10 Okt 2013

[VIDEO] PAS Kemuka Anak Tempatan Untuk Calon PRK Sungai Limau

PAS umum calon PRK Sg Limau 21 Okt

KUALA LUMPUR: PAS Pusat menyenarai pendek lapan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau dalam mesyuarat jawatankuasa harian pusat pagi tadi.

Menurut Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, calon-calon anak tempatan itu mempunyai pelbagai latar belakang dan dikemukakan oleh PAS Kedah dan PAS kawasan.

Calon-calon muka baru itu juga termasuk calon wanita, ujarnya pada sidang media di Pejabat Agung PAS sebentar tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Tuan Guru Abdul Hadi turut memaklumkan keputusan PAS untuk mengumumkan calon bertanding mewakili parti itu pada 21 Oktober ini.

Katanya, senarai yang diperolehi dari peringkat kawasan dan negeri itu akan diteliti bagi memastikan PAS dapat mengekalkan kemenangan serta meneruskan amanah yang ditinggalkan bekas Adun Sungai Limau yang juga mantan Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Razak.

"PAS akan mengumumkan calon pada 21 Oktober nanti bagi menghadapi PRK Sungai Limau, tempat akan dimaklumkan kemudian.

"PAS akan memastikan calon yang dikemukakan nanti mempunyai latar belakang yang bersih serta bebas dari segala kesalahan terutamanya rasuah," jelasnya.

Tambah beliau lagi, PAS sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi BN pada PRK itu dan yakin dengan persedian awal, PAS mampu mempertahankan kerusi tersebut.

"Kita telah bersedia dari awal bagi menghadapi pilihan raya kecil ini, segalanya telah diatur rapi.

"Kita yakin dengan persiapan dan persediaan ini, PAS mampu mempertahankan kerusi yang dimenangi sebelum ini," sambung beliau.

Sementara itu, mesyuarat yang sama turut memutuskan, Ahli Parlimen Pokok Sena yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar dilantik sebagai Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Sungai Limau. -HD


Sg Limau: PAS mulakan 'serangan psikologi'


Belum pun kempen pilihan raya kecil DUN Sungai Limau bermula, Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar melancarkan 'serangan psikologi' bahawa pengundi tidak perlu bimbang untuk memilih mereka kerana kerajaan negeri tidak akan bertukar.

"Rakyat tidak perlu bimbang bahawa mereka mengundi PAS dan Pakatan Rakyat, dalam pilihan raya ini tidak menjatuhkan kerajaan negeri yang sedia ada," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media pejabat PAS di Kuala Lumpur petang ini.

"Datuk Mukhriz (Mahathir) tak perlu bimbang, jika mereka kalah, kerajaan BN masih lagi kekal. Jadi adalah kewajarannya pengundi terus mempertahankan kemenangan selama lima penggal bersama Allahyarham Tan Sri Azizan (Razak) untuk diteruskan oleh anak didik beliau."

Malaysiakini sebelum ini melaporkan, anak didik Azizan - Ketua Pemuda PAS Jerai dan pendidik Azam Samad dan Setiausaha Khas kepada bekas menteri besar Muzaini Azizan - antara yang disebut-sebut bakal dicalonkan.

Mahfuz yang juga naib presiden PAS turut membidas kenyataan Mukhriz pernah menyatakan pembangunan akan dibuat di DUN itu jika BN menang di Sungai Limau.

Mahfuz menyifatkannya seolah-olah "politik ugut" kepada rakyat dan tidak wajar dinyatakan kerana ia membawa maksud jika BN kalah, seolah-olah tidak ada pembangunan di kawasan pembangkang

'Lemah jika tabur duit'

Ahli parlimen Pokok Sena itu menyamakan kenyataan Mukhriz itu seperti kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sebelum ini bahawa pembangunan tidak akan dibuat pembangunan di kawasan yang dimenangi pembangkang di negeri itu.

"Kerajaan negeri yang memerintah, bertanggungjawab membawa pembangunan yang dimenangi oleh pembangkang termasuk di DUN Sungai Limau," kata Mahfuz.

Mahfuz turut menyifatkan BN sebagai "lemah" sekiranya mereka "menabur duit" dengan jumlah yang besar seperti pilihan raya kecil DUN Kuala Besut untuk merasai kemenangan di DUN Sungai Limau.

"Mungkin itu dilihat rezeki kepada rakyat Sungai Limau.

"PAS tidak perlu berbelanja besar kerana kita tidak ada sumber kewangan dan tidak mahu pembaziran. Apa yang penting kita mahu membentuk minda politik yang bijaksana untuk mereka membuat pertimbangan sewajarnya," katanya.
-mk



Tiada ulasan: