MCA Kedah hari ini menafikan laporan Sinar Harian yang mengatakan mereka menyokong undang-undang hudud dilaksanakan sekiranya PAS bergabung dengan Umno.
Pengerusinya, Datuk Chong Itt Chew berkata, kenyataannya telah diputarbelitkan oleh wartawan Sinar Harian.
"Itu sama sekali tidak benar. Saya menerima panggilan telefon dari wartawan Sinar Harian yang mahukan respon saya tentang kenyataan Tun Dr Mahathir terhadap kerjasama PAS dan Umno untuk pilihan raya akan datang dan apa pendirian MCA dalam hal ini.
"Saya menjawab jika ada parti mahu menyertai Barisan Nasional (BN), ia perlu mendapat sokongan dari pucuk pimpinan BN dan menerima perlembagaan BN."
"Tetapi pendirian MCA dalam hal ini sangat jelas. Kami tidak menyokong hudud.
"Jadi perkara terbaik bolehlah merujuk terus kepada presiden (Chua Soi Lek)," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider sebentar tadi.
Beliau berkata laporan Sinar Harian "berbeza" dengan kenyataannya.
"Saya sebagai pengerusi MCA sudah beberapa kali membantah PAS Kedah mengenai hukum hudud.
"Niat PAS untuk melaksanakan hukum hudud itu kita sudah nampak, apabila semasa sambutan tahun baru, mereka mengarahkan lelaki dan wanita diasingkan.
"Dan adalah sangat tidak tepat jika mengatakan kita menyokong hukum hudud sebab kami lantang mengkritik isu ini," katanya lagi.
Beliau juga berkata bahawa beliau tidak menyebut tentang DAP.
"Ya, saya tidak menyebut apa-apa tentang DAP. Saya rasa DAP yang menyokong hudud kerana Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng hanya mendiamkan diri.
"Hanya Karpal Singh sahaja yang bersuara," katanya apabila ditanya tentang DAP.
Dalam laporan Sinar Harian hari ini pengerusi MCA negeri Kedah itu dikatakan menyokong hudud kerana "secara rasionalnya hudud tidak melibatkan orang bukan Islam."
Chong berkata beliau tidak tahu bagaimana kenyataan beliau boleh diputarbelit.
"MCA negeri sentiasa mengikut arahan dari ibu pejabat, dan kami tidak menerima hukum hudud untuk dijadikan undang-undang di negara ini," katanya. -TMI
LAPORAN SEBELUM INI
MCA Kedah setuju hudud
ALOR SETAR - Ini sesuatu yang amat mengejutkan. Di sebalik kelantangan pucuk pimpinannya membantah sebarang cadangan untuk melaksanakan hudud di negara ini, MCA Kedah tiba-tiba sahaja membuat kenyataan yang menongkah arus - bersetuju - dengan undang-undang Islam itu.
Pengerusinya, Datuk Chong Itt Chew berkata, rasionalnya mudah, hudud tidak melibatkan orang bukan Islam.
"Sekiranya pelaksanaan undang-undang itu (hudud) membawa kebaikan kepada rakyat dan negara, ia tidak akan jadi masalah termasuk kepada orang bukan Islam. DAP juga tidak patut membantah," katanya di sini, semalam.
Itt Chew berkata, dalam keadaan sekarang, Pas yang memperjuangkan pelaksanaan hudud sejak penubuhannya, harus menimbang semula kedudukannya dalam Pakatan Rakyat (PR) apabila DAP yang menjadi rakan sekutunya dalam pakatan itu berterusan menolak hudud.
"Pas mesti buat keputusan yang lebih baik dengan meninggalkan PR.
Selagi bersama PR, Pas tidak akan berjaya melaksanakan hudud," katanya.
Dalam situasi begini, kata Itt Chew, Pas harus menyertai Umno dan BN untuk membina sebuah negara Islam yang lengkap.
"MCA Kedah akan setuju jika Pas ingin menjalin kerjasama dengan Umno untuk meneruskan perjuangan Pas. Pas harus menerima setiap polisi yang ditetapkan parti dan tidak meletakkan sebarang syarat.
"Saya melihat gabungan Umno dan Pas adalah satu tindakan yang baik demi masa depan rakyat dan negara," katanya.
Beberapa hari lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Umno boleh melaksanakan hudud jika Pas sedia bergandingan dengan parti itu untuk membangunkan sebuah negara Islam.
Menurutnya, Umno amat mengalu-alukan kerjasama Pas jika ia berpisah dari PR.
"Pelaksanaan hudud hanya dapat dilakukan jika Pas menyertai Umno untuk bersama-sama membina negara dan menggubal perundangan Islam," katanya.
Sebelum itu, anggota Majlis Syura Ulama Pas, Nasharudin Mat Isa menyatakan sudah sampai masa bagi parti itu menimbang kedudukannya dalam PR berikutan penolakan berterusan oleh DAP terutama pengerusinya, Karpal Singh terhadap undang-undang hudud. -SH
Ulasan GB
Ramai percaya Pengerusi MCA Kedah itu telah menerima tekanan daripada Presiden MCA, Chua Soi Lek supaya menarik balik kenyataannya terhadap hudud. Ini berdasarkan kepada jawapannya sendiri:
"Jadi perkara terbaik bolehlah merujuk terus kepada presiden (Chua Soi Lek)," katanya
Chua Soi Lek bersama anaknya Chua Tee Yong yang mengugut UMNO bahawa MCA akan keluar BN jika hudud dilaksanakan.


p/s Amacam pencacai UMNO? Kalau Karpal dituduh kafir harbi, bagaimana pula kedudukan Chua Soi Lek dan anaknya itu? Tak harbikah mereka berdua itu.