13 Okt 2013

Kalimah Allah: Bukan Islam Boleh Guna Tapi Jangan Salah Guna – Hadi Awang

Menuju keputusan kes Kalimah Allah yang kini dibicarakan di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 14 Oktober nanti, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut bukan Islam.

Bercakap kepada media seusai menyampaikan ucaptama di Seminar Pelaksanaan Syariah Islam Di Malaysia, Abdul Hadi berkata banyak hujah kukuh dari sudut agama, bahasa dan sejarah yang membolehkan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.

“Kita tidak boleh menghalang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, malah baginda Rasullah membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada orang bukan Islam dalam satu perjanjian,”(Piagam Madinah) tegas Hadi, dan menambah bagaimanapun kalimah ‘Allah’ tidak wajar disalahgunakan oleh mana-mana pihak sehingga menimbulkan konflik.

Mahkamah Rayuan akan memutuskan pada 14 Oktober ini sama ada penerbitan mingguan Kristian Katolik, The Herald, dibenar menggunakan kalimah ‘Allah’.

Pada 10 September lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh, menangguhkan keputusan selepas mendengar hujah pihak berkenaan dalam kes itu.

Panel itu akan memutuskan rayuan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan The Herald menggunakan kalimah ‘Allah’.

Sebelum ini, pada Januari 2010, Abdul Hadi telah mengemukakan kertas kajian dalam seminar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM).

Menerusi buku bertajuk: ‘Allah: Kalimah yang Benar, Tujuan yang Salah’, yang diterbitkan pada Januari 2010, Abdul Hadi menterjemahkan bahawa Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah “Allah” dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

“Kalimah ‘Allah’ adalah satu perkataan yang mengikut maksud asal bahasa arab (Dia Sahaja Tuhan Yang Maha Esa), adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat,” jelas beliau dalam bukunya itu.

Seminar Pelaksanaan Syariah Islam Di Malaysia berlangsung di Dewan Pro Canselor Universiti Selangor (Unisel) dekat sini, hari ini.

Bertemakan ’56 tahun Merdeka: Ke Mana Hala Tuju Syariah Islam di Malaysia’, seminar anjuran Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Permuafakatan dan Instiusi Pendidikan Islam Selangor (Mappis) dan Universiti Selangor (Unisel) itu membuka ruang mencari penyelesaian kearah pelaksanaan syariah dalam konteks negara demokrasi.

Hadir sama, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman, Exco Selangor Dr Halimah Ali dan Sallehen Mukhyi. -tvselangor


Kalimah Allah: Bukan Islam tidak boleh disekat, jangan salah guna, kata Presiden PAS


PAS menegaskan bahawa penganut agama bukan Islam tidak harus disekat daripada menggunakan kalimah Allah dalam mengamalkan kepercayaan mereka namun penggunaan tersebut tidak harus disalah guna atau disalah tafsir.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata tiada peruntukan undang-undang yang tidak membenarkan kaum lain untuk menggunakan kalimah Allah namun kebebasan yang diberikan tidak harus disalahgunakan kerana Allah adalah satu-satunya tuhan yang layak disembah bagi umat Islam.

“Kita tidak boleh melarang penganut bukan Islam untuk melaksanakan suruhan agama mereka kerana manusia seharusnya mempunyai kepercayaan terhadap tuhan.

“Kalimah Allah dalam perkataan Arab tidak boleh diterjemah ke dalam bahasa lain kerana tidak sama dengan perkataan ‘tuhan’. Oleh kerana itulah kalimah Allah itu sangat suci,” katanya ketika ditemui pemberita di Universiti Selangor hari ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui khutbah Jumaat semalam menggesa umat Islam bersatu-padu mempertahankan penggunaan kalimah Allah daripada disalahgunakan sempena keputusan kes tersebut yang akan didengar di Mahkamah Rayuan Isnin ini.

Jakim berkata, sebagai umat Islam yang patuh kepada ajaran agama adalah perlu untuk bersatu-padu demi menolak apa jua usaha yang menafikan hak sebagai umat Islam.

Katanya, wajib bagi umat Islam menjaga dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Khatib menegaskan bahawa percubaan menggunakan kalimah Allah dalam kitab lain selain al-Quran, akan menimbulkan kecelaruan di dalam sistem kepercayaan umat Islam kerana Islam menolak kepercayaan yang berteraskan kepada Trinity iaitu God Father (Bapa Tuhan), God the Son (Anak Tuhan) dan Holy Spirit (Roh Kudus).

Dalam khutbah itu juga, Jakim mempersoalkan mengapa kalimah Allah hendak digunakan dalam Bible, kerana apabila kalimah Allah digunakan secara langsung di dalam kitab itu akan membatalkan konsep Triniti yang diamalkan mereka.

Katanya, penggunaan tersebut jelas menjadikan umat Islam keliru, ragu-ragu dan tersilap mengenal identiti Allah serta meruntuhkan akidah umat Islam.
-TMI


4 ulasan:

hamba allah berkata...

pada bijaksana-bijaksini APA MASALAH kalimah ALLAH ....DLM ALQURAN ADA nyatakan dalam tafsirnya jika mereka bertanya yang jadikan alam ini mereka
akan berkata ALLAH JADIKAN...Sumpahan
terakhir syaitan sebelum dihalau dari
syurga..DEMI ALLAH aku akan sesatkan anak cucu adam hingga hari kiamat.
masalah besar utk BERDAKWAH pd yg bukan ISLAM jika umat ISLAM TAKUT UTK
KENALKAN ALLAH pada mereka.lainlah kita bersama syirik dg berarak di hari thapusam/wesak kerana arahan NAJIBGOK atas alasan 1malaysia

Tanpa Nama berkata...

Walau apa pun pasal kalimah Allah, menurut pendakwah bebas dari Sarawak, kalimah tersebut sudah sebati dalam diri penganut kristian di Sabah dan Sarawak. Sebabnya bible di Sabah dan Sarawak yang dicetak dalam Bahasa Malaysia dah ada perkataan ALLAH.

Mencetak bible dlm bahasa malaysia mesti mendapat kelulusan KDN. Yang pasti menterinya yg luluskan bukan Lee Guan Eng, Anuar Ibrahim atau Ustaz Hadi Awang.

Tanpa Nama berkata...

Pilihanraya dah selesai boleh lah diperbincangkan dengan rasional dan penuh ilmiah..

embun77 berkata...

Apa yang hendak diisukan ? Guna asal jangan hina / salahguna. Lebih teruk lagi yang mengaku Islam tapi Kalam Allah hanya sekadar ada sahaja di dalam rumah.........