25 Sep 2012

[BERGAMBAR] Dua Kemalangan Maut Berasingan Di Melaka


Kemalangan 1
Nahas 10 kenderaan, 2 maut

AYER KEROH - Seorang pemandu lori maut selepas hampir empat jam tersepit di tempat duduk hadapan apabila lori dipandunya yang merempuh empat motosikal, tiga kereta dan dua lori di persimpangan Seri Negeri-Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, R R Chandran, 47, maut di tempat kejadian bersama seorang lagi penunggang motosikal, R Mukeudan @ Mukundan, 62.

Nahas yang berlaku berhampiran Pasar Raya Mydin itu membabitkan 10 kenderaan itu turut mengakibatkan tiga cedera, termasuk seorang lelaki parah.

Difahamkan, lori terbabit melanggar kereta Perodua Kancil dari arah Plaza Tol Ayer Keroh menuju pusat bandar raya sebelum merempuh lapan kenderaan lain yang berhenti di lampu isyarat merah di laluan bandar raya menghala Plaza Tol Ayer Keroh.

Lori hadapi masalah brek.

Kelindan lori yang terselamat dalam kejadian itu, N Balan, 30, berkata, sebelum lori yang dipandu Chandran melanggar kenderaan lain, dia menyedari lori yang dinaiki mempunyai masalah brek apabila lori tersebut meluncur laju ketika menuruni bukit menghala lampu isyarat.

“Saya yang terkejut kemudian terus menundukkan kepala dan beberapa saat selepas itu saya berasa hentakan kuat di bahagian hadapan.

“Apabila saya mendongak kepala, lori yang saya naiki kemalangan dan melihat Chandran sudah tidak bergerak.

Ketika itulah saya segera menendang cermin hadapan lori untuk keluar,” katanya yang cedera kaki kanan.

Seorang lagi mangsa, S Yogananthini, 20, berkata, ketika kejadian dia bersama lima ahli keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Kesang Damai, Jasin, berhenti di lampu merah persimpangan tersebut selepas keluar dari Pasar Raya Mydin.

“Kami yang menaiki kereta Iswara mahu balik ke rumah melalui Jalan Bemban berada di laluan kanan, sedang menunggu lampu merah di belakang kereta Honda City. Tiba-tiba sebuah lori yang datang dari arah Seri Negeri melanggar bahagian tengah antara kereta saya dan Honda City yang dipandu seorang wanita.

“Lori itu kemudian melanggar sebuah motosikal, namun penunggangnya sempat melompat meninggalkan motosikalnya sebelum merempuh dua lori dan beberapa motosikal yang lain,” katanya yang tidak mengalami kecederaan.

Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Zul, 38, berkata, dia yang sedang memakir motosikal di bangunan Kota Cemerlang di sini, terdengar bunyi dentuman sebelum berlari ke tempat kejadian.

“Ketika sampai, saya lihat seorang lelaki sudah ditimbus tanah, seorang penunggang motosikal cedera parah, seorang wanita di dalam kereta Honda City, sebuah keluarga menaiki kereta Iswara dan seorang lelaki dalam keadaan 'nyawa-nyawa ikan' berada antara dua lori dan Honda City,” katanya.

Empat jam keluarkan mangsa

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Lokman Hakim berkata, pihaknya mengambil masa hampir empat jam bagi mengeluarkan mangsa iaitu pemandu lori dedak yang maut akibat tersepit di bahagian pemandu.

Katanya, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 3.30 petang, sebelum mengerahkan seramai 24 anggota dari Balai Bomba Ayer Keroh dan Balai Bomba Bukit Katil ke lokasi terbabit.

“Bomba mengalami kesukaran iaitu kira-kira tiga jam setengah untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit antara lori. Mangsa hanya dapat dikeluarkan jam 6.40 petang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati Chandran yang memandu lori dari arah bulatan Seri Negeri dipercayai terbabas sebelum melanggar sembilan kenderaan lain.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Kemalangan 2

Lelaki rentung rempuh belakang lori penyeludup

Alor Gajah: Seorang lelaki rentung selepas keretanya merempuh belakang sebuah lori penyeludup di Kilometer 194.9, Lebuh Raya Utara Selatan, awal pagi semalam.

Mangsa, Lor Kuan Chuan, 26, dalam perjalanan ke arah utara apabila kereta Perodua Myvi dipandunya gagal dikawal dan merempuh belakang lori membawa muatan rokok dan minuman keras yang diseludup sebelum kenderaan diseret kira-kira 100 meter dalam kejadian jam 6 pagi itu. Mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Mangsa tersepit di tempat duduk apabila kereta terperosok di bawah lori manakala pemandu lori berkenaan melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, yang mengesahkan kejadian itu berkata, identiti pemandu lori belum dikenal pasti namun berdasarkan maklumat Jabatan Pengangkutan Jalan, lori berkenaan milik seorang lelaki di Pontian, Johor.

“Siasatan awal mendapati lori berkenaan didaftarkan menggunakan alamat di Ipoh, Perak. Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu menyebabkan kematian,” katanya.

Lori bawa barang seludup

Pengarah Kastam Diraja Malaysia Melaka, Datuk Mohd Nasir Said, mengesahkan barang yang dibawa lori berkenaan diseludup dan bernilai sekitar RM350,000 dengan jumlah cukai lebih RM2 juta.

“Siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengenal pasti bagaimana barang itu dibawa masuk dan ke mana hendak dihantar,” katanya.

Penguasa Kanan II Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Hadzar Hasan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.16 pagi dan menghantar empat jentera, dua dari balai Ayer Keroh dan masing-masing satu dari Jasin dan Bukit Katil.

“Seramai 18 anggota mengambil sedikit masa untuk sampai kerana perlu melalui Tol Lipat Kajang untuk ke lokasi.

“Kerja memadam api selesai jam 7.35 pagi dan mangsa didapati tersepit dan rentung 80 peratus manakala kenderaannya hangus,” katanya.

Tiada ulasan: