20 Mac 2013

[VIDEO] Pakatan Mahu Najib Jawab Isu Video Keluarga Taib Mahmud


Pakatan Rakyat (PR) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab pendedahan sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa, melalui video, yang mendakwa ahli keluarga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan rakannya berkenaan industri pembalakan di negeri itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai seorang pemimpin yang berwibawa dalam memimpin sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, adalah mustahil bagi Najib boleh berdiam diri dalam isu ini.

"Beliau mesti memberi ulasan mengapa perkara ini dibiarkan ataupun tidak mengambil beberapa tindakan segera.

"Kami berharap perdana menteri memberi respons segera mengenai perkara ini," kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan PR di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Anwar mendakwa, perkara itu adalah serius memandangkan badan antarabangsa telah meneliti akaun, beberapa penyalahgunaan kuasa dan jumlah dana yang dikumpulkan oleh Taib serta keluarganya.

"Najib tidak boleh diam diri selepas beliau banyak mendiamkan diri terutamanya selepas beliau mendiamkan diri berkaitan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pencerobohan di Lahad Datu.

"Ini adalah isu yang akan membuatkan pihak pembangkang akan terus ketengahkan," katanya.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula membidas kerana Najib tidak mengotakan janji untuk menukar Ketua Menteri Sarawak selepas pilihan raya negeri 2011.

"Kegagalan Najib berbuat demikian membuktikan beliau seorang pemimpin yang gagal mengotakan janji.

"Apa yang berlaku sekarang, menunjukkan Taib lebih berkuasa daripada perdana menteri termasuk bekas perdana menteri yang pernah perintah negara selama 22 tahun," katanya. -SH


Video dakwa dedah salahguna lesen oleh keluarga Taib


Satu siasatan oleh sebuah NGO antarabangsa telah mendedahkan bukti video yang mendakwa bagaimana ahli keluarga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan rakan perniagaan penyalahgunaan lesen pembalakan untuk memperkayakan diri mereka.

Dua sepupu Taib, ahli keluarga kepada rakan kongsi utama Taib, dan seorang peguam yang mewakili kerajaan negeri Sarawak telah dirakam dalam video, didakwa menjelaskan mekanisme untuk mengelakkan undang-undang yang sedia ada bagi memperolehi keuntungan daripada skim itu.

Video itu telah direkodkan secara tersembunyi oleh seorang penyiasat dengan Global Witness, sebuah NGO yang berpangkalan di London yang menyiasat dan berkempen menentang pencabulan hak asasi alam sekitar dan manusia.

Penyiasat itu telah dihantar ke Sarawak tahun lepas, dengan menyamar sebagai "pelabur asing" yang ingin membeli tanah untuk mengusahakan ladang kelapa sawit.

Penyiasat itu menemui Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (Recoda), badan kerajaan negeri yang mengendalikan pelaburan asing, dan terus dibawa kepada ahli-ahli tertentu keluarga Taib yang menjual sebuah syarikat yang dilesenkan untuk membalak dan membersihkan tanah untuk perladangan di Sarawak.

Lesen ini dikeluarkan oleh Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak, yang diketuai oleh Taib.

Pertemuan dengan ahli keluarga dan ejen lain syarikat itu telah dirakam secara tersembunyi oleh Global Witness dan dihasilkan menjadi filem selama 15 minit yang disiarkan di lamanwebnya. -mk
-mk




2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pilihanraya DUN yang lepas kata KM Sarawak tu akan letak jawatan. Apasal sampai sekarang tak letak jawatan lagi? Tipulah tu.

Tanpa Nama berkata...

Kenapa polis x tangkap.. terang lagi nyata..