18 Apr 2012

SPR & JPN Gunakan Formula Terengganu 2004 Untuk Tumbangkan PR Selangor

Awas cara Terengganu tawan Selangor

KUALA LUMPUR, 17 April: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberikan peringatan, taktik Umno merampas Terengganu pada pilihan raya 2004 akan digunakan semula di Selangor dalam pilihan raya akan datang ini.

Beliau memberi peringatan ini dalam wawancara khas dengan Harakahdaily baru-baru ini.


"Di Terengganu, kita kalah dalam pilihan raya 2004 bukan kerana penolakan rakyat tetapi melalui pengundi yang diangkut masuk.

"Mereka akan ulang cara ini di Selangor dalam pilihan raya akan datang ini," kata anggota Parlimen Marang itu memberikan amaran kepada petugas Pakatan Rakyat di Selangor.

PAS telah menang dalam pilihan raya umum 1999 di Terengganu dengan mendapat 28 dari 32 kerusi DUN yang ada namun dalam pilihan raya 2004, kerusi PAS hanya tinggal empat sahaja.

Bagi beliau, pendekatan begini satu penipuan yang kotor lagi najis kalau ia dinilai dari perspektif demokrasi sebenar yang sepatutnya adil dan bersih.

Menurut beliau, dalam postmortem yang dibuat oleh PAS selepas pilihan raya umum 2004, beberapa kawasan di Terengganu didapati berlaku peningkatan sehingga 2 peratus undi kepada PAS.

Berlaku juga di sesetengah kawasan penurunan undi untuk PAS sehingga 2 peratus.

"Tetapi di negeri Kelantan, ada kawasan yang menurun undi PAS sehingga 6 peratus. Tetapi apa yang berlaku, Terengganu kerajaan PAS jatuh tetapi kita bertahan di Kelantan," kata beliau.

Untuk Parlimen Kemaman, kata beliau, berlaku pertambahan undi berlipat kali ganda yang di luar dari kadar kelahiran manusia di kawasan itu.

"Dianggarkan pertambahan pengundi di Kemaman adalah 17,000 pengundi baru (berbanding pilihan raya 1999).

"Kawasan lain pun ada juga fenomena yang sama,"
kata beliau dalam wawancara khas itu.

Bagi Abdul Hadi, jentera pilihan raya Umno dan Barisan Nasional (BN) bukanlah kuat sangat tetapi mereka telah menggunakan jentera kerajaan.

"Mereka kuat dengan jentera kerajaan. Sepatut tak berlaku macam itu kerana masa pilihan raya, ia hanya caretaker government (kerajaan sementara)," jelas beliau.

BN juga, katanya, menggunakan 100 peratus media yang ada dan menghalang parti lawan mereka menggunakan media itu yang bukannya milik BN.

"Saya yakin, jika pilihan raya akan datang ini berjalan dengan bersih, kita akan tawan semula Terengganu," beritahu beliau. -HD



T'ganu 2004: Konspirasi kotor SPR dan JPN

Oleh Dr. Syed Azman Syed Ahmad,

Rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan pendedahan berani Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar di Parlimen baru-baru ini mengenai isu ’konspirasi terancang’ antara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengeluarkan MyKad dan pendaftaran warga asing di dalam daftar pemilih SPR menjadikan mereka sebagai pengundi yang ’sah’.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu mendedahkan antara individu yang terlibat adalah Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Tajuddin Wahab, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan diketuai Pegawai Penasihat kepada Perdana Menteri Datuk Othman Razak.

Menurut Mahfuz lagi, beberapa individu lain yang juga terlibat bagi melakukan tugas kerja tersebut mengikut arahan yang diketuai Datuk Othman Razak adalah Timbalan Ketua Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Jariah Mohd Said, Pegawai JPN Nik Norashikin Nik Mansor, Pegawai Bahagian Kewarganegaraan JPN Rashid Bashirun dan Shahrul Anwar Ahmad Zaidi.

Bagi saya, pendedahan persekongkolan terhormat beberapa Penjawat Awam tertinggi negara di bawah Jabatan yang amat kritikal bagi negara seperti JPN dan SPR adalah suatu yang amat dikesali dan perlu kepada siasatan lanjut.

Pendedahan penipuan serta manipulasi pilihan raya inilah yang menjadikan demokrasi di negara kita berjalan dalam keadaan yang penuh kepincangan dan tempang yang cukup membimbangkan sebahagian besar rakyat di negara ini serta mengancam keselamatan negara.


'Projek Isuzu'

Ya, saya teringat satu fakta persekongkolan terhormat JPN, SPR dan kerajaan Umno/BN ini apabila berlakunya pendaftaran beratus-ratus pekerja kilang dari Pekan, Pahang bagi mendaftar undi di kawasan parlimen Marang Terengganu.

Konspirasi yang di gelar 'Projek Isuzu’ ini telah di lakukan secara terancang dalam pilihan raya umum 1995 bagi menumbangkan Presiden PAS Datuk Sri Abdul Hadi Awang di kawasan parlimen Marang.

Begitu juga dengan pertambahan pengundi baru yang mendadak serta peratusan keluar mengundi yang ’amat luarbiasa’ di seluruh negeri Terengganu pada tahun 2004 semasa PRU ke 11 yang menyaksikan kerajaan PAS tumbang dan hanya mampu bertahan selama satu penggal sahaja.

PAS kalah di kesemua 8 kerusi Parlimen dan hanya mampu menang 4 dari 32 kerusi yang dipertandingkan di Terengganu. Pada pilihanraya tahun 2004 itu, negeri Terengganu telah mencatatkan peratusan keluar mengundi yang tertinggi bagi seluruh negara dan boleh dianggap amat tidak munasabah iaitu sebanyak 87.43 peratus sedangkan purata keluar mengundi bagi seluruh negara pada tahun 2004 hanyalah 74.43 peratus sahaja.


Ini ditambah lagi dengan perbandingan jumlah pemilih baru bagi negeri Terengganu yang juga ‘amat luarbiasa’ dan ‘tidak munasabah’ pada PRU ke 11. Pada tahun 1999 menjelang pilihanraya ke 10, negeri Terengganu telah mencatatkan pertambahan pengundi baru sebanyak 19,663 pengundi iaitu pertambahan sebanyak 5.08 peratus dari tahun 1995 semasa PRU ke 9. Pertambahan ini boleh di anggap ‘normal’ kerana purata nasional jumlah pemilih baru pada tahun 1999 adalah 5.77 peratus sahaja.

Tetapi yang paling ‘ajaib’ dan mengejutkan apabila pilihanraya tahun 2004, negeri Terengganu telah menyaksikan satu lonjakan jumlah pertambahan pengundi baru yang kedua tertinggi di seluruh Malaysia selepas Selangor iaitu sebanyak 68,585 atau pertambahan sebanyak 15.04 peratus.

Peratusan ini juga ‘amat luarbiasa’ dan ‘tidak munasabah’ berbanding dengan purata pendaftaran pengundi baru bagi seluruh negara di Malaysia pada tahun 2004 hanyalah 7.01 peratus sahaja.

Keputusan amat luarbiasa ini menjadi 'konspirasi misteri’ sehingga sekarang sehingga ia berjaya menumbangkan kerajaan PAS di Terengganu.

Persoalannya, siapakah yang harus bertanggungjawab dalam konspirasi besar ini? Dan apakah akan ada usaha dari pihak kerajaan bagi membersihkan kembali kepincangan yang amat bahaya ini dengan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat isu ini?

Bagi saya pendedahan yang telah dibuat oleh Datuk Mahfuz di parlimen itu adalah amat serius kerana tindakan tersebut boleh anggap seperti menjual negara kepada rakyat asing untuk kepentingan politik jangka pendek.

Namun bagi saya, isu pokok yang harus di lihat oleh semua pihak adalah peranan SPR itu sendiri. Apabila isu kredebiliti SPR menjalankan tugas mereka secara adil bagi menjamin pilihan raya yang bersih dan adil menjadi pertikaian, maka demokrasi di negara kita akan terus menjadi tempang.

Ini ditambah lagi dengan 'hilang keyakinan’ rakyat awam terhadap peranan SPR sendiri. Penjelasan serta jawaban yang di berikan oleh SPR mengenai isu MyKad serta serta pelbagai isu yang menjadi pertikaian dilihat amat tidak meyakinkan dan berat sebelah. Lebih parah lagi SPR kini hanya dilihat menjalankan tugas mereka ’berkhidmat untuk Umno/BN’ bagi menjamin kelangsungan kuasa di Puterajaya.

Bagi saya, untuk menjamin masadepan demokrasi dan kejernihan pilihan raya di negara kita, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR wajar berundur segera secar terhormat dan izinkan Kebawah Duli Yang Dipertuan Agong membentuk satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat pendedahan Datuk Mahfuz itu sebelum membenarkan Parlimen dibubarkan. Tiada pilihan bagi seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan kecuali sama-sama turun ke perhimpunan Bersih 3.0.


IMBAS KEMBALI PRU 2004





Ulasan GB

Tidak hairanlah kita mengapa Najib telah beberapa kali menyuarakan konfidennya beliau bahawa UMNO/BN akan kembali menawan Selangor.

GB dimaklumkan bahawa sekalipun isu "Task Force" beri IC kepada warga asing telah didedahkan, namun di ibu negara pada minggu lepas masih terdapat beberapa bas persiaran mengangkut PATI yang diberikan kawalan polis peronda menuju ke destinasi yang tidak diketahui.

Kita tunggu kebenaran dan keadilan terdedah, dimana pemuka-pemuka SPR & JPN berserta kumpulan yang mengganggotai "task force" akan dibawa ke muka pengadilan dan dihantar ke penjara. Semuga Allah memperkenankan doa kita.


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

BERSIH 3 PATUT GERAKAN MANSUH PTPTN IKUT SERTA...

Tanpa Nama berkata...

Jom BERSIH3, BN nak perbodohkan rakyat