14 Dis 2012

[VIDEO] Penduduk Bantah Roboh Surau An-Nur Penjara Pudu


Surau An-Nur mangsa pembangunan komersil Penjara Pudu

Jemaah surau An nur membantah keras cadangan pemaju, UDA Holdings untuk menutup jalan ke surau berkenaan bagi membangunkan pusat komersil di tapak Penjara Pudu.

Berikutan itu, mereka termasuk Ahli Jawatankuasa Bertindak Mempertahankan Surau An Nur Penjara Pudu, mengadakan demontrasi aman selepas solat Jumaat, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Mempertahankan Surau An Nur Penjara Pudu, Zakaria Omar juga akan mengirim surat bantahan sebagai balasan terhadap surat penutupan jalan bertarikh 4 Disember lalu yang berkuat kuasa 10 Januari depan.

“Kami akan hantar surat bantahan kepada UDA dan salinannya kepada Perdana Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Wilayah, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“Kami tidak setuju tutup jalan ke surau kerana ia menyukarkan jemaah datang solat dan menyebabkan berkurangan jemaah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Zakaria berkata, UDA sepatutnya menaik taraf jalan surau, bukannya menutup laluan berkenaan hingga menyusahkan jemaah.

“Setiap kali solat Jumaat, surau ini boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah. Setiap waktu solat, ramai yang solat di sini.

“Memang dalam surat tidak nyatakan berapa lama tutup bagi kalau sudah tutup bermakna sedikit demi sedikit tanah surau juga akan jadi milik UDA,” katanya.

Pengerusi Badan Bertindak Imarah Masjid dan Surau Wilayah Persekutuan, Ishak Surin pula menyifatkan tindakan UDA itu ‘biadap’ kerana sanggup menghalang orang Islam beribadat.

“Surat itu ‘biadap’ hanya ada tandatangan UDA sahaja tiada salinannya dari Jawi atau pejabat mufti.

UDA guna kuasanya untuk berbuat sesuka hati.

“Kita kecewa jika pihak berkuasa membiarkan sahaja perbuatan UDA ke atas rumah ibadah Islam yang menjadi agama rasmi negara,” kata Yang Dipertua PAS Batu itu. -KD



2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sepatutnya di sekitar KL patut ada banyak surau memandang masalah trafik jam. Ini tidak, yang ada nak diroboh pula. Pertimbangkanlah semula wahai pihak berkuasa.Jangan hanya nampak wang sahaja.

Tanpa Nama berkata...

Kalau kuil boleh pula buat lencongan yea....