Marang: Kira-kira 10 pelancong yang menginap di sebuah chalet di sini berdepan detik cemas setelah tempat penginapan mereka hampir runtuh akibat dipukul ombak besar pada Isnin malam.
Seorang pelancong dari Kuala Lumpur, Latifah Hamid, 51, berkata ketika dia bersama lima lagi ahli keluarga sedang berehat, mereka terkejut apabila melihat pagar chalet tempat penginapan mereka serta beberapa batang pokok kelapa berdekatan tumbang menyembah bumi.
"Kami datang ke sini untuk bercuti sambil melihat ombak dan mengambil keputusan menyewa chalet berhampiran pantai Rusila namun tidak menyangka ombak besar itu hampir meruntuhkan tempat penginapan kami," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya apabila melihatkan keadaan itu, beliau segera memaklumkan pemilik chalet sebelum disuruh mengemas barang untuk berpindah ke chalet lain yang jauh dari kawasan pantai bersama empat penghuni lain yang turut menginap di situ.
"Semasa mendaftar masuk ke chalet semalam (Ahad) ketika itu angin kencang namun ombak tidaklah sebesar malam tadi," katanya.
Sementara itu, pemilik chalet Jamilah Abdullah berkata sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, beliau mengarahkan semua penghuni berkenaan berpindah.
Jamilah berkata apabila tiba di situ, beliau mendapati 12 bilik di tepi pantai berkenaan tergantung setelah sebahagian tanah di bawah bilik tersebut terhakis dibawa ombak.
"Sejak 10 tahun beroperasi, ini merupakan kali pertama insiden seperti ini berlaku, nasib baik penghuni tersebut menyedari kejadian ini dan tiada perkara lebih buruk berlaku," katanya.
Menurutnya sekarang ini terdapat 12 bilik yang terletak kira-kira 50 meter berhampiran pantai.
Katanya benteng penahan hakisan yang dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak dua tahun lalu turut dihanyutkan ombak.
Kawasan rendah sekitar Kuala Terengganu tenggelam
KUALA TERENGGANU: Beberapa kawasan rendah di sekitar Bandaraya Terengganu ditenggelami air setinggi setengah meter sekitar pukul 10 malam tadi berikutan fenomena air pasang besar dan hujan lebat.
Antara kawasan terjejas ialah Bazar Warisan, Pasar Payang, Waterfornt, Pulau Warisan, Pulau Kambing dan Batu Buruk.
Seorang peniaga di Pasar Payang, Abu Bakar Abdul Hamid, 55, berkata air mula naik pukul 9 malam dan dia sempat memindahkan barang niaganya ke tempat tinggi.
"Ini kali kedua Pasar Payang dinaiki air sejak 20 tahun saya berniaga di sini dan air naik secara mendadak," katanya kepada Bernama.
Seorang lagi peniaga Noraini Abdullah, 52, berkata dia juga sempat menyelamatkan beberapa barang niaganya setelah menyedari air semakin melimpah naik ke jalan sekitar pasar itu.
"Sudah lama kawasan ini tidak banjir dan malam ini tidak dijangka air akan naik setinggi ini," katanya.
Turut terjejas banjir ialah kawasan perumahan sekitar Seberang Takir dan beberapa kampung di Pulau Duyong.
Orang ramai turut memindahkan kenderaan mereka di sepanjang Jambatan Sultan Mahmud di sini. - Bernama -BERNAMA
2 ulasan:
Bala dari Allah SWT ingat kan rakyat jangan hidup tongkat langit nak kaya ber gaya sahaja.
Cuba cuba lah tongkat batu nesan kota sendiri.
Bagi tau nelsyan jangan ke laut , jangan juga jaja jajs Quran Sunnah di darat tuk buat untong duniawi.
padia hg tulih ni bro.. tulih org tak paham baik tak payah tulih.. simpan je lam almari
Catat Ulasan