11 Apr 2012

API - Anti Pemalsuan IC Ditubuhkan Untuk Selamatkan Negara Dari Pengkhianat

PAS tubuh API banteras pemalsuan MyKad

KUALA LUMPUR: PAS menubuhkan gerakan Anti Pemalsuan Kad Pengenalan (API) bagi membanteras isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing bagi membolehkan mereka menjadi pengundi dalam Pilihan Raya Umum nanti.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata pemimpin tertinggi PAS yang bermesyuarat semalam turut bersetuju melantik dirinya sebagai Pengerusi API.

Pemimpin lain termasuk peguam PAS Hanipa Maidin dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr Hatta Ramli sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK).

Katanya, jawatankuasa khas bertindak itu akan menyusun gerakan menuntut supaya satu Suruhanjaya Diraja (RCI) ditubuhkan segera bagi menyiasat dakwaan penglibatan beberapa pegawai tertinggi kerajaan memberi kad pengenalan kepada warga asing.

“API akan mengatur satu pertemuan dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam masa terdekat bagi menghantar memorandum menuntut penubuhan RCI,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Kumpul maklumat

Selain itu, API menurut Mahfuz turut akan mengumpul maklumat dan membuat saringan mengenai kewujudan warga asing yang diberikan taraf kerakyatan memandangkan pertambahan rakyat Sabah meningkat daripada sejuta kepada 5 juta dalam masa yang singkat.

“Maklumat banyak, ada tiga hingga empat fail. Kami akan serahkan semuanya kepada RCI dan sedia memberi kerjasama penuh,” katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, API juga akan membuat roadshow seluruh negara menerangkan kepada rakyat tentang isu ini yang dianggapnya mampu mengancam keselamatan negara.

Minggu lalu, Mahfuz mendakwa wujudnya task force yang terdiri daripada Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Tajuddin Wahab, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar, dan diketuai Pegawai Penasihat kepada Perdana Menteri Datuk Othman Razak mengendalikan pemberian Mykad kepada warga asing.

Mahfuz turut menamakan Timbalan Ketua Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim, Ketua Pengarah JPN Datuk Jariah Mohd Said, Pegawai JPN Nik Norashikin Nik Mansor, Pegawai Bahagian Kewarganegaraan JPN Rashid Bashirun dan Shahrul Anwar Ahmad Zaidi sebagai pegawai yang bertugas mengikut arahan Othman.

Mahfuz ajak sertai gerakan Anti Pemalsuan IC

KUALA LUMPUR, 6 April: Perbuatan memalsukan kerakyatan pendatang asing adalah pengkhianatan yang membahayakan keselamatan dan keamanan negara, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Yang lebih jijik ialah pengkhianatan itu dilakukan oleh parti yang memerintah kerana pembangkang tidak mungkin dapat melakukan perkara itu," katanya.

Serentak dengan itu, beliau mengajak parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini menyertai gerakan Anti Pemalsuan IC (API) bagi menentang pengkhianatan yang dilihat sebagai usaha terdesak untuk mengekalkan cengkaman kuasa Umno ke atas negara ini.

"Saya menggesa semua parti politik dan NGO di seluruh negara yang mahu menyelamatkan negara ini dari ancaman pengkhianatan yang dilihat umum sebagai didalangi oleh Umno itu supaya menyertai PAS dan Pakatan Rakyat menggerakkan API.

"Saya menggesa semua parti politik dan NGO termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS), United Pasok. Momogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Reformasi Negeri (STAR) dan Angkatan Amanah Merdeka (Amanah),"
katanya.

Dengan penyertaan pelbagai pihak di dalam API, Mahfuz yakin usaha menyelamatkan negara dari ancaman pengkhianatan tersebut.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mengulangi gesaannya ketika berucap di Dewan Rakyat Rabu lalu supaya satu suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat tindakan memberikan kerakyatan kepada pendatang asing untuk membolehkan mereka mengundi Barisan Nasional (BN).

Mahfuz menuntut penubuhan suruhanjaya diraja itu ketika meminta penjelasan dari kerajaan tentang pendedahan wujudnya satu task force khas di bawah Jabatan Perdana Menteri yang memberikan kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mereka mengundi BN.

"Jika kerajaan jujur, suruhan jaya diraja itu mesti ditubuhkan segera sebelum pilihan raya.

"Mesti ditubuhkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 untuk nak pastikan supaya pembersihan terhadap daftar pemilih, supaya tidak ada warga asing yang diberikan taraf kerakyatan mereka untuk membolehkan mereka membuang undi dan menentukan masa depan negara kita ini," katanya.

Mahfuz menyifatkan tindakan khianat memberikan kerakyatan kepada warga asing itu sebagai perbuatan "menjual negara kita ini kepada rakyat asing untuk semata-mata bagi kepentingan politik pihak kerajaan BN".

Sebab itulah, tegas beliau, suruhanjaya diraja tersebut perlu diwujudkan bagi memastikan bahawa keselamatan masa depan negara terjamin.

"Keselamatan negara kita ini mestilah bermula daripada proses demokrasi dalam negara kita ini - iaitu yang menentukan hala tuju masa depan negara kita ini ialah rakyat di dalam negara kita sendiri dan bukannya rakyat asing yang diberikan taraf kerakyatan," tegas Mahfuz lagi.
-HD



Tiada ulasan: