1 Okt 2013

[TRAGEDI] Keracunan Kenduri Kahwin: 3 Maut, 60 Terima Rawatan

Yan - Gara-gara menjamu selera di satu majlis kenduri di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Sabtu lalu, tiga maut manakala lebih 60 orang mengalami keracunan makanan.

Hidangan jamuan berlauk ayam masak merah, gulai terung ikan talam dan kerabu pucuk paku dikatakan menjadi menu utama yang dihidangkan kepada hadirin di majlis kenduri berkenaan.

Mangsa pertama, Nurshazana Mohd. Rashid, 24, dari Kampung Tempoyak meninggal dunia kira-kira jam 12.45 tengah hari selepas mengalami sakit perut yang melampau.

Manakala mangsa kedua, Mohd Nor Rahmat Yusof, 11, dari Kampung Singkir Lauk, Yan, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 petang ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dan seorang lagi mangsa, Ibrahim Mohamad, 62, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6.30 petang di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, hari ini.

Difahamkan kesemua mangsa menghadiri majlis kenduri yang sama dan mendapat simptom keracunan yang sama berpunca daripada makanan yang dimakan.

Seorang tetamu hadir ke kenduri berkenaan, Rozita Sharif, 38, berkata, selepas pulang daripada kenduri itu, dia berasa tidak sedap badan serta pening dan sakit perut.

“Awalnya saya hanya anggap sakit perut biasa dan cirit-birit biasa sahaja, tetapi dikejutkan dengan berita kematian anak jiran saya yang dikatakan meninggal selepas mengalami sakit perut.

“Sejurus itu saya terus datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di Hospital Yan, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Ismail Abu Taat berkata, pihaknya mendapati kesemua mangsa mempunyai tanda-tanda mengalami keracunan dan meminta semua yang hadir ke kenduri terbabit supaya membuat pemeriksaan di hospital atau klinik berhampiran.

“Pihak hospital sedang menyiasat punca kejadian dan setakat ini kita menerima laporan tiga orang yang telah meninggal dunia.

“Mangsa mungkin mengalami dehidrasi yang teruk yang menyebabkan kehilangan air yang serius. Pihak hospital akan mengambil sampel najis mangsa untuk sahkan jenis kuman yang dijangkiti mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini. -SH

Keracunan: Tetamu sebelah petang ramai terkena

SUNGAI PETANI – Mangsa terbaru keracunan makanan, Ibrahim Mohamad, 62, disahkan meninggal dunia lebih kurang jam 6.30 petang tadi di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Jenazah yang dituntut keluarga akan dibawa pulang ke kampung halaman di Kampung Alor Jejawi, Kuala Besut, Terengganu sebaik sahaja selesai bedah siasat di HSAH.

Anak mangsa, Zulkifli, 31, berkata, bapanya dikatakan mengalami cirit-birit sejak pagi Ahad lalu akibat dipercayai keracunan makanan selepas dikatakan menghadiri majlis perkahwinan berdekatan rumahnya di Kampung Huma, Tanjung Dawai, jam 6 petang Sabtu lalu.

“Pagi itu (Ahad), ayah dah mengalami cirit-birit serta beberapa kali masuk ke tandas, bagaimanapun keadaannya masih baik serta boleh bercakap seperti biasa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di HSAH hari ini.

Menurut Zulkifli, keadaan Ibrahim dilihat semakin tidak bermaya beberapa jam selepas itu menyebabkan ahli keluarga membawanya ke Hospital Daerah Yan tengah hari semalam bagi mendapatkan rawatan.

“Walaupun dibenarkan pulang selepas ditambah air dalam badan, keadaan ayah semakin lemah serta tidak mampu berjalan menyebabkan ayah terus ditahan wad.

“Disebabkan makin kritikal, ayah kemudian dirujuk ke HSAH lebih kurang jam 2 petang tadi,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia jam 6.30 petang.

Sementara itu, penduduk, Puan Md Noor, 55, berkata, anaknya yang berusia 25 tahun juga menerima rawatan di HSAH akibat keracunan selepas menghadiri kenduri yang sama.

“Anak kelima saya, Mohd Nazri Deraman, turut mengalami loya dan muntah serta cirit-birit dipercayai selepas makan kenduri.

“Nazri terlebih dahulu menerima rawatan di sebuah klinik di Semeling pada jam 9 malam semalam.

“Tetapi, keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan menyebabkan keluarga membawanya ke HSAH pada jam 2 petang tadi,” katanya.

Mohd Nazri dikatakan makan kenduri pada jam 3 petang Sabtu lalu dan mula mengadu sakit pada jam 7 pagi keesokan hari.

“Tetapi Alhamdulillah selepas dimasukkan air dalam badan, dia dibenarkan pulang jam 7 malam tadi,” katanya.

Puan berkata, dia juga menghadiri majlis kenduri yang sama tetapi makan masakan yang disediakan lebih awal pada tengah hari.

“Saya juga ada cubit sikit ayam yang dimasak itu tetapi mujur tidak sakit,” katanya.

Difahamkan, majlis kenduri yang diadakan Sabtu lalu disediakan secara bergotong-royong tetapi dikatakan hanya tetamu yang menghadiri jamuan sebelah petang mengalami keracunan.

Sumber mengatakan, lebih ramai mangsa yang telah mendapatkan rawatan di klinik berhampiran serta hospital berdekatan, namun jumlah sebenar masih belum dapat dipastikan berikutan tiada pengesahan dari mana-mana pihak.

Kejadian turut dipercayai meragut dua nyawa lain termasuk Mohd Noor Rahmat, 11, dari Kampung Singkir Laut, Yan dan Nor Syazana Mohd Rashid, 24, dari Kampung Tempoyak, Merbok.
-SH

Tiada ulasan: