15 Mac 2012

Bayi 15 Bulan Mati Terapung Setelah Bertatih Sendiri Ke Sungai

Tatih sampai lemas

KOTA BHARU: Seorang bayi berusia 15 bulan yang baru belajar berjalan, mati lemas di Sungai Kuala Besar, berhampiran rumah keluarganya Kampung Pantai Mek Mas, di sini, selepas keluar dari rumah seorang diri tanpa disedari ibunya yang sibuk membasuh pakaian, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, Nik Mohamad Iqbal Hazim Nik Roslan yang baru boleh berjalan sejak dua bulan lalu, dikatakan keluar melalui pintu depan rumah sebelum mayatnya ditemui terapung di sungai yang terletak kira-kira lima meter dari rumah.

Ibunya, Lini Abdullah, 27, berkata ketika kejadian, dia membasuh pakaian di bilik air, anak kedua, Nik Mohamad Ikram Amir, 9, turut berada di dalam rumah manakala anak sulung, Nik Nadia Izzati, 10, bermain di luar.

“Apabila selesai membasuh, baru saya sedar kehilangan Iqbal dan segera mencarinya di sekitar kawasan rumah hingga ke rumah sepupu, tetapi gagal menemuinya.

“Selepas 15 minit mencari, saya ke sungai dan terkejut apabila mendapati mayat bayi terapung di permukaan air. Saya terus meluru dan mengangkat mayat itu. Luluhnya hati saya apabila mendapati ia memang jasad anak saya,” katanya. -hm

AJAL...Nik Mohamad Iqbal ditemui terapung, kelmarin.


Temui anak tidak bernyawa

KOTA BHARU- Cukup sayu apabila pencarian seorang ibu, Lini Abdullah, 27, selama setengah jam akhirnya terjawab setelah menemui sekujur tubuh bayinya di dalam kuala sungai kira-kira 10 meter belakang rumah.

Paling memilukan, bayi berkenaan, Nik Muhd Iqbal Azim Nik Roslan, satu tahun dua bulan itu, didapati terapung di sungai berdekatan rumah setelah dipercayai terjatuh di permukaan kuala Pantai Mek Mas, Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini, kira-kira jam 1.30 petang, kelmarin.

Dengan longlai, Lini yang penat mencari anak bongsu lelakinya di merata-rata kawasan rumah bersama seorang sepupu dikenali sebagai Imah, 30-an, mengangkat anak ketiganya itu di dalam air separas 0.5 meter.

“Setengah jam sebelum menemuinya di dalam sungai, saya sempat melihatnya bermain-main keseorangan di ruang tamu rumah, manakala saya pula membasuh pakaian di dapur.

“Dia pernah turun dari rumah, tetapi tidak pernah turun ke kuala sungai berdekatan, namun kali ini saya hanya temui tubuhnya terapung dan sudah kaku,” katanya ketika ditemui di rumah mertuanya di Pantai Mek Mas, PCB, di sini.

Menurutnya, anaknya yang dipanggil Azim itu baru pandai berjalan (bertatih) dan sentiasa mengawasi pergerakannya, namun semuanya cepat berlaku.

Lini berkata, semasa kejadian, dia langsung tidak mendengar sebarang jeritan dan pada mulanya tidak mengesyaki anaknya turun ke sungai terbabit.

Sejurus melihat sekujur tubuh kanak-kanak itu, kata Lini, dia bergegas ke muka kuala, menarik tubuh berkenaan dalam keadaan pilu dan tidak sanggup melihat wajah anak kecil itu, lalu segera menyerahkannya kepada Imah.

“Tidak ada perkataan untuk saya gambarkan perasaan ketika menemuinya. Saya masih ingat keletahnya yang sudah pandai menyebut ‘Ma’ (panggilan untuk dirinya),” katanya.

Setelah ditemui, anak berkenaan disahkan meninggal dunia apabila dibawa ke Klinik Kesihatan Badang, PCB, di sini, petang kelmarin.

Sementara itu, bapa kanak-kanak malang itu, Nik Roslan Nik Mat, 32, yang bekerja sebagai nelayan tiada di rumah kerana mengambil upah membuat bubu di kawasan berdekatan.

“Saya menerima panggilan telefon daripada adik saya mengatakan anak bongsu saya lemas.

“Saya reda dengan pemergian Azim, sekurang-kurangnya kami menemuinya biarpun dalam keadaan menyedihkan,” katanya bapa kepada dua lagi anak, Nik Nadia Izati, 10 dan Nik Muhd Iqbal, 9, yang belajar di Sekolah Kebangsaan Che Latif, di sini.

Bagi nenek mangsa, Azizah Mamat, 47, dia diberitahu kehilangan cucu tersebut kira-kira jam 7 pagi semalam.

“Ketika kejadian, talian telefon bermasalah dan kali terakhir saya menemui Azim pada Ahad lalu ketika melawatnya di rumah,” katanya.

Jenazah Nik Muhd Iqbal Azim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Che Latiff, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian lemas bayi berkenaan.
-SH


Tiada ulasan: