20 Jan 2014

[VIDEO] Haji Hadi: Arab Saudi Diperguna AS & Eropah Jaga Kepentingan Israel


Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan kerajaan Arab Saudi menjadi alat kepada Amerika Syarikat (AS) dan negara Eropah untuk menjaga kepentingan Israel di Timur Tengah.

Menurut Presiden PAS itu, pergolakan berpanjangan akibat perbezaan mazhab di negara Islam sebenarnya adalah hasil plot terancang negara Barat dengan mempergunakan Arab Saudi untuk melebarkan pengaruhnya di negara Islam.

“Arab Saudi sudah dipengaruhi oleh permainan politik AS dan negara Eropah,” kata Abdul Hadi kepada saluran televisyen satelit Press TV pada Sabtu.

“Saudi dan negara Arab lain menjadikan negara mereka sebagai pangkalan Barat. Mereka lakukan ini bukan untuk menyokong Islam tetapi untuk meluaskan kuasa.”

Menurut Abdul Hadi, beliau kesal kerajaan Arab Saudi menjadi alat untuk menjaga kepentingan Israel dan negara Barat malah Malaysia juga tidak terkecuali dalam hal tersebut.

“Ia merupakan plot Barat untuk menjaga kepentingan mereka dan Israel dengan menggunakan agama sebagai alat permainan ini dengan menggunakan orang media dan tokoh politik. Malaysia turut dipengaruhi hal ini,” kata Abdul Hadi.

Menurut Abdul Hadi, perbalahan di antara negara Islam di Timur Tengah adalah untuk memastikan keselamatan Israel terus terjamin.

Katanya ini juga berlaku kerana AS, negara Eropah dan Israel cemburu dengan kemajuan dicapai negara Islam seperti Iran.

Manurut ahli Parlimen Marang itu, ulama dan tokoh agama di Malaysia sudah mengadakan persidangan serta mengeluarkan kenyataan dalam memberikan kesedaran berhubung isu tersebut.

Malaysia tidak terkecuali dalam “permainan” ini dengan berlakunya perbalahan mazhab sehingga menimbulkan ketegangan kepada masyarakat Islam di negara ini.

Dalam ucapan penggulungan semasa Perhimpunan Agung Umno tahun lalu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil tindakan kepada orang nombor dua PAS kerana dikatakan mengamalkan ajaran Syiah.

Tidak berapa lama selepas itu Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan 10 bukti penglibatan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam kegiatan Syiah yang kebanyakannya melibatkan perjuangan pemimpin besar revolusi Islam Iran Ayatollah Ruhollah Musawi al Khomeini.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata, Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu merupakan orang yang dimaksudkan Ahmad Zahid.

Dalam reaksinya Mohamad mengatakan beliau sememangnya mengagumi ketokohan Imam Khomeini akan tetapi tidak mengakui menganut fahaman Syiah. -TMI


2 ulasan:

abu bakar berkata...

dah baca di press tv macai macai wahabi akan marah tapi itulah hakikatnya musuh orang islam dan manusia hari ini bukanlah syiah tetapi golongan yang dinamakan takfiris...barat dah mula takut takfiris yang akan kembali dari syria akan melaksanakan misi misi mereka dibarat.,,tapi ahli politik di malaysia yang pro us dan saudi sengaja membangangkan diri ,,,tabik ustaz Hadi

Tapi yang di cakapkan beliau tak da kaitan dengan mat sabu

Tanpa Nama berkata...

“Ia merupakan plot Barat untuk menjaga kepentingan mereka dan Israel dengan menggunakan agama sebagai alat permainan ini dengan menggunakan orang media dan tokoh politik. Malaysia turut dipengaruhi hal ini,” kata Abdul Hadi.

Faham apa yang TGHA katakan ini beb. Maksudnya ada campurtangan USA dan Isreal dengan kerajaan Malaysia beb secara sulit. Lu all still nak sokong BN yang sah jadi sekutu Isreal? Lagipun TGHA takkan akan berbohong sepertimana Najib yang pandai berbohong dengan rakyat. Lu fikirlah sendiri.