2 Mac 2016

Rafizi Cabar Tabung Haji Samannya, Bukan Sekadar Laporan Polis

Kalau tak benar, samanlah saya, Rafizi cabar TH

PETALING JAYA: Rafizi Ramli tidak terkejut dengan laporan polis yang dibuat Lembaga Tabung Haji (TH) terhadapnya kerana mendakwa agensi tersebut memberi jaminan korporat kepada sebuah syarikat bersekutunya, TH Heavy Engineering Berhad (THHE).

Sebaliknya, Naib Presiden PKR mencabar TH supaya membuat saman secara sivil di mahkamah sekiranya segala pendedahan beliau itu fitnah.


“Tindakan itu tidak cermat seolah-olah pengurusan Tabung Haji lupa bahawa rakyat masih marah dengan pelantikan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji baru-baru ini.

“Saya juga mengulangi gesaan saya bahawa jika mana-mana fakta yang saya kemukakan setakat ini adalah tidak benar dan memfitnah Tabung Haji, wajarlah Tabung Haji mengambil tindakan saman sivil di mahkamah dengan segera.

“Saya bersedia mempertahankan dan membentangkan fakta-fakta ini di mahkamah di bawah undang-undang sivil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Malah Setiausaha Agung PKR itu tidak menolak tindakan TH memilih untuk membuat laporan polis berbanding saman di mahkamah kerana ingin menyelesaikan kes tersebut secara mudah.

“Tindakan saman di bawah undang-undang sivil mengambil kira hak saya sebagai Ahli Parlimen untuk memberi komen yang munasabah (“fair comments”) atau komen berdasarkan maklumat-maklumat yang saya ketahui (“qualified privileges”).

“Tambahan pula, tindakan saman oleh Tabung Haji di bawah undang-undang sivil perlu membuktikan bahawa komen-komen saya mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji adalah berniat jahat.

“Sebab itu saya perhatikan ada kecenderungan oleh pimpinan UMNO dan badan-badan kerajaan untuk membuat laporan polis supaya saya disiasat di bawah undang-undang jenayah sedangkan sepatutnya ia dibawa sebagai saman sivil sahaja,” katanya yang memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis. -FMT


LAPORAN POLIS: PENGURUSAN TABUNG HAJI JANGAN SEMBUNYI DI BELAKANG PEGUAM NEGARA, JAWAB PRESTASI DAN RISIKO PELABURAN DI DALAM TH HEAVY ENGINEERING (THHE) DAN LAIN-LAIN

Saya tidak terkejut dengan tindakan pengurusan Tabung Haji yang membuat laporan polis terhadap saya mengenai isu “Corporate Guarantee” (CG atau jaminan korporat) berhubung pelaburan di dalam TH Heavy Engineering Berhad (THHE).

Tindakan itu tidak cermat seolah-olah pengurusan Tabung Haji lupa bahawa rakyat masih marah dengan perlantikan Tan Sri Mohamad Apandi Ali, Peguam Negara sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji baru-baru ini.

Jika Tabung Haji berpendapat bahawa isu yang saya timbulkan adalah fitnah dan telah menjatuhkan reputasi Tabung Haji, maka pengurusan Tabung Haji sepatutnya mengambil tindakan saman secara sivil di dalam mahkamah.

Sebaliknya, Tabung Haji membuat laporan polis dengan niat supaya saya didakwa di bawah akta jenayah (bukannya undang-undang saman sivil seperti biasa). Ini tidaklah mengejutkan kerana faktor-faktor berikut:

1. Kuasa pendakwaan terletak di tangan Peguam Negara yang kebetulannya adalah seorang Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji. Jika pengurusan Tabung Haji berharap “kebetulan” ini akan memudahkan saya didakwa di mahkamah, sudah tentu ia akan dicabar oleh peguam saya kerana pendakwaan itu boleh ditafsirkan sebagai pendakwaan terpilih atau pendakwaan yang berpunca dari pertembungan kepentingan (“conflict of interest”)

2. Pendakwaan di bawah akta jenayah lebih mudah disabitkan berbanding dengan tindakan saman di bawah undang-undang sivil. Tindakan saman di bawah undang-undang sivil mengambil kira hak saya sebagai Ahli Parlimen untuk memberi komen yang munasabah (“fair comments”) atau komen berdasarkan maklumat-maklumat yang saya ketahui (“qualified privileges”). Tambahan pula, tindakan saman oleh Tabung Haji di bawah undang-undang sivil perlu membuktikan bahawa komen-komen saya mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji adalah berniat jahat. Semua pembuktian dan hak memberi komen di bawah pembelaan “fair comments” dan “qualified privileges” tidak wujud di bawah akta jenayah. Pendakwa selalunya hanya membuktikan bahawa saya telah mengeluarkan kata-kata tersebut.

Sebab itu saya perhatikan ada kecenderongan oleh pimpinan Umno dan badan-badan kerajaan untuk membuat laporan polis supaya saya disiasat di bawah undang-undang jenayah sedangkan sepatutnya ia dibawa sebagai saman sivil sahaja.

Contohnya, komentar saya mengenai kesan permainan politik Umno terhadap hubungan antara kaum dan keharmonian agama di negara ini dalam tahun 2014 telah menyebabkan saya didakwa dan disabitkan kesalahan (lalu didenda RM1,800) di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas tuduhan “menimbulkan kemarahan ahli Umno”. Sedangkan Seksyen 504 Kanun Keseksaan adalah untuk kes-kes yang mana seseorang memaki hamun satu kumpulan orang secara berdepan dengan niat menimbulkan kemarahan kumpulan orang itu lalu menyebabkan pergaduhan, kekacauan dan lain-lain.

Saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada siasatan pihak berkuasa akibat laporan polis yang dibuat pengurusan Tabung Haji ini. Saya juga mengulangi gesaan saya bahawa jika mana-mana fakta yang saya kemukakan setakat ini (berkenaan rizab yang negatif, pelaburan syarikat roti yang rugi RM90 juta, pelaburan saham FGV yang susutnilai RM933 juta dan pelaburan THHE yang susutnilai RM200 juta/terdedah risiko kerugian RM1.4 bilion) adalah tidak benar dan memfitnah Tabung Haji, wajarlah Tabung Haji mengambil tindakan saman sivil di mahkamah dengan segera. Saya bersedia mempertahankan dan membentangkan fakta-fakta ini di mahkamah di bawah undang-undang sivil.

Bahagian II: Prestasi Pelaburan Tabung Haji di dalam TH Heavy Engineering Berhad

Saya sebenarnya kecewa kerana pengurusan Tabung Haji seolah-olah mahu mengelak dari menjawab isu sebenar yang saya timbulkan berhubung pelaburan Tabung Haji di dalam TH Heavy Engineering Berhad, iaitu:

1. Berapa kerugian yang telah dialami oleh Tabung Haji (melalui susutnilai saham) setakat ini apabila melabur di dalam syarikat bermasalah (dahulunya Ramunia Holdings Berhad) dan terus menyuntik dana ke dalam syarikat itu (kini dikenali TH Heavy Engineering Berhad) sedangkan unjuran prestasinya tidak baik?

2. Berapa banyak lagi simpanan pendeposit Tabung Haji yang akan disuntik ke dalam THHE dalam keadaan harga minyak mentah dijangka kekal rendah bagi tempoh 5 hingga 8 tahun akan datang dan THHE mempunyai hutang tertunggak yang besar kepada kontraktor sedia ada?

Kedua-dua perkara ini timbul kerana dokumen-dokumen dalaman Tabung Haji sendiri yang bocor kepada orang ramai. Dokumen pertama ialah Laporan Risiko Pelaburan (“Investment Risk Assessment”) dan dokumen kedua ialah surat dari Kementerian Kewangan kepada Tan Sri Ismee Ismail memaklumkan kelulusan permohonan Tabung Haji memberi “Corporate Guarantee” kepada THHE untuk mendapatkan pinjaman bank sehingga USD228.2 juta (bersamaan RM981.3 juta) untuk membiayai projek FPSO Layang.

Sehingga ke hari ini, pengurusan Tabung Haji tidak menafikan bahawa kedua-dua dokumen ini sahih. Dalam laporan polis terhadap saya pun, pengurusan Tabung Haji tidak menyatakan bahawa dokumen-dokumen ini palsu sedangkan jika saya menyebarkan maklumat berdasarkan dokumen palsu, itu sudah tentu menguatkan kes jenayah terhadap saya.

Maknanya kedua-dua dokumen ini adalah benar, lalu boleh disimpulkan ia mengesahkan perkara-perkara berikut:

1. THHE memerlukan suntikan dana RM981.3 juta untuk menyiapkan kontrak FPSO Layang yang kini dibimbangi akan tersasar dari jadual yang telah dipersetujui dengan pemiliknya iaitu JX Nippon Oil. Jika THHE terus mengalami masalah aliran tunai dan tidak mampu membayar kontraktornya (sekarang ini pun ada tuntutan sebanyak RM109.7 juta yang masih tertunggak dengan kontraktor), maka kelewatan projek FPSO Layang ini akan menyebabkan THHE tidak dibayar (atau bayarannya dipotong) oleh JX Nippon Oil. Ini pernah berlaku bagi salah satu projek THHE sebelum ini melibatkan kontrak dengan Murphy Oil.

2. Oleh kerana projek FPSO Layang ini adalah projek terbesar THHE setakat ini dan prospek industry minyak dan gas yang lembap akan menyebabkan tidak ada kontrak-kontrak baru, kelewatan FPSO Layang (atau pembatalan pembayaran) akan menyebabkan THHE berhadapan dengan kedudukan kewangan yang meruncing sekali lagi dan risiko muflis. Jika ini berlaku, pelaburan sedia ada oleh Tabung Haji sebanyak RM525 juta (kerugian harga saham sebanyak RM200 juta, pinjaman sukuk RM50 juta dan ICPS RM275 juta) akan hangus begitu sahaja.

3. Sebab itu nampaknya Tabung Haji tidak ada pilihan lain kecuali memastikan THHE mendapat bantuan kewangan baru bagi membiayai kerja-kerja menyiapkan FPSO Layang. Atas sebab inilah, saya menyimpulkan bahawa pengurusan Tabung Haji TELAH BERSETUJU untuk memberikan Corporate Guarantee (“CG”) kepada pinjaman baru THHE sebanyak RM981.3 juta bagi mengelakkan THHE berdepan risiko kewangan yang meruncing.

4. Hasil dari keputusan itu, pengurusan Tabung Haji membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan dalam surat bertarikh 12 November 2015 kerana tindakan memberi CG kepada syarikat bersekutu (pelaburan Tabung Haji hanyalah 30%) adalah melanggar akta. Dalam surat bertarikh 8 Disember 2015, Kementerian Kewangan meluluskan permohonan Tabung Haji itu.

5. Walau bagaimana pun, Bahagian Pengurusan Risiko Tabung Haji di dalam laporannya bertarikh 7 Januari 2016 telah menyatakan risiko-risiko kewangan yang besar jika Tabung Haji meneruskan hasratnya memberikan CG kepada THHE (walaupun diluluskan Kementerian Kewangan). Risiko terbesar ialah kerugian keseluruhan berjumlah RM1.4 bilion jika THHE gagal menyiapkan FPSO Layang tepat mengikut jadualnya.

6. Pada 25 Januari 2016, surat Kementerian Kewangan dan Laporan Risiko Pelaburan bocor kepada orang ramai dan tersebar di Internet.

Sudah tentu dalam tempoh dari tarikh 25 Januari 2016 (bila mana dokumen-dokumen itu bocor) dan kenyataan media saya mengenai kerugian pelaburan Tabung Haji di dalam THHE pada 25 Februari 2016, ada beberapa kemungkinan yang berlaku mengenai CG kepada THHE ini:

i. Perjanjian pinjaman bank di antara THHE dan bank terbabit belum dimuktamadkan walaupun CG telah diluluskan; atau

ii. Tabung Haji membuat keputusan membatalkan keputusan awalnya memberikan CG kepada THHE apabila perkara itu bocor kepada orang awam

Namun ini tidak menukar persoalan pokok yang saya ajukan mengenai pelaburan Tabung Haji di dalam THHE, iaitu bagaimanakah Tabung Haji mahu mendapatkan kembali dana pendeposit yang telah dilaburkan setakat ini mengambil kira kedudukan aliran tunai THHE dan jadual projek FPSO Layang yang berdepan risiko kelewatan?

Jika THHE membatalkan CG kerana bimbang dengan kemarahan rakyat, maka THHE berkemungkinan tidak mempunyai cukup dana untuk membayar kontraktor sedia ada dan kerja-kerja akan datang. Ini akan membawa kesan kepada kelancaran projek FPSO Layang yang membawa risiko JX Nippon tidak membayar THHE (kerana lewat), seperti mana Murphy Oil dilaporkan tidak membayar THHE sebelum ini. Dalam keadaan ini, pelaburan sedia ada Tabung Haji berjumlah RM425 juta akan hangus begitu sahaja (seperti Laporan Risiko Pelaburan).

Jika THHE meneruskan dengan keputusan awal memberikan CG, ini bermakna FPSO Layang berkemungkinan akan disiapkan mengikut jadual yang dipersetujui. Walau bagaimana pun, industri minyak dan gas sedang melalui zaman menguncup dan harga minyak mentah dijangka kekal rendah bagi tempoh 5 hingga 8 tahun akan datang. Dalam keadaan THHE hanya mempunyai projek FPSO Layang sebagai projek terbesarnya, bagaimanakah THHE akan kekal mencatatkan keuntungan tanpa perlu ada suntikan baru dari Tabung Haji. Jika THHE berhadapan dengan masalah kewangan lagi di masa akan datang, Tabung Haji terdedah kepada kerugian berjumlah RM1.4 bilion (seperti Laporan Risiko Pelaburan).

Ini adalah perkara-perkara penting yang perlu dijelaskan oleh pengurusan Tabung Haji dan pengerusinya Datuk Seri Azeez Abdul Rahim. Sebaliknya, pengurusan Tabung Haji mengambil tindakan kebudak-budakan dan bermain politik dengan membuat laporan polis terhadap saya dengan menuntut saya menamakan bank yang terlibat (tidak ubah seperti laungan cyber trooper UMNO sebelum itu).

Orang ramai kebanyakannya faham bahawa ada kemungkinan perjanjian pinjaman belum dimuktamadkan atau CG dibatalkan setelah dokumen-dokumen bocor. Kegagalan Tabung Haji memberi jawapan yang mudah dan jelas terhadap isu yang saya timbulkan (sebaliknya berselindung di sebalik laporan polis) akan melunturkan lagi keyakinan orang ramai terhadap pengurusan Tabung Haji dan pengerusinya Datuk Seri Azeez Abdul Rahim.

Saya akan terus mengeluarkan kenyataan yang memberi tumpuan kepada pelaburan Tabung Haji yang merugikan dan isu-isu tata kelola yang lain minggu ini dan minggu depan.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN


ULASAN GB

Syabas YB Rafizi.

Orang yang berpegang kukuh kepada prinsip "menegakkan kebenaran dan keadilan" tidak gentar apa-apa pun. Dia akan sentiasa terbela oleh hukum itu.

Apa tah lagi apabila ia bersandarkan kepada fakta-fakta jelas yang telah dilakukan "homework" terlebih dahulu.

Negara hanya boleh diselamatkan apabila kita kembali kepada hukum kebenaran dan keadilan. Apa juga masalah dan kepincangan yang berlaku sekarang ini, maka yang menimbulkan masalah dan kepincangan itu (termasuklah para penyokong dan pengampunya) akan terpaksa membayar "harga yang mahal", kerana lebih telah kerosakan dan kezaliman yang dilakukan, maka akan lebih teruk juga balasan yang akan diterima.

Itu GOLDEN RULE, yang merentasi segenap sempadan tak terkecuali sempadan "agama". Walaupun seseorang itu bergelar "ulamak besar" sekalipun namun hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan ke atasnya. Seorang ulamak besar juga boleh ditimpa musibah seperti jatuh sakit, masuk hospital, diheret ke mahkamah dan sebagainya.

Al_Quran mencatatkan dengan indah GOLDEN RULE ini:

"Dan apa saja musibah (kecelakaan) yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah mema'afkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahan kamu)." (As-Syuura' : 30)



GB dah kata pun sebelum ini, peluru dari langit ini akan tiba juga:

15 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

pasai apa tak ada satu ekoq lebai dlm pas yg boleh buat pendedahan spt ini? adakah serban2 mrk itu menutup atau menghalang mrk dr berfikir?

atau memang tak peduli hal rakyat yg tak beri mileage pd mrk? atau pung pasai maklumat bukan dlm bhs jermang? Achtung!

Tanpa Nama berkata...

Hebat Tuan Rafizi. Setelah berpinar2 nak menghadam segala intipati ayat2 yang tuan surahkan, izinkan daku yang bodoh ini memberi komen agar orang kampung boleh paham maksudnya.

Tuan2 dan Puan2. Tuan Rafizi nak bagitau kita bahawa:"

Amboi, kalau bab nak terkena dakwa kepada puak2 kau, cepat saja kau bertindak ye. Cepat betul kau nak hukum dan pedajal orang baik2. Tapi bab nak bela rakyat yang dah begitu lama demo minta naik harga getah sekerap, tobat kau tak bertindak! Jadi kerajaan apa macam ni? Duit penoreh getah dalam Tabung Haji kau buat macam duit sendiri. Setan betul!"

Begitulah kira2nya akan maksud terjemahan ayat2 tahap tinggi di atas tu. Kalau dah faham, sila ambil perhatian dengan kadar segera. Masuk saja AMANAH...

pemuda parit kings berkata...

Tahniah yb rafizi...semoga dpt bongkarkan lagi salah guna kuasa Dan rasuah dinegara Kita...maklumat ini amat bagus buat rakyat...tahniah...

Tanpa Nama berkata...

Syabas YB Rafizi....

Unknown berkata...

Terus terang aku ckp.. kalau dilahirkan di bagi pilihan...nak jadi bangsa melayu ke..aku akan jawab.. bangsa lain yg islam.. sbb dr zaman dulu aku tgk bangsa melayu ni.. lembab..pendek akal.. minda tak berkembang..kalau PRU mungkin kita tak boleh geram benar dgn org melayu ni.. sbb pru bercampur dgn bangsa lain.. sukar nak perubahan poltik.tp berkenaan kes TH ni takde org melayu yg rasa tercabar bila TH kerugian 90 juta akibat melabur di kilang roti.. padahal TH semua penyimpan org melayu..keuntungan dan kerugian sudah rafizi bentangkan dlm bahasa yg amat mudah..takde org melayu bising pun..puak2 serban dulu bagai nak runtuh langit.. memekak pasal akaun TH.. pergi buat lawatan jumpa azez mamak tu.. senyap..patut bangkit cerita 90 juta tu..apa lah nak jadi bangsa ku yg di agong2kan sebenar syok sendiri..2 kejadian penting yg aku sedih melihat bangsa ku yg syok sendiri ni..pru 10 kalau tak salah.. masa kerajaan umno mansuh lesen tv ..aku terdengar seorg pakcik begitu bangga kerajaan umno mansuhkan lesen tv yg harganya rm 12.. lagi di masa menghadiri kenduri..salah seorg pakcik duduk felda..boleh keluarkan ayat.. kita tak boleh benarkan parti pembangkang memerintah malaysia ni.. skg sawi harga 60 sen..nanti parti pembangkang memerintah mahu sawi rm 2.50. Isu2 kecik mcm ni yg bangsa melayu ambik perhatian.. padahal masa lesen tv rm 12 tu.. isu TUN M.. guna duit kerajaan utk tutup hutang perkapalan anak dia 2 belion tgh jadi isu panas..org melayu tak leh beza 12 ringgit dgn 2 belion..agaknya org melayu akan tercabar bila tembolok tu dah tersekat..begitu juga kes YPIM baru2 ni..heran betul aku..sikit pun org melayu tak tersentap...mcm reda je buat kursus kawin di perancis beratus juta lesap..sedangkan kursus kawin di malaysia dlm satu kelas rm 5 ribu dah kira aman dan damai mengikuti kursus tu..susah betul aku nak faham sikap2 org melayu ni..salah satu sikap org melayu yg aku tahu . ada pada hang tuah dan sahabat2nya..mengamok..agakanya org melayu ni.. dah tersentàk dan tersedar.. akan mengamok.. agaknya itu yg umno kawal minda org melayu ni..bg subsidi..bg brim..senyap lah org melayu ni.dah selesa..walau pun anak hisap dadah atau jadi peragut..atau pun asal ada keje..org melayu..org melayu

Tanpa Nama berkata...

Kesungguhan dan keikhlasan dalam perjuangan ini sangat mulia.

Unknown berkata...

Machaaaaa.... Ada berani saman keeee

Tanpa Nama berkata...

Btl tu bro ada kajian kata bangsa melayu bangsa jenis bodoh.aku rasa btl tp semua mcmtu cuma kebanyakannya mcmtu.cuba tgk keadaan skrg umno menindas mcm2 smpi rakyat melayu kat kampung sekali pun marah pasal gst, cukai itu ini,getah murah dan mcm2 la tp lepastu ckp Cina Dap nk perintah Malaysia nescaya semua melayu kampung td terus sokong umno...xyah usul periksa pun terus bulat2 sokong bn lupa semua kezaliman bn.x ke bodoh tu.kalau.korang xpercaya korang blh try buat demonstrasi

Tanpa Nama berkata...

Tenguk lah macamana orang melayu nanti bila jumlah jemaah di Malaysia bertambah seramai 2,000 orang.

Ingat Haji Najib pergi Arab Saudi selama 4 hari.

pemuda parit kings berkata...

Sedihla tgk org melayu Ni...bilakah masanya...dikutuk Dan dikata...tetap mcm Tu jugak...xde bezanya...

Unknown berkata...

Nak harapkan orang2 PAS buat kajiselidik dan keluarkan kenyataan-kenyataan berhubung dengan kelemahan-kelemahan dan penyelewengan-penyelewengan dlm Kerajaan, Badan-Badan dan Syrkt-Syrkt Kerajaan, tak payahlah..., ibarat menunggu kucing bertanduk. Mereka pun dah kata tidak inginkan kuasa politik, nak jadi penasihat Kerajaan sahaja.

Tanpa Nama berkata...

Melayu ini ramai yang lurus bendul. Percayakan seseorang pemimpin tidak berhati-hati.

Bagi mereka apa dosa pemimpin buat bukan hal dia tapi tahu pulak hak untuk dia mengundi.

Kalau Mak cik dan Pak cik Felda ok lagi ... Doktor pun ada yang macam itu. Kawan-kawan kita pun ada dua tiga orang macam itu. Tak tahu nak cakap dah.

Melayu sanggup merusuh pasal tak dapat tiket bola dan sanggup bergaduh pasal pengadil berat sebelah.

Memang bukan semua tapi yang lurus bendul masih ramai.

Ini pengalaman sendiri. Seorang ustaz berjawatan tinggi bersembang dengan kawan dan kebetulan satu meja makan kenduri kawin. Dia kata kat kawan dia belajar luar negara 15 tahun lalu dan dari kata dia, bantuan kerajaan, jadi kerajaan ini mesti ada... maknanya kena sokong tapi dia tahu tak kerajaan dia cerita itu dah tidak ada yang ada kerajaan Najib dengan seribu masalah. Pelajar makan maggie mee atau sehari sekali.
Yang kawan pulak cakap kita bersyukur tak macam Somalia...Apa nak heran dengan makcik pakcik Felda., yang berjawatan pun bendul.

Unknown berkata...

Tak payah la harapkan ularmak . Ularmak ni bukan pandai berkikir sangat. Dia akan kata tak masuk akal saja
Sekarang dah terbukti dah masuk ke akal
Tu.

sikulipat berkata...

Syabas rafizi

Abdul Said berkata...

Malaysia ni ibarat sebuah kampung tradisional Melayu yang tidak berubah-ubah sejak merdeka. Ketua Kampung macam c!&*!. Menipu, membelit, memfitnah dan membuat macam-macam perkara mungkar. Tapi bila ke masjid duduk belakang imam. Kalau imam mati masa solat, ketua kampung ni belum tentu boleh ganti imam. Imam pulak jenis tunjuk alim dan warak 24 jam. Semua benda dalam kampung tu kononnua dia tahu. Bila budak-budak balik dari belajar dan cuba bagi teguran terus saja kata budak-budak barua dan ajen asing, nak rosakkan masyarakat. Bila tegur pasal kenduri tahlil, baca Al Quran untuk simati terus imam naik angin. Mana tidaknya sebab pintu rezeki nak ditutup oleh budak-budak ni. Apa kemungkaran ketua kampung buat,tak mau tegur sebab ketua kampung sudah bagi elaun imam. Maka penduduk kampung pun huru hara. Yang bijak-bijak dan waraq lari ke bandar dan kampung lain. Yang tak kuasa masuk campur dan yang bongok, bebal, pemalas, kuat minum, kaki jantan dan betina, mencuri, menipu dan kaki makan free tinggallah kat kampung tu. Kalau ada yang cerdik dan kelakuan baik pun mereka akan dipinggir.

Itulah cerita malang jadi Melayu Malaysia. Dulu kata orang Melayu Singapura susah. Sekarang siapa yang susah. Sebok cakap pasal hudud, jaja kehulu ke hilir, cakap pungpang pung pang, ada yang dah berbuih mulut sampai melalut...tup tup Brunei Darussalam buat undang-undang syariah. Nasib baik Almarhum Sultan Sir Omar Bolkiah tidak termakan cakap-cakap Melayu peminum arak dari Malaya ajak masuk Malaysia. Kalau tidak orang Brunei pun kena tipu j!!