5 Apr 2015

[VIDEO] Tragedi Semenyih: Yang Terkorban & Yang Terselamat


Penerbangan ke Subang menaiki helikopter AS365N2 Dauphin selepas menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri di Pekan, Pahang ditakdirkan gagal sampai ke destinasi.

Helikopter itu meletup di udara ketika hujan lebat sebelum terhempas dalam kawasan ladang getah di Sungai Pening, Kampung Pasir Baru, Semenyih pada pukul 4.55 petang, Sabtu dan mengorbankan semua enam individu didalamnya.

Enam individu terlibat, termasuk bekas menteri yang juga Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

Tragedi yang menyayat hati: Datuk Azlin Alias dan Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis bergambar kenangan pada majlis resepsi anak Perdana Menteri, Nooryana Najwa di Pekan, Pahang yang dihadiri oleh mereka pada Sabtu beberapa jam sebelum helikopter yang mereka naiki terhempas di Semenyih pada petang hari yang sama.

Pengerusi PRIMA itu dalam perjalanan untuk menghadiri majlis perkahwinan kedua iaitu pernikahan anak perempuan Ketua Pegawai Eksekutif PRIMA, Datuk Abdul Mutalib Alias pada Sabtu malam di Pusat Persidangan Sime Darby dan ternyata hasratnya tidak kesampaian.

Turut terkorban adalah Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias; juruterbang, Kapten Clifford Fournier; pegawai operasi, Eidiana Baiziera; ahli perniagaan, Datuk Tan Seng Huat dan pengawal peribadi Jamaluddin, Mohd Razkan Seran.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam, Datuk Wan Kadri Wan Mahusain yang turut menaiki helikopter itu terselamat kerana lebih awal turun di Bandar Tun Razak, Muadzam untuk menziarahi kematian.

Pasukan mencari dan menyelamat membabitkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menjalankan operasi dan berjaya menemui mayat terakhir pada pukul 8.15 malam.

Operasi ditamatkan sebaik semua mayat mangsa dikeluarkan dari lokasi tragedi itu pada pukul 9.30 malam.

Terdahulu, ketika menghadiri majlis perkahwinan anak Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor, kedua-dua kenamaan itu sempat merakamkan beberapa gambar kenangan.

Mayat semua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses pengecaman dan bedah siasat.

Perdana Menteri, isteri serta pasangan pengantin baharu, Nooryana Najwa dan Daniyar Kessikbayev turut bergegas ke lokasi kejadian untuk mendapat maklumat berhubung kejadian itu sebelum ke HKL bagi menemui ahli keluarga mangsa.

Sebaik arahan dikeluarkan Najib supaya siasatan terperinci dijalankan, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan pasukan khas ditubuhkan untuk tujuan itu dan siasatan bermula Ahad.

Setakat pagi Ahad, jenazah Jamaluddin dan Azlin sudah dikenal pasti dan dibawa ke kediaman masing-masing di Mines Resort Golf and Country Club Seri Kembangan dan Saujana Impian, Kajang untuk dimandi dan dikafankan sebelum disembahyangkan.

Jamaluddin akan dikebumikan di Makam Pahlawan Negara di Masjid Negara, manakala Azlin di Tanah Perkuburan Islam Sekolah Menengah Agama Persekutuan di Kajang sebelum Zuhur. -mstar


Nahas Helikopter: Adun Bukit Ibam Terselamat Kerana Turun Lebih Awal

KUANTAN: Ahli Dewan Negeri Bukit Ibam, Datuk Wan Kadri Wan Mahussin boleh disifatkan sebagai individu yang sangat bernasib baik kerana terselamat dalam nahas helikopter yang terhempas di Semenyih pada petang Sabtu.

Semuanya kerana beliau yang turut sama berada dalam helikopter tersebut turun lebih awal di Muadzam Shah, Rompin sebelum helikopter berkenaan meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Wan Kadri berkata Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di Pekan telah meninggalkan majlis awal untuk menghadiri satu lagi majlis malam di Kuala Lumpur.

"Sepatutnya helikopter malang itu mendarat di Subang petang semalam," katannya kepada Bernama.

Beliau yang turut bersama dengan anggota Parlimen Rompin itu dan lima yang lain menaiki helikopter malang itu dari Pekan ke Bandar Tun Razak semalam kerana Jamaluddin ingin menziarah seorang kakitangannya yang baharu sahaja kematian ayah.

"Bagaimanapun kami terpaksa membatalkan hasrat tersebut kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

"Berikutan keadaan itu juga kami terpaksa membatalkan hasrat untuk melawat tanah milik Allahyarham yang sebelum ini ingin diwakafkan kepada sebuah pusat tahfiz," katanya.
-mstar








5 ulasan:

Koperasi Prihatin Kedah Berhad berkata...

Apabila sampai masanya tiada siapa mampu menghalang. Sekuat mana sekalipun, sehebat mana sekalipun, segagah mana sekalipun dan sekaya mana sekalipun kita mati tetap akan menyemput kita. Semoga kematian ini akan menjadikan kita lebih beriman.

Tanpa Nama berkata...

Bukan shj kenduri majlis pernikahan malah yg dikendurikan juga adalah minyak dan sewaan helikopter. Lainlah aekiranya perjalanan itu dlm tugasan rasmi.

Tanpa Nama berkata...

Marilah rakyat memaafkan mereka yg terkorban kerana banyak melakukan kemaksiatan dan kezaliman

Tanpa Nama berkata...

Walaupun ada pengawal peribadi

Tanpa Nama berkata...

Ada kah helikopter di boleh kan mendarat sesuka hati seperti di padang sekolah? atau mana mana kawasan lapang ?

Kerajaan perlu sediakan peraturan dan menyediakan tempat helikopter bertolak dan mmedarat yang selamat bagi orang awam