berhasrat ingin mengikuti setiap kali ada usrah.

Ini adalah satu perkembangan yang baik, mudah-mudahan dengan penyertaan mereka dalam usrah PAS, bukan sahaja semangat untuk bersama PAS bertambah kuat, bahkan semuga mereka akan mendapat hidayah untuk beriman dengan aqqedah kita. Insya Allah. -misbahulmunir