1 Jul 2013

Suruhanjaya Diraja Perlu Ditubuhkan Untuk Siasat Najib & Zahid Hamidi

Bekas Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim menyarankan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat empat individu berprofail tinggi yang didakwa mempunyai konflik kepentingan.

Menurut Mat Zain mereka ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Beliau menyarankan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapatkan persetujuan jemaah menteri bagi mendapatkan perkenan Yang DiPertuan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat keempat mereka yang terlibat mengikut terma-terma rujukan yang kabinet fikirkan wajar.

“Rakyat sedang menunggu apakah tindakan yang akan dikenakan terhadap Zahid yang didakwa telah mendatangkan cedera parah ke atas seorang awam Amir Bazli Abdullah pada tahun 2006.

“Begitu juga dengan Khalid setelah Hakim Datuk VT Singham mendapati beliau cuai untuk mempastikan keselamatan saspek di bawah jagaannya, selain cuba menyembunyikan punca kematian A Kugan, ketika beliau bertugas sebagai Ketua Polis Selangor,” katanya.

Mat Zain berkata, orang yang boleh mengambil tindakan terhadap Zahid dan Khalid ialah Najib yang telah menasihatkan Yang DiPertuan Agong untuk melantik kedua-dua mereka.

“Orang yang mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada untuk memulakan prosiding jenayah terhadap Zahid dan Khalid atau sebaliknya ialah Abdul Gani.

“Peguam Negara dengan kuasa yang dibekalkan kepada beliau dalam perlembagaan, selain daripada bertanggung jawab untuk menasihati YDP Agong dan jemaah menteri dalam perkara berkaitan undang-undang.

“Malangnya kedua-dua Najib dan Gani pula, didakwa terlibat dengan beberapa salahlaku jenayah serius dan mereka masih belum membersihkan diri masing-masing, daripada siasatan polis yang sedang atau yang sepatutnya telah dijalankan ke atas mereka.

“Nyata keempat mereka iaitu Najib, Zahid, Gani dan Khalid berada dalam situasi konflik kepentingan masing-masing,” katanya dalam suratnya kepada Muhyiddin hari ini.

Manakala salinannya dihantar kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, Peguam Cara Negara Datuk Idrus Harun dan Khalid.

`Terdapat precedent’

“Saya ingin nyatakan di sini, terdapat precedent di mana Timbalan Perdana Menteri menyembahkan permohonan kerajaan untuk penubuhan RCI dan mendapat perkenan YDP Agong.

“Ini ialah berkaitan RCI mata-lebam yang dipekenankan oleh YDP Agong bersandarkan permohonan yang disembahkan dan ditandatangani oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu Timbalan Perdana Menteri pada 3 Februari 999 serta telah diperkenankan pada tarikh sama.

“Tindakan itu dipercayai kerana Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamed berada dalam situasi konflik kepentingan.

Ini berikutan pada 1 Oktober 1998, beliau telah mengumumkan pendapat beliau bahawa kecederaan yang dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah akibat self-inflicted, sedangkan siasatan polis baru sahaja dimulakan beberapa hari sebelum itu pada 27 September 1998,” tambah beliau.

Menurut Mat Zain lagi, pada 8 Oktober 1998, pegawai penyiasat telah memberi taklimat kepada Dr Mahathir kecederaan yang Anwar alami bukan akibat self-inflicted tetapi akibat dicederakan oleh mantan Ketua Polis Negara.

Beliau berkata, Muhyiddin tidak boleh mengenepikan cadangan menubuhkan RCI dalam menyelesaikan kemelut ini sebagai suatu cadangan yang tidak munasabah atau luar biasa.

Precedent menangani kebuntuan seperti yang dihadapi sekarang, bukan dicedok atau ditiru daripada mana-mana negara lain, sebaliknya adalah keputusan jemaah menteri sendiri di mana Tan Sri (Muhyiddin) dan Najib, antara menteri yang membuat keputusan sedemikian, tambah beliau.

Melainkan jika Muhyiddin atau kabinet sedia ada, mempunyai idea atau cara yang lebih berkesan dan efisyen lagi untuk menyelesaikan situasi deadlock yang dihadapi sekarang ini,maka RCI hendaklah ditubuhkan segera.

Kata Mat Zain lagi, sebarang kelengahan atau keengganan membuat keputusan berkaitan kemelut ini, akan dilihat sebagai percubaan untuk melindungi salahlaku jenayah mereka yang terlibat dengan tujuan mengelakkan mereka dari dikenakan hukuman undang-undang.

“Sekiranya seorang pegawai polis yang berpangkat sekadar Asisten Komisioner pada masa itu, sanggup bersemuka dengan Dr Mahathir dan memberikan pendapat yang bertentangan dengan pendapat Perdana Menteri yang telah diumumkan secara rasmi, maka saya yakin YAB Tan Sri tidak ada masaalah untuk menangani kemelut yang ada di hadapan rakyat dan kerajaan seperti sekarang ini,” tambah Mat Zain. -FMT

3 ulasan:

oranqtua berkata...

100% setuju. tak kan nak biarkan negara ini diketuai olehorang orang jahat.

Awanama berkata...

Betul betul betul,
tapi ok ke.... Dah macam-macm RCI di tubuhkan Hasilnye hampeh....

Awanama berkata...

Lantak lah kamu semua, benda benda ini hanya akan terjadi jika rakyat tidak bodoh memilih kerajaan, tukar kerajaan pasti segala kemungkaran akan terungkai. Yang buat salah mesti di bawa kemuka pengadilan. Dengan ada nya ini semua tentu intergiti MP's yang dipilih akan ada sifat tanggung jawap, mereka tidak akan melakukan penyelawingan. Rakyat senang negara makmur.