29 Jan 2015

Terkini TGNA: TGNA Dijangka Pulang Dalam Masa Terdekat


Kota Bharu – Tahap kesihatan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, dilaporkan bertambah baik hari ini dan dijangka pulang ke rumah dalam masa terdekat. Anaknya, Nik Mohamad Abduh berkata, bapanya kini berupaya duduk di kerusi roda. Gambar fail: TGNA sedang solat.

“Pagi ini doktor dan pihak hospital berkunjung ke rumah untuk melihat dan membantu kami menyempurnakan keperluan dan persiapan untuk ayahanda apabila dibenarkan pulang nanti,” katanya menerusi catatan terbaharu di laman sosial Facebook beliau pada Rabu.

Nik Abdul Aziz, 84, dimasukkan ke HUSM pada 19 Januari lepas setelah tahap kesihatannya merosot ketika banjir baru-baru ini, selain menghidap kanser prostat.

Nik Abdul Aziz yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka merupakan menteri besar Kelantan kelima yang memegang jawatan itu dari 1990 hingga 2013. -Bernama.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz boleh duduk atas kerusi roda

KUALA LUMPUR: Musyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh menjalani latihan pemulihan hari ini.

"Alhamdulillah, ayahanda boleh didudukkan di atas kerusi roda untuk kali pertama dan mampu bertahan selama setengah jam," tulis Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menerusi facebook petang tadi.

Berikut ialah tulisan beliau mengenai perkembangan kesihatan ayahandanya.

Ayahanda baru selesai latihan pemulihan sekejap tadi. Alhamdulillah, ayahanda boleh didudukkan di atas kerusi roda untuk kali pertama dan mampu bertahan selama setengah jam. Ia sudah cukup menggembirakan saya yang menyaksikan. Semoga ayahanda bertambah gagah hari demi hari.

Pagi ini doktor dan pihak hospital berkunjung ke rumah untuk melihat dan membantu kami menyempurnakan keperluan dan persiapan untuk ayahanda apabila dibenarkan pulang nanti.

Di sini saya ingin rakamkan terima kasih kepada para pelawat yang memahami keadaan ayahanda, juga terima kasih buat kawan-kawan lama ayahanda dalam perjuangan yang datang dari jauh dan dekat. Ayahanda acap mengingati kawan-kawan lama beliau.

Terima kasih buat doa seluruh rakyat Malaysia. Ada rakan non muslim mohon diizin menziarahi ayahanda khas untuk berdoa. Saya gembira. Walaupun berlainan ugama, tuhan yang esa akan mendengar daripada seluruh hambaNya.

Tiada nikmat lebih indah di hujung kehidupan manusia selain doa daripada seluruh makhluk Allah di bumi dan langit untuknya. Semoga ayahanda dikurniai nikmat itu hingga ke akhir nanti.. aameen.

Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Anakanda
8 Rabiul Akhir 1436H / 28 Januari 2015
500pm
-HD


1 ulasan:

Amuraria berkata...

Alhamdulillah ! ABU !