16 Ogo 2012

Datuk Seri Diburu Polis

Polis sedang mencari seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dan anak lelakinya bagi membantu siasatan kes seorang peniaga minuman mati dibelasah sekumpulan lelaki di sebuah tapak perniagaan di kawasan Downtown, The Mines, Seri Kembangan awal pagi Isnin lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata ahli perniagaan itu ialah Jaafar Shaari, 50, alamat terakhir di No 3, Jalan P11 K/12, Presint 11, Putrajaya dan anaknya Ahmad Jiwari @ Wari, 23, alamat terakhir di Lot 141, Kampung Pedas Hilir, Jalan Kundur, Pedas, Negeri Sembilan.

Polis meminta kedua-dua mereka tampil untuk membantu siasatan, katanya kepada pemberita di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Difahamkan kejadian kira-kira 2 pagi itu berlaku selepas mangsa Azhari Sidek, 44, mengambil sebuah meja usang ditinggalkan di kaki lima tempat kejadian sebelum diletakkan berhampiran gerai miliknya.

Bagaimanapun, tindakan mangsa itu tidak disenangi seorang lelaki dikatakan menjalankan perniagaan di kawasan sama yang mendakwa meja berkenaan miliknya hingga berlaku pergaduhan.

Menurut adik angkat mangsa yang enggan mahu dikenali, lelaki terbabit memanggil beberapa rakannya untuk membelasah abangnya akibat rasa tidak puas hati itu.

Sementara itu, Tun Hisan berkata seorang suspek lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes rogol dan bunuh seorang pekerja kilang perempuan berusia 19 tahun di sebuah unit flat di Jalan Taming 2, Taming Jaya dekat Balakong Isnin lepas.

Beliau berkata suspek berusia 26 tahun yang ada ikatan kekeluargaan dengan mangsa ditahan pada pukul 2 petang berdekatan Jalan Semenyih, Kajang, semalam.

"Siasatan mendapati suspek bekerja di kilang yang sama dengan mangsa," katanya.

Dalam kejadian Isnin lepas, mayat Sabturiah Faisal, 19, yang berasal dari Kampung Merotai Besar dekat Tawau, Sabah dijumpai dalam keadaan terlentang di dalam bilik tidurnya oleh abang ipar mangsa pada pukul 7 malam.

Mengikut laporan media, polis yang menyiasat mayat mangsa mendapati ada kesan lebam pada leher, perut, dan tangan kanan anak ketujuh daripada 12 beradik itu.

Difahamkan, polis turut menemui kesan tompokan air mani di bilik mangsa dan mengesyaki gadis itu menjadi mangsa rogol oleh individu yang dikenalinya. -BERNAMA

Tiada ulasan: