8 Sep 2012

[PANAS] Adun Kuala Perlis Cedera Ditumbuk Lelaki Kerana Isu Pasar

Kangar - Gara-gara tidak puas hati dengan isu pasar, seorang lelaki yang ada rekod ditahan polis, menumbuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Perlis, Mat Hassan (gambar) di Kampung Seberang Tok Pi, Kuala Perlis, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, wakil rakyat itu bersama isterinya ketika kejadian berada di Kampung Seberang Tok Pi untuk menziarahi kematian.

Katanya, semasa beliau mahu pulang, datang seorang lelaki berusia 36 tahun, memaklumkan peniaga-peniaga pasar di Kuala Perlis ada mengadu kepadanya bahawa mengenai jumlah pelanggan terjejas semenjak Pasar Burma dibuka.

Menurutnya, Mat Hassan kemudiannya memberitahu lelaki berkenaan agar memaklumkan peniaga-peniaga pasar terbabit supaya datang berbincang mengenai masalah itu dengannya.

Walaupun Adun itu meminta lelaki berkenaan memaklumkan perkara tersebut kepada para peniaga, lelaki terbabit masih bercakap mengenai masalah tersebut, tambah beliau.

“Semasa pengadu ingin bergerak pulang suspek masih bising-bising dan tiba-tiba meluru ke arah pengadu dan melepaskan satu tumbukan di muka sehingga menyebabkan pengadu mengalami luka dan sakit di bawah mata pipi kirinya," kata beliau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.Bagaimanapun katanya, suspek buat masa ini tidak ditahan reman tetapi diambil keterangan untuk siasatan.

Difahamkan, kematian yang diziarahi pengadu dan isteri merupakan emak saudara kepada suspek yang turut tinggal di kampung yang sama.

Sementara itu, Mat Hassan ketika dihubungi berkata, beliau tidak mahu membesar-besarkan kes tersebut, sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut. -SH

Tiada ulasan: