15 Apr 2017

[VIDEO] Rafizi Lapor Ke SPRM, Minta Nasha Letak Jawatan Penasihat SPRM

Akuan bersumpah Rafizi buat laporan di SPRM hari ini

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai akuan bersumpah bahawa bekas pemimpin Pas Datuk Dr Nasharudin Mat Isa menerima dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau berkata, SPRM sudah pun mempunyai maklumat mengenai pemindahan wang dari SRC kepada beberapa akaun.


“Tumpuan utama saya ialah untuk menunjukkan dan membawa kembali isu SRC dan 1MDB kerana SRPM yang sudah menyiapkan semua siasatan.

"SPRM telah ada semua maklumat mengenai wang yang dipindakan dari SRC International ke beberapa syarikat dan masuk ke akaun Datuk seri Najib dan keluar ke akaun peguam dan dibayar ke penerima lain yang salah seorangnya saya namakan Nasharuddin.

“Kita mahu SPRM menyiasat bukan sahaja sampai kepada Nasharudin tapi sampai ke siapa selepas itu dan bagi tujuan apa dan juga untuk menyiasat semua penerima-penerima lain,” katanya kepada media selepas menyerahkan akuan bersumpahnya di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Rafizi semalam membuat suatu akuan bersumpah bahawa bekas Timbalan Presiden Pas itu adalah orang yang menerima dana daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Kata Ahli Parlimen Pandan ini lagi, tindakan membuat akuan bersumpah semalam ekoran kenyataan yang dikeluarkan oleh Peguam Negara bahawa kes SRC masih lagi dalam siasatan.

Bahkan Rafizi sekali lagi mengulangi desakannya agar Nasharuddin melepaskan jawatannya sebagai Panel Penasihat SPRM secara terhormat agar tidak menganggu siasatan dilakukan SPRM ke atas beliau kelak.

"Saya mengulangi kenyataan saya semalam bahawa saya minta beliau meletak jwatan daripada Panel Penasihat SPRM secara terhormat.

"Adalah satu 'conflict interest' yaang begitu nyata sekiranya beliau sebagai seorang pernah dinamakan dalam kertas siasatan dan beliau menjadi sebahagiannya dalam siasatan SPRM ini,"
ujarnya.

Semalam dalam akuan bersumpah yang ditandatanganinya, Rafizi berkata tranksaksi itu diberitahu kepadanya oleh seorang bekas pegawai kanan SPRM yang terlibat dalam siasatan skandal 1MDB.

Rafizi juga memutuskan membuat dakwaan itu di bawah akuan berkanun supaya beliau boleh membuktikan kebenaran dakwaan itu. -MD


Akuan berkanun Rafizi Ramli berhubung dana 1MDB ke akaun Nasharudin


Bahawa saya, MOHD RAFIZI BIN RAMLI (No Kad Pengenalan 770914-11-5025) yang beralamat di A405, Kyoto Garden Condominium, Bukit Antarabangsa 68000 Ampang dengan ini membuat akuan berkanun mengikut Akta Akuan Berkanun bagi tujuan mendedahkan satu perlakuan yang bertentangan dengan undang-undang negara melibatkan sejumlah wang syarikat milik negara kepada seorang tokoh politik Pas yang dibayar melalui akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Oleh itu, saya dengan ini mengisytiharkan perkara-perkara berikut:

Pada 28 Januari 2017, saya telah bertemu dengan seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bertanya khabar setelah beliau bersara dari perkhidmatan kerajaan. Itu adalah kali pertama saya mempunyai apa-apa komunikasi dengan beliau baik secara elektronik atau bersua muka.

Beliau adalah pegawai SPRM terkanan yang mengetuai siasatan ke atas dana 1MDB dan keterlibatan YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia di dalam skandal tersebut. Oleh itu, beliau mempunyai maklumat yang sahih dan terperinci mengenai siasatan dan aliran dana dari 1MDB ke akaun peribadi Perdana Menteri; seterusnya ke akaun-akaun tokoh politik lain.

Kami berkongsi maklumat dan pengetahuan sebagai rakyat biasa mengenai kes 1MDB kerana beliau kini bukan lagi kakitangan kerajaan.

Beliau menyebut kepada saya bagaimana siasatan SPRM turut mengesan sejumlah wang yang dibayar dalam bentuk cek dari akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri kepada Dr. Nasharuddin Mat Isa, mantan Timbalan Presiden Pas.

Butiran lanjut mengenai bayaran tersebut seperti yang disebut secara lisan kepada saya adalah seperti berikut:

Siasatan SPRM ke atas SRC International Sdn Bhd mendapati sejumlah dana SRC International Sdn Bhd telah dipindahkan ke akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Dari akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, terdapat bayaran kepada peguam tertentu.

SPRM telah menyoal siasat peguam tersebut dan mendapatkan bukti tokoh-tokoh yang dibayar menggunakan wang SRC International Sdn Bhd yang disalurkan melalui peguam tersebut.

Salah seorang dari penerima bayaran dari peguam tersebut adalah Dr Nasharuddin Mat Isa, mantan Timbalan Presiden Pas.

Saya tidak dapat mengesahkan sama ada peguam yang dimaksudkan adalah Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak yang pernah didakwa menerima sejumlah RM3.5 juta dari akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, seperti yang didakwa oleh laman Sarawak Report yang turut menunjukkan butiran pemindahan wang seperti berikut:

Dipetik dari laporan Sarawak Report

Pegawai penyiasat terkanan SPRM itu turut memaklumkan saya bahawa seorang wakil rakyat dari Parti Islam Se-Malaysia (Pas) iaitu Dato' Dr Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali, Ahli Parlimen Kuala Nerus pernah datang berjumpa dengan beliau untuk mendapatkan kesahihan penglibatan YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam skandal 1MDB dan dakwaan pemindahan wang ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Pegawai penyiasat terkanan itu memaklumkan saya bahawa beliau ada memberi maklum balas kepada permintaan mendapatkan kesahihan dari pimpinan Pas itu.

Saya percaya maklumat ini wajar diketahui oleh rakyat terutamanya mengenai aliran dana SRC International Sdn Bhd ke akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak yang kemudiannya disalurkan kepada tokoh-tokoh tertentu; terutamanya seorang mantan pimpinan tertinggi Pas, Dr Nasharuddin Mat Isa yang paling lantang memperjuangkan kerjasama Umno dan Pas.

Perkara ini ada unsur salah guna kuasa yang boleh disiasat di bawah pelbagai undang-undang negara sekiranya bayaran kepada seorang mantan pimpinan Pas itu adalah pertukaran kepada usaha melunakkan suara Pas (sebagai parti pembangkang utama) dalam isu-isu bersabit skandal 1MDB dan pemindahan wang ke akaun YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya juga nekad untuk mendedahkan perkara ini kerana Dr. Nasharuddin Mat Isa juga telah dilantik oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM. Sebagai seorang penerima dana rakyat 1MDB (melalui SRC International Sdn Bhd) yang telah disiasat oleh SPRM, beliau tidak layak berada di kedudukan itu dan wajar meletakkan jawatan segera.

Dengan pendedahan ini, saya berharap rakyat sedia maklum bahawa kertas siasatan SPRM ke atas dana SRC International Sdn Bhd yang dipindahkan ke akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak telah siap dan lengkap dengan bukti kepada siapa bayaran-bayaran telah dibuat.

Mengambil kira kenyataan Peguam Negara bahawa siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd masih belum ditutup, saya akan membuat satu laporan kepada SPRM untuk membuka kembali siasatan ke atas dana SRC International Sdn Bhd yang dipindahkan ke akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya dengan ini mengesahkan kesemua kenyataan di atas adalah maklumat-maklumat mengenai pemindahan wang SRC International Sdn Bhd yang saya ada. Saya membuat akuan ini dengan percaya bahawa akuan ini benar dan mengikut peruntukan Akta Akuan Berkanun 1960.

Diperbuat dan sesungguhnya diakui oleh
saya, MOHD RAFIZI BIN RAMLI
di Sungai Besi
di negeri Wilayah Persekutuan
pada 13 April 2017

Di hadapan saya

PESURUHJAYA SUMPAH




ULASAN GB





FEATURED ADS





7 ulasan:

UP berkata...

YB Rafizi Ramli, well done and good job bro! permainan baru bermula..percayalah, Nasharudin tidak akan BERANI ambil tindakan undang2 terhadap Rafizi Ramli. beliau sama perangai dengan Najib Tun Razak dan Hadi Awang .

Semoga Allah akan memenangkan kamu dan puak2 yang bodoh sombong, semoga Allah akan gantikan dengan pemimpin yang adil.

omar daud berkata...

Salam


Di harap Rafizi/ex-pegawai kanan sprm berhati-hati tentang keselamatan diri dan keluarga.Ini kes besar melibatkan najib dan pimpinan pas."anything can happen"`.Ingat kes pembunuhan timbalan pendakwaraya(mouralles) dan taukeh ambank.

Najib dan pimpinan pas yg terlibat takkan duduk diam,mereka akan crack kepala bagaimana nak selesaikan issue ini berpehak pada mereka.Apparatus jabatan kerajaan akan digunakan se maxima mungkin.

Kalau kita belajar sirah rasulallah s.a.w,bila tuduhan2 sebegini rupa dikenakan terhadap baginda,baginda berlapang dada.Satu kesah di madinah,saorang yahudi nak test kerasulan baginda(termaktub dlm kitab taurat)memeberi hutang pada baginda,walaupun baginda sudah selesaikan hutangnya dgn siyahudi itu,tetapi yahudi berjumpa baginda tetap berkeras,baginda belom langsaikan hutangnya,di masa itu umar al-khatab tanpa usul periksa telah menghunuskan pedanngnya,mengancam si yahudi tu!!nabi dgn sifat sabarnya menasihati si umar jgn tergesa-gesa membela baginda,periksa dulu,bila si yahudi melihat "AKHLAK" baginda,sahlah apa yg diyatakan dlm kitab taurat,rasulallah adalah rasul akhir zaman.akhirnya siyahudi itu memeluk islam.

Tetapi "PELIK bin AJAIB"kepimpinan pas sekarang,apabila kes lebih kurang serupa,diajukan pada mereka,ke semuanya "MENAFIKAN",termasuk orang yg tertuduh,walaupun SD,SURAT BERSUMPAH,diajukan.
Sepatutnya,pimpinan ulamak,berlapang dada,diberi peluang pada tuduhan itu jika "BENAR" maka dikenakan hukuman pada pelaku kesalahan itu,bukan "MEMBELA MEREKA".Jika tak betul,undang2 malaysia kan ada,"bicaralah"di mahkamah.

kita bukan membenci pas,tetapi tindak-tanduk pimpinan pas yg membawa agama islam bersamnya ,habis "terpalit" kebusukkan islam pada umat islam seluruh dunia.

wallah'ualam.

No name berkata...

Kesian tgk rafizi

Tanpa Nama berkata...

untung juga jadi nasa ni. dpt jadi ceo badan mengarut. dpt jadi panel sprm.

banyak masyuuuuk...

Tanpa Nama berkata...

.
.

Se takat ini pemimpin PAS guna media dan ceramah menafikan dakwaan Rafizi.

Tuan Ibrahim pun satu hal kata hadir semua mesyuarat tak ada pun sebut pasal terima duit. Masyaallah, Kalau ada sebut dalam mesyuarat tak ada lah Rafizi buat dakwaan sebab duit tersebut datang cara yang betul. Pasal tak betul tu lah tak di bawa ke pengetahuan parti.

Tanpa Nama berkata...

Semoga Allah melindungi dan memudahkan kerja2 pemimpin2 kami yang amanah menjalankan tanggungjawab..

Tanpa Nama berkata...

Reaksi pas ni dikatakan knee jerk reaction. Rafizi bukan menyerang pas. Dia cuma minta pas siasat dan ambil tindakan terhadap ahlinya yg korup. Ada pula yg terasa pedas, mungkin dah termakan cili kot