17 Mac 2012

Ferrari Terbakar Di Seremban, Pemandu Sempat Selamatkan Diri

Seremban: Sebuah kereta Ferrari musnah terbakar dalam satu kejadian di Kilometer 28.2, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) berdekatan Mantin, dekat sini, pagi ini.

Gambar: API marak membakar sebuah Ferrari di KM28.2 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) berdekatan Mantin, Negeri Sembilan, pagi tadi. Pemandunya, seorang lelaki berusia lingkungan 50an, terselamat apabila segera memberhentikan kereta dan keluar sebaik menyedari ia terbakar. - Foto Dzulkeffli Mustapha

Bagaimanapun, pemandunya, seorang lelaki berumur dalam lingkungan 50-an terselamat selepas dia sempat keluar sebelum api menjilat keseluruhan kereta berkenaan. Difahamkan lelaki itu, yang dipercayai berkonvoi bersama beberapa kenderaan mewah lain, sedang dalam perjalanan menghala ke Seremban bertindak memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan apabila mendapati keretanya terbakar.

Sepasukan lima anggota bomba bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran itu sejurus menerima panggilan kecemasan pada 10.21 pagi.

Ketua Operasinya, Pegawai Bomba Jayagaren Jaganatha Thevar, berkata sejurus tiba lapan minit kemudian, pihaknya mendapati api sudah marak dan memusnahkan keseluruhan kereta Ferrari berkenaan.

Beliau berkata, bomba berjaya mengawal kebakaran kereta mewah itu dalam tempoh beberapa minit.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kira-kira 90 peratus struktur kereta itu musnah dan pemandunya terselamat. Siasatan lanjut masih dijalankan terutama untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya. - BERNAMA

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ferrari yg terbakar tu model 430 ke 458 ???

Syazwan berkata...

Ferrari f430...

Tanpa Nama berkata...

takpa, orang kaya banyak duit boleh beli lain, hehe

Tanpa Nama berkata...

kan dah kata, jangan pakai RON95

BRORAHMAN1974 berkata...

bukan kah ron 97 lebih cepat meruap drp ron 95 lagi tinggi ron lagi tinggi kadar kemeruapannya