15 Ogo 2015

[VIDEO] BERS✔H 4.0 Bukan Untuk Guling Najib Tapi Protes Tak Percaya Najib

Perhimpunan Bersih 4 ‘undi tak percaya’ terhadap Najib, kata pemimpin

Perhimpunan Bersih 4 hujung bulan ini akan menjadi seperti suara undi tidak percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, kata Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah malam tadi, pada majlis pelancaran kempen ketika skandal kewangan membabitkan perdana menteri sedang hangat.

Katanya, biarpun ia bertujuan memberi tekanan kepada Najib untuk berundur, Bersih 4 yang akan diadakan pada 29 hingga 30 Ogos ini juga akan memberitahu rakyat menukar perdana menteri saja tidak akan mengubah apa-apa jika sistem politik semasa dikekalkan.

"Bersih 4 adalah satu perhimpunan aman selama 34 jam yang buat pertama kali dalam sejarah di Malaysia dan ia suara undi tidak percaya terhadap Najib.

"Harapan Bersih 4 bukan saja mahukan seorang perdana menteri dan kerajaan yang bersih, tetapi kita juga mahu satu sistem politik bersih bagi melahirkan seorang perdana menteri dan kerajaan yang bersih.

"Bersih 4 adalah manifestasi kepada suara rakyat untuk mengadakan undi tidak percaya terhadap Najib. Ini suara rakyat untuk mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen," katanya pada majlis pelancaran perhimpunan itu di Petaling Jaya malam tadi.

Pelancaran itu turut menyaksikan persembahan lagu, lakaran dan pidato. Sasterawan Negara Datuk A Samad Said membacakan puisi nukilannya bertajuk "Bersih Empat" manakala pihak penganjur memperkenalkan pasukan perubatan, keselamatan dan pemantau yang akan bersiap sedia semasa perhimpunan itu.

Perhimpunan itu akan turut diadakan di ibu kota Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak serta bandar-bandar utama di seluruh dunia.

Acara di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur akan berlangsung selama 34 jam dalam menuntut pembaharuan seperti pilihan raya bersih, sebuah kerajaan yang bebas rasuah, hak untuk membantah, mengukuhkan demokrasi Parlimen dan menyelamatkan ekonomi.

Maria berkata menukar perdana menteri tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah tanpa pembaharuan utama kepada institusi dan sistem politik.

"Jika sistem politik kita tidak berubah, ia tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah biarpun Muhyiddin atau Zahid atau orang lain menggantikan Najib, masalah lain seperti 1MDB dan PKFZ akan berterusan," katanya merujuk kepada syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri selepas beliau secara terbuka mempersoalkan Najib berhubung skandal 1MDB. Tempat beliau digantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri dalam negeri dalam rombakan Kabinet pada 28 Julai lalu.

"Jika penggantinya adalah seorang yang degil, kita akan menganjurkan lebih banyak perhimpunan," katanya.

Beliau berkata perhimpunan itu tidak bermaksud untuk menjatuhkan kerajaan, tetapi menolak sistem politik rasuah yang melahirkan lebih ramai pemimpin terpalit dengan skandal rasuah.

Maria berkata, Bersih merasakan rakyat tidak mampu lagi bersuara sehingga terpaksa menganjurkan perhimpunan bagi mengulangi tuntutan kepada Najib untuk menjawab segala persoalan yang dilemparkan terhadapnya.

"Kami sudah memberi Najib masa sehingga 5 Ogos lalu untuk memberikan jawapan. Adakah anda fikir tindakan kami ini tidak masuk akal? Saya tidak fikir begitu," katanya.

Beliau berkata Najib masih belum menjawab dakwaan dana 1MDB yang secara tidak langsung membiayai sebahagian daripada kempen pilihan raya umum beliau pada 2013, selepas syarikat itu membeli aset kuasa yang terlalu mahal daripada Kumpulan Genting.

The Wall Street Journal (WSJ) pada Jun melaporkan Genting didakwa menggunakan sebahagian daripada hasil jualan untuk membuat sumbangan RM35 juta kepada dana politik Najib yang kemudiannya dijadikan projek amal semasa kempen pilihan raya.

Dalam laporan kedua pada 2 Julai lalu, WSJ melaporkan kira-kira AS$700 juta (RM2.67 bilion) disalurkan ke dalam dua akaun peribadi Najib di AmBank di Kuala Lumpur, manakala bahagian terbesar daripada wang itu - AS$681,000,000 - dipindahkan pada Mac 2013, menjelang pilihan raya umum pada Mei tahun itu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan dana itu sebenarnya sumbangan derma dari Timur Tengah.

Maria berkata, di sebalik keengganan menjawab tuduhan, Najib memulakan “pembersihan” dengan menyingkirkan pengkritiknya dalam Kabinet dan menukar peguam negara yang sedang menyiasat 1MDB dan pemindahan dana kepada akaun peribadi perdana menteri itu.

Najib juga melumpuhkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang sedang menyiasat 1MDB dengan membawa 4 anggotanya termasuk pengerusi jawatankuasa itu ke dalam Kabinet.

Ini menyebabkan siasatan terpaksa ditangguhkan sehingga Oktober apabila Parlimen memilih ahli jawatankuasa yang baharu sebagai pengganti.

"Ini bermakna Najib tidak berhasrat membenarkan siasatan terhadap 1MDB itu diteruskan," kata Maria.

Maria pada Khamis bertemu dengan pihak polis untuk menerangkan rancangan Bersih tentang perhimpunan tersebut, dan juga mengingatkan pihak berkuasa akan tanggungjawab mereka bagi melancarkan demonstrasi itu dan memastikan keselamatan peserta.

Beliau berkata Bersih, sudah memberikan notis rasmi kepada pihak polis mengenai perhimpunan tersebut, seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang.

Peserta perhimpunan keempat di Kuala Lumpur sudah dimaklumkan untuk mula berkumpul di 5 lokasi seperti Brickfields, Pasar Seni, Sogo, Masjid Negara dan Dataran Maybank - sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

Peserta juga dinasihatkan untuk membawa kelengkapan tidur, khemah dan beberapa keperluan lain untuk perhimpunan tersebut.

Pelbagai aktiviti sudah dirancang, termasuk bengkel pendidikan sivik, debat awam, persembahan kebudayaan dan ucapan daripada pemimpin masyarakat.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim pada Rabu menasihatkan penganjur mengelakkan sentimen hasutan seperti menggalakkan orang ramai menggulingkan kerajaan dengan cara yang menyalahi undang-undang.

Katanya, polis akan campur tangan jika mendapati perhimpunan tersebut bertukar menjadi “perhimpunan menghasut”. -TMI





KENYATAAN MEDIA

Harapan Baru (HB) menyokong penuh cadangan BERSIH
untuk mengadakan Himpunan Aman pada 29 dan 30 Ogos 2015.

HB akan mengerahkan seluruh penyokong dan pendokong pemikiran politik progresif untuk turun bersama rakyat ke perhimpunan aman dan melaksanakan hak sebagai rakyat yang dijamin oleh perlembagaan.

Negara berada dalam keadaan yang sangat gawat. Ekonomi Malaysia berada pada tahap terburuk. Hutang negara Malaysia tahun 2015 RM847.9 bilion sudah meningkat sehingga 63.8% daripada GDP serta berbagai kemelut ekonomi seperti peningkatan hutang isi rumah, bebanan GST, ketidak telusan dalam urus tadbir kerajaan dan berbagai lagi persoalan yang mencemaskan.

Sementara Perdana Menteri Najib masih tidak menafikan wang RM2.67 bilion dimasukkan ke akaun peribadi beliau. Beliau telah gagal sepenuhnya sebagai Perdana Menteri.

Beliau mesti bertanggungjawab terhadap segala permasalahan yang berlaku.

Himpunan Aman besar-besaran yang akan diadakan adalah nanti adalah bertujuan untuk menghimpun seluruh rakyat yang perihatin kepada nasib mereka untuk mendesak PM Najib letak jawatan dan sebuah Kerajaan Peralihan perlu dibentuk selepas itu yang melibatkan semua pihak sehingga sebuah pilihan raya bebas dan adil dapat diadakan bagi menyelamatkan Malaysia daripada terus menuju kehancuran.

HB menyokong penuh usaha BERSIH dan akan memberikan sepenuh kerjasama menjayakan himpunan aman tersebut.

Hj. Mohamad Sabu
Pengerusi
Gerakan Harapan Baru



Bersih enggan layan isu PAS, teruskan himpunan seperti dirancang

Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) memberi jaminan perhimpunan aman kali ke-4 (Bersih 4) dianjurkannya akan diteruskan seperti dirancang walaupun tidak mendapat sambutan PAS, yang secara tradisinya menggerakkan sejumlah besar penyokong untuk perhimpunan Bersih sebelum ini.

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata, pihaknya enggan melayan konflik dalaman parti politik sebaliknya mahu menumpukan kepada usaha mereka menuntut perubahan dalam sistem pilihan raya.

"Saya nak ingatkan, himpunan Bersih adalah isu rakyat Malaysia dan bukan hanya tentang parti politik.

"Ramai rakyat Malaysia akan turun, bukan saja parti politik, kerana mereka sokong tuntutan Bersih," katanya ketika dihubungi hari ini.

Maria berkata, Bersih terbuka kepada sesiapa saja, termasuk PAS, apabila pihaknya sejak awal menghantar surat kepada semua parti politik menjemput menyertai himpunan itu.

Tetapi, sehingga kini ia masih belum menerima respons rasmi daripada parti Islam itu.

Katanya, setakat ini respons yang diterimanya daripada PAS adalah "sedang berbincang".

"Kita tidak terlibat dengan konflik mereka. Apa yang kita tekankan perubahan terutamanya sistem pilihan raya, ini agenda kita melibatkan semua rakyat Malaysia," katanya.

Pada Ahad, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, hanya 3 wakil daripada parti itu akan menghadiri perhimpunan 29 Ogos itu nanti kerana mereka tidak dijemput terlibat menganjurkannya.

Beliau juga berkata, ahli parti tidak akan diminta menyertai perhimpunan tersebut, mengatakan ia akan mengadakan perhimpunannya sendiri yang akan diterajui parti itu.

Mengenai Unit Amal yang selama ini banyak membantu mengendalikan keselamatan peserta himpunan, Maria berkata, kali ini mereka mempunyai pasukan keselamatan sendiri termasuk daripada Gerakan Harapan Baru (GHB) dan badan lain.

Namun katanya, keutamaan masih terletak kepada polis bagi memastikan keselamatan mereka terjamin sepanjang 2 hari berhimpun tanpa sebarang provokasi atau kekacauan.

Katanya, beliau akan berjumpa dengan Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad pada 3 petang esok, ditemani peguam, berbincang tentang perjalanan himpunan itu.

The Malaysian Insider semalam melaporkan, PAS semakin dipinggirkan apabila satu demi satu program besar yang dianjurkan pembangkang tidak lagi melibatkan mereka.

Pemimpin PAS dikatakan sedang berbincang sama ada parti itu patut secara rasmi menyatakan sokongan kepada Bersih 4 atau tidak, selepas mendapati ia tidak dijemput terbabit dalam penganjurannya sedangkan GHB dijemput.

Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata selepas satu mesyuarat ahli jawatankuasa PAS Sabtu lalu, parti itu akan menyertai Bersih 4.0 dan akan menghantar 2 wakil untuk menyertai perbincangan mereka - Naib Presiden PAS Idris Ahmad dan setiausaha akhbar presiden PAS, Kamaruzaman Mohamad.

Namun, Hadi seperti menidakkan kenyataan itu, mengatakan PAS hanya menghantar wakil, bukan mengerahkan ahlinya untuk menyertai Bersih 4.0 yang dijadualkan pada 29 dan 30 Ogos di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu itu.








IKLAN BERBAYAR







6 ulasan:

Malaysiabaru berkata...

Guling secara demokratik apa salahnya


Dah berlaku di banyak negara

DemoCracy

Tanpa Nama berkata...

Laporan dari rakyat marhen menjelang perhimpunan Bersih 4.

Hairan, hairan, hairan. Sungguh2 hairan. Mengapa tidak ada sehelai pun bendera malaysia berkibar atau dipasang pada apa2 jenis kenderaan pun di sepanjang2 lebuh raya atau di jalan2 kampung?

"Saya sudah pasang besar punya bendera tepi itu kapla lori, tapi summua driber marah sama saya"

Sekian laporan terkini.

Tanpa Nama berkata...

Alhamduliillah. Cawangan pas kampong aku dah 70 peratus ke ghb yang dulunya totok pas. Mereka kecewa dengan haron din dan haji hadi.

Dr.Paridul Adras Ismail berkata...

Sesiapa pun tidak dapat menyanggah kenyataan "Najib adalah PM Malaysia yang paling lemah". Najib paling lemah mentadbir negara. Hutang negara melebihi RM700 bilion. Korupsi sudah membarah. Lantaran itu, akhbar-akhbar luar negara telah mengikhtiraf Malaysia sebagai juara rasuah. Isu-isu besar negara yang lain seperti syarikat negara yang syarat hutang 1MDB, "derma RM267,000,000,000 kepada Umno melalui akaun peribadi Najib", GST, kenaikan harga barang-barang keperluan, penurunan nilai mata wang, pengangguran di kalangan graduan, Mara, Felda, Tabung Haji, kebanjiran pendatang asing, dan banyak lagi isu-isu yang menggugat keharmonian rakyat. Isu-isu besar ini tidak mampu menggugat kedudukan Najib sebagai PM. Cengkaman Najib terhadap kerajaan begitu kuat sekuat cengkaman harimau ke atas mangsanya. Tiada siapa boleh menjatuhkan Najib kerana beliau di sekelilingi pemimpin-pemimpin Umno yang setia tanpa soal, dan barisan kabinet menteri yang "tukang kipas".

Najib hanya boleh disedarkan melalui demontrasi. Demontrasi bukan bertujuan mengguling kerajaan Najib. Demontrasi sekadar memberikan isyarat bahawa jika Najib tidak mampu mengharmonikan negara, rakyat akan menurunkannya melalui PRU 14. Pendek kata, demontrasi jalanan adalah aktiviti rakyat yang memberikan ruang besar kepada Najib untuk muhasabah diri. Jika Najib gagal muhasabah diri, bukan sekadar Sabah, bahkan Sarawak dan seluruh negara akan menolaknya melalui pilihan raya. Pilihan raya adalah wadah yang paling demokratik dan selari dengan perlembagaan negara untuk menukar pemimpin.

Pada hemat penganalisa politik, Najib diandaikan ingin menjadi PM sehingga akhir hayatnya. Ada yang menyindir melalui kelakar sinis mereka, "orang yang sudah mati tidak boleh didakwa di mahkamah". Kenyataan itu memamng tepat dan sesiap pun tidak boleh menyangkalnya. Beruntunglah seseorang itu jika kematiannya tatkala berkuasa. Peguam negara, ketua Polis negara, pendakwa raya dan hakim mahkamah akan mengalami penyakit kencing tak tus (enuresis) jika mahu membawa pemimpin nombor wahid ini kemuka pengadilan. Akan tetap sesiapa pun tidak akan terlepas dari mahkamah Allah. Mahkamah Allah hanya berfungsi setelah kematian umatnya.

Tanpa Nama berkata...



Najib akan pasti kan yang dia akan terus memerintah dengan apa cara sekali pun. Jika Al Sisi sehingga sekarang masih lagi berkuasa, mengapa tidak Najib?

Buat lah demo atau maki lah. tidak menjadi hal pada Najib. Apatah lagi ahli-ahli UMNO telah lama di 'mati pucuk' dalam hal-hal kepincangan dan kelemahan pemimpin UMNO peringkat tertinggi.

Banyak usaha telak dibuat dari cubaan mendapatkan Sirul sehingga pendedahan oleh WSJ, Najib masih mampu bertahan malah di sokong lagi oleh Menteri Kabinet yang sedia ada. Dalam integriti Najib di persoal berkaitan dengan 2.6 billion, ada kalangan pemimpin yang memuji Najib sebagai PM yang lebih cemerlang dari semua PM !! Tanpa mengambil peduli nilai matawang kita hampir-hampir bertukar menjadi rupiah. Benar lah semasa mula-mula duit cetakan baru dikeluarkan untuk menganti yang lama, blogger-blogger menyamakan nya dengan duit yang dibakar untuk cina mati.

Menukar Perdana Menteri tidak akan berubah tanpa pembaharuan utama kepada institusi dan sistem politik. Selagi Perdana Menteri nya ialah dari UMNO jangan harap lah semua ini akan terjadi.

Yang mana perlu didahulukan? Sudah tentu berbalik kepada rakyat jelata.

Kita perlu hadir beramai-ramai dan dalam masa 34 jam tersebut kita pergi dan datang balik atau tidur dalam khemah jika perlu. Ini lah masa untuk kita mendapat pengalaman tidur di KL dalam khemah seperti mana rakyat Kelantan terpaksa tinggal dalam khemah selepas banjir.

Semuga dengan cara ini akan menyedarkan ahli-ahli UMNO dan rakyat. Dengan sokongan yang kita beramai-ramai menyertai BERSIH, maruah Najib terhakis !

Ahli-ahli PAS boleh ikut PAS atau Ahli-ahli PAS boleh ikut Hj Hadi. Terpulang lah yang mana lebih mereka sayangkan.





Tanpa Nama berkata...

Bandaraya KL tidak benarkan BERSIH menguna Dataran Merdeka. !!

Kakitangan DBKL mudah dapat rumah kos sederhana di KL dan ramai yang kerja di DBKL ialah anak pinak dan kaum kerabat sahaja. Yang lahir negeri lain pun boleh dapat kerja di DBKL asalkan bapa emak kerja ada yang kerja di DBKL,

Jadi memang kena sokong Barisan Nasional sebab rata-rata dah ada rumah sebiji.