8 Ogo 2012

[VIDEO] Susulan Kes Ritual Halau Hantu: Kepercayaan Karut Dipercayai Sebabkan Kematian

Bukit Mertajam – Kematian kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang didakwa menjadi korban upacara pemujaan keluarganya di Taman Bukit Minyak di sini pada Ahad lalu dipercayai mempunyai kaitan dengan ajaran karut yang diamalkan oleh keluarga mangsa.

Gambar: INILAH rumah di Taman Bukit Minyak, Bukit Mertajam tempat seorang budak mati ditindih oleh ahli keluarganya dalam upacara pemujaan.

Satu sumber berkata, polis mengesyaki lapan individu yang ditahan termasuk ibu bapa kanak-kanak itu terpengaruh dengan ajaran karut yang dipercayai sedang berkembang di negeri ini dan mempunyai ramai pengikut.

Kesemua yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pula didakwa kerap berkelakuan aneh seperti mereka sering bercakap sendirian dan mulut berkumat-kumit seperti membacakan sesuatu.

Lapan yang direman termasuk seorang amah Indonesia ditahan di dua buah lokap.

Sumber itu memberitahu, ibu kanak-kanak malang itu yang sarat mengandung anak kedua dan bapanya seolah-olah tiada perasaan sedih selepas mengetahui kematian anaknya.

Difahamkan upacara pemujaan itu dilakukan ekoran ibu mangsa didakwa hidup tertekan selepas kematian bapanya sejak beberapa bulan lalu selepas mendakwa dia kerap diganggu makhluk asing.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Ab. Lah berkata, polis masih meneruskan siasatan dan sedang mengambil kenyataan kelapan-lapan suspek yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian Chuah Wan Xuan (gambar kecil).

Menurut beliau, siasatan setakat ini menjurus kepada mangsa disyaki menjadi korban pemujaan ajaran sesat yang diamalkan oleh kelapan-lapan suspek.

“Mangsa anak sulung pasangan berkenaan mati akibat kelemasan selepas dipercayai ditindih secara beramai-ramai,” kata beliau.

Katanya, mayat Wan Xuan dituntut bapa saudaranya di Hospital Seberang Jaya semalam selepas polis mendapat persetujuan daripada kedua-dua ibu bapanya yang membenarkan abang kandung si bapa menguruskan pengebumian kanak-kanak itu.

Kosmo! semalam melaporkan, seorang budak mati selepas ditindih lapan ahli keluarganya termasuk seorang pembantu rumah Indonesia ketika melakukan upacara pemujaan di dalam sebuah bilik di rumah dua tingkat di Taman Bukit Minyak.

Selain ibu bapa, pembantu rumah mangsa, turut terlibat dalam upacara itu ialah nenek, pak cik, mak cik dan dua orang sepupu mangsa. -Kosmo


Tindih kerana buat bising

BUKIT MERTAJAM: Tindakan tujuh ahli keluarga dan seorang pembantu rumah menindih seorang kanak-kanak perempuan hingga sesak nafas sebelum meninggal dunia pada Ahad lalu, didakwa tidak mempunyai sebarang kaitan dengan upacara keagamaan melampau atau pemujaan.

Sebaliknya, mereka dikatakan bertindak begitu kerana kanak-kanak berusia dua setengah tahun itu didakwa tidak duduk diam dan membuat bising ketika kumpulan berkenaan sedang bersembahyang mengingati kematian datuk mangsa, baru-baru ini.

Seorang ahli keluarga terbabit yang tidak mahu dikenali berkata, semuanya berpunca daripada seorang ibu saudara mangsa dikatakan berang kerana mendakwa kanak-kanak terbabit mengganggu majlis mereka.

Menurutnya, emosi wanita berkenaan memang tidak stabil sejak kematian bapanya kira-kira tiga minggu lalu.

Katanya, dia mengalami tekanan perasaan yang teruk berbanding seorang yang baik sebelum ini.

“Apabila kanak-kanak terbabit membuat bising, ibu saudara mangsa itu mendakwa kanak-kanak itu dirasuk hantu.

“Dia kemudiannya minta ahli keluarganya yang lain dan sesiapa yang berada dalam bilik itu termasuk pembantu rumah memegang mangsa bagi mententeramkannya hinggalah berlaku kejadian tindih-menindih itu,” katanya.

Menurutnya, dia minta kejadian itu tidak dikaitkan dengan sebarang aktiviti tidak baik termasuk pemujaan atau sebagainya.

Katanya, semuanya berlaku kerana mereka terlalu sedih dengan kematian datuk mangsa hingga gagal mengawal perasaan.

Seorang lagi ahli keluarganya berkata, ibu saudara mangsa itu berubah sejak kematian bapanya dan berpewatakan bukan seperti dirinya sebelum ini.

“Semua ahli keluarga akan mendengar cakapnya sebelum ini kerana dia jenis orang yang baik, mungkin sebab itulah apabila dia minta menindih kanak-kanak itu semua orang lakukannya tanpa membantah.

“Saya juga percaya ketika kejadian mereka dalam keadaan letih dan kelaparan kerana tidak minum dan makan sepanjang hari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah berkata, siasatan masih lagi dijalankan bagi melengkapkan siasatan.

Harian Metro juga difahamkan, mayat kanak-kanak terbabit, Chuah Wan Xuan akan dituntut ahli keluarganya dari Unit Forensik, Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk disemadikan di Bukit Berapit, di sini petang ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan Chuah maut berikutan tidak dapat bernafas selepas ditindih tujuh ahli keluarganya dan seorang pembantu rumah warga Indonesia dalam kejadian di Taman Bukit Minyak Indah, di sini.

Ahli keluarga yang menindih mangsa ialah ibu, bapa, nenek, ibu dan bapa saudara serta dua sepupunya
-hm




Tiada ulasan: