14 Jul 2015

Dasar Gerakan Harapan Baru Adalah Islam, Tetapi Terbuka Untuk Semua...

Gerakan Harapan Baru dilancar, terbuka untuk semua

Gerakan Harapan Baru (GHB) secara rasmi dilancarkan hari ini, dibarisi pemimpin progresif dari PAS yang sebelum ini tersingkir semasa pemilihan parti pada muktamar bulan lalu.

Pengerusinya Mohamad Sabu berkata, GHB dilihat sebagai wadah atau entiti menggerakkan semula kerjasama parti politik.

"Harapan Baru akan mengasaskan satu penubuhan parti politik baharu yang berteraskan Islam bagi mencapai matlamat tersebut.

"Harapan Baru akan mendukungi Islam yang syumul dengan pendekatan inklusif, progresif dan peduli rakyat," kata Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Antara pemimpin yang turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah anak bekas presiden PAS, Muhammad Faiz Fadzil, bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib, bekas calon presiden PAS Ahmad Awang, bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan bekas naib presiden PAS Salahuddin Ayub.

Penubuhan GHB pertama kali diumumkan Mat Sabu dalam satu ceramah di Pulau Pinang.

Beliau yang juga bekas timbalan presiden PAS itu berkata, GHB tidak menolak matlamat penubuhannya sebagai sebuah parti politik yang terbuka kepada semua kaum.

Katanya, pada masa kini, permohonan pendaftaran bagi GHB sudah diserahkan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan mereka masih menunggu ia diluluskan.

Lebih daripada itu, Mat Sabu berkata, penubuhan gerakan itu dilihat satu bentuk kerjasama politik parti pembangkang yang akan dikenali sebagai Pakatan Rakyat 2.0.

Bagaimanapun, Mat Sabu berkata masih belum ada keputusan muktamad mengenai nama parti baharu tersebut.

"Kita masih belum ada nama parti. Ia akan dibincangkan dan semua terbuka memberi cadangan kepada kita. Buat masa ini, kita menunggu RoS.

"Kalau ikut kita, kelmarin lagi mahu diluluskan. Kita mahu secepat mungkin, kerana sokongan akar umbi begitu kuat," katanya sambil menambah ahli jawatankuasa bagi GHB juga bersifat sementara ketika ini.

Ditanya pendirian parti baharu itu mengenai hudud, memandangkan ia menjadi faktor kepada perpecahan Pakatan Rakyat (PR), Mat Sabu berkata hudud tetap akan menjadi sebahagian daripada agenda parti tersebut.

Namun ia perlu melalui proses demokrasi berparlimen dan perundingan, katanya.

"Hudud sebahagian daripada syariat Islam... kami tidak boleh pisahkan semua itu kerana ia terkandung dalam ajaran Islam," katanya.

Beliau juga menolak penubuhan GHB akan menyaksikan ahli jawatankuasanya meletakkan jawatan di dalam PAS.

"Kita masih lagi ahli PAS. Kalau dah ada parti baharu, baru letak (jawatan). Ini parti belum ada lagi, rumah tak siap, kalau hujan nanti, bagaimana?" soalnya.

Beliau berkata penubuhan parti baharu tersebut bermaksud ia akan menjalin kerjasama dengan semua parti politik yang sealiran seperti DAP dan PKR.

Ditanya adakah ia bermakna GHB juga akan bekerjasama dengan PAS, beliau berkata ia terpulang kepada parti tersebut.

Mengulas mengenai kedudukan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Mat Sabu berkata ia akan kekal sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, ahli jawatankuasa sementara GHB Dr Dzulkefly Ahmad berkata parti baharu itu terbuka kepada semua termasuk bukan Islam, dengan dua jenis keahlian - ahli penuh dan ahli bersekutu.

"Keahlian penuh terbuka kepada semua Islam dan bukan Islam yang selari dengan cita-cita dan matlamat gerakan.

"Manakala keahlian bersekutu pula ialah kategori yang juga terbuka kepada Islam dan bukan Islam, namun mereka tidak ambil keahlian secara penuh, kerana tidak mahu memberi komitmen penuh dalam parti baharu.

"Sebab itu kita bawa pendekatan berbeza. Sangat inklusif yang merentas perkauman, bangsa dan agama," katanya. -TMI


Kumpulan progresif Pas lancar Gerakan Harapan Baru

KUALA LUMPUR: Kumpulan progresif dalam Pas yang kalah teruk dalam pemilihan baru-baru ini melancarkan Gerakan Harapan Baru (GHB) sebagai wadah dan entiti bagi menggerakkan semula kerja sama politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat.

Pengerusi GHB, Mohamad Sabu menyatakan GHB akan mendukung Islam yang syumul dengan pendekatan inklusif, progresif dan peduli rakyat.

Bahkan, GHB juga komited untuk membawa Islam yang sebenar-benarnya iaitu “rahmat untuk semua” dalam memberi pembelaan dan keadilan buat seluruh rakyat Malaysia.

“GHB masih lagi dalam peringkat ‘pro-term’. Sedang diusahakan di peringkat Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan di peringkat GHB kita masih lagu berbincang,” katanya dalam sidang media di Vistana Hotel pada Isnin. Mohamad turut menegaskan, barisan kepemimpinan GHB masih lagi ahli Pas.

“Kita masih lagi ahli Pas, selagi parti baru belum ditubuhkan, kita tetap menjadi ahli Pas. Takkan kita nak keluar rumah, sedangkan rumah masih belum siap, nanti kena hujan,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad Sabu atau Mat Sabu menafikan bahawa penubuhan GHB adalah disebabkan kecewa dengan kekalahan pemimpin golongan progresif di dalam Pas.

“Kita tidak kecewa dengan kekalahan hari tu, sudah biasa hadapi kekalahan, tetapi kita kecewa dengan UMNO dan BN,” katanya.

Selain, GHB juga akan terus meletakkan pelaksanaan hukum hudud sebagai satu asas perjuangan.

“Hudud adalah sebahagian dalam syariat Islam. Kita perjuangkan ia dalam Parlimen dan perbincangan . Sebab kami tidak boleh pisahkan ia, itu terkandung dalam ajaran Islam,” tegasnya.

Turut hadir dalam sidang media itu juga adalah bekas Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, dan Ahmad Awang, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Dr Hatta Ramli, Hanipa Maidin, Dr.Dzulkefli Ahmad, Tan Sri Muhamad Muhamad Taib.

Kata Mad Sabu lagi, GHB juga bersedia untuk bekerjasama dengan semua parti politik, dan juga mana-mana NGO agar UMNO/BN dapat ditumbangkan.

“Kami sedar dengan suasana politik Malaysia. Kalau nak memerintah, mesti ada kerja sama dengan semua,” ujarnya.
=FMT






ULASAN GB

Tiba juga saat yang dnanti-nantikan oleh ramai ahli-ahli PAS khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Sebuah parti yang berbilang kaum mendukung Islam yang syumul dengan pendekatan inklusif, progresif dan peduli rakyat.

Seperti yang GB utarakan sebelum ini, petikan:

Segala rencana dan perancangan jahat, kotor dan hina untuk menyingkirkan golongan professional dari PAS kini disambut oleh G18 dengan penubuhan sebuah parti baharu, sekali gus membentuk sebuah gabungan baru Pakatan 2.0.

Iulah professional namanya. Mereka bukan kumpulan kecewa seperti didakwa oleh pihak yang menyingkirkan mereka.

Sebarang rencana dan rancangan jahat itu dilakukan oleh pimpinan tertinggi ulama dalam PAS dimana mereka sanggup melakukan fitnah, melemparkan tuduhan dan melabel kumpulan professional dengan pelbagai gelaran buruk seperti Jebon, Anwarinas, Munafik Haraki, barua, tolol, syaitan, anti ulama, kuda DAP dan seumpamanya.

Allah membimbing golongan professional untuk tidak berkelakuan seperti mereka. Malah ditunjukkan jalan apa yang perlu mereka lakukan demi untuk memenangkan Islam kerana Islam itu tidak terhad hanya kepada hudud sepertimana yang diperjuangkan oleh kumpulan yang kononnya memanggil diri mereka "ulama".

Biarlah si Luncai terjun dengan labu-labunya, kita berjalan terus dengan matlamat kita.... semuga Allah menerima amal kita dan melimpahkan keredhaan dan keberkatannya buat kumpulan professional yang telah ikhlas berjuang di jalanNya selama ini...



13 Jul 2015

[GAMBAR & VIDEO] Sidang Media Pelancaran Gerakan Harapan Baru

G18 isytihar akan tubuh parti Islam baru

Kumpulan profesional yang kalah dalam pemilihan PAS bulan lepas mengumumkan penubuhan sebuah kumpulan dinamakan "Gerakan Harapan Baru" untuk mengasaskan penubuhan satu parti politik baru berteraskan Islam.

Penubuhan Gerakan Harapan Baru ini turut bertujuan untuk memperjuang usaha penubuhan gabungan pembangkang “Pakatan Rakyat 2.0”.

"Gerakan Harapan Baru atau singkatannya Harapan Baru bertujuan menggerakkan semula kerjasama parti-parti politik, NGO dan rakyat.

"Harapan Baru akan mendukung Islam yang syumul dengan pendekatan yang inklusif, progresif dan peduli kepada rakyat.

"Kami komited untuk membawa tawaran Islam yang sebenar-benarnya Rahmat untuk Semua"
dalam memberi pembelaan dan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Kami mendokong nilai-nilai demokratik dalam sebuah negara demokrasi yang subur dan berfungsi serta menghormati kedudukan semua kaum, agama dan budaya," kata Mat Sabu, pengerusi Gerakan Harapan Baru dalam satu sidang media hari ini.

Antara mereka yang menghadiri sidang media hari ini termasuklah bekas naib presiden PAS Ahmad Awang, bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohd Taib dan bekas ketua pemuda PAS Suhaizan Kait.

Selain itu, dua anak bekas presiden turut terlibat dalam gerakan itu, iaitu Faiz Fadzil,anak Datuk Fadzil Noor dan Mujahid Yusof, anak Datuk Dr Yusof Rawa.

Turut hadir timbalan ketua muslimat PAS Siti Mariah Mahmud, bekas naib presiden, Salahuddin Ayub dan bekas anggota jawatankuasa pusat Dzulkefly Ahmad dan Khalid Samad.

Mereka semua akan turut bertindak sebagai penaja parti baru itu. -mk


KENYATAAN AKHBAR SEMPENA PELANCARAN GERAKAN HARAPAN BARU (HARAPAN BARU)

Tarikh : 13 Julai 2015
Tempat : Hotel Vistana, Kuala Lumpur

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu.

1. Perkembangan mutakhir negara sangat meresahkan. Kenaikan harga barang akibat cukai GST serta kejatuhan nilai ringgit terus menekan dan menghimpit kehidupan rakyat. Pada masa yang sama kedudukan ekonomi dunia yang tidak menentu, ketepuan daya-saing negara serta ramalan harga minyak mentah yang terus menjunam bakal mengancam penarafan negara sekaligus menjadikan Malaysia tidak berdaya-saing sebagai destinasi pelaburan. Skandal penyelewengan urusniaga serta hutang 1-MDB dan terkini pembabitan Perdana Menteri dengan 'embezzlement' atau 'salahguna dana awam' berbilion ringgit meletakkan Malaysia menghampiri kedudukan liga "Negara Gagal" atau 'A Failed State'.

2. UMNO dan Barisan Nasional sudah tidak lagi berupaya memimpin dan menjamin kesejahteraan rakyat dalam negara ini. Gelombang kebangkitan rakyat menuntut perubahan semakin memuncak. Tuntutan perubahan ini merentasi semua kaum, jantina, bandar dan luar bandar, golongan miskin dan sederhana, muda dan tua, yang berkerja mahu pun mahasiswa. Anak-anak muda semakin lantang dan menonjol lantas bangkit mewakili suara hati-nurani rakyat. Negara sangat mendambakan perubahan untuk mempastikan masa depan rakyat yang lebih terjamin, makmur, sejahtera dan aman.

3. Kehadiran Pakatan Rakyat sejak dua penggal parlimen yang lalu telah merubah suasana politik tanahair. Pakatan Rakyat telah menampilkan suasana perimbangan kuasa dan prinsip semak-imbang yang berkesan dalam tata-order politik negara. Sekaligus saingan Pakatan Rakyat telah menamatkan monopoli kuasa hegemoni Umno-BN serta mengembalikan keadilan dan membela rakyat. Ini menyelamatkan negara dari segala kerosakan, kebobrokan dan penyelewengan amanah penguasa politik Barisan Nasional.

4. Kini Pakatan Rakyat tidak lagi dapat berfungsi seperti dahulu. Sangat malang bahawa dalam susunan kini, hanya kerjasama longgar dalam pentadbiran negeri Selangor dan Pulau Pinang dapat dilakukan. Kedudukan ini telah menjejaskan agenda memimpin gerakan kebangkitan rakyat untuk terus melakarkan perubahan besar dalam negara.

5. Hari ini, kami ingin mengumumkan penubuhan satu entiti dan wadah yang kami namakan sebagai Gerakan Harapan Baru atau singkatannya HARAPAN BARU yang bertujuan untuk menggerakkan semula kerjasama parti-parti politik, NGO dan rakyat. HARAPAN BARU akan mengasaskan satu penubuhan parti politik baru yang berteraskan Islam bagi mencapai matlamat tersebut.

6. HARAPAN BARU akan mendukungi Islam yang syumul dengan pendekatan yang Inklusif, progresif dan peduli kepada rakyat. Kami komited untuk membawa tawaran Islam yang sebenar-benarnya "Rahmat untuk Semua" dalam memberi pembelaan dan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia. Kami mendokong nilai-nilai demokratik (musyawwarah-rundingan) dalam sebuah negara demokrasi yang subur dan berfungsi serta menghormati kedudukan semua kaum, agama dan budaya, dalam sebuah politik yang mengiktiraf kewujudan kemajmukan dan kepelbagaian (Politik Li Ta'arafu) dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

7. Politik Islam yang kami bawa akan memberi penekanan dalam soal akhlak, moraliti dan amanah dalam tadbir-urus pemerintahan serta interaksi dengan semua pihak. Disamping menekankan pegangan akidah yang teguh, kami juga mendukungi keluasan syariat Islam dan Maqasid Syariah(Tujuan-Matlamat Syariat Islam). Islam yang diperjuangkan bukannya di dalam bentuk slogan, emosi dan sentimen tetapi sebagai satu tawaran "Rahmat dan Keadilan" yang memberi kesejahteraan untuk rakyat dan menjamin kemakmuran negara.

8. HARAPAN BARU akan tampil bertemu rakyat dari Perlis hingga ke Sabah bermula pada akhir bulan Julai hingga akhir Ogos untuk berinteraksi dengan rakyat dan menjelaskan tawaran yang disediakan. Kami mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan gerakan ini bagi pembentukan semula kerjasama dan muafakat politik sebagai penerusan legasi perjuangan pemimpin terdahulu seperti Al-Marhum Tuan Guru Yusof Rawa, Al-Marhum Ust Fadhil Mohd Noor dan Al-Marhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menjayakan usaha penubuhan Pakatan Rakyat 2.0.

Sekian. Wassalam.

Mohamad Bin Sabu

Pengerusi
GERAKAN HARAPAN BARU





Gerakan Harapan Baharu Dilancarkan Hari Ini

Sebelum parti baharu, Gerakan Harapan Baru diumum sebagai tapak aktiviti

Kumpulan progresif yang tersingkir dalam PAS akan mengumumkan secara rasmi tapak aktiviti mereka yang dinamakan Gerakan Harapan Baru (GHB) pada satu sidang media hari ini, sebagai pra kepada penubuhan parti politik baharu di Malaysia.

Ia akan diumumkan pengerusinya Mohamad Sabu, selepas pembentukannya pertama kali diumumkan pada pertemuan di Muar, Johor, 16 Jun lalu, mengambil nama G18 sempena 18 pemimpin yang tersingkir pada pemilihan parti awal Jun lalu.

"Esok (13 Julai - hari ini) kita akan umumkan struktur asas gerakan ini sebelum membuat jelajah atau 'roadshow' seluruh negara selepas Aidilfitri ini," kata sumber kumpulan itu kepada The Malaysian Insider kelmarin.

Roadshow pertama akan diadakan di Kota Baru dan Perlis pada Hari Raya ketiga, Ahad 19 Julai, di mana pemimpin mereka akan bertemu dengan orang ramai bagi menguji sambutan ke atas mereka.

Sebelum ini, kumpulan ini mengadakan 2 pertemuan umum iaitu di Bakri dan Tongkang Pechah, kedua-duanya di Johor, yang kini menjadi pusat aktiviti utama kumpulan ini.

"Di kedua-dua majlis di Johor itu, kami mendapat sambutan yang baik. Kami akan nilai sambutan terhadap kami di seluruh negara pula dalam roadshow selepas raya ini," kata sumber itu.

Di Kota Baru, majlis penerangan itu akan diketuai bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa dengan disertai Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifudin Nasution Ismail.

Di Perlis pula, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, akan mengetuai majlis yang turut dijangka disertai wakil PKR dan DAP.

"Selepas 2 program ini, kita akan adakan pula program yang sama di seluruh negara untuk sambutan dan kehendak rakyat terhadap kami," kata sumber itu yang turut memaklumkan jurucakap rasmi kumpulan ini adalah Mat Sabu dan timbalannya Salahudin Ayub.

Sehingga kini, The Malaysian Insider difahamkan, pelbagai pihak menyatakan kesediaan untuk bersama wadah baharu politik pembangkang negara ini.

Petang ini juga, kumpulan ini akan mengadakan satu pertemuan dengan wakil organisasi bukan kerajaan (NGO) bagi membincangkan pendekatan bersama yang perlu diambil.

Sebelum ini, pertemuan berasingan pernah diadakan dengan pemimpin NGO melalui majlis berbuka puasa dan perbincangan selepas solat terawih.

Selain NGO, mereka turut bertemu dengan tokoh masyarakat dan mendapat respons yang sangat positif daripada mereka.

"Saya rasa mereka melakukan kerja baik," kata Datuk Zaid Ibrahim bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada The Malaysian Insider ketika ditanya penilaian beliau terhadap kumpulan ini.

Beliau yakin, semua kumpulan yang bergerak secara berasingan sebelum ini akan bersama-sama kumpulan ini apabila platform rasmi dibentuk nanti.

Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang sebelum ini menjadi kumpulan pendesak dalam PAS agar kekal dengan Pakatan Rakyat (PR) juga akan menyertai kumpulan ini.

"PasMa akan kekal sebagai NGO tetapi akan memberikan sokongan penuh kepada wadah baru ini," kata setiausahanya Taib Ahmad kepada The Malaysian Insider.

Sebelum ini, Ikram Malaysia (Ikram) turut menyatakan sokongan kepada penubuhan wadah baharu tersebut.

Turut menyatakan sokongan kepada keperluannya adalah pemimpin gerakan pelajar termasuk bekas presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol yang menyatakan ia sebenarnya perlu dibentuk 5 atau 10 tahun lalu lagi. -TMI

JK GERAKAN HARAPAN BAHARU BEBERAPA NEGERI


JAWATANKUASA GERAKAN HARAPAN BARU PUSAT

Pengerusi: Tn Hj Mohamad Sabu
Timbalan Pengerusi: Tn Hj Salehuddin Ayub
Setiausaha: Dr. Dzulkefly Ahmad Pen Setiausaha: Suhaizan Kayat

JAWATANKUASA GERAKAN HARAPAN BARU MELAKA

Pengerusi : Hj Adly Zahari
Timbalan : Jauhar Md Dawi
Setiausaha : Hj Yuhaizad Abdullah
Penolong SU : Shamsuddin Mohd Bakhid
Bendahari : Harun Mohamad
Penolong Bendahari : Hamidie Zakaria
Ketua Gerakan Muda : Zulkhairi Abd Aziz
Ketua Gerakan Wanita : Pn Mahani Osman Basir
Pengarah Komunikasi : Abd Yassin Ibrahim
Pembantu : Zulkifli HarUn

Penyelaras Kawasan :
Alor Gajah - Ust Ashraf Mukhlis
Masjid Tanah - Abd Yassin Ibrahim
Tangga Batu - Ust Musa Mohd
Kota Melaka - Harun Mohamad
Jasin - Azrin Ab Majid
Bkt Katil - Hj Bakrin Sidek

Ahli Jawatankuasa :
Cikgu Safri Syafie
Kapt (B) Mohamad Jaafar
Razak Hassan
Abd Kadir Sohod
Amir Samad
Adel Jantan
Noor Ismail Ayob
Hj Daros Ibrahim
Ust Musa Mohamad
Hj Samat Ahmad
Yuzi Azhar Yusof

Sila LIKE page mereka di
https://m.facebook.com/profile.php?id=1096919013669902

GERAKAN HARAPAN BAHARU PULAU PINANG

Pengerusi
YB Dato Dr Mujahid Yusof Rawa

Timbalan 1
Zolkifly Md Lazim

Timbalan 2
Mohd Yusoff Mohd Noor

Setiausaha
Saiful Azwan Abd Malik

Penolong Setiausaha 1
Zahar Zainul

Penolong Setiausaha 2
Zulkifli Ishak

Penerangan
Zainulfaqar Yaacob

Bendahari
Rosli Hassan

Ahli Jawatankuasa

1.Zanbli Abdul Rashid
2.Md Noor Md Ismail
3.Mohd Naser Ismail
4.Jamil Mahmod
5.Saaidin Omar
6.Khairul Lisa Ramli
7.Taqiudin Hamzah
8.Mohamad Zalani Haron
9.Ramzi Ramli
10.Johari Omar
11.Mohd Hafiz Abd Aziz
12.Azizan Salleh
13.Sophian Mohd Zain
14.Zaidi Zakaria
15.Dahalan Fazil
16.Anuar Omar
17.Md Zaini Md Noor
18.Mohd Rizal Akhir
19.Muhammad Zuki Ahmad
20.Ahmad Tarmizi Abdullah
21.Osman Ayub
22.Abdullah Talib
23.Zaidi Ahmad
24.Mohd Sokran Abd Rahman

JK GERAKAN HARAPAN BAHARU (GHB) WILAYAH PERSEKUTUAN

Pengerusi: YB Dr Hatta Ramli
Timb Pengerusi 1: Dato' Tarmizi Mohd Jam
Timb Pengerusi 2: Sdr Kamal Koh Abdullah - Putrajaya
Setiausaha: Sdr Nik Abdul Razak
Timb Setiausaha: Sdr Azhar Ashari
Ketua Penerangan: Sdr Bad Latiff Mansor
Bendahari: Ir Hayatul Kamil Tirmudi - Cheras

Ahli Jawatankuasa

01. Sdra Badiul Azmi - Bukit Bintang
02. Sdra Mohd Shukri Abdul Ghani - Wangsa Maju
03. Sdra Fadzli Omar - Setiawangsa
04. Sdra Zaiful Amin - Kepong
05. Sdra Yusuf Yahya - Titiwangsa
06. Dato Ismail Yahya - Batu
07. Sdra Erwan Sabei - Segambut
08. Sdra Norfadhil - Bandar Tun Razak
09. Sdra Fadzil Ahmad - Lembah Pantai
10. Ustaz Fadzullah - Labuan
11. Kws Seputih - Kosong
12. Pn Zaminah Marzuki
13. Pn Rosnani Mokhtar
14. Sdra Rosden Yassin
15. Sdra Shamar Abdullah ***
16. Sdra Abdul Manap Abdullah ***
17. Sdra Hedzer Rahim
18. Sdra Shaharuddin Mahmud
-HM


ULASAN GB

Sungguh bijak dan professional!

Sementara menunggu parti baharu ditubuh dan diluluskan, sebuah NGO dibentuk, Gerakan Harapan Babaru demi untuk memenuhi permintaan meluap-luap dari ahli-ahli PAS khususnya yang sudah tidak sabar-sabar untuk bergiat aktif semula setelah muktamar yang lepas.

Dengan penglibatan di dalam NGO, ahli-ahli PAS itu belum boleh dipecat lagi oleh pimpinan PAS kerana tiada fasal di dalam Perlembagaan yang menghalang seseorang ahli PAS untuk bergiat di dalam NGO.

Dan apabila parti baharu siap, maka barulah ahli-ahli PAS ini akan menyeberang secara beramai-ramai ke parti baharu dan pada ketika itu PAS tidak lagi perlu memecat mereka kerana apabila seseorang ahli PAS itu telah menyertai parti lain, secara automatik keahlian PAS gugur.

Semuga semuanya berjalan lancar dan semuga Allah swt merestui dan meredhai perjuangan kita.

[GAMBAR & VIDEO] Bas Rombongan Bawa Nor Azli Taliban Ke Ayer Hitam Terbakar

Nak pergi berbuka, bas terbakar

Seremban: Seramai 24 orang yang dalam perjalanan menghadiri majlis berbuka puasa di Johor berdepan detik mencemaskan apabila bas persiaran dinaiki mereka terbakar, petang semalam.

Dalam kejadian 3.15 petang itu, bas yang dalam perjalanan dari Shah Alam ke Johor secara tiba-tiba berasap sebelum berhenti di tepi jalan di Kilometer 264 Lebuhray PLUS arah selatan, berhampiran plaza tol Seremban.

Difahamkan, cemas dengan keadaan itu, pemandu bas meminta semua penumpang masing-masing 17 lelaki dan tujuh wanita turun menyelamatkan diri.

Penolong Penguasa Bomba Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Faizal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.57 petang dan tiba di lokasi 22 minit kemudian.

"Sebaik tiba, kita mendapati bas persiaran terbabit sedang terbakar dan tiada mangsa yang terperangkap.

Bas itu musnah 100 peratus dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya. -HM

ULASAN GB

Tak sangka pula bas yang terbakar itu rupa-rupanya membawa rombongan beberapa orang ahli PAS dari Perak termasuk seorang AJK Pas Pusat iaitu Ust Nor Azli Musa atau dikenali Nor Azli Taliban berdasarkan kepada "printscreen" dari media sosial facebook yang viral sejak petang semalam.

Rombongan itu dikatakan sedang menuju ke Ayer Hitam untuk bersama di Program presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang dan AJK PAS Pusat dengan pimpinan PAS Negeri Johor.

Alhamdulillah, mujur semua penumpangnya selamat. Innalillahi wainna ilahirajiun.




12 Jul 2015

PAS Hipokrit & Tak Bermaruah Jika Kekal Dalam K'jaan Selangor

PAS hipokrit jika kekal dalam kerajaan Selangor, Pulau Pinang, kata Mahfuz

Datuk Mahfuz Omar menyifatkan PAS akan dilihat hipokrit jika masih kekal dalam kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang pada ketika parti itu sudah memutuskan hubungan dengan DAP, sekutu mereka sebelum ini dalam Pakatan Rakyat (PR).

Bekas ketua penerangan PAS itu mengulas mengenai keputusan Majlis Syura Ulama (MSU) PAS yang memuktamadkan untuk memutuskan kerjasamanya dengan DAP pada satu mesyuarat kelmarin.

"Apabila PAS sudah mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan DAP, maka PAS seharusnya tidak bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan Pulau Pinang dan Selangor.

"Jika tidak, rakyat akan melihat PAS sebagai hipokrit kerana masih terus dilihat mempunyai hubungan dalam pemerintahan Selangor dan Pulau Pinang,"
kata Mahfuz yang dipetik dalam akhbar Sinar Harian hari ini.

Kontroversi isu putus hubungan PAS dan DAP tercetus sejak muktamar tahunan parti itu menerima tanpa bahas usul Dewan Ulama tersebut awal bulan lalu.

Susulan keputusan itu, kerajaan DAP Pulau Pinang menyatakan beliau menerima tanpa soal sekiranya ahli PAS dalam kerajaannya mahu meletak jawatan, tetapi mereka enggan atas alasan pelantikan dibuat parti.

Malah, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng juga sudah memberi kata dua kepada ahli PAS yang enggan berganjak daripada kerajaan negeri.

Sementara itu di Selangor, PAS masih lagi berada dalam pentadbirannya walaupun sudah menamatkan kerjasamanya dengan DAP di negeri tersebut.

Mahfuz berkata, langkah seterusnya kini bergantung kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang perlu mengambilkira keputusan yang dibuat Majlis Syura itu untuk menentukan hala tuju di Selangor dan Pulau Pinang.

"Jawatankuasa Kerja PAS Pusat perlu menentukan dengan bijaksana apa yang perlu dilakukan dengan ahli PAS dalam kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang," katanya.

Mahfuz juga mengulangi pendirian PAS perlu berundur daripada kerajaan negeri.

"Saya hanya memberikan pandangan ahli PAS perlu berundur daripada kerajaan.

"Terpulang kepada mereka," katanya.

Dewan Ulama PAS pada muktamar tahunan ke-61 mengusulkan parti Islam itu memutuskan hubungan dengan DAP selepas Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendapat kecaman hebat daripada parti sekular itu.


Pas dinasihat keluar dari kerajaan Selangor

PAS diminta menjelaskan pendirian mereka berhubung penglibatan dalam kerajaan Selangor selepas parti itu memutuskan hubungan tahaluf siyasinya dengan DAP.

Perkara itu dibangkitkan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), yang berpendapat ia perlu dilakukan bagi mengelakan penduduk negeri itu keliru.

“PAS harus jelaskan kenapa mereka masih duduk bersama dengan DAP dalam kerajaan negeri sedangkan mereka sudah memutuskan hubungan dengan DAP.

“Penjelasan ini perlu kerana kita tidak mahu rakyat terus keliru,” kata Timbalan Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya.

Katanya, adalah lebih baik sekiranya PAS bersedia untuk meninggalkan Kerajaan Selangor jika DAP masih wujud dalam kelompok itu.

“Jika PAS boleh berbuat demikian, barulah nampak kejantanan PAS,” tegasnya yang dipetik daripada Ismaweb. Ulasnya lagi, PAS membuat keputusan yang tepat erana Isma sudah lama melihat tahaluf antara PAS dan DAP akan mendatangkan mudarat kepada Islam dan Pas sendiri.
-FMT


ULASAN GB

Perangai PAS semakin lama semakin memalukan. Atas apa juga alasan, pengekalan PAS di dalam Kerajaan Selangor adalah amat memalukan tidak bermaruah dan hipokrit.

Mereka menyatakan kononnya mereka menjaaga amanah rakyat yang mengundi PR, jika demikian maka mengapa MSU putuskan hubungan dengan DAP secara semborono? Bukankah sokongan rakyat kepada PAS di dalam pilihanraya sebelum ini adalah kerana rakyat memyokong dan mengundi kerana PR?

Keengganan dan kelengahan PAS Selangor berundur dari kerajaan negeri Selangor adalah jelas satu perlanggaran terhadap keputusan MSU.

Sepatutnya wakil-wakil rakyat PAS yang setuju memutuskan hubungan dengan DAP di seluruh negara perlu LETAK JAWATAN kerana mengkhianati amanah rakyat kerana rakyat telah mengundi berdasarkan mereka adalah komponen PR.

Malah kelmarin sewaktu kenyataan MSU dikeluarkan mengenai putus tahaluf siyasi dengan DAP GB tertanya-tanya mengapa PAS kekal bertahaluf siyasi dengan PKR sedangkan selama ini PAS sendiri menuduh punca segala masalah ialah Langkah Kajang yang dicetuskan oleh PKR?

Mengenai hudud, itu bukan masalahnya sebab DAP ialah parti bukan-Islam. Mereka berhak tolak hudud dimana dan dalam apa cara sekalipun. Kita yang bersalah jika kita yang memaksa pengenaan hukum berkenaan.

Sebenarnya PAS sudah terpengaruh dan diresapi dengan "assabiyah" UMNO. Membangkitkan sentimen membenci bangsa dan agama lain.

GB salin semula ulasan GB sebelum ini:

1) Akhirnya selesai sudah isu tahaluf siyasi dengan DAP. Keputusan MSU di atas memang ditunggu-tunggu. Dan yang pasti, keputusan itu "disambut baik" oleh UMNO yang memang mengharapkan PAS memutuskan hubungan dengan DAP.

2) Tiada nas, bukti atau dalil dikemukakan di dalam kenyataan MSU berkenaan mengenai dakwaan DAP telah "campur tangan dalam aqidah, dasar dan matlamat PAS". Justeru itu keputusan itu dilihat lebih kepada menjaga airmuka "beberapa ulama" yang telah membuat kenyataan-kenyataan melulu sebelum ini yang meminta tahaluf siyasi dengan DAP dibatalkan atau disemaksemula.

3) Tindakan MSU itu juga mengesahkan tindakan-tindakan DAP yang memecat ahli-ahli PAS yang berkhidmat di dalam kerajaan negeri Pulau Pinang. Dan bererti PAS Pulau Pinang sudah tidak layak untuk membangkitkan isu pemecatan di mahkamah.

4) Keputusan MSU itu juga mengesahkan Pakatan Rakyat telah dikuburkan.

5) Pengekalan tahaluf siyasi bersama PKR hanyalah untuk menyelamatkan kepentingan ADUN-ADUN PAS yang menjadi exco dan menyelamatkan kedudukan 5,000 ahli PAS yang sedang berkhidmat dengan kerajaan negeri Selangor.

6) PAS juga dilihat sanggup untuk menerima kekalahan di dalam pilihanraya terutama di pantai barat dimana para pengundinya adalah multi-racial yang sebelum ini pengundi bukan-Islam telah mengundi PAS di atas dasar semangat setiakawan di dalam Pakatan Rakyat.

7) Tindakan MSU itu juga menyebabkan ahli-ahli akar umbi PAS akan terus bersemangat menyokong penubuhan parti Islam yang baharu bagi memperbaharui jalinan tahaluf siyasi bersama DAP dan PKR yang telah terjalin erat sebelum ini dan meneruskan kerja-kerja dakwah kepada rakan-rakan di dalam parti-parti yang ia bertahaluf siyasi dengannya.


PAS Gagal istiqamah, "GAHARU" Teruskan Perjuangan Islam Yang Syumul

Matlamat parti Islam baharu lebih besar daripada hudud, kata Mujahid

Parti politik baharu yang sedang dipertimbangkan untuk ditubuhkan sekumpulan pemimpin progresif PAS yang "disingkirkan" akan membuat pendirian Islam lebih besar daripada sekadar kanun keseksaan Islam atau hudud.

Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Islam mengajar umatnya mengekalkan keamanan, dan bukannya memaksa pelaksanaan undang-undang.

"Inilah sebabnya bekas Muryidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menangguhkan hudud. Beliau faham sangat. Beliau tahu isunya belum selesai.

"Apakah hudud segala-galanya? Ia hanya undang-undang jenayah,"
katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu temu bual di pejabatnya di Parit Buntar.

Ketika ditanya mengenai pendirian parti baharu itu mengenai hudud, beliau berkata, terdapat perkara lebih besar dalam Islam selain hudud, seperti mewujudkan kehidupan lebih baik dan selesa untuk rakyat.

"Untuk melakukannya bukan dengan memperkenalkan undang-undang jenayah Islam untuk membendung jenayah. Anda berjuang umpamanya untuk gaji minimum dan mengurangkan kadar jenayah.

"Semua itu perlu dijadikan sebahagian daripada agenda. Itu pendirian kami apabila berbicara mengenai hudud... sebab itu mereka anggap saya sebagai anti-hudud,"
katanya.

Mujahid, yang juga salah seorang pemimpin PAS paling dikenali dan terlibat dalam usaha antara agama yang menggalakkan perpaduan serta keharmonian antara orang Islam dan bukan Islam berkata, isu hudud perlu dilihat dalam kerangka undang-undang negara.

"Anda perlu mengimbangi antara rangka kerja perundangan dan hudud sebagai keperluan dalam kanun jenayah syariah. Untuk melaksanakan hudud, anda mesti lihat rangka kerja undang-undang. Untuk berbuat demikian anda perlu melalui proses demokratik.

"Bercakap mengenai proses, anda perlu tahu apa kuasa dan bidang kuasa yang ada. Negeri mempunyai kuasa tetapi ia terhad kepada Akta Mahkamah Syariah, yang menyatakan hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah negeri ialah penjara 3 tahun, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan," katanya.

"Melihat kepada perkara ini, kita perlu berlaku sangat praktikal dalam mengendalikannya. Kita perlu melalui proses demokrasi dan menerima keputusannya, sama ada ia (hudud) boleh dilaksanakan atau tidak.

"Bagi 'Gerakan Harapan Baharu', kami melihat hudud dalam konteks itu. Bukan hanya retorik, perkara yang emosi atau sensasi," kata ahli Parlimen Parit Buntar itu.

Dalam rang undang-undang hudud untuk meminda Enakmen Jenayah Syariah Kelantan II, antara hukuman yang dinyatakan adalah pemotongan anggota badan dan merejam sampai mati.

Bagaimanapun, baru-baru ini dilaporkan rang undang-undang persendirian yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Dewan Rakyat untuk meminda Akta Mahkamah Syariah tidak termasuk semua hukuman itu.

Isu hudud adalah punca yang membawa kepada keruntuhan Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP.

Pada Mac, kerajaan PAS di Kelantan membentang dan meluluskan rang undang-undang hudud di Dewan Undangan Negeri dan menimbulkan kemarahan DAP yang sentiasa menentang pelaksanaan hudud.

Selepas saling mengkritik, PAS ketika muktamar tahunannya “menyingkirkan” pemimpin progresif yang mesra PR, menggantikannya dengan kumpulan konservatif, sebelum memutuskan hubungan dengan DAP, yang seterusnya mengisytiharkan gabungan PR terkubur.

Ketika kumpulan progresif menuju ke arah cita-cita parti baharu mereka, Mujahid berkata perlembagaan parti baharu ini dengan jelas akan menentukan asas dan dasar Islamnya.

Mereka juga akan menghormati Perlembagaan Persekutuan, identiti kaum dan pelbagai budaya serta kepentingan bersama rakyat.

Beliau berkata, walaupun parti itu akan menggunakan Islam sebagai panduan ke arah pembangunan negara, ia akan menjadi lebih inklusif, seperti ditetapkan Islam. "Kami mahu menunjukkan Islam yang berbeza daripada PAS. Isunya sekarang ialah orang melihat PAS dan berasa parti itu tidak lagi mempromosikan aspirasi Islam,"
katanya. –TMI


Hadi: Hudud hanya dilaksana jika cukup syarat


HULU TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata hukum hudud bukan sesuatu yang menjadi keutamaan walaupun ia akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Menurutnya, hudud akan dilaksanakan terlebih dahulu kepada umat Islam sementara bukan Islam diberi pilihan (untuk menerimanya atau tidak).

"Bagaimanapun, ia mesti dilaksanakan mengikut proses demokrasi. Kita dahulukan yang mana dahulu, kita selesaikan masalah, atasi kemiskinan dahulu.

"Hukum hudud tidak boleh dilaksanakan, hukum mencuri tidak boleh dijatuhkan sekiranya gaji minimum tidak dilaksanakan.

"Sebagai contoh, gaji minimum kena ada, kalau dia mencuri sebab gaji tak cukup, ia (hudud) tak boleh dilaksanakan sebab tak cukup syarat nak laksana hukum ini, itu kena faham.

"Masalah pengangguran diselesaikan dulu baru (hudud) dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan ceramah Pra-Bubar Parlimen di Kuala Berang, di sini, semalam.
- Bernama


ULASAN GB

Amat jelas sekali bahawa PAS tidak istiqamah. Dahulu Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa Hudud Bukan Agenda Utama. Tetapi kini PAS memperjuangkan hudud seolah-olah perjuangan Islam itu hanya hudud semata-mata sehingga sanggup memutuskan tahaluf siyasi bersama DAP.

Gerakan Harapan Baharu (GAHARU), akan meneruskan perjuangan Islam yang syumul. Bukan bererti GAHARU menolak hudud, tetapi berpegang kepada prinsip bahawa "Islam itu lebih besar daripada sekadar kanun keseksaan Islam atau hudud.".

Hal ini bertepatan dengan "fatwa" Ketua Ulama Sedunia, Sheikh Yusuf al-Qaradhawi, yang menyatkan 'sebelum Nabi SAW melaksanakan hukum hudud, Baginda terlebih dahulu menegakkan Islam secara keseluruhannya, yakni menegakkan kehidupan Islam’.

Jelas tersurat, fakta ini bermakna, perlaksanaan hukum hudud adalah peringkat atau ‘projek’ terakhir dalam agenda perlaksanaan Islam.

Dalam ungkapan yang lebih jelas-seperti yang dinyatakan Qaradhawi- “dasar [berkenaan perlaksanaan hudud ialah] tidak dilaksanakan [hukum] hudud melainkan apabila kita telah melaksanakan-seperti yang telah saya katakan-ajaran-ajaran Islam keseluruhannya yang berkaitan akidah, syariat, akhlak, tata susila dan nilai-nilai [murni], kita bangunkan masyarakat Islam, dalam keadaan ini, kita laksanakan [hukum] hudud”.


Kenyataan Qaradhawi ini secara tidak langsung menidakkan pandangan yang melihat 'perlaksanaan hudud' sebagai 'agenda teratas' dalam sesebuah negara Islam.

Sila rujuk: [VIDEO] Al-Qardhawi: Tegakkan Kehidupan Islam Dahulu, Bukan Hudud

11 Jul 2015

Perlantikan AJK Badan Perhubungan PAS Melaka Tidak Sah - Sofi

Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil yang juga mantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Mohd Sofi Wahab hari ini mempersoalkan tindakan Pesuruhjaya PAS yang baru, Kamaruddin Sidek yang membuat perlantikan jawatankuasa Perhubungan PAS dengan tidak mengikut Perlembagaan.

Di dalam satu kenyataan medianya, Sofi Wahab menyatakan sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil beliau ingin menegaskan bahawa perlantikan AJK Badan Perhubungan Negeri Melaka yang disiarkan dalam media beberapa hari lepas adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan PAS sendiri.

Menurutnya di dalam perlembagaan PAS dengan jelas dinyatakan iaitu Fasal 40 ceraian (5) iaitu :

"Pesuruhjaya PAS Negeri di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Perhubungan PAS Negeri hendaklah melantik Timbalan-timbalannya, Setiausaha, Penolong-penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihan Raya dan tujuh orang Ahli Perhubungan PAS Negeri menurut Ceraian (3)(b), (c), (d), (e), (f), (g) dan (m) dalam Fasal ini daripada ahli-ahli PAS dalam negeri itu."

"Untuk makluman sehingga saya sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil dan Setiausaha PAS Kawasan Bukit Katil tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat Perhubungan Negeri sebelum ini," tambah kenyataan itu.

Sepatutnya Pesuruhjaya PAS Negeri mesti memanggil mesyuarat pertama perhubungan dengan kehadiran semua Yang Dipertua dan Setiausaha PAS Kawasan-kawasan serta Ketua dan Setiausaha Dewan-Dewan bagi membincang perlantikan AJK seperti dalam Fasal 40 ceraian 5 tersebut, kata Sofi.

Setelah dibincang dan dipersetujui oleh semua Ahli Badan Perhubungan Negeri barulah perlantikan itu sah dan boleh diumumkan.

Apa yang menghairankan bagaimana Pesuruhjaya PAS Negeri boleh membelakangkan Yang Dipertua PAS Kawasan, Ketua-Ketua Dewan dan Setiausaha masing-masing dalam hal perlantikan ini, soalnya.

Malah sehingga hari ini beliia menyatakan beliau dan Setiausaha PAS Kawasan Bukit Katil tidak pernah dijemput secara rasmi untuk menghadiri mesyuarat perhubungan sedangkan di dalam perlembagaan PAS Fasal 40 ceraian 3 dengan jelas dinyatakan bahawa Yang Dipertua PAS Kawasan dan Setiausaha PAS Kawasan adalah ahli badan perhubungan negeri.

Sofi juga menyatakan bahawa beliau telah menghubungi Kamaruddin beberapa hari lalu dengan menyatakan isu ini tetapi sehingga hari ini Kamaruddin tidak membuat sebarang tindakan untuk menyelesaikannya.

Oleh itu Sofi mencadangkan kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka supaya menarik balik kenyataan akhbar tentang perlantikan tersebut serta memohon maaf kepada semua Yang Dipertua PAS dan Setiausaha PAS Kawasan serta Ketua dan Setiausaha Dewan-dewan yang dibelakangkan.

Kamaruddin telah dinamakan oleh Pas Pusat sebagai Pesuruhjaya menggantikan Sdra Adly Zahari yang telah tewas sebagai YDP PAS Alor Gajah di dalam pemilihan muktamar yang lepas. -Kelab GB


PAS Melaka selesai bentuk kabinet

MELAKA: Badan Perhubungan PAS Melaka telah mengumumkan senarai ahli jawatankuasa yang baru dibentuk dengan menampilkan ramai muka baru bagi sesi 2015/2017 di sini, barubaru ini.

Berikut adalah senarai ahli jawatankuasanya:

1. Pesuruhjaya, Ustaz Kamarudin Sidek merangkap Pengerusi Lajnah Politik dan Pilihan Raya.

2. Timbalan Pesuruhjaya I, Ustaz Wan Zahidi Ismail merangkap Pengerusi Lajnah Pemerkasaan Parti.

3. Timbalan Pesuruhjaya II, Dr Md Khalid Kassim merangkap Pengerusi Lajnah Alam Sekitar.

4. Timbalan Pesuruhjaya III, Ustaz Abd Halim Maidin merangkap Pengerusi Lajnah Dakwah.

5. Setiausaha, Asri Shaik Abdul Aziz merangkap Timbalan Ketua Penerangan dan Media.

6. Ketua Penerangan dan Media, Azizan Nordin.

7. Ketua Dewan Ulama, Ustaz Zulkifli Ismail merangkap Timbalan Pengerusi Lajnah Politik dan Pilihan Raya.

8. Ketua Muslimat, Kintan Man merangkap Timbalan Pengerusi Lajnah Pemerkasaan Parti.

9. Pengarah Jabatan Pilihan Raya, Baihaki Ismail.

Ahli Jawatankuasa yang lain terdiri daripada Ustaz Shabudin Senin, Saharudin Yusof, Abd Kader Dewa, Ramli Dalip, Ustaz Julasapiyah Kasim, Ustaz Imran Abd Rahman, Ghafar Abd Wahab, Zainuddin Abd Latif dan Muhd Puhat Bedul.
-pas.org.my


ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan berjalan. Inilah akibat apabila si kaduk ..... Apabila mereka yang tak ikut perlembagaan dan tidak professional diletakkan mengetuai organisasi, hancurlah organisasi itu.

Keseluruhan jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka 2015-2017 adalah tidak sah kerana tidak mematuhi perlembagaan. Kita hairan bagaimana perlantikan jawatankuasa boleh dilakukan tanpa memanggil mesyuarat jawatankuasa pertama yang memerlyukan kehadiran semua Yang Dipertua dan setiausaha kawasan.

Soal samada YDP atau Setiausaha kawasan menolak jawatan itu adalah soal lain, tetapi fasal-fasal dalam Perlembagaan PAS perlu dipatuhi.

Ada yang menuduh Sofi sengaja hendak aibkan Kamaruddin. Walhal sebelum kenyataan media dibuat, Sofi sudah pun menghubungi PJ bertanyakan mengenai isu berkenaan tetapi PJ berkenaan TIDAK mengambil apa-apa langkah untuk membetulkan keadaan.

Kes di Johor tidak dijadikan pedoman. Di Johpr, Pesuruhjayanya, Dr.Mahfodz Mohamed gagal membentuk jawatankuasa perhubungan PAS Negeri Johor dimana hanya 11 hadir daripada 52 ahli (26 kawasan).

Sekurang-kurangnya PAS Johor mematuhi Perlembagaan, tetapi Pesuruhjaya PAS negeri Melaka terus langgar Perlembagaan

Jadi jawatankuasa Badan Pehubungan PAS Negeri Melaka dah sama macam jawatankuasa MIC. Cacamarba.



[TERKINI] MSU Buat Keputusan Putuskan Hubungan Dengan DAP

Majlis Syura Ulama (MSU) telah membuat keputusan membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP.

Walaupun sebelum daripada ini, pemimpin-pemimpin PAS berdolak-dalik mengenai isu pemutusan hubungan dengan DAP ekoran dari usul dari Dewan Ulama di muktamar yang lepas yang telah diterima sebulat suara tanpa bahas dengan alasan usul berkenaan belum muktamad kerana belum diputuskan oleh Majlis Syura Ulama, kini segala-galanya telah selesai apabila MSU memutuskan untuk membatalkan hubungan kerjasama atau tahaluf siyasi dengan DAP.

Di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha MSU, Nik Mohd Zawawi Salleh bertarikh 10 Julai 2015, beliau menyatakan MSU kesal dengan tindakan-tindakan provokasi berterusan dan keputusan DAP yang mengecam dan melanggar semangat kerjasama Pakatan Rakyat, serta campur tangan dalam aqidah, dasar dan matlamat PAS yang menyebabkan MSU mengambil tindakan memutuskan hubungan kerjasama dengan DAP.

Tetapi dalamasa yang sama, PAS mengekalkan tahaluf siasi bersama PKR.

Untuk ulasan selanjutnya sila rujuk ulasan GB di bawah ini.


Keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak Di Dalam Isu Hubungan Dengan DAP

Pas terus istiqamah dengan prinsip Islam sebagai rahmat untuk semua yang menegakkan keadilan dan kesejahteraan untuk semua kaum. Oleh kerana itu, PAS konsisten meneruskan hubungan dengan semua pihak menerusi hubungan tahaluf siasi bersama parti politik dan NGO bukan Islam.

Dalam masa yang sama Pas tetap teguh berpegang dengan dasar-dasar Islam ketika berhubung dengan semua pihak.

Namun Majlis Syura Ulamak kesal dengan tindakan-tindakan provokasi berterusan dan keputusan DAP yang mengecam dan melanggar semangat kerjasama Pakatan Rakyat, serta campur tangan dalam aqidah, dasar dan matlamat PAS. Oleh itu, Majlis Syura Ulamak memutuskan bahawa hubungan tahaluf siasi dengan DAP terbatal. Dalam masa yang sama, PAS mengekalkan tahaluf siasi bersama PKR.

Keputusan ini diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk dilaksanakan menurut kesesuaian dan keperluan politik semasa.

Dato' Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh
Setiausaha Majlis Syura Ulamak,
24 Ramadhan 1436 / 10 Julai 2015


ULASAN GB

1) Akhirnya selesai sudah isu tahaluf siyasi dengan DAP. Keputusan MSU di atas memang ditunggu-tunggu. Dan yang pasti, keputusan itu "disambut baik" oleh UMNO yang memang mengharapkan PAS memutuskan hubungan dengan DAP.

2) Tiada nas, bukti atau dalil dikemukakan di dalam kenyataan MSU berkenaan mengenai dakwaan DAP telah "campur tangan dalam aqidah, dasar dan matlamat PAS". Justeru itu keputusan itu dilihat lebih kepada menjaga airmuka "beberapa ulama" yang telah membuat kenyataan-kenyataan melulu sebelum ini yang meminta tahaluf siyasi dengan DAP dibatalkan atau disemaksemula.

3) Tindakan MSU itu juga mengesahkan tindakan-tindakan DAP yang memecat ahli-ahli PAS yang berkhidmat di dalam kerajaan negeri Pulau Pinang. Dan bererti PAS Pulau Pinang sudah tidak layak untuk membangkitkan isu pemecatan di mahkamah.

4) Keputusan MSU itu juga mengesahkan Pakatan Rakyat telah dikuburkan.

5) Pengekalan tahaluf siyasi bersama PKR hanyalah untuk menyelamatkan kepentingan ADUN-ADUN PAS yang menjadi exco dan menyelamatkan kedudukan 5,000 ahli PAS yang sedang berkhidmat dengan kerajaan negeri Selangor.

6) PAS juga dilihat sanggup untuk menerima kekalahan di dalam pilihanraya terutama di pantai barat dimana para pengundinya adalah multi-racial yang sebelum ini pengundi bukan-Islam telah mengundi PAS di atas dasar semangat setiakawan di dalam Pakatan Rakyat.

7) Tindakan MSU itu juga menyebabkan ahli-ahli akar umbi PAS akan terus bersemangat menyokong penubuhan parti Islam yang baharu bagi memperbaharui jalinan tahaluf siyasi bersama DAP dan PKR yang telah terjalin erat sebelum ini dan meneruskan kerja-kerja dakwah kepada rakan-rakan di dalam parti-parti yang ia bertahaluf siyasi dengannya.

Kalau Tak Betul Kenapa Tutup Facebook?

Lelaki nafi bekerja untuk Najib, Rosmah sering ke luar negara bersama

Lelaki didakwa memindahkan RM2 juta ke dalam akaun Datin Seri Rosmah Mansor dan kemudian menafikan bekerja untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri sering ke luar negara bersama-sama pasangan itu.

Memetik laporan Sarawak Report, individu yang dikenali sebagai Roslan Sohari, membuat 16 kali perjalanan ke London pada Oktober 2013 dan Jeddah bulan lalu.

Trip berkenaan dipaparkan di laman Facebook yang kebetulan sama dengan trip Najib dan Rosmah.

Semalam Sarawak Report mendakwa, Roslan mendepositkan RM2 juta wang tunai ke dalam akaun bank Rosmah di Affin Bank Berhad melalui 8 kali transaksi antara tempoh 2 tahun setengah awal tahun ini.

Maklumat lengkap, termasuk nombor telefon dan pekerjaan turut dipaparkan blog berkenaan. Roslan dikatakan pembantu peribadi di Jabatan Perdana Menteri.

Gambar trip Roslan Sohari dipaparkan di laman Facebook yang kebetulan bersamaan dengan trip Datuk Seri Najib Razak dan Datin Sri Rosmah Mansor. – Gambar Facebook, 10 Julai, 2015.


Laporan: RM2j dideposit ke akaun 'Rosmah'


Laman pembocor maklumat Sarawak Report mendakwa RM2 juta dideposit ke dalam akaun bank yang dikatakan milik Rosmah Mansor.

Laporan itu mendakwa laporannya berasas maklumat diterima berkaitan sebuah akaun dengan Affin Bank Berhad.

Ia mendakwa sejumlah besar wang dideposit ke dalam akaun itu dalam tempoh dua bulan bermula pada awal tahun ini.


Memetik dokumen didakwa berkaitan siasatan 1MDB, Sarawak Report mendakwa seorang individu bernama “Roslan Sohari” antara 10 Februari dan 23 April tahun ini memasuki sebuah cawangan bank itu di Kuala Lumpur sebanyak lapan kali.

“Dalam kunjungan-kunjungan ini beliau mendeposit keseluruhan RM2,000,000 ke dalam akaun bernombor 1000 xxxx xxxx, yang mana para penyiasat melaporkan ia milik “Rosmah Binti Mansor (Datin Sri)”.

Dihubungi Malaysiakini, pembantu Rosmah, Rizal Mansor, berkata beliau tidak dapat mengulas perkara itu pada masa laporan ini ditulis kerana sedang berada dalam sebuah majlis berbuka puasa.

Malaysiakini juga telah menyemak sebuah laman Facebook milik “Roslan Sohari”, seorang pegawai tentera berpangkat pegawai waran, yang antara lain menunjukkan gambar individu itu dengan Najib selain kelihatan berada dalam jet peribadi.

Dalam Facebook itu, pekerjaannya diletakkan sebagai “Resident Manager at the Prime Minister’s Office” (pengurus residen di Pejabat Perdana Menteri).

Rekod di Facebook itu juga mendedahkan bahawa individu itu 'mendaftar masuk' di pelbagai lokasi di luar negara ketika Najib berada di tempat itu.

Tempat-tempat itu antaranya Kazakhstan (tahun lepas), Jeddah (6 Jun 2015), Beijing (12 November, 2014 ketika perdana menteri hadir Persidangan Ekonomi Asia Pasifik) dan New York (ketika Najib hadir persidangan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu September lalu).

Beliau juga berada di Padang, Indonesia, pada 26 Ogos tahun lepas, ketika Rosmah menerima sebuah anugerah Minangkabau.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada individu ini orang yang sama dimaksudkan oleh Sarawak Report.

Ketika Malaysiakini menghubungi “Roslan Sohari” melalui nombor telefon yang ditunjukkan dalam sebuah dokumen dimuat naik oleh Sarawak Report, dia menafikan berkhidmat dengan Jabatan Perdana Menteri atau mempunyai kaitan dengan Rosmah.

Bagaimanapun, gambarnya di profil Whatsapp menunjukkan gambar yang sama dengan pemilik akaun dengan di Facebook.

Laman Facebook telah dinyahaktifkan tidak lama selepas laporan ini diterbitkan.

Malaysiakini juga memeriksa nombor kad pengenalan Rosmah yang dinyatakan di dokumen itu dan mendapati ia sememangnya isteri Najib.


Nombor akaun Affin Bank 1000 xxxx xxxx yang dinyatakan itu juga didapati ia milik “Rosmah Binti Mansor”

Sementara itu, Najib ketika berucap di satu majlis di sebuah masjid di ibunegara malam ini, meminta orang awam supaya tidak percaya dakwaan terhadapnya dan keluarganya di media sosial.

Najib berkata terdapat banyak perkara mengarut di Internet yang tidak harus dilayan.

“Kita akan pastikan kebenaran muncul juga akhirnya,” katanya.




Laporan mengenainya boleh diakses terus di SAWARAK REPORT.

ULASAN GB

Di bulan Ramadhan ini banyak benda yang tak betul yang bernanah terbongkar. Samada di sebelah sini atau di sebelah sana.

Hairan juga bagaimana lelaki yang bernama Roslan Sohari itu hendak menafikan kisah yang dah terbongkar. Dan facebooknya pun dah dipdadamkan.

Kalau tak ada apa-apa masakan tempua bersarang rendah!

Hukum kebenaran tetap berjalan....

10 Jul 2015

Parti Baharu Atau Ambil Alih Parti Sedia Ada, Tunggu Hari Raya...

Jenamakan semula parti sedia ada jika gagal daftar parti baharu, kata Mujahid

Sekumpulan pemimpin progresif PAS sedang mengkaji kemungkinan membuat "penjenamaan semula" sebuah parti politik sedia ada, jika parti baharu yang akan ditubuhkan berdepan masalah pendaftaran dengan Pendaftar Petubuhan (RoS), kata bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Mujahid berkata pendekatan sebenar adalah menubuhkan parti baharu tetapi jika RoS membuat keputusan untuk mengetatkan prosedur pendaftaran, kumpulan itu akan mencari jalan lain bagi mewujudkannya.

"Kita boleh mempertimbangkan untuk mengambil alih parti sedia ada, menghantar permohonan kepada RoS untuk menukar namanya, logo dan misi.

"Tetapi kita tidak menghadapi masalah (untuk mempunyai parti baharu berdaftar)," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Parit Buntar, hari ini.

Langkah itu akan mencerminkan apa yang PKR lakukan apabila presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempunyai masalah mendaftarkan Pergerakan Keadilan Sosial sebagai sebuah parti politik lewat 1990-an selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Pergerakan Reformasi mengambil alih sebuah parti kecil yang dikenali sebagai Ikatan Masyarakat Islam Malaysia dan dilancarkan sebagai PKR pada April 1999, tepat pada masanya untuk pilihan raya umum tahun itu.

Mujahid bersama sekumpulan pemimpin progresif PAS yang digulingkan daripada jawatan mereka dalam parti Islam itu, yang kini dikuasai puak ulama konservatif, sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan parti sebagai alternatif kepada PAS dan membina pakatan pembangkang baharu bagi menggantikan Pakatan Rakyat (PR) yang sudah runtuh.

Ketika ditanya mengapa mereka mahu berdepan masalah menubuhkan parti baharu berbanding menyertai DAP atau PKR, Mujahid berkata terdapat keperluan untuk melihat tujuan yang lebih besar dan bukan survival peribadi mereka dalam kancah politik.

"Ini bukan soal menyertai parti lain untuk kelangsungan politik tetapi untuk membawa politik baharu kepada negara ini. Kita mesti mempunyai jiwa yang lebih besar untuk membuka jalan ke arah agenda baharu.

"Kami melihat kepentingan ini biasa di parti yang lain. PR mungkin mati tetapi kita perlu mengekalkan semangat dan kesepakatan itu,” katanya.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata parti baharu berkenaan belum ada nama kerana mereka masih mengumpul sokongan dan menggerakkan kekuatan badan bukan kerajaan yang berkongsi wawasan pemimpin progresif, tetapi ia bersahaja yang dirujuk sebagai "harapan baharu" atau "xin xi wang" dalam bahasa Mandarin.

"Kita mungkin tidak dapat menggelar diri kita sebagai Parti Islam Progresif kerana sudah ada sebuah parti Islam. Nama itu boleh menyebabkan kekeliruan. Kami mungkin menggunakan nama yang akan mencerminkan perjuangan dan prinsip kami seperti inklusif, progresif dan keadilan.

"Kami juga tidak mahu dikenali sebagai G18. Ia seperti panggilan nama kumpulan gengster terkenal di Pulau Pinang. Semasa saya kanak-kanak, G18 adalah kumpulan gengster yang menakutkan," katanya, merujuk kepada nama tidak rasmi yang diberikan kepadanya dan 17 pemimpin progresif PAS yang tewas pada pemilihan parti itu bulan lepas.

Mujahid berkata, "harapan baharu" pergerakan itu kini sudah berkembang lebih besar daripada hanya 18 kepada mereka yang datang daripada kumpulan serpihan PAS, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), yang ditubuhkan tahun lepas.

Beliau berkata bersama mereka adalah NGO seperti Angkatan Belia Islam Malaysia dan Pertubuhan Ikram Malaysia, institusi dan ahli masyarakat sivil yang berkongsi visi dan aspirasi mereka.


"Kami berada di seluruh tempat. PasMa bermula lebih awal tetapi kami mahu masuk dan melawan terlebih dulu (dalam pemilihan parti), sekurang-kurangnya sehingga kami pasti proses yang sistematik untuk menghapuskan progresif. Ia seolah-olah PAS tidak memerlukan lagi ahli progresif," katanya.

Ia juga secara terbuka difahamkan ahli progresif akan menjelajah seluruh Malaysia bagi mengajak individu terkenal seperti bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim dan bekas timbalan menteri Datuk Saifuddin Abdullah serta bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sama ada mereka mengajak mana-mana tokoh penting, Mujahid berkata mereka akan menjelajah ke seluruh negara untuk berjumpa dengan orang yang berkongsi cita-cita dan aspirasi bagi mendapatkan pandangan mereka.

"Meminta seseorang seperti Dr Mahathir menyertai kami? Kami terlalu kecil," katanya sambil menambah mesyuarat awal minggu ini antara pemimpin progresif PAS Mazlan Aliman dan Dr Mahathir secara khusus mengenai isu Felda.

Sejauh mana harapan baharu yang diambil mereka, Mujahid berkata pergerakan itu menuju ke depan dan mungkin hasil usaha mereka akan dapat dilihat selepas sambutan Aidilfitri.

"Pada masa ini, bulan Ramadan kita bertemu ramai orang secara persendirian. Kami bergerak di semua negeri supaya parti itu apabila ia dibentuk kelak akan hadir di peringkat negeri juga. Kita tidak mahu menjadi sebagai sebuah parti yang 'syok sendiri'.

"Selepas Aidilfitri, kami akan mengadakan siri jelajah di seluruh negara bermula dari Perlis pada 19 Julai. Kami akan berada di Perak pada 26 Julai. Kami akan memberitahu media mengenai program kami sejurus rancangan dimuktamadkan," katanya.

Timbalan Pengerusi DAP Nibong Tebal Teoh Seang Hooi berkata DAP sentiasa menghargai kepimpinan prinsip dan usaha Mujahid bagi merapatkan kaum dan agama yang berbeza dengan dialog dengan gereja.

Beliau berkata apa yang Mujahid lakukan untuk menggalakkan keharmonian dan perpaduan antara agama adalah teladan, bukan saja di rumah tetapi di luar negara, dan prinsip beliau adalah sama dengan impian DAP untuk menjadikan Malaysia untuk semua rakyat Malaysia. –TMI

ULASAN GB

Kita sedia maklum bahawa RoS akan cuba untuk melengah-lengah pendaftaran parti-parti baharu dari kalangan yang tidak mesra-BN.

Malah "Pakatan Rakyat" sendiri sehingga sekarang tidak lagi diluluskan pendaftarannya oleh RoS.

Jadi mengambil alih parti yang sedia ada, menghantar permohonan kepada RoS untuk menukar namanya, logo dan misi itu adalah alternatif jika parti baharu yang betul-betul baharu tidak diterima oleh RoS.

Jika itupun ada banyak ranjaunya, maka tiada pilihan kecuali gerakkan Jawatankuasa Undang-undang di bawah Hanipa dan Asmuni untuk mengheret RoS ke mahkamah.

Kita memohon kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan pendaftaran parti baharu, parti alternatif kepada PAS yang telah membuang kumpulan professional di dalam muktamarnya yang lepas.



Saifuddin Dedahkan Haji Hadi Aib dan Hinakan Anwar Depan-depan

Bekas setiausaha agung PKR dedah Anwar dihina ketika krisis Selangor

Bekas setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dikasari individu dipercayai presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mahu membincangkan kemelut menteri besar Selangor tahun lalu.

Walaupun tidak menyatakan identiti Hadi secara langsung, Saifuddin mengimbas peristiwa ketika dirinya menemani ketua umum PKR berjumpa dengan individu terbabit untuk mengadakan perbincangan.

"Masih ingat saat aku menemani Datuk Seri Anwar berjumpa dengannya. Bagaimana Datuk Seri Anwar diaibkan dengan bahasa yang cukup kasar," katanya dalam status Facebook hari ini.‎

Perbincangan itu dipercayai merujuk kepada ‎pertemuan singkat Anwar dengan Hadi di Terengganu untuk menukar jawatan menteri besar Selangor yang ketika itu disandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Saifuddin berkata, pertemuan itu bagaimanapun tidak membuahkan hasil kerana individu itu beredar kerana kurang sihat implikasi pengambilan ubat.

"Perbincangan terhenti. Dia kemudian beredar. Dua temannya yang juga turut hadir kemudian meminta maaf. Dia baru makan ubat kata mereka.

"Aku dan Datuk Seri Anwar kemudian meminta diri. Indahnya akhlak," katanya sinis.

Bekas ahli Parlimen Machang itu berkata, dirinya menyaksikan sendiri Anwar dihina dan menganggap individu itu "bukan malaikat" yang perlu dipertahankan.

Beliau turut menggambarkan individu tersebut semasa pertemuan itu‎ sebagai "amat kasar" dan Anwar pula bersikap "amat lemah lembut".

"Yang hadir di situ saya. Yang tengok dan dengar sendiri kata penghinaan itu saya.

"Yang dok cerita lebih-lebih kata dia lebih tahu pula sebenarnya tak ada di situ pun. Tapi pertahan gila-gila... 'dia bukan malaikat'," katanya.

Pada Ogos tahun lalu, media melaporkan Anwar dan Hadi mengadakan pertemuan sulit di sebuah hotel di Kuala Ibai, dekat Kuala Terengganu, namun beberapa sumber dalaman parti mendakwa perbincangan itu gagal mencapai kata penyelesaian.

Anwar dilaporkan enggan mengulas lanjut hasil pertemuannya dengan Hadi dan menganggap ia hanya pertemuan biasa.

"Perjumpaan biasa... kita baru dalam proses perbincangan... bincang banyak isu... hasilnya macam biasa," kata Anwar dipetik Astro Awani ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, 12 Ogos lalu. – TMI

ULASAN GB

Demikianlah keangkuhan seorang Presiden sebuah parti Islam.

DSAI datang dengan cara baik, tetapi disambut dengan herdikan melampau.

Rupa-rupanya selain membenci DAP, Presiden PAS itu sudah lama juga membenci DSAI, Ketua Umum PKR.

Hukum kebenaran dan keadilan tetap berjalan. Ia akan menghukum orang yang menghina orang lain dengan kadar yang serupa atau dengan cara lebih dasyat sebagai pengajaran untuknya.

GB pernah mengulas sebelum ini.. petikan:

Di dalam ilmu jiwa (psikologi dan psikatri) orang yang menuturkan perkataan-perkataan jelek seperti di atas sebenarnya orang yang mengalami mental disorder atau sakit jiwa. Di dalam ilmu hakikat pula, orang yang suka menuturkan kata-kata sedemikian adalah disebabkan oleh kewujudan "penyakit" di dalam hatinya. Diantara penyakit hati termasuklah angkuh, sombong, riak, takabbur dan seumpamanya.

Penyakit di hati akan menyebabkan akhirnya akan berlaku penyakit fizikal. Hukum kebenaran dan keadilan berjalan. Maka tidak hairan angkara kalbu kotor, maka ramai yang terlantar di hospital, menderita pelbagai penyakit fizikal. Kerana semua penyakit di zahir itu bermula penyakit di batin. Apakah Tuan Presiden tidak menyedari hal ini?


9 Jul 2015

Bukankah Tolol Namanya Jika Pecat Mereka Yang Bukan Ahli PAS Lagi?

PAS akan pecat ahli sertai parti lain, kata Hadi

PAS menasihati mana-mana ahli mereka untuk kekal di dalam parti Islam itu, termasuk kumpulan pemimpin progresif yang menggelarkan diri mereka G18, atau dipecat keahlian mereka, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Berucap pada majlis berbuka puasa di Kelantan Isnin lalu, Hadi berkata, PAS tidak menghalang mana-mana pihak yang berhasrat menubuhkan parti baharu.

“Tetapi kita kena ingat sejarah politik dan penubuhan parti di negara ini bagaimana nasib parti berkenaan setelah ia diasas kerana kecewa,” katanya, dalam program di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik).

Memetik kenyataan yang dikeluarkan di pas.org.my itu, Hadi berkata, untuk menubuhkan sebuah parti Islam baharu, asas Islam yang kukuh diperlukan, bukan kerana perasaan kecewa dan tidak puas hati.

“Sebagai sebuah parti Islam yang baharu perlu ada asas Islam, bukan kerana tidak puas hati terhadap parti yang didukungi. Kita keluar dan buka lagi parti baharu dan begitulah seterusnya,” katanya.

Beliau turut menyalahkan media sosial yang menjadi medan memperbesar-besarkan isu.

“Media sosial seperti Facebook memberi ruang perkara yang kecil menjadi besar sehingga menampakkan PAS sedang bergolak," katanya.

Muktamar PAS di Kuala Selangor baru-baru ini menyaksikan parti Islam itu bukan sahaja memutuskan hubungan dengan DAP, tetapi pemimpin dari kalangan kumpulan progresif turut tewas kepada kumpulan konservatif pada pemilihan ketika itu.

Mereka yang tewas dalam pemilihan itu termasuk timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu, naib presiden Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat, dan beberapa lagi individu lain.

Susulan itu, kumpulan berkenaan membentuk G18, yang kemudiannya ditukar nama kepada Gerakan Harapan Baharu, dan difahamkan selepas sambutan Hari Raya bulan ini, mereka akan membentuk sebuah parti politik baharu untuk bekerjasama dengan Pakatan Rakyat (PR) baharu.

Selepas PAS mengambil pendirian memutuskan hubungan dengan DAP, parti komponen PR itu kemudiannya mengambil pendirian PR tidak lagi wujud, dan kerajaan DAP Pulau Pinang mengambil langkah menggesa wakil PAS dalam kerajaan mereka meletakkan jawatan.

Ekoran tidak puas hati dengan keputusan PAS, beberapa ahli mereka, seperti aktivis Pemuda PAS, Syed Omar Ali dan peguam muda, Zulhazmi Sharif membuat keputusan menyertai DAP


Pembangkang dan NGO bincang isu 1MDB di padang kawad parlimen

KUALA LUMPUR: Kumpulan pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengadakan perhimpunan di padang kawad Menara Parlimen bagi membincangkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dakwaan penggunaan wang terbabit untuk kegunaan pilihan raya yang lalu.

Perhimpunan dikatakan dibuat di lokasi tersebut atas berikutan lokasi asal yang dicadangkan iaitu bilik mesyuarat di bangunan sementara pentadbiran parlimen telah ditempah awal oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Komunikasi Keadilan, Fahmi Fadzil berkata bahawa mereka pada mulanya dihalang masuk ke bilik mesyuarat kerana diberitahu bilik mesyuarat yang ditempah itu telah dibatalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kemudian menafikan kenyataan tersebut dengan menegaskan bahawa mana-mana Kementerian tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan tempahan bilik di Parlimen.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong pula berkongsi gambar di laman Twitter dengan menulis “ahli-ahli parlimen 'bersidang' dengan duduk di lantai di ruang terbuka kerana tidak dibenarkan guna bilik mesyuarat."

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, turut mengesahkan sidang tergempar Parlimen dan Pimpinan Masyarakat itu diadakan di tangga Parlimen.

Sementara Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang pula mempersoalkan mengapa kawalan keselamatan keterlaluan berlaku di Parlimen.

Bukan itu sahaja, ahli-ahli Parlimen and NGO yang lain turut tidak melepaskan peluang untuk melaporkan keadaan secara langsung dari Parlimen.

Perhimpunan dipimpin oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah dan turut disertai Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Ia bermula sekitar jam 12.30 tengahari.

Bagaimanapun Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak kelihatan.

Pertemuan itu dicadangkan diadakan sebelum ini oleh Wan Azizah Wan Ismail dan disokong oleh ketua parlimen DAP, Lim Kit Siang.
-astroawani


ULASAN GB

Seorang yang berjawatan Presiden Parti Islam, seorang yang bertaraf "ulama dunia" tetapi tidak menjalankan amanahnya sebagai wakil rakyat untuk hadir di Parlimen begitu banyak kali.

Haji Hadi telah ponteng sebagai ahli parlimen sewaktu tiga undang-undang penting dibahas dan diluluskan secara undian belah-bahagi iaitu, Akta Pencegahan Keganasan (POTA), Pindaan Akta Hasutan dan Undang-undang GST.

Dan yang paling teruk ialah semasa private bill disenaraikan di dalam agenda Dewan Rakyat kali kedua, YB Marang itu ponteng lagi malah ketika itu beliau berada di Jepun!

Kelmarin, sewaktu semua ahli parlimen pembangkang terpaksa berhimpun di Padang Kawad Menara Parlimen bagi membincangkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dakwaan penggunaan wang terbabit untuk kegunaan pilihan raya yang lalu, Haji Hadi ponteng lagi.

Rupa-rupanya beliau berada di Kelantan, mengeluarkan kenyataan dari sana akan memecat ahli PAS yang menyertai parti lain. Tidak uzur syarie.

Itulah sikap Ahli Parlimen Marang terhadap tanggungjawabnya sebagai seorang ahli parlimen! Apakah tidak berdosa jika tidak menunaikan amanah atau dalam ertikata lain KHIANAT sebagai seorang ahli parlimen yang telah dipilih oleh rakyat? Apakah hukumnya memakan gaji buta itu? Beliau yang sepatutnya dipecat dari PAS kerana mengkhianati parti juga.

Berbalik kepada soal memecat mereka yang menyertai parti baharu atau parti lain. Sebenarnya tak timbul soal pecat-memecat. Hanya si tolol akan berkata demikian. Sebab seseorang yang telah menyertai parti baharu secara automatik gugur keahliannya dari PAS. Jadi apa hal nak pecat orang yang dah tak ada dalam parti?

Contohnya seorang pekerja yang bernama Ahmad berkhidmat dengan sebuah syarikat katakanlah ABC. Kemudian dia berhenti dan berkhidmat untuk syarikat DEF. Jadi tak timbul soal ABC nak pecat Ahmad kerana Ahmad sudah tidak ada lagi di dalam syarikat ABC. Demikian anologi mudah dan kalau dah faham itulah tolol namanya jika nak pecat orang yang dah tak ada lagi dalam parti. Dan demikianlah juga hukum kebenaran dan keadilan berjalan, tuduhan tolol kini kembali kepada yang menuturnya!

Sebenarnya, kehadiran parti baharu benar-benar telah meresahkan ulama othodox dalam PAS. Sekarang baru mereka tahu hasil dan kesan dari perbuatan kotor dan keji mereka menyingkirkan golongan profesional.

Dari laporan yang GB terima, insyaAllah ahli-ahli PAS seluruh negara akan memberikan sambutan yang besar terhadap kemunculan parti Islam alternatif ini. Kita tidak boleh membetulkan PAS dari dalam lagi. Ia kini dikontrol oleh kumpulan ulama jumud yang ingin membawa PAS 50 tahun ke belakang, ingin membawa PAS kembali ke surau dan gua walaupun Allah telah membawa dan menghantar PAS ke Parlimen dan DUN. Buktinya Presiden PAS sendiri tidak mengendahkan dan tidak mensyukuri kedudukannya sebagai ahli parlimen, mengkhianati amanah dengan ponteng setiap kali parlimen bersidang.

Kemunculan parti baru bakal menghantar sebilangan besar ulama-ulama PAS ke hospital dan IJN. Terkena penyakit lemah jantung. Itulah hukum kebenaran dan keadilan.

Dan insyaAllah, hanya dengan parti baharu dengan rakan-rakan di dalam PAKATAN 2.0 inilah nanti yang akan merealisasikan impian rakyat dengan tertubuhnya kerajaan baru di Putrajaya!

"Janji Untuk Membentuk Gabungan Baru Adalah Realiti, Bukan Angan-angan"

Harapan Baru bergerak dari Perlis selepas raya

Kumpulan progresif dalam PAS - yang kini digelar Gerakan Harapan Baru - bersama rakan dalam DAP dan PKR akan mengadakan perhimpunan besar-besaran di Perlis pada hari raya ketiga untuk memulakan momentum ke arah entiti pembangkang baru.

Perhimpunan tersebut dijangka menampilkan bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dan pemimpin progresif lain yang tewas dalam pemilihan muktamar parti itu di Selangor awal Jun lalu.

Hampir semua pemimpin progresif - kecuali Mazlan Aliman - gagal mendapat tempat dalam Jawatankuasa Pusat PAS serta sayap parti itu.

Secara keseluruhan PAS kini dikuasai oleh kumpulan konservatif.

Mohamad berkata, mereka mahu memulakan gerakan gabungan baru bermula di utara semenanjung selepas Pakatan Rakyat dianggap terkubur dengan terputusnya hubungan antara PAS dan DAP.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata perhimpunan itu adalah yang pertama daripada siri yang dirancang bermula selepas Aidilfitri nanti.

"Janji untuk membentuk gabungan baru adalah realiti, bukan angan-angan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri perbicaraan di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

Menurut Mohamad, mereka akan mengadakan jelajah ke setiap negeri untuk menjelaskan kepada rakyat mengapa gabungan ini penting dan perlu.

"Kita juga akan jelaskan bagaimana bentuk gabungan itu nanti," katanya. -mk

ULASAN GB

Segala rencana dan perancangan jahat, kotor dan hina untuk menyingkirkan golongan professional dari PAS kini dismabut oleh G18 dengan penubuhan sebuah parti baharu, sekali gus membentuk sebuah gabungan baru Pakatan 2.0.

Iulah professional namanya. Mereka bukan kumpulan kecewa seperti didakwa oleh pihak yang menyingkirkan mereka.

Seperti yang GB telah utarakan sebelum ini, rencana dan rancangan jahat itu dilakukan oleh pimpinan tertinggi ulama dalam PAS dimana mereka sanggup melakukan fitnah, melemparkan tuduhan dan melabel kumpulan professional dengan pelbagai gelaran buruk seperti Jebon, Anwarinas, Munafik Haraki, barua, tolol, syaitan, anti ulama, kuda DAP dan seumpamanya.

Allah membimbing golongan professional untuk tidak berkelakuan seperti mereka. Malah ditunjukkan jalan apa yang perlu mereka lakukan demi untuk memenangkan Islam kerana Islam itu tidak terhad hanya kepada hudud sepertimana yang diperjuangkan oleh kumpulan yang kononnya memanggil diri mereka "ulama".

Sepertimana kata Pak Syukur sebelum ini (petikan):

Parti baharu ini diyakini akan disertai pelbagai golongan rakyat yang sedar – terutama masyarakat sivil dan generasi baharu – yang dilihat sedang menantikan penubuhan parti baharu ini, Ini gelombang besar yang akan mengejutkan pemimpin PAS sendiri nanti.

Dengan kehadiran media baharu, perkembangan politik baharu ini mudah tersebar luas. Dari itu, menyamakan parti baharu dengan Hamim dan Berjasa tidak munsabah, malah ketinggalan zaman.

Kelemahan pemimpin PAS sekarang ialah mereka tidak memahami perkembangan politik terkini, kerana tenggelam dengan emosi dan prejudis, hanya berbangga dengan lutut dan siku bukan fakta dan ilmu.

Kedua, golongan progresif ini bukan daun yang gugur dan terbuang akibat ribut. Golongan ini masih gemilang dan terbilang. Mereka tetap berharga di kaca mata masyarakat yang sedar, bukan golongan yang jumud dan ekstrem.

Malah, tidak mustahil pula ribut besar yang melanda PAS boleh menumbangkan batang tubuh PAS itu sendiri kerana masyarakat melihat PAS kini sedang melakukan “reverse gear” yang amat menghairankan. Akhirnya ia kembali menjadi parti politik Pantai Timur.

Demikianlah Hukum Kebenaran dan Keadilan berjalan. Apa pun rancangan jahat dan buruk itu akan berbalik kepada perancananya sendiri sepertimana janji Allah swt:

Lantaran kesombongan (mereka) di muka bumi dan kerana rencana (mereka) yang jahat. Rencana yang jahat itu tidak akan menimpa selain orang yang merencanakannya sendiri. Tiadalah yang mereka nanti-nantikan melainkan (seperti berlakunya) sunnatullah kepada orang-orang yang terdahulu. Maka sekali-kali kamu tidak akan mendapati perubahan bagi sunatullah, dan sekali-kali tidak (pula) akan menemui penyimpangan bagi sunnatullah itu. (Fatir: 43)