19 Okt 2010

[Bergambar] Tragedi Bot Karam Di Tatau, Sarawak. Enam Mangsa Dikenalpasti

Dua Lagi Mayat Tragedi Bot Karam Ditemui

BINTULU: Dua lagi mayat tragedi bot ekspres karam selepas berlanggar dengan tongkang di hulu Sungai Anap Tatau petang semalam, ditemui hari ini, menjadikan jumlah yang disahkan terkorban dalam tragedi itu sehingga kini ialah enam orang.

Kedua-dua mayat wanita itu, seorang daripadanya dikenali sebagai Bermas anak Nyuin, 26, ditemui pasukan mencari dan menyelamat di dasar Sungai Kakus di Ulu Tatau, kira-kira 60 kilometer dari sini.

Mayat pertama ditemui pada pukul 1.30 petang manakala satu lagi mayat ditemui kira-kira setengah jam selepas itu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Mohmad Salleh.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang semalam, bot ekspres yang dalam perjalanan dari Pekan Tatu ke Hulu Kakus terbalik dan karam selepas berlanggar dengan tongkang balak. Bot itu bertolak dari Pekan Tatau pada pukul 1.30 petang.

Empat mayat ditemui petang semalam, iaitu bayi berusia lima bulan Jennifer Yak; dua lelaki dewasa iaitu Wong Siew Guan, 21; dan Wilfred Ukir Salleh, 56; serta seorang wanita Meas anak Renggan, 75.

Tujuh belas penumpang termasuk empat kanak-kanak berumur satu hingga tiga tahun selamat.

Mohmad berkata setakat ini operasi mencari dua lagi mangsa yang dilapor hilang diteruskan oleh pasukan penyelamat yang terdiri daripada 47 pegawai dan anggota dari Pejabat Daerah Tatau, polis, pasukan bomba dan penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Antara yang masih hilang ialah pasangan suami isteri dan anak perempuan mereka berusia tiga tahun.

"Setakat ini, kami mengenalpasti 21 penumpang dalam bot itu. Tetapi jumlah sebenar penumpang tidak boleh dipastikan sekarang kerana bot itu mengambil penumpang sepanjang perjalanan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Sehubungan itu, polis meminta penduduk di kawasan itu yang kehilangan anggota keluarga supaya membuat laporan polis dengan segera dan polis juga meminta pemimpin masyarakat setempat membantu dalam usaha itu.

Mohmad berkata kejadian berlaku apabila bot ekspres "Liang Yu" yang boleh memuatkan 50 penumpang, dari pekan Tatau cuba memotong sebuah tongkang yang menarik baj kosong berhampiran Kem Pembalakan Kelebu.

"Ketika cuba memotong tongkang itu, pemandu bot ekspres terbabit hilang kawalan apabila ia tersangkut dalam tali yang menarik baj menyebabkan baj itu melanggarnya dari belakang mengakibatkan bot itu terbalik," katanya sambil menjelaskan bot itu mempunyai jaket keselamatan.

Beliau berkata pemandu bot berusia dalam lingkungan 60-an kini ditahan untuk membantu siasatan.

Sementara itu, anggota keluarga mangsa yang masih hilang berada di kawasan kem itu dan ada antaranya yang menyertai usaha mencari dan menyelamat dengan bot panjang mereka.

Seorang daripada mereka Dina anak Nyuin, 25, berkata kakaknya bersama abang ipar dan anak perempuan mereka adalah antara yang masih hilang manakala mayat seorang lagi kakaknya, Bermas, ditemui hari ini. - BERNAMA











Gambar dari pelbagai sumber. Terima kasih kepada pemiliknya tertutama Sdr Pandi Suhaili

3 Penjuru Di Batu Sapi?

Batu Sapi: PKR akan wakili Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan pilihan raya kecil Batu Sapi pada 4 November in akan diwakili oleh calon daripada PKR, kata ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Serentak dengan keputusan itu, Anwar berkata beliau berharap sebuah lagi parti pembangkang di Sabah - Parti Maju Sabah (SAPP) - akan memberikan laluan bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru.

Pada 16 Oktober lalu, presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengumumkan parti itu akan bertanding bagi menyakinkan rakyat Sabah bahawa mereka mampu menguruskan pentadbiran negeri sendiri.

Katanya, keputusan untuk bertanding adalah ujian getit bagi SAPP setelah berkerat arang dengan BN dan mengisytiharkan mereka sebagai parti pembangkang pada 2008.

Kerusi Batu Sapi kosong, berikutan kematian ahli parlimennya, Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, minggu lalu.

Mendiang menduduki kerusi berkenaan sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenanginya tanpa sebarang saingan.

Bagaimanapun pada pilihan raya 2008, beliau dicabar oleh calon Bebas, Chung Kwong Wing tetapi berjaya mengekalkan kerusinya dengan mudah dengan majoriti 3,708 undi.
Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771. -mk


SAPP Bertanding Pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi
Sabtu Oktober 16, 2010

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) memutuskan untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi pada 4 Nov ini, kata Presidennya Datuk Yong Teck Lee, Sabtu.

Beliau berkata parti itu di zon Sandakan telah bersedia menggerakkan jentera dan akar umbi untuk berkempen bagi memastikan kemenangan SAPP.

"Dalam siri mesyuarat agung cawangan SAPP di seluruh Sabah dan Labuan bermula 25 Sept hingga 10 Okt lepas, parti telah mengadakan raptai serentak untuk persiapan pilihan raya berkenaan.

"Persiapan itu termasuk analisis SWOT (Kekuatan, Kelemahan, Peluang, Ancaman), penilaian kekuatan organisasi tempatan, isu dan kepimpinan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di sini.


Ditanya mengenai calon yang akan diketengahkan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut, Yong berkata nama calon akan diumumkan pada 23 Okt ini ketika majlis perasmian pejabat SAPP yang baru di Bandar Lela, Sandakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan 26 Okt ini sebagai tarikh penamaan calon pilihan raya kecil itu yang diadakan berikutan kematian wakilnya Datuk Edmund Chong Ket Wah daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), selepas terbabit dalam nahas jalan raya di Tanjung Aru 9 Okt lepas.

Terdapat 25,582 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 24,047 pemilih biasa dan 1,535 pemilih pos di kawasan itu. -BERNAMA



BATU SAPI, 2 PENJURU ATAU 3 PENJURU?
EPISOD I

Oleh: MUTALIB M.D

KEMUNGKINAN berlaku pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan apabila Parti Maju Sabah (SAPP) yang diterajui Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berminat untuk mencuri peluang sebagai persediaan untuk berjuang bersendirian tanpa menyambut pelawaan Pakatan Rakyat, terutama untuk memberikan laluan satu lawan satu dengan Barisan Nasional.

Yong yang sebelum ini mewakili DUN Likas sebelum dilucutkan ‘hak’ melalui petisyen pilihanraya kecil Likas 1999, mula bekerja keras secara senyap selepas pilihanraya umum lalu (2008) melalui program turun padang; semakin diterima rakyat, terutama Bumiputera yang merasa disisihkan oleh Kerajaan BN selama ini.

Percubaan Yong untuk menggempur kubu BN (Batu Sapi) ibarat menikam Pakatan Rakyat daripada belakang sekalipun SAPP masih kekal sebagai parti ‘Bebas’ kerana kerusi berkenaan masih diperuntukkan kepada PKR setelah SPR menolak kertas pencalonan calon PKR, Dr Yusof Ahmad disebabkan masalah teknikal.

Yong mengambil peluang untuk meniupkan ‘semangat parokial’ apabila Adun Sekong, Datuk Samsuddin Yahya ‘mendidihkan’ kemarahan orang Cina setelah menurunkan papan tanda tiga bahasa di beberapa buah Dewan Masyarakat, sedangkan papan tanda berkenaan dipasang sejak di zaman PBS lagi.

SAPP mengekalkan kredit mereka apabila mereka berjaya dalam tiga misi mereka membantah percubaan mendirikan Loji Janakuasa Arang Batu di Lahad Datu, Sandakan dan Tungku; sehingga mampu mendabik dada, bahawa merekalah ‘Pejuang Rakyat’.

Barisan Nasional sudah pasti akan menurunkan mantan Wakil Rakyat Sibuga, yang juga Naib Presiden PBS, Datuk Thien Fui Yun bagi mempertahankan Parlimen Batu Sapi yang diintai PKR setelah mendapat persetujuan mutlak Pakatan Rakyat.

Walaupun Thien kurang pendidikan jika dibandingkan dengan dua bakal calon lain, namun beliau mampu membuat kejutan jika dapat menjinakkan pengundi Cina yang telah memberikan undi mereka kepada pembangkang pada pilihanraya umum lalu.

Dalam keadaan kawasan ‘hijau’ yang mula diturunkan sebagai kawasan kelabu di zaman Datuk Edmund Chung Ket Wah; disebabkan beliau sibuk dengan tugas lain dan pegawainya mula ‘makan di luar’; Thien Fui Yun akan melalui laluan sukar untuk memperolehi majoriti lebih 1,000 undi disebabkan senario politik sudah jauh berubah melalui kebangkitan PKR dan Pakatan Rakyat.

Penindasan demi penindasan yang dilakukan pihak berkuasa ke atas ‘Anak Negeri’ yang bukan sahaja kehilangan tanah, rumah, pekerjaan dan maruah; berubah menjadi dendam kesumat yang hanya boleh dibayar pada pilihanraya kecil kelak.

Melihat kematangan dan pola pengundi di parlimen Batu Sapi, PKR bakal meletakkan Mantan Ketua Perhubungan PKR Sabah dan juga Ahli Majlis Tertinggi PKR Pusat, Haji Ansari Abdullah untuk menentang calon PBS (BN) dan kemungkinan calon SAPP serta beberapa calon bebas daripada serpihan UMNO, SAPP dan PKR.

Ketua Cabang Batu Sapi, OKK Hassnar MP Ebrahim tidak berminat bertanding pada pilihanraya kecil ini dan ingin memastikan PKR menang dengan majoriti yang besar, telah mencadangkan Ansari diturunkan membawa panji-panji PKR.

Sebagai ahli politik veteran yang dilatihtubi Kerajaan Berjaya, UMNO dan PKR, Ansari dijangka boleh memandulkan sokongan terhadap BN dan menang mudah jika PKR menggemblengkan semua jentera parti dengan menimbulkan isu yang sudah lama diperjuangkan PKR; terutama isu tanah dan hak asasi yang diabaikan BN sejak Edmund menjadi Ahli Parlimen Batu Sapi.

Walaupun dibelenggu dengan ‘Pengundi Hantu’ kerana DUN Sekong dan DUN Karamunting merupakan ‘Fixed Deposit’ Barisan Nasional terutama warga ‘Mi Segera’ yang menjadi pertikian selama ini; namun sudah pastinya Ansari dan Hassnar mempunyai strategi untuk mengatasi masalah ini.

Dalam ketakutan yang amat sangat kepada Special Branch (SB) yang sudah pastinya akan menaiki rumah mereka pada malam terakhir sekadar menyampai peringatan ‘Surah BN’ iaitu ‘pastikan BN menang’ jika ingin terus menjadi rakyat Malaysia atau kad pengenalan mereka ditarik balik?

Mampukah SB melakukan kerja sulit ini seperti sebelum ini? Jika anda tidak percaya, sejarah telah membuktikan bahawa lebih 16,693 kad pengenalan yang telah diberikan kepada warga ‘Mi Segera’ ditarik balik iaitu bagi nombor siri H0492001-H0494500, H0539801-H0539999 dan H0540001-H0553999.

Sejak daripada insiden Ala Sun Tzu (Punish Concubine), ramai warga ‘Mi Segera’ tidak lagi berani menyongsang arus menolak BN, apatah lagi dengan bantuan ‘Bala Tentera’ Moro yang bermastautin di Pulau Jampiras.

Kemungkinan kebarangkalian ini sukar diramal kerana ada pihak tertentu dalam UMNO dan BN mungkin menaja ‘IC Terbang’ untuk memastikan pelaburan mereka dalam projek pembangunan BN terjamin.


Pengundi hantu bukan lagi rahsia dan Mahkamah telah mengendali kes IC Palsu setiap masa, terutama Warga Pakistan, India, China, Filipina, Indonesia dan sebagainya yang telah diberi kad pengenalan untuk mengundi oleh pihak tertentu melalui pelbagai modus operandi; namun mereka gagal mengembalikan kad pengenalan yang dipinjam; sama ada dalam bentuk mykad atau resit kad pengenalan sementara.

Dalam peperangan, ‘membunuh itu halal’, dalam politik, penipuan itu ‘harus’ kerana motif sebenar ialah untuk menumpaskan lawan tanpa perlu berperang. Pakatan Rakyat wajib menangkis ‘Saiwar’ BN yang dibalatentera oleh media arus perdana dan SB.

Kebebalan PKR tentang peranan media alternatif di Sabah menyebabkan Pakatan Rakyat, terutama PKR gagal meraih sebarang kerusi, melainkan dua kerusi yang dimenangi DAP secara ‘pembelotan’ iaitu tikam menikam dari belakang (lebih daripada satu parti pembangkang bertanding menyebabkan undi berpecah).

Media Alternatif PKR di Sabah agak lumpuh atau ‘mati pucuk’ gagal menarik minat pengundi atas pagar berbanding dengan DAP atau SAPP yang di ‘up-date’ setiap hari. Ditambah dengan risalah yang menjadi jentera terpenting untuk menangkap rasa cinta rakyat terhadap Pakatan Rakyat dan menepis adu domba atau serangan psikologi BN yang begitu berjaya selama ini, namun tidak dilakukan.


SAPP sudah melangkah jauh apabila mengaktifkan blog khas untuk Pilihanraya Kecil Batu Sapi yang boleh dilayari melalui http://batusapi.blogspot.com/ ketika UMNO, PKR masih terkial dan sekaligus menafikan peranan media alternatif yang telah menumbangkan lima kerajaan BN di Semenanjung.

Rakyat ‘Batu Sapi’ belum mengenali PKR atau Pakatan Rakyat secara harafiah atau holistic, melainkan untuk melampiaskan dendam kepada pemimpin BN; di samping tikam menikam di dalam PKR membuatkan tidak ada yang benar-benar bekerja untuk PKR selama ini.

Kader-kader UMNO di dalam PKR cuba melemahkan parti, telah lama berakar umbi dan hanya kumpulan ‘Kuda Trojan’ yang terdiri daripada 12 orang sahaja yang dihukum ala kadar; manakala ramai lagi ‘Upahan UMNO atau BN’ yang masih bersetinggan di dalam PKR, menunggu peluang untuk melemahkan PKR daripada dalam.

Angka hanya tinggal angka dan tidak akan mampu memenangkan sesiapa jika semua parti yang bertanding tidak menjaga adab sopan pertandingan dan meremehkan peranan rakyat dalam membuat keputusan.

Menjanjikan bulan bintang dan matahari akan menyebabkan Sabah dipenuhi ramai makhluk ‘Avatar’ yang hanya wujud di alam khayalan kerana Sabah kekal sebagai negeri kedua termiskin di Malaysia; sekalipun berbilion peruntukan pembangunan disalurkan ke ‘negara’ ini, sejajar dengan konsep perkongsian kuasa. Namun kehilangan autonomi untuk membelanjakan peruntukan menyebabkan kesemua projek untuk mengkayakan ‘proksi dan kroni’ kerana dikawal oleh Kerajaan atau Kementerian Pusat.

Kerajaan negeri Sabah menjadi lumpuh dan tidak mempunyai sumber kerana Jabatan Pembangunan Negeri hanya tinggal nama disebabkan karenah birokrasi. Jangankan mengharapkan peruntukan RM4 billion yang baru dijanjikan, janji RM1billion yang dibuat di zaman Pak Lah belum kesemuanya tertunai dan hanya satu perempat sahaja yang disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Negeri Sabah.

Di atas kertas, Sabah adalah sebuah negeri yang ‘Bankrap’ kerana Liabiliti melebihi hasil dan hanya mengharapkan bantuan Kerajaan Pusat yang tidak kunjung tiba. Reserve yang ada tidak menunjukkan keadaan sebenar dan hanya menjadi halwa telinga kerana Kerajaan Negeri banyak menanggung hutang, terutama banyak kes yang diputuskan Mahkamah, tetapi belum dapat dilangsaikan kerana ‘Tabung Negeri’ untuk tujuan berkenaan kosong, sekosong-kosongnya.

Kesimpulannya, pilihanraya kecil Parlimen Batu Sapi bukanlah medan untuk BN atau pembangkang menguji pengaruh; sebaliknya untuk menentukan sama ada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal berjaya kembali ke Sabah sebagai Ketua Menteri atau Datuk Seri Musa Aman kekal sebagai Ketua Menteri untuk satu penggal lagi jika calon BN menang dengan majoriti besar. Benarkah begitu? -sabahkini


Ulasan GB

Kan GB dah cakap. Semalam GB melaporkan PR lembab bertindak untuk PRK Batu Sapi. Apabila melihat keadaan demikian SAPP telah mengeluarkan kenyataan bahawa SAPP akan bertanding. Cuma pagi ini PR buat pengumuman untuk bertanding dengan meletakkan calon PKR. PKR sendiri kecoh dengan Pemilihannya dan tidak dapat menumpukan sepenuhnya kepada PRK-PRK Galas dan Batu Sapi.

Musuh sudah beberapa langkah di hadapan. Kita masih terhegeh-hegeh. Pertingkatkan kecekapan dan keberkesanan di dalam berorganisasi. Kata nak ke Purajaya.

Janda Asah Pisau Di rumah Duda Sewaktu Orang Solat Jumaat

Sik - “Saya datang ke rumahnya sekadar meminta tolong dia mengasah pisau pemotong getah sahaja,” kata pasangan wanita berumur 54 tahun ketika ditanya penguatkuasaan ketika di rumah pasangan lelakinya berumur 57 tahun.

Maklumat orang awam mendapati, wanita berstatus janda itu sering dilihat mengunjungi rumah lelaki yang berstatus duda itu dan kemudiannya mereka membuat keputusan untuk membuat aduan kepada Pejabat Agama Islam Daerah Sik (PAIDS).

Pegawai Agama, PAIDS Syeikh Mohd Haizan Hamzah, berkata, kakitangan PADS menerima aduan tersebut sekitar jam 12.50 tengah hari dan selepas solat Jumaat sekitar 2.50 petang mereka menyerbu rumah pasangan berkenaan.

Menurutnya, kemungkinan pasangan berkenaan menyangka waktu golongan lelaki sedang menunaikan solat Jumaat adalah waktu paling selamat untuk mereka berdua-duaan.

“Namun tekaan mereka ternyata silap, kerana orang awam sudah lama memerhati gelagat mereka tidak mempunyai sebarang hubungan mahram.

“Sepatutnya pada masa itu, pasangan lelaki berkenaan seharusnya pergi melaksanakan solat Jumaat di masjid bersama jemaah lain tetapi dia lebih rela memilih untuk bersama pasangan wanita itu,” katanya.

Beliau berkata, ketika ditahan kedua-duanya berada di dalam rumah, seorang di ruang tamu dan seorang lagi berada dalam bilik, manakala pintu hadapan tidak ditutup bagi mengelakkan sebarang reaksi yang mencurigakan.

“Selain itu, pasangan wanita juga lengkap berpakaian dengan seluar jeans, baju T lengan panjang dan bertudung seperti baru lepas pulang dari menoreh getah,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mereka dipanggil untuk memberikan keterangan di PAIDS semalam dan siasatan lanjut berhubung kes ini akan dilaksanakan dengan segera berdasarkan segala maklumat yang diperoleh. -SH

[Bergambar] Taufan Megi Landa Filipina. Menuju Cina

Manila: Taufan Megi menjadi ribut paling kuat dalam tempoh beberapa tahun ini melanda Filipina semalam, manakala banjir di Vietnam menghanyutkan sebuah bas dan menyebabkan 20 orang hilang termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang terlepas dari pegangan ibunya.

Ribut yang melanda Filipina itu menyebabkan sekurang-kurangnya seorang lelaki dilaporkan lemas dan taufan yang sama dijangka akan melanda China di mana pihak berkuasa sudah memulakan aktiviti memindahkan 100,000 penduduk dari sebuah kawasan wilayah pantai.

Ribut berkenaan kemudian akan berpindah ke Vietnam di mana 24 kematian akibat banjir dilaporkan sejak beberapa hari lalu.

Pihak berkuasa memberi amaran berjuta penduduk di sepanjang laluan taufan supaya berjaga-jaga berhadapan dengan kerosakan tanaman, rumah dan terputus bekalan elektrik.

Megi membawa angin selaju 225 kilometer sejam (kmj) hingga 260 kmj ketika mendarat di Teluk Palanan tengahari semalam di wilayah Isabela dan dilaporkan mula reda apabila merentasi pergunungan di utara Filipina, Luzon.

Seorang lelaki yang cuba menyelamatkan kerbaunya dilaporkan tergelincir dan jatuh ke dalam sungai sebelum lemas, kata Bonifacio Cuarteros, seorang pegawai agensi bencana wilayah Cagayan.

Taufan berkenaan turut menumbangkan tiang elektrik selain memutuskan bekalan kuasa, telefon dan perkhidmatan internet di kebanyakan kawasan. – AP

Ulasan GB

Taufan Megi. Tempatnya di Laut Cina Selatan. PRK akan berlaku di Galas, di negeri yang menghadap Laut Cina Selatan. Tak sampai. Mungkinkah ia petunjuk PAS bakal kalah nanti?

Persamaan juga ada di di Sabah, gempa di Tawau tidak cukup kuat untuk perubahan di Bukit Sapi.















Pelajar Ketagih Filem Lucah Sanggup Ponteng Sekolah Dan Tipu Ibubapa

Simpang Ampat – Seorang remaja berusia 14 tahun membuat pengakuan bahawa gara-gara ketagih menonton filem lucah dia sanggup tidak ke sekolah dan menipu ibu bapanya.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Zairul berkata, puncanya bermula apabila dia dan ibu bapanya berpindah ke sini dan berkawan dengan rakan-rakan sekitar kampungnya.

“Sikap liar kawan-kawan membuatkan saya terikut-ikut dengan cara mereka. Saya dibawa ke sebuah kafe siber di sekitar kawasan sini dan diajak untuk menonton filem lucah yang mudah diperoleh.

“Dengan hanya dibekalkan alamat laman web oleh pemilik kafe siber berkenaan, kami boleh melayari filem itu dengan sewenang-wenangnya tanpa rasa bersalah dan malu,” katanya.

Menurutnya, dia akan menghabiskan masa berjam-jam lamanya hanya kerana ingin menonton filem berkenaan.

“Bukan saya sahaja yang menonton, abang saya yang belajar di salah sebuah sekolah agama di daerah ini juga turut serta.

“Benarlah kata pepatah, ‘sepandai-padai tupai melompat, akhirnya ke tanah juga’. Kegiatan kami dikesan oleh bapa kerana suatu hari kami membawa adik yang berusia lima tahun ke kafe siber berkenaan. Kami membenarkan adik yang masih suci jiwanya dan tidak mengerti apa-apa menontonnya sekali. Apabila pulang dia menceritakan apa yang dilakukannya kepada ibu dan ayah,” katanya.

Zairul berkata, bapanya mula menyiasat dan suatu hari dia ke kafe siber berkenaan.

“Sejurus melihat kami asyik menonton filem berkenaan, bapa bertindak merotan kami di kafe siber itu dan tindakan berkenaan betul-betul memalukan saya.

“Insaf akan perkara itu, saya berjanji tidak mahu mengulanginya dan harap bapa dan ibu dapat maafkan saya dan abang. Bagaimanapun, abang saya tidak serik dan dia tetap mengunjungi kafe siber itu. Akibat ketagih, dia sanggup mencuri duit simpanan nenek di rumah,” katanya.

Ibunya, Rosmah berkata, dia berasa kesal kerana walaupun diberikan didikan agama yang sempurna tetapi anaknya terjebak dalam aktiviti tidak bermoral.

“Saya kecewa kerana anak-anak berkelakuan seperti ini. Lebih memalukan apabila dia merupakan pelajar sekolah agama dan sanggup menipu ibu bapanya bahawa dia pergi ke sekolah sedangkan dia melepak di kafe siber berkenaan.

“Bertambah teruk apabila anak saya yang sulung ini mencuri duit simpanan neneknya akibat mahu menggunakan wang itu untuk membayar kepada kafe siber berkenaan. Berkali-kali saya dan suami menasihatinya tetapi apabila dinasihat, dia melenting dan merajuk lalu lari ke rumah emak saudara sehingga kini,” katanya.

Kata Rosmah, dia bukan hendak mengaibkan kisah keluarganya tetapi dia hanya mahu berkongsi dengan masyarakat bahawa kehidupan sekeliling amat mempengaruhi tindak tanduk anak-anak.

Difahamkan, hampir sebahagian besar golongan muda di sekitar sini terutamanya pelajar sekolah bawah umur dibiarkan sesuka hati masuk ke kafe siber berkenaan.

Katanya, dia sentiasa berharap dan berdoa moga anak sulungnya dibukakan hati untuk mengetahui kesalahan akan perbuatannya.

“Pihak polis juga pernah melakukan serbuan ke atas kafe siber berkenaan tetapi ia tetap beroperasi seperti biasa seperti keadaan sebelum ini malah bertambah teruk lagi apabila jam tiga sehingga jam 4 pagi ia masih lagi beroperasi.

“Anak sulung saya dahulunya seorang yang dengar kata dan taat kepada ibu bapa serta tidak sangka kedatangan kami di sini diuji sebegini dan saya menerima sebagai hikmah dari tuhan dalam membesarkan anak-anak. Justeru, saya memohon kerjasama daripada pihak berkuasa supaya memandang serius terhadap perkara ini demi melahirkan anak bangsa yang berwawasan,” katanya. -SH

Pembebasan Ketua Pengarah Imigresen Memalukan Pejabat Peguam Negara

Kuala Lumpur: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) menyifatkan pembebasan bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don (gambar) daripada pertuduhan rasuah, Jumaat lalu, sesuatu yang boleh memalukan pejabat Peguam Negara sebagai pendakwa raya.

Berikutan itu, ahli Exconya yang juga anggota Panel Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Robert Phang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak campur tangan bagi mengenal pasti punca kekalahan banyak kes membabitkan rasuah dan salah guna kuasa.

“Dalam kes berkenaan, Wahid dituduh menerima suapan sebanyak RM60,000 bagi mempercepatkan kelulusan visa kepada pekerja asing.

“Oleh itu, Peguam Negara perlu memberi penjelasan terhadap kegagalan pihaknya supaya rakyat tidak terkeliru dan kita juga berharap Peguam Negara memandang serius perkara ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Phang juga melahirkan kebimbangan kerana sejak kebelakangan ini banyak kes yang dikendalikan pejabat Peguam Negara kalah di mahkamah dan ia boleh memberi imej negatif terhadap usaha kerajaan memerangi rasuah.

Beliau berkata, kegagalan pendakwaan turut mengundang keresahan di kalangan rakyat, selain mengakibatkan pelabur asing hilang keyakinan terhadap badan kehakiman negara.

Katanya, kekalahan kes rasuah dan salah guna kuasa juga akan menyebabkan tanggapan negatif dilemparkan terhadap SPRM sebagai badan penyiasat.

“Rakyat hendak tahu sama ada Peguam Negara sudah melakukan siasatan menyeluruh dengan memastikan segala bukti lengkap dikumpul dan diletakkan di hadapan sebelum dibawa ke mahkamah.

“Saya harap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz yang dipertanggungjawabkan bagi tujuan itu mencari jalan penyelesaian segera bagi masalah ini,”
katanya.

Sementara itu, SPRM memfailkan rayuan terhadap pembebasan Wahid, semalam.

Ketua Pendakwa SPRM, Datuk Abdul Razak Musa (gambar) ketika dihubungi BERNAMA, mengesahkan rayuan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi, pagi semalam.

Wahid, 57, dilepas dan dibebaskan tuduhan menerima rasuah RM60,000 daripada ahli perniagaan Datuk Seri Low Chang Hian bagi mempercepatkan kelulusan 4,337 visa untuk pekerja Bangladesh pada 10 Julai 2008.

Dalam satu kenyataan akhbar segera selepas keputusan mahkamah itu, SPRM berkata ada ‘alasan kukuh’ bagi suruhanjaya itu mengemukakan rayuan. -Bernama

Terkini

Bekas Timbalan KP Imigresen Diperintah Bela Diri Kes Rasuah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa memerintahkan bekas Timbalan Ketua Pengarah 1 Jabatan Imigresen Yusof Abu Bakar membela diri terhadap 14 tuduhan menerima rasuah bagi meluluskan lanjutan pas warganegara China.

Hakim Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Yusof, 56.

Pada 15 Okt lepas, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don atas tuduhan menerima rasuah melibatkan wang berjumlah RM60,000 sebagai upah mempercepatkan kelulusan visa pekerja Bangladesh. - BERNAMA



Ulasan GB

Apa tidaknya SPRM sentiasa kalah di dalam kes rasuah. Tumpuan hanya diberikan untuk membela kesalahan SPRM di dalam inkues Teoh beng Hock, dengan memandang ringan kes-kes rasuah berprofil tinggi. Diperburukkan oleh pentadbiran negara di bawah pemerintahan Najib yang tidak serius menangani gejala rasuah, malah dalam banyak ketika menyemarakkannya.

Pagi ini baru terhegeh-hegeh mahu mendakwa semula Ketua Pengarah Imigresyen tersebut dengan tiba-tiba hakim menyatakan pada pagi ini ada kes prima facie terhadap Yusof yang sebelum ini dinafikan.

Flip-flop flip-flop flipflop

Itulah yang dapat dinyatakan dari perspektif rakyat.

20 Kedai Pasar Chow Kit Terbakar

Kuala Lumpur: Kira-kira 20 deretan kedai yang menjual pelbagai barangan musnah dalam kebakaran di Pasar Chow Kit di sini, malam tadi.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas di kedai yang menjual barangan runcit, pakaian dan buah-buahan itu disedari seorang pemilik restoran sebelum menghubungi pihak bomba dan penyelamat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9 malam sebelum menghantar 50 anggota dan enam jentera dari empat Balai Bomba dan Penyelamat berdekatan untuk memadam kebakaran itu.

“Bomba mengambil masa selama 30 minit untuk memadamkan kebakaran kerana laluan sempit. Usaha memadamkan kebakaran juga mengambil masa kerana keadaan gelap.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

“Pemeriksaan mendapati, kebakaran yang berlaku itu dipercayai berpunca daripada litar pintas,” katanya di sini, malam tadi.

Azizan berkata, jumlah kerugian membabitkan 20 peniaga itu masih dalam siasatan dan operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya kira-kira jam 11.30 malam. -BH

[Bergambar] Projek Membesarkan Kota Ibadah Makkah Al-Mukkaramah Siap Menjelang 2012

Mekah: Datuk Bandar Makkah, Dr Osama Al-Bar, berkata beberapa projek mega yang dilaksana di kota suci ini dijamin siap menjelang 2012.

Saudi Gazette melaporkan Osama yang juga Pengerusi serta Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Makkah sebagai berkata jaminan itu bersandarkan kepada arahan Raja Abdullah.

Antara projek berkenaan ialah Lebuh Raya Raja Abdul Aziz yang menghubungkan Makkah dan Jeddah.

Beliau berkata, pembinaan lebuh raya itu sudah bermula dan ia akan menjadi contoh untuk pembinaan jalan raya di wilayah itu pada masa depan.

Satu lagi projek yang hampir siap ialah lapan rumah penyembelihan yang dilengkapi peralatan moden dan akan diurus oleh Bank Pembangunan Islam.

Juga dalam pembinaan ialah empat terowong pejalan kaki yang menghubungkan daerah Al-Hujun dan Al-Jarwal dengan Masjidil Haram.

Osama juga dilapor berkata projek membina 5,000 unit rumah juga telah bermula dan apabila siap kelak akan diberi kepada penduduk terutama mereka yang rumahnya dirobohkan.

Selain itu, sembilan stesen monorel yang menghubungkan Padang Arafah, Mina dan Mudzalifah juga hampir siap.

Projek lain yang diarahkan siap menjelang 2012 oleh Raja Abdullah ialah pembinaan ruang tambahan di timur Masjidil Haram, projek Jabal Omar dan sistem keretapi laju antara Makkah dan Madinah. - BERNAMA























Tunang Dolak-dalik, Keluarga Syak Rozaliya Disembunyikan Tunangnya

Keluarga Rozaliya Mat Lazim, 20, gadis yang hilang selepas keluar bersama tunangnya untuk membeli barangan perkahwinan kini bingung apabila tunang mangsa dikatakan cuba melarikan diri dan sukar dihubungi sejak semalam.

Ibu mangsa, Sabariah Mansor, 42, berkata dia sekeluarga cuba menghubungi tunang anaknya berkali-kali sejak pagi semalam, namun gagal sehinggalah bakal menantunya itu menjawab panggilan jam 5.30 petang, menyatakan dia berada di Johor Bahru.

“Apabila dihubungi semula adik saya selepas itu, dia mendakwa berada di Melaka pula. Saya bingung dengan jawapan diberikan dan kini mula mengesyaki dia cuba menipu kami kerana keretanya masih berada di rumahnya di sini,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Sabariah berkata, dia mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena mengenai hubungan pasangan itu kerana Rozaliya pernah mengadu dia tawar hati berkahwin pada 12 November depan, serta pernah meminta diputuskan pertunangan.

“Saya juga ada menghubungi rakan tunang anak untuk mengesahkan sama ada dia benar-benar pulang ke pejabat seperti dikatakannya ketika meninggalkan Rozaliya di Kuantan. Saya terkejut kerana ternyata semua yang dikatakannya meleset dan tidak benar,” katanya.

Sabariah berkata, Rozaliya yang bekerja sebagai pembantu kedai pernah mengadu kepada seorang bapa saudaranya yang mereka sering bergaduh, malah tunangnya pernah melakukan perkara yang tidak baik terhadapnya.
Dalam pada itu, Sabariah berkata, beliau menerima panggilan daripada seorang lelaki yang kemudian datang ke rumahnya petang semalam, memaklumkan ternampak anak gadisnya sedang makan bersama seorang lelaki di gerai makan berhampiran Pasar Besar Kuantan, kira-kira jam 12 tengah malam semalam.

“Menurut lelaki itu, dia terpandang gadis seperti Rozaliya yang dilihatnya di televisyen ketika siaran berita di TV1 malam kelmarin. Malah, dia yakin tidak tersilap orang selepas membaca dan melihat gambar Rozaliya di akhbar hari ini (semalam),” katanya.

Sabariah berkata, lelaki terbabit meminta supaya dia ke Kuantan malam ini untuk mencari di sekitar kawasan berkenaan dan mengecam sendiri gadis itu.

Di KUANTAN: Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha berkata, siasatan terperinci dalam semua aspek sedang dilakukan pihaknya bagi mengenal pasti kehilangan gadis berkenaan.

“Pasukan penyiasat kita turut menemu bual rakan dan kenalannya sebelum dapat mengesahkan gadis itu diculik atau kemungkinan menghilang diri dengan alasan tertentu,” katanya.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Mohd Shamsul Sazali Md Shah, 37, berkata pihaknya sudah melakukan pelbagai usaha untuk mengesan anak saudaranya itu.

“Kami sendiri sudah buntu dan tidak tahu sama ada dia benar-benar diculik, atau sesuatu yang buruk menimpanya atau kemungkinan melarikan diri.

“Saya bersama bapanya serta seorang jiran baru pulang dari Kuala Lumpur selepas mencarinya di sekitar Chow Kit, Puchong dan beberapa tempat lain.

“Kami berdoa dan berharap dia akan pulang dengan selamat,” katanya ketika dihubungi semalam. -BH

Anwar Semakin Hampir Ke Penjara, Bukan Putrajaya. Percubaan Akhir Dapatkan Kenyataan Saksi Ditolak

Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak percubaan akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan kenyataan saksi Mohd Saiful Bukhari Azlan yang dirakamkan oleh polis dalam kes tuduhan liwatnya.

Anwar mahu semua kenyataan tersebut kerana beliau mendakwa terdapat percanggahan dalam keterangan Mohd Saiful semasa dalam perbicaraan kes tuduhan liwat terhadapnya sehingga boleh mendorong kebolehpercayaan pengadu dicabar.

Ketua Pembangkang berusia 63 tahun itu mendakwa Mohd Saiful telah memberi keterangan bahawa dakwaan liwat itu berlaku tanpa kerelaannya tetapi dia (Anwar) didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan iaitu mengadakan hubungan seksual secara rela.

Mohd Saiful, 25, telahpun memberi keterangan sebagai pengadu dan saksi utama dalam perbicaraan itu.

Dalam keputusan sebulat suara, Mahkamah Persekutuan, yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria, memutuskan bahawa perintah Mahkamah Tinggi tidak merangkumi definasi perkataan "keputusan" dan ia bukan perintah akhir di bawah Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

"Kami setuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa keputusan mahkamah perbicaraan dalam kes ini bukan merupakan satu keputusan dan ianya tidak boleh dirayu," kata Hakim Arifin yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong dan Datuk Seri Md Raus Sharif.

Mengenai isu dua mukasurat "alasan lebar" yang dibangkitkan oleh peguam Anwar, Karpal Singh semasa hujahan dalam rayuan itu, Hakim Arifin berkata alasan Mahkamah Rayuan menyifatkan sebagai "alasan lebar" adalah jelas dan menyeluruh kerana ia mengandungi semua bahan dalam hujahan penghakiman.
Pada 19 Ogos lalu, Karpal mendesak Mahkamah Persekutuan untuk mengarahkan Mahkamah Rayuan memberikan alasan lanjutan atas penolakan rayuan Anwar, dengan berkata penghakiman tersebut hanya alasan lebar sahaja.

Bagaimanapun, Hakim Arifin dalam penghakimannya berkata Mahkamah Rayuan telah memberi alasan ringkas dan padat dengan memetik beberapa pihak berkuasa dalam menyokong keputusan mereka.

"Dalam beberapa insiden, alasan penghakiman ringkas dan padat sudah memadai. Dalam kes ini, isu di hadapan Mahkamah Rayuan ialah sama ada terdapat hak untuk merayu terhadap keputusan," katanya.

Beliau menegaskan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi sedang memperjuangkan bahawa hakim perlu berusaha menulis penghakiman ringkas dan padat di mana ia diperlukan.

"Kami sangat bersetuju dengannya. Inilah apa yang dilakukan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes ini," kata Hakim Arifin dalam penghakiman 19 mukasurat semasa menolak rayuan Anwar itu.

Anwar sedang menghadapi perbicaraan atas tuduhan meliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Ulasan GB

Ada yang bertanya GB, tak kasihan GB kepada Anwar?

Untuk menjawabnya, GB orang yang pertama kasihankan dia sewaktu dia mula-mula ditangkap. Baca SINI. Tapi Anwar dan orang-orangnya memandang GB macam sampah. Teguran dan nasihat GB sudah tidak dipedulikan lagi. Justeru, peduli apa lagi mereka semua itu?

Dan GB mengulas panjang untuk episod yang menyedihkan tentang Anwar di SINI.

PKR yang mencalonkan Wan Azizah sebagai Presiden dan Azmin sebagai Timbalan Presiden di dalam pemilihan 2010 adalah seperti merestui penghantaran Anwar ke penjara semula. Baca di SINI.

Ada yang bertanya: Tidakkah kita perlu ikhlas di dalam perjuangan GB? Saya bertanya kembali, apa yang kamu tahu erti ikhlas? Kalau tak tahu, pergilah baca surah Al-Ikhlas banyak-banyak. Nanti kamu akan tahu sifat hamba dan hanya mengikhlaskan diri kepadaNya, bukan ikhlas membuta tuli terutama kepada manusia-manusia yang tidak jujur kepadamu. Jika demikian halnya kamu si bebal yang menjadi buaya diketuk kepala oleh sang kancil yang menyeberangi sungai untuk memakan buah-buahan di pulau sana.

Guru GB di akhir hayatnya dahulu berpesan: "jangan jadikan dirimu terlalu lurus, kelak orang akan jadikanmu kayu jembatan yang dipijak orang dan jangan jadikan dirimu terlalu bengkok, kelak orang akan jadikanmu kayu api untuk dibakar. Ambillah pertengahannya, kelak engkau menjadi senjata yang terang, tepat dan tajam menusuk jantung musuhmu".

GB akan terus berdoa kepada Allah s.w.t. Apakah doa GB? Itu rahsia diantara GB dengan Dia.