Semalam, Presiden PAS membuat kejutan bahawa beliau sedia bertanding di Parlimen Pekan, kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.
Sebenarnya Pekan bukanlah kubu kuat UMNO BN seperti yang digembar-gemburkan kerana Najib sendiri hampir tewas di Parlimen Pekan pada PRU 1999 di tangan calon PAS yang tidak terkenal iaitu Ramli Mohamed.
Malah kemenangan Najib dengan majoriti 241 undi itu pun diragui - kerana kemenangan hanya diumumkan apabila beberapa peti undi yang "sampai lewat" dikira.
Berikut ialah ulangsiar wawancara Editorial Harakah bersama bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan, Dato' Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz:
Sebenarnya Pekan bukanlah kubu kuat UMNO BN seperti yang digembar-gemburkan kerana Najib sendiri hampir tewas di Parlimen Pekan pada PRU 1999 di tangan calon PAS yang tidak terkenal iaitu Ramli Mohamed.
Malah kemenangan Najib dengan majoriti 241 undi itu pun diragui - kerana kemenangan hanya diumumkan apabila beberapa peti undi yang "sampai lewat" dikira.
Berikut ialah ulangsiar wawancara Editorial Harakah bersama bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan, Dato' Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz:
Najib, pemimpin Umno dan PM yang gagal
Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak disifatkan hilang punca, begitulah kesimpulan yang dibuat oleh bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan, Dato' Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz kepada Harakah ketika sesi 'Cakap-cakap Bersama Harakah' di Pejabat Editorial baru-baru ini. Ikuti temubual sidang Editorial Harakah, antaranya AHMAD LUTFI OTHMAN, TAUFEK YAHYA, MOHD RASHIDI HASSAN, TARMIZI JAM dan WAN NORDIN WAN YAACOB serta Jurugambar, NASIR SUDIN bersama bekas ADUN Pulau Manis itu.
HARAKAH: Penyeberangan yang di luar kotak jarang-jarang dilakukan, boleh saudara nyatakan mengapa tinggalkan Umno dan sertai DAP?
DATO' MOHD ARIFF SABRI: Pertamanya terima kasih kerana Harakah jemput saya ke sini. Banyak yang tanya saya persoalan kenapa saya daripada Umno ke DAP, dan bila pindah pula tu tidak pilih parti lain tetapi DAP yang 100 peratus bertentangan dengan falsafah Umno. Kenapa tidak PAS atau Parti Keadilan Rakyat (KeADILan).
KeADILan ini DNA-nya Umno masih ada di situ, cara dia beroperasi itu masih ada cara Umno, bila ada perubahan nanti barulah boleh bertukar.
Saya tidak masuk PAS ini sebab saya kesian kepada PAS, sebab nak masuk PAS ini, ia mesti menangguh imej nak bawa PAS yang keagamaan dan saya tahu kekurangan diri saya. Saya nak elak PAS rosak saya tidak masuk, tetapi saya terus menyokong perjuangan PAS dan semasa dalam Umno dahulu lagi pun, saya menyokong PAS terutama dalam isu Umno fokuskan untuk merampas Kelantan yang dikuasai Melayu dan PAS, kenapa Umno beria-ia sangat nak rampas, saya tidak setuju dengan hal ini.
Sekarang ini apabila Umno dan pemimpinnya menyerang tokoh kepimpina PAS dengan kata nista, ini saya tidak setuju sangat.Jadi suatu parti yang nyata bertentangan dengan Umno ialah DAP yang secara lengkapnya tidak sama dengan Umno, justeru saya sertai DAP yang budayanya sangat bertentangan dengan Umno. Saya ada keserasian kerana DAP kini tiada berbaur perkauman sangat mutakhir ini.
Saya sendiri telah berbincang dengan Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang, misalnya dalam persoalan jawatan Perdana Menteri Malaysia, dia mengakui realiti Malaysia ini tidak membenarkan orang selain Melayu menjadi Perdana Menteri, dan jika orang selain Melayu jadi PM, dia kata akan berlaku huru hara dan pertumpahan darah.
Orang Cina tak hendak benda itu, mereka hanya mahukan sebuah kerajana yang urustadbirnya baik, kedaulatan undang-undang yang betul, layanan kepada kita sama seperti kepada pembesar negara. Pada saya Umno gunakan undang-undang hanya untuk kukuhkan kedudukan, Umno akan manipuasi undang-undang. Persoalan besar hari ini rasuah, yang tidak dapat dibendung dalam Umno dari atas ke bawah. Ini bukan saya cakap, tetapi jika kita bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad pun dia akan cakap begini.
Dalam satu majlis makan tengahari bekas menteri tidak disangka, Mahathir datang dan dia diberi penghormatan sepatah dua kata berucap. Tetapi Tun Mahathir take overlah sesi itu. Kenyataan pertama Tun Mahathir dia sebutkan bahawa 'negara kita ini dah korup dari atas ke bawah', dari Najib hinggalah ke bawah, ini dia cakap, jadi Musa Hitam cakap kepada saya dia pelik, inilah orang yang bertanggungjawab budaya koruspi ini, dari segi 'public statement' dia (Mahathir) nampak menyokong Najib tetapi dalam peribadinya dia tidak, dia banyak yang tidak suka cara Najib mentadbir itu.
Saya lihat umurnya (Mahathir) dah lebih 80 tahun, tetapi dah dia tidak boleh berhenti.Selalu saya bincang mengapa Tun Mahathir tidak boleh berhenti. Saya ada teori bahwa apa yang dia (Tun Mahathir) lakukan dahulu menghambat diri dia, dan dia kena tidak boleh tidak mengawal keadaan daripada jadi lebih teruk. Sebab itulah dari segi trend kemungkinan politik masa depan itu dia cukup gerun jika PR dapat ambil alh kerajaan dan 'nightmare' pada dia, jika Anwar Ibrahim jadi PM, dia rasakan Anwar akan bangkit semua cerita lama dia (Tun Mahathir).
Menyentuh soal kekuatan Pakatan Rakyat, kemungkinan faktor yang menyebabkan rakyat mahu kepada PR adalah Anwar, ataupun sebenarnya kelemahan Umno-BN itu sendiri?
Saya rasa yang faktor Anwar itu 'icing on the cake' sahaja, secara dasarnya rakyat menolak kebejatan Umno-BN. orang Umno pun 'fed up' dengan gelagat kepimpinan, bercakap soal kepentingan Melayu tetapi sebenarnya hanya menjaga kepentingan mereka dan kroni sahaja.Bercakap fasal negara, bagaimana urustadbir negara dengan pengaliran keluar wang negara dan ketirisan, rakyat melihat kepada ini, rakyat berdepan kos hidup yang tinggi, gaji tidak naik kepada tahap yang baik, dan rakyat marah kerana melihat pemimpin BN berbelanja seolah-olah tidak berhemah, dan menghentam sahaja tidak terkawal.
Walaupun bagi projek secara tender tetapi semua itu manipulasi, akhirnya kroni sahaja yang dapat. Rakyat baca yang tersirat, pemimpin seolah-olah sedari masa mereka (mentadbir) yang nak habis, selagi ada masa selagi mereka kaut (kekayaan negara), dan ini yang rakyat lihat. Soal Anwar ini dia penyatupadu PAS dan DAP dan dia 'crowd puller'. Dia boleh tarik massa, bila kita hebahkan rakyat akan mudah fahami berbanding penulisan, ceramah ini jauh cepat dapat. Saya tidak menaruh kepentingan luar biasa kepada Anwar Ibrahim, jika KeADILan menang besarpun dia tidak boleh menjadi PM tanpa persetujuan PAS dan DAP.
Barangkali boleh diceritakan sedikit tentang pengalaman dan latar belakang bagaimana bermula dalam politik dan menyertai Umno?
Saya nak ambil kesempatan nak terangkan, saya bukan kritikal kepada Umno selepas saya tidak menjadi wakil rakyat, tetapi jika ada kesempatan saudara-saudara boleh melihat hansard Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Pahang, boleh baca bahawa saya agak kritikal terhadap pengurusan kerajaan negeri Pahang, misalnya dalam pengurusan anak syarikat negeri pahang (SEDC) saya timbulkan persoalan jika syarikat ini sentiasa tanggung rugi.
Kaedahnya tutup jangan tanggung biawak hidup, jika ada syarikat milik kerajaan tetapi tidak boleh bersaing dengan syarikat Cina yang kecil, kita kena tutup, nak buat apa kerajaan bagi duit tetapi tidak untung. Mesti ada pengurusan yang tidak kena, persoalannya ialah korupsi berlaku, meningkatkan kos pengurusan kerajaan. Bila saya keluar, jadi saya ada kebebasan seidkit menyuatakan lebih terbuka, punca segalanya kepimpinan tertinggi yang tiada kekuatan membetulkan keadaan, sampai bila Umno ini tidak akan betul. Pemimpin sebut soal transformasi, tetapi jika tiada keberanian tidak akan berlaku perubahan.
Kepimpinan tertinggi Umno dipegang oleh Dato' Najib sendiri, dan saya yakin dia tidak ada keberanian dan 'political will' melakukan peruabhan, bercakap bolehlah, tunjukkan dia liberal memang dia pandai dan disokong oleh media massa perdana yang menunjukkan dia hebat, tetapi saya ada pengalaman langsung dengan dia, dan saya berani kata dia tidak berani lakukan perubahan, nak menukar Umno punya 'warlord' dia tidak berani. Kerana apa? kerana sokongan yang dia ada kini adalah daripada yang bawah dia (warlord) ini, takkan dia nak menghancurkan sistem kehidupan yang diketahui iaitu, mendapat projek besar dan menyokong pemimpin.
Jika nak reformlah, mati Umno. Lagi satu saya lihat, keduanya Umno ini tiada perjuangan untuk satu seruan, tiada 'cause of struggle'. Macam DAP walaupun dia sekular, tetapi dia ada dasar yang mahu negara ini diurustadbir dengan baik (good governance). PAS pula ada prinsip perjuangan Islam. Ini beza, Umno tiada cause, Umno ini kata mereka pragmatik, mereka kata mereka boleh sesuaikan diri ikut apa sahaja. Sebab itulah peribadi Najib sentiasa cuba membentuk klik, dia baik dengan sana sini, dan mengisi wawasan dia tak ada. Itu kelemahan Najib.
Boleh terangkan latar belakang saudara, bila menyertai Umno dan pengalaman dalam Umno?
Semasa di Universiti saya tak sokong Umno, dan kita di sana (Universiti) sama ada akan menyokong Islamik atau sosialis, masa saya di England, saya lihat pelajar kaum Cina ini mereka bersatu, senantiasa serang kerajaan Melayu dan secara umumnya dia serang Melayu. Secara umumnya masa itu saya seorang Melayu kena respons dengan tindakan mereka itu dengan bersatu dengan Umno dan buatlah apa sumbangan yang boleh kita buat.
Itulah asalnya saya dampingi Umno. Yang paling kuat sekali ialah semasa saya dibawa oleh Najib ke Umno Bahagian Pekan itu sendiri, masa itu tahun 1991 dsaya berhenti daripada Shell, dan masuk ke Umno dengan balik ke Pekan saya jadi AJK Bahagian. Daripada situlah saya bermula aktif dalam Umno. Pada 8 Januari 2012 saya sertai DAP. Di situlah bermulanya perjuangan saya menentang Umno.
Pengalaman dalam AJK Bahagian hingga Adun?
Saya ingat, karier politik saya meningkat pada tahun 1999 apabila Najib hampir-hampir kalah kepada calon PAS ketika itu dengan majoriti lebih kurang 200 undi sahaja. Itupun, calon PAS ketika itu telah pergi sujud syukur di masjid dan menjangkakan telah menang, namun katanya ada beberapa peti sampai lewat dan saya tidak tahulah apa yang berlaku hingga Najib menang 200 undi sahaja.Saya tidak tahu apa yang berlaku.
Selepas itu Najib sedar Umno Pekan ini tiada etika kerja yang betul, bagaimana nak yakinkan orang dan nak lakukan aktiviti, dan pada 199 dia lantik saya jadi ketua Penerangan Umno Pekan.
Bermula sahaja saya jadi Ketua Penerangan, saya susun strategi bagaimana nak menarik pengundi ini sebab di bahagian Pekan tidak ada aspek ini. Sebelum itu budak-budak dia tidak buat kerja hanya bagi tahu okay-okay-okay. Masa itu budak-budak dia hanya tahu sambut Najib sahaja ketika sampai di Pekan, sebab Najib dah pegang kementerian masa itu. Itu sahaja, dia tokoh penting yang akan naik ke atas, kerja Umno Pekan balik ke sana baut aktiviti dan tiada gerak kerja.
Bila saya ambil alih Ketua penerangan, saya lihat bagaimana dia mampu untuk menarik semula sokongan dan menimbulkan rasa sayang pengundi Pekan kepadanya. Saya tanya kepada dia, saingan dia di Pekan adalah PAS, saya tanya dimana kekuatan PAS?.
Sebab Najib tidak pernah terfikir pada masa itu. Saya cakap pada dia, kekuatan PAS adalah di surau dan masjid. Orang Umno ini dia liat sikit ke masjid, jawatan jawatankuasa surau dan pengerusi surau orang Umno nak, tetapi mereka tak mahu ke masjid. Jadi saya cadang dan rancangkan program di surau dan masjid dengan menjemput ulama-ulama dan tokoh agama, bila kita buat program kita jangan maki hamun, kita hanya buat program berasaskan pembicaraan mengenai kerohanian, dan saya panggil semua ulama daripada mesir dan indonesia yang boleh cakap Bahasa Melayu buat program di masjid. Tujuan saya ialah, nak tunjukkan ketika itu bahawa Umno pun tahu juga nak agama, menghormati aktiviti begini. Masa itu orang PAS pun datang, sebab kita tidak ada maki hamun kita panggil orang Arab yang boleh bertutur Bahasa Melayu itu orang PAS pun suka, saya pun bersekali, daripada tidak tahu jadi tahu.
Selama empat tahun saya buat menyeluruhlah. Saya buat lebih 150 program di bawah penerangan yang tidak terbuat oleh mereka di Pekan sebelum ini.Ini jadi rekod. Sebelum ini mereka tidak tahu nak buat apa, lagi pula Najib langsung tidak boleh buat apa-apa. Yang ada hanyalah kekuatan dia pada jawatan selaku Perdana Menteri, dan dia tiada kekuatan. Pada 15 Mac ini saya akan ke Pekan bersama Mohamad Sabu (Timbalan Presiden PAS) untuk saya ceramah menerangkan apa kelemahan dan siapa Najib sebenarnya.Orang Pekan mungkin tidak tahu siapa Najib sebenarnya. Dia tidak akan kalah sebab dia ada duit tetapi jika majoritinya turun, dia akan malu, Orang Umno ini kemantapannya tiada sebab tiada pengisian, sebab dia fokus kepada duit.
Pada tahun 2004 Najib dapat 22,000 majoriti selepas saya buat kerja. Masa Anwar kena mata lebam itu, orang Umno pun sokong Anwar. Di Pekan ini saya tahu apa yang berlaku, bayar akan dapat sokongan.
Najib tak kata apa Dato' masuk DAP, dia tahu ke?
Dia tidak tahu, sebab dia tidak dapat kesan waktu saya nak masuk DAP. Sebab itu dia pening, macam mana dia tak boleh agak, dia ingat mungkin saya masuk KeADILan, tetapi akhirnya saya ke DAP. DAP ini bukan 'Jembalang' seperti Umno sangkakan. Ramai yang tanya saya, mengapa PAS boleh bekerjasama dengan DAP, sebab ramai yang tak tahu, saya jawab mudah PAS bekerjasama dengan DAP nilainya Umno berpakat dengan MCA, apa masalahnya PAS pakat dengan DAP. PAS dan DAP pakat atas dasar prinsip, ini dibenarkan, tidak ada masalah. Saya rasa PAS dan DAP tidak berani nak diguguat apa dasar masing-,masing, cuma persamaannya adalah menjatuhkan kerajaan yang korup dan zalim, ini mereka bekerjasama dan walaupun saya Melayu Islam dalam DAP, saya tetap Melayu juga.
Saya beritahu kepada Umno dan MB Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob, saya tukar wadah sahaja bukan akidah. wadah itu penting..... Tetapi akidah tidak tukar, keMelayuan saya tidak kurang berbanding Umno.
Ini bukan masalah. Yang Umno takut ialah Umno hilang punca gunakan eleman gangster, gunakan Perkasa dan NGO yang nampak ekstrim, Rela dan sebagainya beri peruntukan ini menunjukkan Umno tengah risau. Yang Umno risau, rakyat ada pilihan selain Umno dan lebih baik daripada Umno. Saya komen Menteri MITI, Mustafa Mohamed kata aliran masuk pelaburan luar ke dalam negara (FDI) masuk ke Malaysia bagus, tetapi saya sebutkan itu semua FDI yang masuk ke negeri Pakatan Rakyat. Mustafa Mohamed nampak risau bila kita sebutkan hal ini. Tengok Pulau Pinang, Selangor dan Kedah semuanya tinggi FDI. Kerajaan BN ini FDInya jatuh.
Demam PRU 13, DAP katanya akan banyak menang, dan KeADILan akan menang besar, masalah yang dihadapi bagaimana kedudukan PAS yang akan ambil tempat dimana Umno bertanding, PAS akan bertanding, apa pandangan?
Penerimaan kepada PAS sangat bagus.Yang betul-betul parti Melayu ini hanya PAS sahaja. PAS ada dua kekuatan Melayu dan Islam. Umno sendiri dah tiada Melayu semua. Jika orang Umno sedar, mereka kena sokong PAS dan mana-mana kawasan yang PAS sertai dimana ada kawasan campuran, PAS pastinya akan menang kerana respon bukan Melayu samada India dan Cina cukup tinggi kepada PAS.
Saya ada tanya orang India, mereka banyak menyokong Pakatan Rakyat, mereka sokong DAP pertama, kedua PAS dan ketiga KeADILan. Prioritinya adalah DAP dan PAS, seterusnya KeADILan. Mereka suka keperibadian Tok Guru (Menteri Besar Kelantan, Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat).... Orang Cina sendiri saya tengok di sebuah restoran pakai baju Nik Aziz, saya tanya kenapa pakai, dia jawab ini orang baik..... Dia buat kerja dia, tetapi penerimaan dan pengiktirafan orang yang baik mereka terima. Saya lihat orang Melayu tidak lagi bergantung harap dengan Umno.
Apa sebenarnya faktor orang Melayu terhalang sokong PAS?
Saya rasa satunya yang saya lihat di Pekan.Jentera PAS di Pekan sebagai contoh, mereka tidak buat program yang menyeluruh dan berterusan, jika berterusan ini mereka boleh atasi kesetiaan orang Umno di Pekan.
Saya selalu fikirkan jika saya jadi Ketua Umno Pekan, saya selalu bayangkan apa yang saya nak buat dalam mengambil sokongan orang Umno di Pekan, saya buat begini program berterusan di Pekan, minggu ini saya bawa Tok Guru Nik Aziz, minggu depan saya bawa Mat Sabu dan seterusnya untuk setiap masa orang di Pekan didatangi pimpinan PAS.
Saya yakin kaedah ini akan dapat menarik sokongan mereka di sana.Nak lawan duit memang kita tidak mampu sebab Umno ada duit. Saya tidak mustahil PAS boleh gerakkan orang Melayu, mereka seagama dengan kita, kita kena gerak kerja yang sentiasa, berbeza dengan Kelantan ada sahaja program Tok Guru di sana, sebab itulah mereka boleh faham. Arwah ayah saya sentiasa sokong PAS.
Bagaimana saudara boleh meyakinkan orang Melayu untuk sertai DAP, sebab ramai di luar sana masih bimbang untuk menyertai DAP?
Saya orang Melayu. Malah selepas bersama DAP, saya lebih bebas untuk nyatakan kepentingan Melayu ini yang terpinggir, dalam Umno mereka nak tahu tentang Melayu yang tak terpinggir sahaja, sedangkan dalam DAP mereka mahukan perjuangan mereka yang terpinggir.
DAP tiada halangan orang dalam DAP nak cakap tentang masalah kepentingan Melayu yang terpinggir ini,DAP tidak halang. ereka menyokong benda yang harus disokong. Satu lagi kita jangan risaulah tokoh seperti, Karpal Singh ini cakap selalu mengenai anti Islam, bangkang ini itu, dalam DAP pun orang biarkan sahaja dia begitu, sebab ada juga yang bangkang dia, cuma mereka diamkan sahaja sebab menghormati dia sebagai Pengerusi DAP, dia tokoh yang menyumbang kepada imej DAP dan beri ruang kepadanya untuk bercakap, tetapi tidak semestinya disetujui ahli DAP sendiri.
Selaku bekas ahli Umno dan pimpinan Umno, bagaimana saudara melihat propaganda yang dimainkan oleh Umno, jika PAS menang, orang Cina akan huru-hara, propaganda ini dimainkan di kawasan Melayu seperti di Perak, PAS jadi 'kuda tunggangan'?
Kalau orang Melayu konservatif yang baca Utusan Malaysia dan televisyen akan termakan (propaganda itu). Tetapi Pakatan Rakyat sendiri dah buat gerak kerja dan tulisan penerangan alternatif yang dapat dilihat oleh rakyat. Seterusnya saya rasa di kampung ini anak-anak mereka yang berlajar di luar, mereka ada cerita yang sebaliknya mengenai persepsi yang didoktrin Umno. Memang dan kita lihat, kos hidup tinggi dan salah urus tadbir negara tiada kena-mengena dengan DAP atau PAS. Mereka tak boleh tipu sepanjang zaman.
3 ulasan:
1.Niat rakyat yang kuat untuk buat perubahan 2.Pemimpin yang berani dan amanah 3 Dana yang cukup.Kalau ketiga ini ada mungkin PR boleh berjaya.
Selitkan juga isi dalam temuramah ini dalam ceramah mendatang supaya dapat membuka minda rakyat, apakah sebenarnya UMNO sekarang.
Rakyat dan pngundi Melayu di Pekan bukan lagi berpikiran kampong tahap poyo lagi. Generasi kedua ketiga dapat membezakan UMNO dan PAS. Bapanya pemimpin akhirat, manakala anaknya pemimpin duniawi. Sesiapa yang gilakan harta karun dan perut buncit hasil pendapatan haram akan memilih DUMNO. Akan tetapi, generasi Melayu masakini telah banyak mendapat hidayah ILLAHI dan akan memilih kebenaran yang mementingkan alam akhirat. Ini saja akan membawa kemenangan kepada PAS.
Catat Ulasan