Hutan Melintang - Pelik bin ajaib! Mungkin itu persepsi yang timbul apabila lima lelaki berketurunan Pakistan memiliki kad pengenalan warganegara Malaysia.
Penemuan memeranjatkan itu diperoleh menerusi semakan daftar pemilih yang dibuat PKR Cabang Bagan Datoh, baru-baru ini ketika meneliti daftar pemilih Suruhanjata Pilihan Raya (SPR) untuk tujuan semakan jumlah dan lokaliti pengundi.
Hasil semakan juga mendapati, empat daripada mereka tersenarai dalam daftar pemilih dan kesemua mereka tinggal serumah.
Pengarah Pilihan Raya Umum, PKR Dun Hutan Melintang, A Ganeson ketika mendedahkan perkara itu berkata, penemuan tersebut menimbulkan pelbagai persoalan dan keraguan kerana kesemua mereka memperoleh kad pengenalan warganegara berwarna biru dengan mudah.
“Semakan yang kita buat melalui Sistem Menang Pilihan raya (Sismep 3.0) yang dibekalkan parti pada mula bertujuan untuk menyemak jumlah dan lokaliti pengundi.
“Apabila teliti senarai itu, kami ragui lima penama disenaraikan kerana mereka tinggal di rumah sama dan berketurunan Pakistan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, pasukannya kemudian membuat penyiasatan dengan pergi ke rumah mereka di Taman Hutan Melintang dan mendapati kesemua mereka mempunyai kad pengenalan biru (MyKad) yang baru, manakala seorang lagi memegang kad pengenalan lama.
“Lima lelaki berusia 30 hingga 40-an itu mendakwa mereka mendapat kad pengenalan itu ketika masuk ke negara ini buat pertama kali.
“Mereka mendakwa kesemua mereka memperolehnya di Sabah melalui ejen sebelum menetap terus di Semenanjung,” katanya.
Ganeson menambah, lelaki berketurunan Pakistan itu juga mendakwa beberapa kali mengundi dalam pilihan raya umum (PRU) dan ada di antara mereka sudah lima kali mengundi di kawasan Hutan Melintang.
“Mengapa perkara seperti ini boleh berlaku? Ramai rakyat kita masih belum ada pengenalan diri. Malah, ada dalam kalangan rakyat kita yang mendapat kad pengenalan merah walaupun memang dilahirkan di negara ini.
“Pihak berkenaan perlu tampil beri penjelasan mengenai kekeliruan ini kerana kesemua mereka tidak layak mendapat kerakyatan negara ini,” katanya.
Untuk pengesahan lanjut, Sinar Harian bersama-sama pasukan Pilihan Raya Dun Hutan Melintang ke rumah lima lelaki terbabit untuk mendapatkan maklumat dan gambaran sebenar mengenai penemuan terbabit.
Ketika kami tiba, dua daripada penghuninya keluar manakala dua lagi berada di dalam rumah dan seorang lagi belum pulang kerja.
Apabila diminta supaya menunjukkan MyKad, kedua-dua mereka pada mulanya enggan berbuat demikian, selepas diberitahu untuk tujuan semakan PRU, mereka beri kerjasama dengan baik.
Ketika semakan dibuat, salah seorang daripada mereka, Ali Hamsir, 54, yang memiliki kad pengenalan lama memohon supaya kad pengenalannya ditukar baru seperti rakan-rakan yang lain.
Ketika ditanya bagaimana kad pengenalan itu diperoleh, dia mendakwa kesemua mereka dibawa ke Sabah ketika mula-mula memasuki negara ini sebelum bekerja di Semenanjung.
“Saya sudah berkahwin. Keluarga saya ada di Pakistan dan setiap tahun saya balik jenguk mereka. Untuk balik ke sana kami kena buat pasport kerana kami kini orang Malaysia,” katanya. -SH
1 ulasan:
Xyah kata pkai agen.JPN pun blambak dok bg IC kosong kpd pdatang ni.IC kosong ni mksudnya dpt IC fizikal tp dlm database JPN xdak negara (STATELESS).tp yg syok anak bleh lak daftar warganegara.tnya la staf JPN kalo x percaya.
Catat Ulasan