4 Mac 2012

Menyayat Hati: Maut Digilis Tiga Kenderaan

Isteri maut, suami parah

TANAH MERAH – Seorang wanita maut di tempat kejadian manakala suaminya cedera parah apabila mereka dilanggar ketika melintas jalan di hadapan masjid dekat Kampung Panglima Bayu di Kilometer 71 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, jam 7 pagi semalam.

Mangsa yang maut, Kamariah Othman,61, dan Yahya Ahmad,65, baru sahaja selesai solat Subuh dekat masjid tersebut selepas bas persiaran yang dinaiki mereka bersama 35 ahli rombongan dari surau Taman Ixora, Terengganu berhenti di tempat tersebut dalam perjalanan ke Rantau Panjang.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abd Aziz Mahmud berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa dilanggar oleh kereta dari arah Jeli menuju ke Tanah Merah menyebabkannya tercampak ke tengah jalan.

“Yahya mengalami cedera parah, tetapi isterinya dilanggar lagi oleh dua kenderaan lain yang melalui jalan tersebut yang agak gelap dalam keadaan hujan renyai-renyai. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk siasatan lanjut dan suaminya turut dihantar ke sana untuk menerima rawatan,”
katanya.

Abdul Aziz berkata, kes tersebut disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di mana polis masih lagi mengesan dua kenderaan yang dipercayai melanggar mangsa.

Ekoran daripada kejadian tersebut, rombongan yang mahu ke Rantau Panjang itu berpatah balik dan membatalkan perjalanan tersebut.

Ahli rombongan yang juga rakan mangsa, Sharifah Mohd, 68, berkata, tiada perubahan ketara dapat dilihat pada kelakuan ketika dalam perjalanan hanya dia kelihatan ceria dan sering bergurau.

Menurutnya, dia dan ahli rombongan lain tidak menyangka kejadian tersebut menimpa Kamariah dan menganggapnya sebagai ketentuan Ilahi.

“Selepas solat Subuh semua ahli rombongan lain sudah melintas ke seberang jalan untuk kedai makan, tetapi hanya mangsa dan suami naik semula ke dalam bas kerana ingatkan pemandu bas ingin berhenti di tempat rehat lain,” katanya. -SH

Lihat isteri digilis

TANAH MERAH: Menyayat hati bagi seorang suami menyaksikan sendiri isterinya digilis kenderaan tiga kali ketika cuba melintas jalan untuk bersarapan bersama ahli rombongan persatuan surau dekat Masjid Kampung Panglima Bayu, di sini, pagi semalam.

Kejadian di Kilometer 71 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli pada jam 7 pagi itu menyebabkan pesara jururawat, Kamariah Osman, 63, terbunuh dalam keadaan ngeri apabila badannya hancur dengan kedua-dua kaki terputus akibat digilis kenderaan yang datang dari kedua-dua arah.

Suaminya, Yahya Ahmad, 66, yang turut rebah selepas kali pertama dirempuh sempat bangun dan menyelamatkan diri ke bahu jalan dalam keadaan cedera parah sebelum dikejarkan ke Hospital Tanah Merah (HTM).

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan dirempuh dua kali oleh kereta dari arah Tanah Merah ke Jeli dan kali ketiga oleh sebuah lagi kenderaan dari arah bertentangan ketika berhenti di garisan kembar di tengah jalan bersama suaminya.

Menurut ahli jawatankuasa persatuan surau itu, Agil Mohamad, 74, rombongan seramai 36 orang itu ingin bersarapan di kedai makan seberang jalan sebelum meneruskan perjalanan untuk beli-belah di Rantau Panjang.

Katanya, sebelum itu mereka sempat menunaikan solat Subuh bersama di masjid berhampiran.

“Saya cuma hairan apabila dia sekali lagi mengambil wuduk walaupun selesai solat Subuh. Ia menyebabkan mereka berdua tertinggal di belakang ketika kami ingin melintas ke kedai makan di seberang jalan,” katanya.

Katanya, rombongan persatuan surau dari Kemaman, Terengganu itu bertolak jam 12.30 tengah malam semalam dan tiba di masjid pada jam 5.30 pagi.

“Sebaik selesai solat Subuh, kami ingin bersarapan di kedai makan seberang jalan. Kamariah dan suaminya menyangka kami akan meneruskan perjalanan, menyebabkan mereka berdua menaiki bas semula.

“Menyedari ahli rombongan tiada dalam bas, mereka kemudian turun untuk melintas jalan. Kami yang berada di kedai makan tidak sedar kejadian itu sehingga terdengar jeritan orang ramai,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Supritendan Abd Aziz Mahmud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Bagaimanapun, katanya, ketiga-tiga pemandu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu tidak dapat dikesan apabila melarikan diri sejurus kejadian.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Tiada ulasan: