27 Mac 2012

[Bergambar] 11 Murid Cedera, Bas Sekolah Tembung Bas Persiaran

Jitra - Seramai 11 orang murid dan seorang guru Sekolah Rendah Al-Azhar di Gelong di sini cedera setelah bas yang mereka naiki bertembung dengan sebuah bas persiaran di Km 16.8 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Alor Setar petang tadi.

Ketika kejadian pukul 4 petang itu, bas yang membawa 40 orang murid sedang dalam perjalanan untuk menghantar mereka pulang selepas sesi persekolahan tamat kira-kira 3 petang.

Mohammad Aisar Hamzah, 11, berkata ketika kejadian, pemandu bas yang juga guru sekolah mereka sedang membelok masuk ke lebuh raya berkenaan dari simpang Kampung Wang Perah.

"Selepas berlanggar saya terkedu bila nampak ada orang tercampak keluar dari bas dan saya nampak kepala dia berdarah," katanya di tempat kejadian.

Antara mangsa yang cedera ialah Zihni Ilman Zairi, 9, yang patah kaki kiri dan murid Tahun Satu, Afif Shahmi Abdul Salam, 7, yang cedera di kepala dan badan akibat tercampak keluar dari bas.

Murid yang cedera termasuk guru berkenaan dikejarkan ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan, manakala 44 penumpang bas persiaran tersebut termasuk pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Hasbullah Mat Isa berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.06 petang dan sampai ke tempat kejadian pada pukul 4.17 petang bersama sembilan anggota.

"Ketika bomba sampai, tujuh pelajar yang cedera telah dibawa ke hospital, manakala penumpang dan pemandu bas persiaran tidak dilaporkan mengalami kecederaan," katanya. – Bernama

foto ehsan NST






Tiada ulasan: