3 Dis 2013

Kes Kematian 3 Beradik: Seorang Pelajar Ditahan

Alor Setar - Polis menahan seorang pelajar berusia 16 tahun bagi membantu siasatan kematian tiga beradik dari Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pelajar berkenaan yang juga kenalan mangsa ditahan di rumahnya di Perlis kira-kira jam 11.30 malam, semalam.

“Pelajar itu ditahan reman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes itu.

“Setakat ini pihaknya menemu bual lebih 10 individu termasuk keluarga dan rakan mangsa bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui media di pejabatnya, hari ini.

Sabtu lalu, Mayat Nor Syafikah Nadia Rusdi, 14, ditemui tertiarap dalam keadaan separuh bogel di tepi sawah Alor Senibong kira-kira jam 3.45 petang, selepas keluar dari rumah bersama dua adiknya, Nur Izzati Husna, 12 dan Puteri Nurul Akma, 3, kira-kira jam 7.30 malam, Jumaat lalu.

Lebih menyayat hati, mayat Nur Izzati Husna dan Puteri Nurul Akma ditemui kira-kira jam 4.50 petang semalam, di dalam terusan Mada Kampung Padang Petani, Langgar di sini iaitu kira-kira tiga kilometer dari mayat Nor Syafikah Nadia ditemui.

Walaupun kesemua mereka ditemui mati akibat lemas lemas, polis mengklasifikasikan kes terbabit sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam pada itu Adzaman berkata, pihaknya masih menyiasat sejauh mana hubungan pelajar terbabit dengan mangsa menerusi siasatan teliti dari segenap aspek.

Tambahnya, hasil bedah siasat ke atas Puteri Nurul Akma dan Nur Izzati Husna pula mendapati punca kematian mereka adalah lemas.

“Terdapat kesan calar pada badan mangsa, namun tiada tanda mereka dirogol, dicekik atau dipukul,” katanya.

“Manakala spesimen darah ketiga-tiga beradik itu turut dihantar untuk ujian ke Jabatan Kimia, Pulau Pinang bagi memeriksa jika ada punca lain termasuk kemungkinan suntikan dadah ke atas mangsa,” katanya.

Adzaman berkata, pihaknya turut dimaklumkan oleh pegawai perubatan bahawa kematian ketiga-tiga beradik itu berlaku dalam tempoh yang hampir sama.

Ditanya mengenai dakwaan keluarga mangsa mengenai kesan cedera dipercayai akibat dicucuh puntung rokok pada anggota badan dan tangan Nor Syafikah Nadia serta kesan sama pada tangan kedua-dua adik mangsa, Adzaman berkata, kesan berkenaan mungkin disebabkan gigitan hidupan dalam air seperti lintah atau ikan.

Menyentuh penemuan seluar di kawasan penemuan mayat Puteri Nurul Akma dan Nur Izzati Husna, beliau memberitahu, ia bukan milik ketiga-tiga beradik itu kerana Nor Syafikah Nadia keluar pada malam kejadian dengan memakai jeans biru.

“Bagaimanapun kemeja-T yang ditemui berhampiran mayat Nor Syafikah Nadia adalah miliknya,” katanya.

Sementara itu, Adzaman turut meminta orang ramai menghentikan spekulasi bahawa mangsa menjadi mangsa rogol seperti yang dipaparkan dalam laman sosial.

“Maklumat yang polis salurkan kepada umum adalah hasil laporan perubatan oleh pakar forensik yang menyatakan tiada tanda mangsa dirogol,” katanya.

'Hidup kami tiada makna tanpa mereka'

ALOR SETAR - Kematian tiga beradik yang tidak diketahui motif sebenarnya dalam kejadian Jumaat lalu menjadi detik hitam buat keluarga.

Bapa mangsa, Rusdi Rani, 38, berkata, pada malam kejadian Noor Syafikah memberitahu untuk ke rumah kawan dan membawa dua adiknya bersama.

Menurutnya, anak sulungnya itu sudah tidak bersekolah dan tidak pernah berenggang dengan adik-adiknya untuk ke mana-mana termasuk selalu ke rumah kawan yang dimaksudkan.

“Ketika mereka keluar saya dan isteri ada di rumah. Depa habaq nak pi rumah kawan, tetapi pukul 11 malam tak balik lagi.

“Kami mula risau dan minta jiran tolong cari mereka. Kami cari di merata tempat tetapi tak jumpa mereka sebelum membuat laporan polis pada jam 2 pagi,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah, semalam.

Rusdi yang juga tukang cuci di sebuah sekolah berkata, semalam dia dihubungi pihak polis kira-kira jam 3.45 petang mengenai penemuan mayat seorang remaja perempuan.

“Kami diminta ke lokasi kejadian untuk membuat pengecaman. Lokasi arwah ditemui itu tidak jauh di antara jalan rumah kami ke rumah kawannya.

“Tetapi motor yang digunakan ditemui di kawasan lain yang agak jauh dari tempat arwah ditemui,” katanya yang baharu dua tahun menetap di Alor Setar.

Katanya, ketiga-tiga anaknya sangat rapat dan tidak pernah berenggang antara satu sama lain.

“Mereka bertiga selalu keluar berjalan-jalan di sekitar kampung. Noor Syafikah juga menjaga kedua-dua adiknya kerana dia tidak bersekolah apabila saya dan isteri keluarga bekerja.

“Tak ada makna hidup kami tanpa mereka, hanya merekalah yang menghiburkan kami,” katanya dalam keadaan sebak.
-SH

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Polis suruh kita hentikan spekulasi utuk kes ini. Well cepat -cepatlah sahkan punca kematiannya if u all tak nak spekulasi sama ada dia kena bunuh, rogol atau mati lemas.

So kami disini tak akan tertanya punca kematiannya. Perkara simple polis tak tahukah?

Tanpa Nama berkata...

Rilek la.. Polis pun kena siasat betul2. Jgn sibuk nk buat spekulasi je..fikirkan perasaan ibu bapa kpd 3 arwah anak2 mereka.. Berat mata memandang berat lg bahu yg memikul.. Sekelip mata hilang semua anak2 mrk.. Cuba fikir sekiranya ianya berlaku kepada anda..

Tanpa Nama berkata...

Ini dah lebih 48 jam dah ni. Penjenayah dah lari dah oii ke negara luar.