8 Mac 2012

Pelaburan KL Eco City Pelaburan Peribadi?

Hartanah KL Eco City adalah ‘pelaburan peribadi’, kata NFCorp

KUALA LUMPUR, 8 Mac — Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp) menafikan syarikat itu menggunakan dana RM250 juta daripada kerajaan sebagai insentif kepada bank agar memberi pinjaman untuk pelaburan hartanah komersial di KL Eco City di sini sebagaimana dakwaan pembangkang.

Sebaliknya, mereka menjelaskan pembelian berkenaan adalah “pelaburan peribadi” pengarahnya, yang kini berhadapan dengan pelbagai tuduhan membeli hartanah mewah berbanding memberikan keutamaan kepada projek penternakan lembu bagi mengurangkan kadar pergantungan import daging negara.

“NFCorp menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan hartanah berkenaan bukan dibeli oleh syarikat,” jelas NFCorp dalam kenyataannya lewat malam tadi.

Suami kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Seri Mohamad Salleh dan tiga anaknya merupakan pengarah kepada NFCorp, yang telah dianugerahkan prijek Pusat Fidlot Nasional (NFC) pada 2006 untuk penternakan lembu.

Ketika sidang media semalam, PKR turut mendakwa keluarga Shahrizat telah menggunakan dana NFC untuk pembelian hartanah mewah termasuk lapan unit komersial di KL Eco City, pembangunan urban di Bangsar.

Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli mendakwa, pengarah NFCorp telah menyerahkan sejumlah jutaan ringgit daripada NFC ke dalam dua bank sebagai deposit tetap.

Ini jelasnya, adalah demi untuk mendapatkan “kemudahan kredit” daripada bank berkenaan bagi membeli hartanah mewah.

Selain itu, Rafizi turut mengesahkan pembelian unit kondominium berharga RM10 juta di Orchard Scotts Residence di Singapura, dan pendedahan terbaru hari ini lapan unit ofis mewah di KL Eco City di Bangsar.

Lapan unit berkenaan jelasnya dianggarkan berharga sekitar RM12 juta.

Rafizi turut mendakwa bahawa pada 2009, Shahrizat dan keluarganya telah membuat pembelian yang sama untuk pembelian peribadi menggunakan dana NFC.

“Mereka mendapatkan khidmat perunding dan dinasihatkan untuk menggunakan wang berkenaan untuk pembelian-pembelian ini,” katanya.

Menurut dokumen daripada salah satu bank, yang menurutnya diperolehi daripada pemberi maklumat, pengarah NFCorp telah membuat deposit bernilai RM71,486,589 (RM71,395,617 dan RM90,972) di bawah nama syarikat dan satu lagi deposit bernilai RM1,872,254 di bawah National Meat and

Livestock Corporation Sdn Bhd (NMLC), syarikat yang turut dimiliki keluarga Shahrizat.

Dua dokumen lain menunjukkan keluarganya turut memperoleh kemudahan kredit bernilai 197,338 di bawah satu lagi syarikat mereka, Agroscience Industries Sdn Bhd, RM4,391,240 pinjaman bagi pembelian aset hartanah, dan Mohamad merupakan penjamin bagi pinjaman lain bernilai RM663,743.

Ini, jelas Rafizi memetik dokumen berkenaan, adalah fakta yang Mohamad hanya mempunyai simpanan sebanyak RM421 di dalam akaun manakala Agroscience mempunyai sekitar RM927.

Tambahnya lagi, semakan lebih mendalam dengan bank yang tidak didedahkan kepada media menunjukkan dana berkenaan dipindahkan untuk pembelian lapan unit di KL Eco City, dengan nilai jualan RM9,688,866.

“Tetapi nilai pembelian itu merujuk kepada hartanah semasa bidaan dan ianya lebih rendah daripada harga pasaran. Berdasarkan harga pasaran untuk unit KL Eco City, biasanya berharga antara RM1,000 kepada RM1,100 kaki persegi. PKR menganggarkan jumlah pasaran untuk lapan unit adalah RM12 million,” kata Rafizi.

NFC menjadi topik hangat setelah Laporan Tahunan Ketua Audit Negara 2010 menunjukkan projek berkenaan menghadapi masalah dan tidak mencapai sasaran.

Bukit Aman sebelum ini telah mencadangkan kepada Pejabat Peguam Negara agar mendakwa kesemua pengarah NFCorp atas tuduhan pecah amanah, malah turut dipersetujui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Namun Peguam Negara menyerahkan kembali dokumen berkenaan dan mengarahkan pihak polis menjalankan siasatan dengan lebih terperinci. -TMI

PKR dakwa pengarah NFC beli lot kedai di Bangsar

PKR hari ini mendakwa bahawa pengarah National Feedlot Corporation menggunakan pinjaman mudah oleh kerajaan bagi memudahkan pembelian lapan hartanah komersial di Bangsar, Kuala Lumpur.

Pengarah strateginya, Rafizi Ramli mendakwa pengerusi eksekutif NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail telah menggunakan kawalan ke atas dana berkenaan untuk mendapatkan pinjaman bagi membeli lapan lot kedai itu.

"Dana awam yang diberikan kepada NFC untuk mengusahakan projek fidlot telah diselewengkan untuk dijadikan jaminan bagi mendapatkan pinjaman peribadi dan dibelanjakan dengan membeli hartanah di atas nama peribadi mereka," dakwanya pada sidang media hari ini.

Rafizi yang memetik dokumen bank, sebahagiannya diedarkan kepada wartawan, mendakwa unit kedai KL Eco City itu dibeli pada nilai tebusan pinjaman RM9.69 juta.

Bercakap di ibu pejabat PKR hari ini, Rafizi menganggarkan bahawa nilai pasaran hartanah berkenaan boleh mencecah sehingga RM12 juta.

"Berdasarkan harga pasaran semasa unit komersial di KL Eco City iaitu RM1,000 hingga RM1,100 setiap persegi dan kami anggar harga pasaran semasa unit ini boleh mencecah RM12 juta," dakwanya lagi.

Rafizi juga mendakwa pembelian itu dibuat dengan menggunakan pinjaman oleh Mohamad Salleh dan individu lain yang setakat ini masih belum dapat dikenalpastinya.

Rafizi mengemukakan beberapa dokumen bank sebagai bukti bahawa Mohamad Salleh dan pengarah NFC diberikan pinjaman bersama itu melalui kawalan ke atas akaun syarikat berkenaan.

Dokumen yang didedahkannya itu menyebut, NFC mempunyai simpanan sebanyak RM71.4 juta di dalam akaun di sebuah bank.

Dokumen itu seterusnya menyatakan bahawa Mohamad Salleh hanya mempunyai RM421 di dalam akaunnya di bank tersebut pada satu masa, namun tetap diberikan pinjaman berjumlah RM4,391,240 untuk membeli hartanah.


Selain itu, dokumen itu juga menunjukkan bahawa Mohamad Salleh telah bertindak sebagai penjamin untuk satu lagi pinjaman berjumlah RM663,743.

Ia turut menunjukkan bahawa dua lagi syarikat yang turut dimiliki Mohamad Salleh – National Meat and Livestock Corporation (NMLC) dan Agroscience Industries masing-masing merekodkan baki sebanyak RM1,872,254 dan RM197,338 melalui akaun di bank sama.

Rafizi mendakwa, pembelian hartanah tersebut, yang setiap satunya bernilai antara RM1.1 juta hingga RM1.56 juta dibuat oleh ahli keluarga Mohamad Salleh.

Rafizi mendakwa perkara itu telah disahkan oleh satu sumber beliau, yang tidak didedahkan.

Sementara itu, NFC menafikan laporan media yang menyatakan bahawa pengarah NFC telah menggunakan pinjaman mudah kerajaan bagi memudahkan pembelian lapan hartanah komersial di Bangsar.

Dalam satu kenyataan malam ini, NFC berkata, hartanah ini tidak dibeli oleh syarikat itu.

Pembelian itu, katanya, adalah pelaburan individu pengarahnya. -mk





Tiada ulasan: