20 Jun 2012

Himpunan Hijau Ke Putrajaya Peringkat Negeri Melaka 24 Jun 2012, Di Permatang Pasir Alai


Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat negeri Melaka akan diadakan pada 24 Jun 2012, Ahad ini.

Program yang pada awalnya dirancang untuk diadakan di Stadium Hang Tuah terpaksa di tukar tempatnya ke Surau Ustaz Ali, Permatang Pasir, Alai, Melaka kerana tidak mendapat kelulusan dari pihak stadium.

Tujuan utama himpunan ini adalah untuk menghimpunkan ahli-ahli PAS dalam satu program bagi menzahirkan komitmen dan kesediaan PAS dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 dan menuntut ianya dikendalikan secara BERSIH, ADIL dan demokratik.

"PAS Melaka akan mengadakan program Himpunan Hijau Menuju Putrajaya peringkat negeri Melaka 24 Jun ini bagi meneruskan momentum semangat ahli-ahli di negeri ini untuk memenangkan PAS pada PRU 13 nanti," ujar Pesuruhjaya PAS Melaka, Sdra Adly Zahari.

"Timbalan Presiden PAS, Tuan Haji Mohamad Sabu menjadi tetamu utama pada program tersebut dan beliau akan menyampaikan amanat pimpinan PAS pusat kepada ahli-ahli di Melaka" tambahnya.

Adly berkata disamping itu PAS Melaka turut menjemput pimpinan-pimpinan Pakatan Rakyat Negeri bagi memeriahkan lagi program tersebut.

"Wakil daripada NGO Anti Lynas juga turut dijemput. Disamping itu Zulkifli Mohd Omar selaku pengerusi Lujnah Alam Sekitar PAS Malaysia dijangka akan turut hadir." tambah beliau.

Beliau memaklumkan bahawa tema Himpunan Hijau peringkat negeri Melaka adalah "Teknologi Hijau, Politik Hijau, Melaka Hijau" sesuai dengan slogan negeri, Melaka Maju Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau

Adly menjemput seluruh rakyat Negeri Melaka untuk hadir ke program tersebut yang akan bermula pada jam 9.00 dengan berpakaian hijau.

Acara akan dimulakan dengan Xpresi Hijau Annnnak Muda Ke Putrajaya pada jam 4.30 petang dengan solat Asar berjemaah, diikuti dengan konvoi ARC (Alternative Riding Club) serta persembahan dari Amin Iskandar, penyanyi Irwan dan Hafiz Bandboys.

Ia akan diteruskan pada sebelah malamnya dengan solat maghrib berjemaah, solat hajat dan munajat dan solat Isya berjemaah yang akan dipimpin oleh ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka, Ustaz Zulkifli Ismail.

Ceramah para pimpinan Pakatan Rakyat akan bermula jam 9.00 malam dimana Timbalan Presiden PAS, Tn Hj. Mohammad Sabu akan menyampaikan ceramah dan amanatnya di acara kemuncak pada hari tersebut.

Semua ahli PAS negeri Melaka diwajibkan hadir dan seluruh rakyat negeri Melaka dijemput untuk bersama-sama menjayakan program Himpunan Hijau Ke Putrajaya ini.

Tiada ulasan: