5 Jul 2012

[TRAGIS - BERGAMBAR] Budak Rentung Atas Katil

Johor Bahru - Seorang kanak-kanak lelaki maut dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan rumahnya di Jalan Permas 2/2, Taman Permas Jaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, mangsa, Muhammad Aminuddin Mohammad Nor Idris (gambar kecil) yang bakal menyambut ulang tahunnya yang kedua pada 19 Julai ini ditemui rentung di atas katil dalam bilik di tingkat dua rumah teres berkenaan selepas api berjaya dipadamkan.

Difahamkan kanak-kanak itu dan keluarganya baru sahaja berpindah ke rumah yang berusia 30 tahun itu jam 9 malam kelmarin. Mereka sebelum ini tinggal di kawasan Stulang Baru, di sini.

Aminuddin menangis tanpa henti awal pagi Ibu mangsa, Nor Nadia Abdul Samad, 25, berkata, ketika kejadian, suaminya Mohammad Nor Idris Ahmad, 29, yang merupakan pekerja Tenaga Nasional Berhad sedang bekerja manakala dia bersama anak sulungnya, Muhammad Amirul Hakim, 6, berada di tingkat bawah.

Menurut Nor Nadia, sedang dia menyiapkan Amirul untuk ke sekolah, anak keduanya, Nur Aisyah Nadirah, 4, turun dari tingkat atas meninggalkan Aminuddin yang sedang tidur.

“Sebaik sahaja Nur Aisyah turun, saya terhidu seperti sesuatu terbakar dari tingkat atas seterusnya terdengar Aminuddin menjerit memanggil saya.

“Saya nak naik ke atas, tetapi asap terlalu tebal. Saya cuba selamatkan anak saya, namun tidak berjaya,” katanya kepada pemberita dengan linangan air mata ketika ditemui di lokasi kejadian.

Nor Nadia berkata, paling menyayat hati, awal pagi sebelum kejadian itu juga Aminuddin menangis tanpa henti sejak dari jam 3 pagi.

“Tetapi selepas dipujuk oleh bapanya baru dia berhenti menangis dan tidur sekitar jam 5 pagi,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.

Bomba alami kesukaran

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Taman Johor Jaya, Syed Nasir Syed Abu Bakar berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian 15 minit selepas menerima panggilankecemasan berhubung kebakaran itu pada 9.23 pagi.

Menurutnya, dia bersama sembilan anggota dan satu jentera pada awalnya mengalami kesukaran untuk tiba awal di lokasi kejadian berikutan laluan kawasan perumahan berkenaan agak sempit berikutan terdapat sebilangan kenderaan diletakkan di bahu jalan.

“Anggota kami cuba naik untuk menyelamatkan mangsa, tetapi gagal kerana api terlalu marak pada waktu itu. Tambahan pula, risikonya sangat tinggi apabila kami dapat tahu yang rumah ini berlantaikan papan.

“Kira-kira lima minit kemudian, kami berjaya mengawal kebakaran dan anggota kami bersama bapa mangsa naik ke rumah untuk mengeluarkan mangsa. Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

Keluarga terima lawatan

Dalam pada itu, Adun Permas, Datuk M Munusamy yang berkesempatan hadir melawat keluarga mangsa dan tempat kejadian berkata, pihaknya akan menyalurkan bantuan segera termasuklah dari segi pengurusan jenazah serta bantuan berupa barangan keperluan asas.

Keluarga terbabit turut dikunjungi Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Permas, Syed Othman Syed Abdullah yang hadir menyerahkan sumbangan berupa wang tunai.

“Saya mewakili Pas Kawasan Pasir Gudang bersimpati dengan apa yang berlaku. Kami bersedia untuk menyalurkan bantuan keperluan susulan dari masa ke semasa,” katanya. -SH










2 ulasan:

Abu berkata...

Bertuahnya pasangan ini. Mereka telah mendapat seorang ahli syurga.

Tanpa Nama berkata...

sesungguhnya ALLAH itu Maha Adil,takziah,semoga ibu bapanya mendapat syafaat dan tidak kehausan di pdg masyhar.